Bab
3
RAIS
yang baru pulang dari tempat kerja mengukir
senyumanlebar
apabila melihat kelibat Hanim di muka pintu menyambut kepulangannya dari
pejabat.
Hanim yang menyambut kepulangan Rais juga turut
tersenyum. Tangan Rais diraih penuh hormat. Sebagai balasan tanpa mempedulikan
sepasang mata bundar milik seorang gadis remaja yang tersorotmemerhatikan
mereka, satu kucupan mesra singgah ke pipi Hanim.
“Minggu depan kita dah boleh pindah,” umum Rais
dengan wajah berseri-seri. “Rumah baru kita dah siap diubahsuai. Perabot pun
dah lengkap,” tambahnya lagi dengan riak gembira.
Senyuman Hanim semakin melebar. Alhamdulillah...
impiannya mahu tinggal di kawasan perumahan elite tercapai juga.
Hanim memandang gadis itu yang masih asyik
menyelak majalah di tangan. “Ila dah kemas barang ke?” tanya Hanim. Dia pasti
anak saudaranya itu mendengar perbualan mereka.
“Belum lagi. nantilah Ila kemas,” jawab Ila.
Wajah ceria Hanim dipandang. Siapalah yang tidak gembira andai apa yang
diimpikan menjadi kenyataan. Beruntung sungguh ibu saudaranya itu, punya suami
yang selalu berusaha menyenangkan hatinya.
Perniagaan barangan kraf yang dimulakan Rais
sebelum mengenali Hanim dahulu benar-benar membuahkan hasil. Selain daripada
mengimport barangan cenderamata untuk majlis-majlis perkahwinan atau
seumpamanya daripada China, Rais juga mempunyai kilang arang batu di Indonesia.
“Ila...” Hanim mencuit bahu Ila. “Berangan pulak
budak ni?” tegurnya sebaik melihat Ila tersipu malu. Entah apa yang diangankan
Ila sehingga tersenyum begitu.
“Mana ada.” Ila buat muka tidak bersalah. “Tapi
Ila fikirkan macam mana dengan rumah ni nanti?”
Hanim memandang seluruh ruang tamu rumah itu.
Faham apa yang dirasakan Ila. Kerana itu juga yang dirasanya. Tetapi dia ada
impian, mahu mengubah suasana kehidupan mereka. “Apalah nak difikirkan sangat.
Nantikan pak long pindah sini,” pujuknya. “Dahlah, tak payah nak fikir sangat.
Kita semua dah setuju sebelum ni, kan?”
Ila mengukir senyuman paksa. Huk... huk...
tak nak pindah!
“Achik nak ke dapur,” pantas Hanim berlalu.
Ila memandang langkah Hanim dari belakang.
Majalah di tangan ditutup. Hatinya berat mahu meninggalkan rumah itu. Tanpa
Hanim dan Rais, nikmat kasih sayang daripada insan bergelar ibu dan ayah pasti
tidak dirasai. Mereka terlalu baik sehingga dia tidak pernah rasa terbuang
setelah keluarganya berhijrah ke Indonesia. Terlalu lama dia dibiarkan sendiri
di situ. Selain Rais dan Hanim, dia juga mempunyai kasih sayang datuk dan
nenek. Syukur kepada Tuhan kerana
mereka masih ada.
Mengenangkan keluarga sendiri, hati Ila terus
menjadi sayu. Masih segar diingatannya ketika Rais dan Hanim beria-ia mahu dia
tinggal bersama mereka. Ketika itu usianya baru sepuluh tahun. Bermulalah
kehidupannya sebagai anak Hanim dan Rais dalam rumah itu. Segala keperluannya
ditanggung mereka.
“Ila, cukup-cukuplah berangan tu. Tolong hantar
mi goreng ni kat rumah nenek.”
Sapaan Hanim secara tiba-tiba membuatkan Ila
tersentak. Tidak sedar langsung bila Hanim berada di situ. Tahu-tahu sudah
berdiri terpacak di sebelahnya. Dia tersenyum memandang Hanim. Pantas bungkusan
di tangan Hanim diambil. Rumah neneknya bukanlah jauh sangat. Hanya selang
sebuah rumah dari situ. Kurang seminit berjalan kaki, sudah sampai di depan
pintu rumah neneknya.