Home Novel Cinta Gadisku Rabitta
Bab 20

Bab 20

HUJUNGminggu itu Hakimi berkunjung ke rumah ibutirinya di Subang Jaya. Dia bersandar di sofa setelah kekenyangan. Matanya memerhatikan sekeliling ruang tamu itu. Lama betul dia tidak ke rumah ibu tirinya itu. Isteri pertama papanya itu memang sederhana orangnya, tidak tamak dan suka membazir.

“Senang hati mak tua bila Kim dah mula bekerja,” ujar Puan Hajah Saripah sambil duduk di hadapan Hakimi. Dia sayangkan Hakimi walaupun bukan dia yang melahirkan anak itu.

“Dah lama sangat Kim luruskan tulang urat, mak tua. Baru-baru ni aje tergerak hati nak mula dekatkan diri dengan pejabat tu,” beritahu Hakimi.

Puan Hajah Saripah tersenyum sambil mencapai bakul kaitnya. “Syarikat tu hak, Kim. Kim kenalah jaga elok-elok,” nasihat Puan Saripah sambil matanya ralit memandang jarum dan benang kait.

Hakimi mengerutkan dahi. Kenapalah dialog mama dan mak tua sama aje? Kenapa dia yang berhak ke atas syarikat tu, sedangkan Mira dan Hanif lebih utama? Dia orang anak papa dengan mak tua. Ah, mengarut! Agaknya semua orang sudah mula hilang kewarasan. Orang lain yang berusaha keras, aku pulak yang berhak. Tak ada... tak ada... Ni semua karut! Hakimi bermonolog sendiri.

“Mak tua... Kim ni anak isteri ketiga. Mana boleh jadi pemilik syarikat tu. Mestilah Abang Hanif atau Kak Mira yang lebih berhak.” Hakimi merendah diri. Dia bukannya tidak sedar kedudukannya dalam keluarga. Tiada guna berebut semua itu kalau sudah memang ada orang yang lebih berhak.

“Abang Hanif kamu tak minat dunia bussines.” Puan Hajah Saripah memandang Hakimi. Dia tahu anak itu tidak tahu lagi cerita sebenar.

Hakimi tahu abang sulung dari keluarga besarnya itu sudah memilih kerjaya sebagai doktor. Tetapi masih ada Fauzi, anak isteri kedua bapanya dan dua lagi abangnya. Yang tua mestilah didahulukan.

“Kamu tak payah nak fikir apa-apa sekarang. Tunggu dan lihat,” ujar Puan Hajah Saripah. “Yang penting sekarang, Kim belajar selok-belok syarikat. Terutama tentang Maniera, sebab itu memang harta Kim,” tambah Puan Hajah Saripah.

“Ish, biarlah mak tua. Pening Kim nak fikir benda yang Kim pun tak faham,” balas Hakimi. Dia langsung tidak mahu tahu nama siapa yang sudah diletakkan papanya di dalam wasiat untuk menerajui syarikat itu. Yang dia tahu, dia bekerja di Maniera kerana mahu menjauhkan Ila daripada Andrew.

“Mak tua tahu, hati kamu baik. Apapun, kamu mesti pertahankan hak kamu,” nasihat Puan Hajah Saripah lagi. Dia teringat budi yang ditaburkan mama Hakimi. Jasa wanita itu memang tidak dapat dibalas. Selain daripada memastikan Hakimi mendapat haknya, tiada apa lagi yang boleh dilakukan.

Puan Hajah Saripah masih ingat bagaimana mama Hakimi menggunakan kebijaksanaan dan wang ringgitnya untuk menyelamatkan syarikat suami mereka, Global Raya Sdn Bhd daripada gulung tikar sehingga kukuh semula. Tanpa kekayaan wanita itu, pasti keluarga besar mereka sudah musnah. Tetapi dia kesal, suaminya tidak menghargai kebaikan mama Hakimi.

“Mak tua ni buat Kim mengantuklah.” Hakimi berbaring di atas sofa. Buat rosak fikiran sahaja mendengar ibu tirinya mengarut. Elok dia berhijrah ke alam penuh fantasi seketika. Melayan angan-angan bersama gadis arnab yang semakin nakal bermain dengan hatinya. Begitupun, dia rasa bahagia.

Puan Hajah Saripah menggeleng. “Nak tahu apa yang mak tua cakap ni betul ke tidak, Kim kahwinlah,” katanya. Hanya perkahwinan Hakimi sahaja dapat meleraikan apa yang menjadi rahsia anak itu selama ini. Dia berharap pemegang amanah Hakimi tidak menyeleweng dan mementingkan diri. Andai itu terjadi, dialah orang pertama yang akan membantah dan membantu Hakimi mendapatkan apa yang patut Hakimi dapatkan.

Hakimi memandang siling dan tersenyum. Ai, dah masuk topik lain pulak, gumamnya.

“Siapalah nak kat Kim ni?” ujar Hakimi malas walau dalam hati berbunga-bunga membayangkan Ila. ‘

“Bukan tak ada yang nak, Kim tu memilih sangat,” balas Puan Hajah Saripah. Walaupun dia tidak membesarkan Hakimi, tetapi dia tahu hati budi anak itu. Muka ceria dan senang hati itu bagaikan muka orang dilamun cinta. Sudah bertemu gadis yang sesuai ke anak tirinya itu?

Hakimi tergelak. “Tak pilih dah mak tua. Tapi orang yang Kim suka tu tak muncul lagi.”

Puan Hajah Saripah mencebik. “Hmm... tunggulah sampai dia datang. Kalau tak datang-datang juga, nanti mak tua tolong tarikan tangan dia, biar cepat sikit dia datang,” balas Puan Hajah Saripah melayan gurauan Hakimi.

Hakimi tersenyum. Matanya dipejamkan.

TELEFONbimbit diletakkan ke atas katil. Bagaikan tiada harapan sahaja Ila akan membalas mesej yang dihantar. Sudah tiga mesej dihantar. Tapi gadis arnab itu tidak membalasnya.

Hakimi mencapai gitarnya lalu di bawa ke balkoni. Layan jiwa sambil menyanyi di situ lebih baik. Sepuluh minit terpekik, terlolong menyanyi sendiri di situ, hatinya masih juga merasa sunyi.

Dia berhenti memetik gitar. Balkoni bilik Ila dipandang. Dia langsung tidak faham kenapa hatinya mengharapkan kehadiran Ila di situ. Mulalah rajuk, senda, tawa Ila terpampang di ruang mindanya. Ah, sah dia rindu hendak memandang gadis arnab itu. Sehari cuti dan tidak ke tempat kerja bersama, hatinya mula terasa lain. Ah, apa ni? Hakimi tidak suka dengan perasaan itu.

ILA menolak daun pintu biliknya. Satu keluhan dilepaskan. Dia merebahkan badan di atas katil. Penat pulak badannya setelah menemani Siera. Setelah enam hari terperap di pejabat, baru hari itu dia dapat menikmati keindahan alam dengan sempurna. Mata dipejamkan. Niat hati mahu berehat seketika sebelum membersihkan diri. Tetapi...

Dia membuka mata semula. Dia tersenyum sendiri. ‘Apasal lagu tu yang dinyanyikan?’ tanyanya di dalam hati. Bibirnya mengikut lagu yang dinyanyikan Hakimi.

Marry me, Juliet, you’ll never have to be alone

I love you and that’s all really know

I talked to your dad, you’ll pick out a white dress

It’s a love story, baby, just say yes...

Ila tergelak. Kelakar mendengar lagu Love Story versi Hakimi. Jiwang betul mamat ni. Dia bangun. Sebaik membuka pintu kaca, Ila melangkah keluar. “Hai, awak...”

“Satu hari hilang, awak pergi mana?” tanya Hakimi. Apa sahaja aktiviti harian Ila, dia hendak tahu walau sedar mereka bukan ada hubungan lagi. Memang dia sudah tidak betul. Diari kehidupannya tidak lengkap tanpa cerita gadis arnab itu.

“Jalan-jalan dengan Siera,” beritahu Ila jujur. Kebetulan Siera mengajaknya keluar ke kedai buku dan menonton wayang tadi. Pulang dari bandar mereka singgah ke taman pula untuk mengambil angin petang.

Hakimi mengangguk. Nasib baik dengan Siera. Kalau dengan Andrew pasti terbakar hatinya.

“Kenapa tak jawab mesej saya?” tanya Hakimi tidak puas hati.

“Tak ada apa yang penting,” balas Ila.

Hakimi diam. Terasa hati dengan jawapan tu. Sampai hati Ila.

“Awak tak keluar ke tadi?” tanya Ila tanpa menyedari Hakimi merajuk dengannya.

“Keluar...” jawab Hakimi sepatah.

“Pergi mana?” tanya Ila lagi.

“Rumah ibu tiri saya,” beritahu Hakimi jujur walau tahu perkataan ibu tiri itu akan membuat ramai orang berkerut dahi dan terkejut. Namun, dalam kisah hidupnya perkataan ibu tiri itu ada manis dan pahitnya juga.

Ila sedikit tercegang. Dia tidak tahu pun Hakimi mempunyai ibu tiri. Fikirannya mula terbayang watak garang ibu tiri dalam drama TV. Tetapi Hakimi ini boleh pergi ke rumah ibu tirinya. Maknanya hubungan mereka baiklah, kan?

“Awak, esok kita pergi pejabat awal ya,” pinta Hakimi mengalih tajuk perbualan.

“Tak naklah. Esok saya pergi sendiri, naik motor,” beritahu Ila. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu menjadi bahan cerita di tempat kerja kerana mereka selalu bersama. Dua hari lepas, Bella dan Vinda mula bertanya itu dan ini bila setiap hari dia dan Hakimi keluar makan bersama. Hari pertama dan kedua, bolehlah disorok kerana semua orang belum kenal siapa Hakimi di Maniera. Tetapi tidak lama lagi pasti semua orang tahu siapa Hakimi.

Cdans yang mula pandai mendera Ila membuat kerja tukang sapu lantai pun semakin naik tocang. Suka sangat menyindir. Kononnya Ila menumpang kelebihan Hakimi untuk bekerja di situ. Kalau difikirkan, apa sangatlah tugas kerani rekod di kaunter itu. Hendak dikatakan gajinya beribu sangat pun tidak.

“Tak payahlah nak buat perangai degil tu. Sekarang musim langit menangis aje setiap petang. Elok tak basah, nanti naik motor tu awak basah. Nanti awak sakit pulak. Selagi awak kerja kat situ, awak kena pergi dan balik dengan saya.”

“Awak... cubalah faham,” rayu Ila.

“Saya faham. Pedulilah apa orang nak kata. Awak kisah sangat tu kenapa?” pertikai Hakimi.

Ila mengeluh. Tidak tahu bagaimana lagi hendak bercakap.

Melihat Ila tarik muka, Hakimi rasa tidak senang hati. Dia mengeluh. “Tak payahlah fikir pasal orang kata. Bukannya lama pun awak nak kerja kat situ. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri dah,” pujuk Hakimi. Selain memikirkan perasaan dan kemahuan sendiri, mana dia ada masa hendak memikirkan tentang orang lain. Apalagi orang-orang yang sengaja mencipta masalah dengannya.

“Senang awak cakapkan? Bukan awak yang dengar.” Ila buat muka sedih pula.

“Kalau saya yang dengar, saya tumbuk muka orang tu,” ujar Hakimi sedikit berangin. “Awak tu kan berani. Saya pun awak selalu buli. Takkan budak-budak kat pejabat tu awak tak berani nak buli balik?”

“Tak samalah. Sekarang awak kawan saya. Di pejabat awak bos saya. Dan di pejabat tu kawan-kawan sekerja yang saya kena hormat. Dia orang tu orang lama. Lagipun saya tak sukalah kalau ada yang buat baik dan marah saya sebab saya rapat dengan awak.” Ila terbayang muka Cdans dan Shasha yang suka mengkaitkan dirinya dan Hakimi.

“Dia orang cemburulah tu,” balas Hakimi tanpa perasaan. Buat letih sahaja memikirkan apa yang orang suka dan tidak. “Awak anggap aje saya ni perisai awak. Bila orang nak buli awak, awak gunalah nama saya,” cadang Hakimi.

Ila mengeluh lemah. “Encik Hakimi, saya bukan pergi berperang. Saya tak perlukan perisai. Cukup kalau awak faham apa yang saya mahu aje.”

Hakimi mengeluh. Pening kepalanya. “Dahlah, kita cakap lain kalilah,” ujar Hakimi, malas.

Ila memandang Hakimi sekilas lalu berlalu masuk ke dalam bilik.

Hakimi memandang langkah Ila. “Apa budak-budak kat pejabat tu dah buat dengan Ila?” Hakimi tertanya sendiri.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.