HAKIMI duduk tersandar di sofa dengan rasa
senang hati. Hari ini dia pulang awal kerana tidak banyak kerja. Semenjak Ila
sudah kurang menjadi arnab yang aktif melompat sana sini, hatinya juga sudah
tidak terjerut. Kalau tidak memang dia tidak senang hidup. Hisy, begitu ramai
perempuan yang ditemui, itu juga hatinya mahu. Hakimi! Hakimi! Dah teruk kau
ni. Dia tersenyum sendiri. Langsung tidak sedar Puan Alia memerhatinya dari
tadi.
“TV tu tak buka pun. Cerita apa yang Kim tengok?
Asyik tersengih-sengih aje,” tegur Puan Alia.
Hakimi memandang Puan Alia. Dia berusaha
selamba. “Hmm... Kim fikir soal kerja aje, ma,” dalih Hakimi.
Puan Alia mencebik. Macamlah dia tidak pernah
bercinta. “Siapa nama budak perempuan tu?”
Hakimi angkat kening. Masih cuba hendak menutup
kenyataan dengan muka terkejut.
“Tak payahlah Kim nak tipu mama. Mama pun pernah
muda,” ujar Puan Alia.
Hakimi tersengih. “Mana ada, ma. Kim rasa happy
aje hari ni. Tu yang senyum.” Dia tetap tidak mahu memberitahu rahsia di
hatinya.
“Hmm... mama tak kisah kalau Kim serius nak
kahwin, tapi carilah yang betul-betul boleh buat Kim bahagia.” Puan Alia
memberi lampu hijau. Dia tidak mahu lagi memaksa anak-anaknya berkahwin dengan
calon pilihannya.
“Kalau yang biasa-biasa, tak berharta macam kita
tak apakan, ma?” tanya Hakimi.
Puan Alia tersenyum. Sah anaknya ini sudah ada
calon. “Paling biasa pun, biarlah yang tak buta huruf, yang celik agama, yang
sedap mata memandang dan yang boleh buat Kim bahagia.”
Hakimi tersenyum. Syarat ibunya itu tidak susah.
Ila ada semua itu.
“Yang paling penting, mama nak gadis yang
menjaga maruah dan harga diri. Tak nak yang belum kahwin dah layu,” tegas Puan
Alia.
Hakimi tersengih.
“Nak bagitahu mama ke tidak ni? Siapa calon tu?”
tanya Puan Alia.
Hakimi tersengih dan menggeleng. “Belum ada,”
jawabnya.
Puan Alia memandang Hakimi. Hatinya kata ada
tetapi anak itu sengaja mahu berahsia. “Juliesa macam mana?”
Aduh, kenapa Juliesa pula yang terseret dalam
topik mereka? Hakimi kemam bibir. Muka mamanya dipandang dengan resah. Adakah
Juliesa menjadi harapan sebagai calon pilihan mamanya? “Kim dengan dia kawan
aje, ma.”
“Hmm... tapi daddy dia dah tanya pada papa,”
kata Puan Alia.
“Papa jawab apa?”
Puan Alia mengeluh. “Papa tu manalah berani nak
buat keputusan untuk Kim. Dia tanya mama.”
Hakimi tersenyum. Dia sudah faham dengan
perangai papanya. Memang tidak mungkinlah papanya membuat keputusan bagi
pihaknya. “Mama jawab apa?”
“Mama cakap, Kim baru kerja. Tak ada masa nak
fikir hal kahwin,” kata Puan Alia. Mungkin itu jawapan terbaik untuk sementara
waktu. Tetap andai Tan Sri Amar bertanya lagi, Hakimi harus bijak membuat
keputusan.
Hakimi memandang mamanya. Itulah jawapan
terbaik. Telefon bimbitnya berbunyi. Mesej. Dia tersenyum. Semakin rajin gadis
arnab menghantar mesej kebelakangan ini. Takut dia dikebas oranglah tu.
Hehehe...
Melihat Hakimi sudah tersengih melayan telefon
bimbit di tangan, Puan Alia berlalu ke tingkat atas.
Ila khusyuk membaca majalah I. Dia tertarik dengan satu hadis yang
berbunyi:
Boleh jadi kamu membenci sesuatu,
padahal ia amat baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal
ia amat buruk bagi kamu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.
(Surah al-Baqarah ayat 216)
Dia tersengih. Betul ke apa yang dirasakan?
Matanya dipejamkan. Berusaha menafikan rasa hati yang memuncak setiap kali
perkara berkaitan Hakimi timbul. Ah, dia tidak percayalah cinta-cintun ini.
Menipu sahaja.
Ila, kau ni apasal? Jangan cari masalah. Hakimi
tu bukannya boleh percaya. Dia tu sewel. Kalau kau berani beritahu dia yang kau
suka dia, silap hari bulan dia gelak guling-guling. Siapa yang malu? Kau jugak,
pujuknya. Pipinya ditampar beberapa kali. Hisy, tidak boleh jadi ni. Mesti
alihkan perhatian juga.
Pintu bilik dikuak dari luar. Terjojol muka
Atika. Dia melangkah masuk. “Kau ni kenapa? Asyik berkurung aje dalam bilik.
Semalam kata nak balik.” Atika duduk di atas katil.
Ila sengetkan mulut ke kiri dan kanan. Memanglah
dia nak balik, tetapi Hakimi masih belum beritahu pukul berapa dia akan ke situ
untuk menjemputnya. Asyik main-main sahaja dari tadi. Dia mesej begini, Hakimi
jawab begitu. Buat meletihkan jarinya sahaja. “Tengoklah... Kejap lagi kot.”
“Tak nak ajak aku sekali ke?” tanya Atika sambil
memandang Ila.
Ila tersengih. “Aku dah ajak awal-awal lagi. Kau
aje yang tak pasti nak ikut ke tak,” ujarnya.
“Aku bukan tak nak ikut, tapi segan,” balas
Atika. Memanglah dia dan Ila rapat. Tapi mahu merapatkan hubungan dengan
keluarga Ila, dia malu. Apalagi menurut Ila, di rumah nenek Ila masih ada dua
orang lagi bapa saudaranya yang masih bujang.
Ila tergelak. “Kenapa kau nak segan pulak?
Keluarga aku okeylah.”
Atika menggaru kepala. Alang-alang sudah menjadi
teman sebilik yang paling rapat, apa salah kalau dirapatkan lagi hubungan
dengan keluarga Ila. Bolehlah ushar abang sepupu Ila yang handsome tu.
Ngee... Atika memasang niat di dalam hati. Apalah dirinya ini, dengan bapa
saudara Ila malu, dengan sepupu Ila dia tak malu. Teruk!
“Eh, kalau lambat sangat bertolak, tak malam ke
sampai rumah kau?” Atika menggaru kepala. Jam menunjukkan pukul 6.00 petang.
Ila masih duduk memeluk soft gorillanya.
Ila menggeleng. “Ada driver nak datang
ambik.”
Atika sudah tersenyum. Mesti sepupu Ila. Yes...
memang dia ada peluanglah hendak berkenalan dengan sepupu Ila itu.
“Kau siaplah. Kalau pukul 8.00 karang driver
tu tak datang, aku call auntie aku aje suruh datang ambik,” kata Ila. Dia
beralih ke meja tulis, membuka buku kostum semula. Skirt yang direka sudah siap
90 peratus. Tapi siapa yang hendak memakai skirt itu? Hmm... masalah. Siapa
pula yang sudi menjadi model dan menayang peha? Pensyarahnya itu bagaikan
sengaja menyuruh dia dan kawan-kawannya melakukan kerja mengarut begitu.
Alasannya hendak melihat apa yang mereka reka itu sesuai ke dinamakan fesyen,
bila digayakan oleh model yang bernama manusia bukan patung. Takkan dia hendak
memakainya sendiri? Fuh... kerja gila.
HAKIMI sampai tepat pukul 9.00 malam. Ila
menggeleng. Lambat betul Hakimi ni.
“Awak duduk belakang, ya?” kata Hakimi sambil
mengangkat beg Ila dan Atika ke dalam bonet.
Ila mengerut dahi tidak faham. Tetapi dia hanya
menurut. Dia membuka pintu kanan, Atika membuka pintu kiri. Sebaik masuk ke
dalam kereta, baru mereka tersedar ada seorang perempuan di tempat duduk
hadapan. Perempuan itu menoleh ke belakang dan mereka bertukar senyuman.
Atika mencuit Ila. Ila menjungkit bahu. Dia pun
tidak pasti siapa perempuan bersama Hakimi. Dia mula dilanda rasa cemburu.
Dalam Hakimi mengayat dia setiap hari, alih-alih sudah ada girlfriend
pula mamat tu. Bunga-bunga kecewa berputik dalam hati Ila.
Sepanjang perjalanan, masing-masing hanya
melayan perasaan. Lagu You Make Me Feel nyanyian Cobra Starship membuatkan Ila
tertunduk sambil mengemam bibir. Kalau perempuan di sebelah Hakimi itu tidak
ada, pasti dia ingat lagu itu Hakimi tujukan untuknya. Memang buat berdarah
hati betul dengan sikap Hakimi. Dia memang tahu Hakimi tidak serius. Tapi
kenapa dia boleh terjatuh suka dengan Hakimi. Ila menarik nafas.
Seketika kemudian, Hakimi menurunkan gadis di
sebelahnya di hadapan kondominium berhampiran kawasan Bandar Baru Klang.
Kirana turun dari kereta dengan muka ceria.
“You... terima kasih. Kita jumpa lagi esok,” ucapnya. Dia sempat membuat flying
kiss kepada Hakimi sebelum melangkah pergi.
Hakimi tersenyum sambil mengangguk.
Ila menjeling geram. Amboi, sukanya dia digoda
begitu. Beg sandang dipeluk lebih kuat. Baru sahaja dia hendak melayan perasaan
sambil melentokkan kepala ke tepi tingkap, Hakimi bersuara.
“Cik adik sayang, takkan I nak jadi driver
you? Duduklah depan,” tegur Hakimi sambil menoleh ke belakang dan memandang
Ila.
Ila menoleh Atika. Dia senyum separuh hati
kepada Atika. “Kau pergilah duduk depan.”
Atika menunjuk dirinya dengan jari. Dia buat
muka bersalah. Seganlah hendak duduk di sebelah sepupu Ila. Kot iya pun dia
beria-ia hendak berkenalan, tetapi bukanlah secepat itu. Mungkin esok.
Ila mengangguk.
“Cepatlah... Nak balik ke tidak?” Hakimi
bersuara lagi sambil melihat muka Ila dari cermin pandang belakang. Dia tahu
ada yang tidak kena dengan Ila. Biarpun Ila tidak menyatakan, dia boleh nampak
wajah cemburu itu. Biarlah sesekali Ila pula yang merasakan apa yang selalu
dirasakan ketika Ila buat tidak mengerti dengan perasaannya.
Ila terus memaksa Atika.
Atika menggeleng.
“Cepatlah,” desak Hakimi.
Ila memuncungkan bibirnya. Sebelum Hakimi buat
kepala angin, elok dia mengalah. Takkan hendak tunjukkan juga rasa cemburunya
tadi.
“Kenapa tak balik rumah Auntie Hanim dulu? Esok
kita boleh pergi rumah nenek sama-sama,” tanya Hakimi sebaik perjalanan mereka
diteruskan.
“Auntie tak ada kat rumah. Mereka semua kat
rumah nenek,” kata Ila. Hilang perasaan hendak melayan Hakimi berbual.
“Hmm... ingat malam ni kita dapat nyanyi berduet
kat balkoni.” Hakimi menoleh sekilas dan sempat mengenyetkan mata sebaik Ila
juga menoleh.
Ila menghembuskan nafas. Dia menjeling geram.
Tergamak Hakimi melukakan perasaannya. “Kan tadi dah ada kawan nak berduet, kenapa
tak ajak pergi karaoke?” tanya Ila malas. Pandangan dibuang ke luar tingkap.
Melihat suasana jalan raya yang diterangi samar-samar cahaya itu lebih baik.
Hakimi tersenyum segaris. “Itu kawan kerja. Tak
sama dengan awak,” pujuknya. Nanti kalau jauh rajuknya, susah pula hendak
dipujuk.
Atika yang berpura-pura tidur, memasang telinga.
Pelik mendengar butir bicara dua orang sepupu itu. Tidak seperti sepupu pun.
Dia kerut kening.
Ila senyum malas. Hakimi sudah mula hendak
mempermainkan perasaannya lagi.