Home Novel Cinta Gadisku Rabitta
Bab 9

Bab 9

HAKIMI memberhentikan Harriernya di hadapan pintu pagar rumah Ila. “Jangan lupa?” pesan Hakimi sekali lagi.

Ila hanya diam. Tali pinggang keselamatan ditanggalkan. Dia membuka pintu kereta.

“Awak, dengar tak?” tanya Hakimi lagi. Dia memang tidak suka kalau dia bertanya, orang tidak menjawab. Terasa seperti tunggul pula.

Ila menoleh dan tersenyum malas. Rasanya reaksi itu sudah cukup baik buat Hakimi nampak perkataan okey di wajahnya.

“Minta tolong mama awak make-upkan awak ya?” pinta Hakimi.

Ila buat muka begang. Minta kebenaran daripada keluarganya pun tidak. Pandai-pandai pula Hakimi hendak arah itu ini. Dia ni tidak belajar adap ke?

“Awak... dengar tak?” desak Hakimi tidak senang hati melihat Ila diam begitu.

“Hmm...” balas Ila ringkas. Pintu kereta Hakimi ditutup dan dia cepat-cepat melangkah masuk.

Hakimi masih memerhati Ila sehingga gadis itu hilang daripada pandangan. Dia hanya boleh berharap gadis arnab itu tidak memungkir janji.

Ila menolak pintu dan terus melangkah masuk. Dia terus melangkah ke sofa. Rumah itulah Syurga baginya. Aman dan damai.

“Hai, penat nampak?” tegur Hanim yang baru turun dari tingkat atas. Perlahan sahaja langkah diatur mendekati Ila.

Ila sudah tersenyum lemah sambil memeluk beg kertas di dada. “Hmm,” balas Ila malas. Mahunya tidak penat? Kalau sudah terpaksa menjadi boneka pengaya pakaian tadi, terpaksalah juga dilakukan. Dia bukannya pandai hendak pulang ke rumah andai ditinggalkan di Shah Alam tadi. Seumur hidup, belum sekalipun dia menaiki bas ke situ.

“Pergi mana?” tanya Hanim.

“Ila kena culik tadi,” adu Ila masih berasa kurang senang dengan cara Hakimi.

“Culik?” Hanim mengerut dahi, tidak faham.

“Hmm... Anak AuntieAlia tu dah tak betul. Ikut suka hati dia aje. Ada ke dia seret Ila naik kereta macam perompak,” cerita Ila. Kalau dia tahu, pasti dia tidak memberitahu Hakimi hala tuju tempat yang mahu dia pergi tadi. Lain yang dibayangkan, lain pula jadinya. Itu dikira takdir ke? atau sebenarnya Hakimi memang pakar merosakkan hari indah orang lain. Ila termenung sesaat.

“Dah tu, Ila ikut kenapa?” Hanim tersenyum geli hati. Ada pula kes culik yang penculiknya menghantar mangsanya balik ke rumah dengan selamat. Siap telefon beritahu lagi ke mana mangsa culik itu dilarikan. Hai... Hanim mahu tergelak.

“Nama pun paksa. Tak suka pun kena ikut juga,” beritahu Ila tanpa perasaan. Kepalanya didongakkan sedikit dengan mata memandang siling. Fikirannya kena dikosongkan. Kalau tidak, penatlah dirinya mengimbas semula apa yang terjadi tadi. Mata dipejamkan.

“Dahlah tu... Puan Alia ada beritahu achik tadi,” ujar Hanim dengan senyuman.

Ila membuka mata. Dipandang wajah Hanim. Maknanya Hakimi betul-betullah menghubungi Puan Alia tadi?

“Achik ada buat air soya tadi. Ila nak minum tak?” Ila tersenyum dan mengangguk. Jus soya buatan Hanim memang kesukaannya. Sedap. Tidak perlu dia mengosongkan fikiran. Jus soya itu akan membuat dia melupakan segala-galanya.

“Lepas minum, bersihkan diri dan solat. Dah pukul 5.30 ni.” Hanim melihat jam yang terletak di atas almari hiasan. “Siera…” jerit Hanim memanggil anak gadisnya yang baru berusia sepuluh tahun itu.

“Achik nak pergi rumah Puan Alia sekejap. Kalau Ila nak ikut, achik tunggu,” beritahu Hanim sementara menunggu Siera turun. Dia lebih selesa menghadiri kenduri tahlil dan doa selamat berbanding parti pada malam hari.

Ila menggeleng. “Tak nak. Ila dah penat. Nak mandi, nak solat dan rehat kejap.” Ila mengeliat semahunya. Malas betul mahu mengangkat badan dari sofa. Tetapi dia belum solat asar. Berseronok, berseronoklah juga. Bila tiba waktu bersolat haruslah disegerakan.

“Mama, jom,” ajak Siera yang baru datang dari tingkat atas sambil membetulkan tudung yang dipakainya.

Hanim memandang. Sudah semakin remaja anak gadisnya itu. Cepat benar masa berlalu. “Arul dengan Arin tak ikut?” tanya Hanim kepada Siera.

Siera menggeleng. Adik-adiknya masih asyik membaca buku cerita di atas.

“Ila, achik pergi dulu. Tengokkan adik-adik tu,” pesan Hanim sambil menuju ke pintu utama.

Ila mengangguk.

“Kak... jomlah,” ajak Siera. Jika Ila ada bersama, tidaklah dirinya kebosanan melihat mamanya berbual. Lagipun di rumah jiran mereka itu ada ke rakan sebayanya? Kalau adapun pasti dia tidak selesa mahu bertegur siapa. Maklumlah pemikiran anak-anak orang kaya ni lain sikit. Mereka berkawan memilih bulu. Dia tidak memakai bulu emas seperti mereka. Dari kecil hanya gaya hidup sederhana sahaja yang diterapkan.

Ila menggeleng. “Penat,” beritahu Ila sepatah.

Siera tersenyum dan terus berjalan mendapatkan Hanim di luar rumah. Jika lambat dijerit lagi oleh mamanya nanti.

DI RUMAH Puan Alia orang sudah selesai membaca doa. Hanim dan Siera menjamu selera bersama tetamu lain. Ramai saudara-mara, sahabat keluarga Puan Alia dan jiran baru yang menghadiri kenduri di rumahnya petang itu.

“Nim, Weandy tak datang sama?” tanya Puan Alia. Bagaikan tidak lengkap majlisnya tanpa seorang lagi kawan barunya.

“Dia tak dapat datang sebab ada pelanggan penting kat SPA. Tapi dia kirim ni,” beritahu Hanimsambil menyerahkan sampul duit yang dikirim Puan Weandy.

“Eh, buat susah-susah aje Weandy tu.”

Hanim tersenyum melihat reaksi serba salah Puan Alia. Agaknya dia juga akan terasa malu mahu menerima pemberian Puan Weandy. Itu majlis doa selamat bukan kenduri kahwin, tetapi sudah begitu pesannya Puan Weandy disampaikan jugalah.

Puan Alia memandang Hanim dengan muka bersalah. Ada sesuatu menyapa hatinya. Mahu tidak mahu dia harus membuka mulut juga. “Nim, jangan ambil hati dengan sikap anak Kak Lia, ya?” Dia tidak suka sikap Hakimi itu. Sebaiknya anak itu meminta izin daripada Hanim terlebih dahulu. Bukan sudah dibawa keluar, baru hendak diberitahu.

Hanim tersenyum. “Dia orang dah besar Kak Lia. Selagi pandai jaga diri, kita biarkanlah dia orang berkawan.”

“Kak Lia minta maaf,” pinta Puan Alia tetap tidak senang hati dengan apa yang berlaku. Dia tahu Hanim baik dan pasti anak gadisnya juga begitu. Dia tidak mahu kerana Hakimi, orang lain memandang serong anak Hanim. “Anak Kak Lia tu nakal sikit. Bimbang dia berperangai tak elok dengan anak Hanim.” Puan Alia masih mempamerkan muka bersalah.

Hanim mengerutkan dahi. Nakal yang bagaimanalah yang dimaksudkan Puan Alia. Tapi tadi Ila tak pula bercakap hal yang tidak sedap didengar. “Insya-ALLAH, Kak Lia. Kita doa semoga tiada apa yang berlaku,” balas Hanim.

Puan Alia mengangguk. Sekejap kemudian dia hilang dipanggil tetamu lain. Hanim duduk beramah mesra dengan tetamu berdekatan dengannya. Tidak lama kemudian, Siera sudah berbisik mengajaknya pulang.

Hanim bangun mencari Puan Alia. “Kak Lia, Nim nak minta diri dulu,” beritahu Hanim sebaik menemui Puan Alia yang sedang memberi arahan kepada seorang pemuda.

“Terima kasih, ya Nim,” ucap Puan Alia. “Malam nanti suruhlah anak dara Hanim tu datang,” pesannya.

Hanim tersenyum dan mengangguk. Entah Ila mahu pergi ke tidak? Dia pun tidak pasti.

Hakimi di sebelah Puan Alia tersenyum kepada Hanim sebaik mata mereka bertentang.

“Jangan senyum aje. Inilah mak budak perempuan yang kamu bawak tadi,” tegur Puan Alia.

“Auntie,” tegur Hakimi dengan rasa bersalah. Dalam hati tertanya-tanya, kenapa perempuan depannya ni muda sangat? Betul ke mak kepada gadis arnab tu? Atau ibu dia yang salah dengar? Sebenarnya ni kakak gadis tu.

Hanim tersenyum dan mengangguk. Tidak menyangka anak Puan Alia begitu tampan. Patutlah Ila tidak boleh menolak ajakannya. Bahaya!

“Maaf, curi anak auntie tadi,” tambah Hakimi.

“Lain kali jangan buat lagi,” tegur Hanim.

Siera sempat mengenyit mata kepada Hakimi. Nakal.

Hakimi kemam bibir menahan ketawa. Tak padan budak kecil, bisik hatinya.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.