YA, inilah dunia baru Ila. Sudah tiga bulan dia
belajar di UiTM Shah Alam dalam bidang pereka fesyen. Dia mula menyesuaikan
diri. Sebelum ini, dia asyik terfikirkan hendak balik rumah sahaja. Home
sick.Rindu suasana di rumah dan rindu pada Hakimi.
Nasib baik, Hakimi selalu mesej dan mengacau dia
di tengah-tengah malam. Kalau tidak mengucapkan selamat malam sebelum tidur,
Hakimi tidak boleh tidur agaknya.
Nota mengenai pola asas dibaca. Selama ini dia
fikir pola itu untuk menyenangkan proses mengunting kain supaya tidak silap
sahaja, tetapi di situ fungsinya jauh daripada mengelakkan kesilapan. Pola
bukan sekadar prototipe bahagian pakaian sahaja, tetapi perkara awal
sebelum dikembangkan menjadi fesyen.
Setengah jam berlalu, Ila menutup buku itu. Dia
berbaring di katil. Baru sahaja telefon bimbitnya dikeluarkan, Atika teman
sebiliknya masuk.
“Uittt... tak ada kelas ke?” tanya Atika sebaik
terpandang Ila masih berada dalam bilik
itu.
Ila menggeleng. “Kau?” tanya Ila kembali.
“Tadi adalah. Lepas tu aku pergi library,”
beritahu Atika. Dia sudah keletihan. Kepalanya berserabut memikirkan tugasan
yang diberikan pensyarahnya tadi. Dia pelajar di jurusan ekonomi.
Ila tersenyum. Baru hendak mengajak Atika keluar
ke kafe, kawannya itu sudah tidak larat. Dia bangun. “Aku nak keluar kejap.
Lemas dah duduk dalam bilik ni. Kau nak kirim apa-apa ke?” soal Ila. Nampak
gayanya dia kena keluar sendirian.
Atika menggeleng. Dia belum ada selera hendak
makan. Dia perlukan tidur seketika untuk meredakan fikirannya.
“Okey, aku pergi dulu.” Ila bangun dan terus
keluar.
“Woi,
Ila! Kenapa jalan laju sangat? Tunggulah.”
Ila menoleh ke belakang. Dia tersengih. Dari
mana pula datangnya Rafael. Kawan barunya yang mengambil bidang komunikasi itu
semakin hari semakin rapat dengannya, Atika dan Suzana.
“Kau nak makan ke?” tanya Ila sebaik Rafael
sudah berada di sisinya.
“Tak... haus aje,” jawab Rafael.
Ila mengangguk.
Rafael terus mengikut Ila ke kafe. Selesai
membeli, mereka memilih meja di bahagian tengah kafe. Di situ agak selesa kerana kipas berada di atas
kepala.
“Ila, malam ni jom keluar,” ajak Rafael sebaik
mereka duduk menghadap menu masing-masing.
Ila memandang anak muda itu. Agaknya selain
keluar malam berlimit dengan Andrew dan Hakimi, perlu ke dia mencipta rekod
baru dengan seorang lagi lelaki? Pau dalam pinggannya dicubit sedikit ke mulut.
“Alah belajar, belajar jugak. Sesekali kena
keluar berseronok,” ujar Rafael.
Ila menelan paunya. Dia teringat Andrew. Andrew
pun begitu juga bila hendak lari daripada kesibukan memikirkan hal pelajaran.
Ila tersenyum kelat di dalam hati. Semenjak dia dan Andrew menjadi adik-beradik
angkat, mereka hanya berhubung melalui e-mel sahaja. Dia rindukan Andrew.
Ikutkan mereka boleh berjumpa selalu kerana kolej Andrew tidak jauh dari situ
tetapi Andrew selalu memberi alasan sibuk. Sedih hatinya dilayan begitu.
“Aku cakap dengan kau, kau boleh pergi Eropah
pulak,” protes Rafael sedikit tersinggung melihat Ila termenung. Dia bercakap dengan
kerusi ke apa? Hisy! Perempuan ni.
Kening Ila terangkat. Rafael boleh perasan pula
fikirannya ke tempat lain. “Aku tengah fikirlah nak keluar ke tak,” dalihnya
mahu menutup malu.
Rafael tersengih. “Alah, tu pun nak fikir. Bukan
kita keluar berdua aje. Budak-budak lain ada sekali. Lagipun esok Ahad. Kau nak
buat apa malam nanti sorang diri dalam bilik?” pujuknya lagi.
Ila menggaru kepala. Bukan sekali Rafael
mengajaknya keluar. Dah dua kali. Dia ada alasan yang lebih baik ke untuk
menolak pelawaan Rafael? Laju fikirannya mencari alasan. “Sorry, aku dah
janji nak keluar dengan kawanlah.” Sudahnya itu yang dijawab. Kawan manalah
agaknya. Alahai, dia nak menipu tetapi tidak pandai.
Rafael buat muka kecewa. “Siapa?”
“Kau tak kenal. Bukan budak U ni,” dalih Ila
lagi. Alasan yang dia rasa selamat. Rafael mungkin mengenali kawan-kawannya di
situ, tetapi di luar? Hehehe... hatinya tersengih.
“Boyfriendlah tu,” duga Rafael. Dia baru
sahaja hendak merapatkan diri, Ila sudah ada teman istimewa. Kecewa.
“Bukanlah. Kawan aje,” beritahu Ila. Dia mana
ada boyfriend. Kalau ada jangan harap mereka akan duduk berdua dan makan
semeja seperti itu. Pasti ada hati yang cemburu nanti.
Rafael memandang Ila. Nampak gaya dirinya
bagaikan ada harapan. “Kenalkanlah,” pinta Rafael. Manalah tahu kawan Ila itu
perempuan. Tidak dapat memikat Ila, boleh mencuba kawannya pula. Dia
berkira-kira dalam hati.
Ila tersengih. Mana dia hendak cekau kawan tu?
Dia bagi alasan untuk mengelak sahaja. Satu-satunya kawan yang selalu
mengajaknya keluar hanya Hakimi. Andai dikenalkan Hakimi kepada Rafael, mahu
gamat dibuatnya nanti. Kalau dulu sebelum Hakimi menjadi sebahagian daripada
Maniera bolehlah. Sekarang jangan buat pasal. Tiap-tiap majalah keluaran
Maniera, pasti terselit muka Hakimi dengan projek-projek Maniera yang
dikendalikan. Pendek kata, semakin popular mamat sewel itu kebelakangan
ini. “Kalau dia jadi datang, nanti aku kenalkan.”
PERLAHAN sahaja Ila menutup pintu biliknya.
Atika sudah hanyut dibuai lena. Penat sangatlah agaknya tu. Belum malam lagi
sudah bermimpi. Dia duduk di katilnya. Teddy bear pemberian Andrew dan soft
gorilla pemberian Hakimi dipandang.
Dia tersengih kepada soft gorilla itu.
Tidak romantik langsunglah Hakimi ni. Ada ke soft gorilla yang
menakutkan dan hitam berkilat itu diberi sebagai teman ke universiti. Memang
sewel mamat tu. Soft gorilla itu diambil dan dipeluk. Dia bersandar di
kepala katil.
“Apasal Hakimi tak mesej pun hari ni, ya?” tanya
Ila perlahan kepada soft gorilla itu. Hidupnya bagaikan tidak sempurna
hari itu. Telefon bimbit dicapai. Pantas jarinya menaip sebaris mesej.
Mana awak menghilang? 0:)
Sekejap telefon bimbitnya berbunyi.
:-) Ada.
Rindu ke?
Yihoo... Ila tersengih. Tidakpasal sahaja
hatinya berasa kembang. Pantas benar Hakimi membalas. Pasti lelaki itu tidak
sibuk. Tiba-tiba Ila mencebik. Kalau Hakimi tidaksibuk, kenapa dia tidak
menghantar mesej kepadanya dari tadi? Sengajalah tu mahu mendera perasaannya.
:-p Sikit pun tak,balas Ila.
:-p Hahaha... tipu
Dahi Ila berkerut. Mana ada dia tipu. Dia tak
rindu pun, tetapi teringat sahaja. Jarinya menaip lagi. Dari duduk dia sudah
berbaring di atas katil.
Orang saja nak tanya ajelah.
Hakimi membalas lagi.
Orang yang nak tanya, buat apa awak sibuk?
Ila kemam bibir. Buat-buat tak faham pulak.
Ha’ah, kan? Buat sibuk aje. Okeylah tak nak kacau
lagi.
Balas Ila dengan ayat merajuk.
:-) Eleh, dah pandai nak merajuk-rajuk dengan
kita pulak.
Ila ketawa membaca balasan daripada Hakimi.
Betul ke dia merajuk? Mana ada. Pandai sahaja Hakimi itu. Dia tidak mahu membalas
lagi. Kehabisan kata hendak menjawab. Tetapi telefon bimbitnya berbunyi lagi.
Free tak? Saya kat area U awak ni. Jom keluar.
Ila menjongketkan kening. Baru sebentar tadi dia
keluar ke kafe. Takkan nak keluar lagi? Mesej Hakimi dibalas.
Busy. Next time ajelah.
Hakimi membalas semula.
Tak kira. Lepas maghrib saya sampai.
Bulat mata Ila. Tidak habis-habis perangai suka
memaksa mamat ni. Dia garu kepala. Tak berbalas mesej hidupnya jadi tidak
sempurna. Tapi, kalau tidak bertemu Hakimi dia tidak terasa apa-apa ke? Dia
berfikir seketika. Sayangnya dia tidak menemui jawapan itu.
Tadi kata dekat-dekat sini aje. Kenapa nak tunggu
lepas maghrib pulak?
Hah, dah tanya macam tu kira setujulah, kan? Siap
aje. Nanti jumpa kita cerita.
Ah, sudah Hakimi ni. Ila memandang jam
tangannya. Lebih kurang 40 minit hendak masuk waktu maghrib. Dia harus bangun
dan bersiap segera.