Bab
19
BEBERAPAjam bekerja, Ila sudah dapat menyesuaikan diri. Rakan sekerjanya
Vinda, kerani stor dan Lufi, budak penghantar sangat ramah dan mesra. Sesekali
Ila membantu Vinda menyimpan pakaian yang sudah digunakan. Kerjanya pun senang.
Hanya memasukan kod barangan dan pakaian yang dibawa keluar dan masuk dari situ
ke dalam rekod komputer.
Vinda turut membawanya masuk ke bilik solek
secara curi-curi. Memang dia terpegun. Bilik itu amat luas. Menurut Bella,
syarikat itu menerbitkan sebelas jenis majalah dengan pelbagai nama. Majalah
Classes merupakan projek terbaru Maniera yang akan menonjolkan berita dan
cerita berkaitan fesyen sepenuhnya.
“Classes tengah anjurkan pertandingan mencari
model muka depan sempena pelancaran majalah tu. Kau tak nak cuba ke?” tanya
Vinda sebaik mereka berjalan ke bilik pakaian semula. Sebenarnya dia teringin
hendak memasuki peraduan itu tetapi usianya sudah melebihi syarat yang
ditetapkan.
“Jadi model?”
“Ha’ah... nanti ramai orang akan kenal kau kalau
menang,” kata Vinda.
Ila tersenyum. “Tak naklah,” tolaknya.
“Eeii... rugi. Kau cantik, aku jamin kau boleh
menang,” puji Vinda cuba hendak meracun fikiran Ila.
Ila tergelak. Ada-ada sahaja kawan barunya itu.
Pintu ditolak dan mereka segera masuk.
“Ila, fikirlah,” kata Vinda sebelum kembali ke
mejanya.
Ila tersenyum. Telefon bimbitnya berbunyi.
Cepat-cepat di ambil dari dalam beg sandangnya. Mesej daripada Hakimi rupanya.
+(\__/)
(“_”)
(“)_(“) Jom lunch sama.
Tersenyum Ila melihat simbol arnab itu. Mesej
dibalas.
:-) Tak nak. Saya nak pergi makan dengan
kawan-kawan.
Hakimi menghantar SMS lagi.
;-) Hari ni, hari pertama awak. Saya kena jaga
awak baik-baik.
:-p Tak nak!Balas Ila.
Ila harap Hakimi faham. Dia bukan tidak mahu
keluar makan dengan Hakimi, tetapi sekarang kedudukan mereka berbeza. Hakimi
bos, dia pekerja biasa. Nanti apa pekerja lain cakap kalau ternampak mereka
bersama.
-:) Dalam kiraan sepuluh dari sekarang... kalau
awak tak keluar, saya masuk seret awak keluar.
Hah? Ila angkat muka memandang ke pintu. Hakimi
sudah tersengih di situ. Telefon bimbit di tangan digenggam kuat. Geram!
SEPANJANGperjalanan balik Ila hanya membisu. Pandangan dibuang keluar
tingkap. Masih marah dengan cara Hakimi memaksanya keluar makan tadi. Sudahlah
mereka terserempak dengan Shasha. Gadis itu asyik bertanya itu dan ini
kepadanya.
Hakimi menoleh sekilas. “Kenapa awak diam aje?
Penat ke?” tanya Hakimi memecah kebisuan. Dari tadi hanya radio sahaja yang
dibiarkan melalak. Dia mahu mendengar suara Ila pula.
“Esok saya pergi kerja sendiri,” beritahu Ila
dengan perasaan yang masih berbara.
“Kenapa?” tanya Hakimi. Dia buat salah ke?
“Fikir logiklah. Saya ni orang bawahan awak. Tak
eloklah kalau hari-hari saya tumpang awak. Nanti apa kata pekerja lain?”
beritahu Ila sedikit berangin. Jika Hakimi tidak faham juga, tidak tahulah
bagaimana hendak dikatakan lagi.
Hakimi ketawa kecil.
Ila menarik muka masam.
“Awak ni asyik fikirkan orang aje. Siapa nak
fikirkan awak pulak?” tanya Hakimi. Dia tiada masa hendak memikirkan pandangan
pekerja lain tentang hubungan mereka. Yang ada dalam fikirannya, dia gembira
bila mereka dekat. Kalau sebelum ini dia cuba menjauhkan Ila daripada Andrew,
sekarang dia tidak mahu kerana pekerja lain, Ila mencari alasan menjauhinya.
“Hmm... saya tak nak orang cakap apa-apa tentang
kitalah. Cukuplah kita kawan kat rumah aje. Kat pejabat kita buat-buat tak
kenal ya,” pinta Ila.
“Saya tak nak. Peduli apa orang nak kata. Yang
saya tahu, hari-hari kita akan pergi dan balik bersama. Titik! Jangan cakap
lagi!” bantah Hakimi. Jangan harap dia akan bersetuju. Gadis arnab itu bagaikan
magnet yang asyik menarik dirinya supaya tidak pergi jauh.
“Awak, saya...”
“Dahlah jangan cakap lagi,” potong Hakimi. “Kita
pergi makan lagi baik,” sambung Hakimi.
Ila memandang Hakimi dengan muka begang. “Tak
naklah!”
Hakimi tersenyum. “Alah, marahlah tu,” usik
Hakimi.
Ila menjeling.
Mereka diam.
Setengah jam kemudian, Hakimi menurunkan Ila di
hadapan pintu pagar rumah Hanim. Kebetulan Andrew juga berdiri di depan pagar
rumahnya.
“Terima kasih,” ucap Ila hambar.
Hakimi mengangguk. Hatinya mula rasa cemburu.
Dia tidak selesa melihat Andrew. Tekaannya tepat, Ila terus menghampiri Andrew.
Dari cermin pandang belakang, dia boleh melihat mereka berbual dan ketawa. Sakit
hatinya. Kalau dia tahu Andrew ada di situ, pasti dia melambat-lambatkan masa
menghantar Ila pulang.