Home Novel Cinta Gadisku Rabitta
Bab 4

Bab 4

LIMA hari berpindah di kawasan perumahan Elite Grand Impiana Villa itu mereka berkenalan dengan jiran baru yang ramah dan mesra. Puan Weandy yang tinggal di sebelah rumah bersama anak lelakinya, Andrew memang cepat mesra. Dalam masa beberapa minit berkenalan sahaja mereka sudah mengetahui sedikit hal keluarga berbangsa Cina itu. Andrew baru dua tahun menuntut di sebuah kolej di Selangor. Kiranya Andrew dan Ila berbeza usia tiga tahun.

Jiran belakang rumah pula, Puan Alia. Yang pada mulanya tidak cukup ramah, sekarang semakin banyak berbual dan rajin bertandang. Tapi belum ada seorang pun ahli keluarganya yang diperkenalkan kepada mereka.

Seharian di rumah Ila sudah mula resah. Tengok kiri batu, tengok kanan batu. Hendak memandang ayam itik seperti selalu memang tiadalah. Bosan betul tiada kawan untuk diajak berbual. Dia melangkah keluar.

Pintu pagar dikunci sebaik keluar. Matanya memandang kiri, kanan lagi. Terfikir-fikir mahu bersiar-siar ke mana. Tiba-tiba muncul Honda Civic hitam di hadapannya. Cermin tingkap Honda Civic itu diturunkan pemandunya sedikit. Ila tersenyum. Nasib baik bukan penyangak.

“Hai... Nak ke mana?” sapa Andrew mesra.

“Bandar,” jawap Ila masih malu-malu dengan anak teruna Puan Weandy itu.

“Jom, saya hantarkan,” pelawa Andrew.

“Tak payahlah. Saya boleh jalan kaki,” tolak Ila dengan sopan. Lagipun bukan jauh sangat bandar tu. Jalan kaki menyusuri taman-taman perumahan 15 atau 20 minit sudah boleh sampai.

“Janganlah macam tu. Saya pun nak keluar. Tak salah rasanya hantar awak sekali? Marilah naik,” pelawa Andrew. Dia sudah turun dan membukakan pintu untuk gadis itu.

Ila tersengih. Dia tiada pilihan. Terpaksa naik.

“Apa nak malu, kitakan jiran. Harus bantu-membantu,” ujar Andrew sedikit pun tiada pelat Cina.

“Saya tak nak menyusahkan awak,” dalih Ila.

“Susah? Mana ada... Awak nak pergi bandar, saya pun sama. Saya tolong hantar awak hari ni, hari lain awak tolong saya pulak,” balas Andrew. Dia memulakan pemanduannya.

Ila tersenyum. “Awak dari kolej ke?”

“Bukan. Jumpa kawan,” beritahu Andrew. “Awak nak ke mana?” tanyanya pula. Kereta yang dipandu mula memasuki kawasan deretan premis perniagaan di kawasan bandar. Bandar tempat tinggal mereka itu lengkap dengan kemudahan prasarana. Jadi tiada masalah untuk mereka mendapatkan apa sahaja. Namun, pasar raya mega yang ada di situ tidak menjanjikan pilihan barangan jenama yang memuaskan hati seperti di Kuala Lumpur.

Ila mengherotkan bibir dan berfikir sejenak. “JJ. Awak nak ke sana juga, kan?” teka Ila

Yup,” jawab Andrew ringkas. “Awak nak cari apa? Nanti kita boleh balik sama-sama.” Andrew memandang Ila.

“Nak jalan-jalan aje.”

“Kalau macam tu, jom ikut saya,” ajak Andrew.

“Pergi mana?”

“Kedai cenderamata,” beritahu Andrew. Keretanya selamat diparkir di Jaya JuscoBandar Bukit Tinggi.

“Awak nak buat apa?” tanya Ila sambil memandang Andrew.

“Nak beli hadiahlah,” jawab Andrew sambil tersenyum. Mereka mula melangkah memasuki Jaya Jusco itu.

Ila tersenyum malu. ‘Kalau orang ajak pergi kedai cenderamata mestilah nak beli hadiah, takkan nak mintak kerja pulak. Apalah aku ni,’ gumamnya.

Andrew memandang Ila sebaik mereka melangkah masuk ke kedai yang menjual cenderamata. “Boleh tolong carikan sesuatu yang perempuan suka?” pintanya tiba-tiba.

Ila mengerut dahi. Permintaan Andrew kedengaran mudah. Tapi Andrew hendak membeli hadiah untuk siapa? Kekasih ke? Apek handsome ni dah ada girlfriend rupanya. Entah kenapa, hatinya berasa kecewa. Jika dari tadi apek tu sibuk berbalas mesej, mestilah dengan girlfriend dia.

Melihat Ila buat muka tidak puas hati Andrew petik jari di hadapannya.

Ila tersengih. Tawar sahaja kelihatan, bagaikan cekodok sejuk. Liat.

“Saya nak sesuatu yang cantik,” beritahu Andrew.

“Semua yang ada kat sini cantik. Kalau saya... saya nak semua,” tambah Ila dengan muka selamba pula.

Andrew tersenyum dan menggeleng. Jawapan itu mencuit hatinya. “Itu tamak namanyalah amoi,” usiknya. Dia melihat Ila membelek sebuah pasu Kristal.

Ila tersenyum. Lain rasanya dipanggil amoi. “Orang tamak selalu untunglah,” ujar Ila.

Andrew tersenyuman nipis. Nakal rupanya Ila ni.

Ila tersenyum juga. “Sebenarnya kalau awak nak tahu, perempuan tu... kan cantik. Jadi semua benda cantik juga akan buat kami rasa tertarik. Bukan tamak,” jelasnya mengikut teorinya sendiri.

“Jadi awak termasuklah sebagai orang yang tamak?” tanya Andrew.

“Tamak nak miliki benda cantik aje,” balas Ila mendatar. Takut juga Andrew salah faham. Maklumlah mereka berlainan bangsa dan mungkin juga cara berfikir itu tidak sama. Itulah yang selalu diterjemahkan fikirannya ketika menyedari perbezaan antara dirinya dengan bangsa lain. Walhal yang membezakan cara pemikiran setiap manusia itu hanya hati. Yang lain-lain sama sahaja. Kalau Andrew suka benda cantik, dia suka juga. Kalau Andrew tahu rasa sakit, dia pun tahu juga. Kalau Andrew rasa mahu bercinta, dia pun mahu juga.

“Maksudnya, kalau ada orang hadiahkan sesuatu yang nampak buruk dan tak cantik, awak akan buang?” duga Andrew.

“Eh, tak... Benda yang buruk rupanya akan jadi cantik dan bernilai kalau diberi dengan hati yang ikhlas. Contoh arca dari tanah liat. Bukan semua mata melihatnya cantik tapi ada yang suka. Lagipun cantik tu subjektif, susah nak dijelaskan,” jawab Ila. Sedar dirinya terkena dia bergerak ke tempat lain, hendak menyembunyikan muka malunya.

“Awak nak cari hadiah untuk siapa?” tanya Ila. Patung beruang besar berukuran 1.5 meter dipeluk. Lembut dan mengasyikkan. Hatinya mahukan patung itu, tetapi sedar harganya mahal. Lainlah jika dia sudah bekerja, bolehlah beli.

“Untuk perempuan terpenting dalam hidup saya. Esok birthday dia,” beritahu Andrew.

Ila mengangguk. Betullah tekaannya, Andrew sudah ada teman wanita.

“Perempuan tu ibu saya,” jelas Andrew.

Ila buat muka tidak sudah. Wekkk... suka sangat mengandai dari tadi. Kan dah malu lagi. Hmm...

“Kenapa?” tanya Andrew sedikit pelik melihat perubahan muka Ila.

“Eh, tak ada apa-apa.” Ila tersenyum.

“Untuk seorang ibu, hadiahkanlah barang perhiasan seperti jam atau gelang,” cadang Ila. Tetapi dia bercakap dengan patung beruang di tangannya.

Andrew tersenyum melihat telatah Ila. Ada sesuatu pada diri gadis itu yang membuat hatinya selesa. Mungkin kerana sebelum ini dia tidak pernah rapat dengan gadis Melayu maka perasaannya begitu.

“Biasanya papa saya yang beri benda macam tu,” beritahu Andrew. Dia ingin lari daripada sesuatu yang menjadi kebiasaanpapanya. Lagipun koleksi jam atau gelang tangan ibunya sudah terlalu banyak.

“Mama awak suka apa?”

“Barang kristal atau silver,” jawab Andrew. Puan Weandy memang suka menyimpan barangan kristal. Kebanyakkan koleksi simpanannya dibeli sendiri ketika melancong.

“Kalau macam tu, jom cari kristal,” ajak Ila. Patung beruang diberi kepada Andrew.

Sepontan juga Andrew mengambilnya. Haruman yang dipakai Ila terlekat pada bulu patung beruang itu singgah ke hidung. Bau itu menyelinap masuk ke rongga hidung lalu perlahan-lahan meresap ke hatinya. Dia memandang Ila yang sudah berjalan ke tempat barangan kristal disusun. Patung beruang itu diletak ke tempat asal. Dia mengaru kepala. Apasal dengan hatinya hari ini?

Ila yang baru selesai bertanyakan sesuatu kepada jurujual di kedai itu dihampiri.

“Dah dapat ke?” tanya Andrew sebaik melihat jurujual berlalu meninggalkan Ila.

“Agaknyalah kot. Berapa bajet awak?” tanya Ila perlahan.

“Harga bukan masalah,” ujar Andrew.

Eloklah kalau kau cukup kaya apek. Taklah menyusahkan aku nanti. Ila senyum sendiri.

Jurujual yang meninggalkan mereka kembali bersama kotak sederhana besar di tangannya. “Ini kristal terbaru,” beritahu jurujual itu.

Ila buat tidak reti. Arca kristal seorang wanita duduk mencangkung sambil memeluk bentuk love yang dilingkari ukiran perak berbentuk bakul lebih menarik perhatian mereka. Memang cantik. Lebih cantik dan membuat Ila menelan air liur, harganya. Fuh, mencecah lapan ratus ringgit. Memang mengarut!

“Apa pendapat awak? Rasanya ini hadiah yang tepat untuk ibu awak.”

“Cantik. Saya rasa ibu saya pasti suka,” ujar Andrew. Dia membelek arca itu lagi. Mahu memastikan yang barang itu tiada sebarang kerosakan. “Tolong bungkuskan,” arah Andrew. Kad kredit dari walletnya diserahkan.

Jurujual itu tersenyum.

Ila menghembus nafas perlahan. Senang betul Andrew ‘membuang’ duit.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.