“AMACAM?” tanya Hakimi. Matanya sempat melirik
persekitaran kafe yang terletak di tengah bandar raya Shah Alam. Dia suka
suasananya yang diterangi cahaya lampu yang malap itu. Romantik.
Ila mengangkat muka. Pai epal dalam mulutnya
ditelan. “Macam apa?” tanyanya sebaik meneguk teh lemon.
“Macam apa lagi? Dunia barulah,” balas Hakimi
tidak sabar mahu mendengar cerita Ila setelah beberapa bulan hidup sendiri.
Semakin berdikari ke gadis arnab kesayangannya itu? Sudah ada ramai peminat ke?
Zasss... yang itu dia tidak suka dan tidak mahu tahu! Dia cemburu.
Ila diam. Hendak kata seronok, dia rasa biasa
sahaja. Hendak kata tidak seronok pun tak. Jadi kesimpulannya...
“Rasa lemah sikit,” jawab Ila.
“Lemah?” Hakimi kerut dahi tidak faham. Dia
nampak Ila sihat sahaja. Nakal dan riang seperti selalu. Apa maksud gadis arnab
tu? “Kena angkat jarum sebesar batang besi lampu jalan ke?” usiknya.
Ila menahan senyum. Hakimi sudah semakin pandai
membuat lawak. Lelaki itu semakin mencuit hatinya. Rasanya kalau seminggu tidak
bertemu Hakimi, jiwanya akan sasau. Sahlah dirinya sudah masuk fasa kedua orang
dilamun cinta. Sudah pandai hendak bermain rindu pula. Lepas ni apa? Cemburu?
Huh! “Bukan,” jawab Ila perlahan.
Hakimi membulatkan mata. Dia mahukan penjelasan
terperinci. Manalah tahu sebenarnya Ila dibuli di universiti itu. Bolehlah dia
campur tangan. Ada juga beberapa kenalannya di situ yang boleh melindungi Ila.
“Habis tu?” tanya Hakimi.
Ila diam.
Sengaja hendak buat suspen.
“Cakaplah... cakap...” desak Hakimi dalam gaya
mengada. Dia tidak mahu kelihatan seperti terlalu mengambil berat, walau itu
yang selalu ditunjukkan. Kalau boleh dia tidak mahu Ila ambil peduli dengan
sikap ambil beratnya, tetapi cukuplah rasa selamat bersamanya.
Ila tergelak kecil. Masuk air betul mamat itu.
“Lemah sebab banyak kerja kena buat sendirilah,” beritahunya.
Hakimi mengecilkan mata. Ila ni suka sangat buat
dia tidak sedap hati dan lepas tu buat perangai tidak serius. Andai selalu
begitu, jantungnya bakal bermasalah
tidak lama lagi. “Memanglah. Takkan nak panggil saya tolong. Saya mana reti
main jarum tu,” balas Hakimi walau geram masih juga mahu mengusik.
“Hehehe...” Ila tersengih. “Bukanlah,” nafinya.
“Dah tu?”
“Selalu kat rumah ada orang uruskan life
kita. Tapi kat situ kena buat sendiri. Rasa macam tak cukup masa pulak,” kata
Ila. Mulutnya dimuncungkan. Ternyatalah selama ini secara tidak sedar Hanim
telah memanjakan dirinya. Jarang sekali dia membantu Hanim melakukan urusan
rumah tangga. Dia sebenarnya sangat beruntung. Ah, mulalah perasaan bersalahnya
menyelinap ke dalam diri. Dia harus menghargai jasa baik ibu saudaranya itu.
Hakimi tersengih. Ada sahaja akal hendak
mengusik gadis pujaannya itu. “Memanglah. Dah awak tu tengah berdikari. Kalau
nak pinjam Bik Pia, kenalah kahwin dengan kita,” ujar Hakimi.
Ila besarkan mata. Kemudian dijelirkan lidahnya
sedikit, mengejek Hakimi. Sukalah Hakimi dapat mengenakannya begitu.
“Cucuk lidah tu dengan garpu baru tau,” tegur
Hakimi sambil mengangkat sedikit garpu ditangannya ke atas.
Ila tergelak. Adoi, tak habis-habis Hakimi cakap
pasal kahwin. Dah sampai seru agaknya mamat sorang ni. “Awak,” panggil Ila
manja.
Hakimi berhenti mengulung spageti dalam
pinggannya dengan garpu. “Iya,” balasnya dengan nada yang sama. Dia tersenyum.
Hehehe... mengada juga gadis arnab ni.
Ila tersengih. Lucu memikirkan mereka boleh
duduk berdua bersama malam-malam begitu di Alana Kafe itu. Sedangkan sebelum
ini setiap kali Hakimi mengajaknya keluar, dia mesti mencipta alasan.
“Tadi awak kat mana sampai boleh ambil saya kat
U?” tanya Ila. Hakimi belum beritahu lagi lokasi dirinya berada sewaktu mereka
berbalas mesej tadi. Dan hatinya tetap hendak tahu. Hakimi harus memberi
jawapan juga.
Hakimi menyuap spaghetti ke mulut. Dari tadi
tertahan-tahan mahu menikmati hidangan itu.
Ila menunggu Hakimi menelan. Sambil itu pai
epalnya dihabiskan. Mereka berdua sedang berdiet barangkali. Waktu makan malam
diisi dengan menu minuman petang.
“Tadi saya kat Dello. Tengok perempuan seksi,”
beritahu Hakimi. Sengaja hendak melihat reaksi Ila.
Ila tersenyum. Patutlah Hakimi ada berdekatan
kawasan itu. Tetapi apa urusan Hakimi di Dello? Betul ke Hakimi melihat model
seksi di situ? Eeii... dia masuk fasa ketiga orang bercinta pula. Cemburu. ‘Kau
ni dah kenapa Ila? Sedarkan diri tu sikit. Jangan nak cipta masalah,’ bisiknya
pada diri sendiri.
“Tengok aje buat apa. Pilihlah sorang yang
sesuai,” giat Ila cuba hendak menepis perasaan cemburunya jauh-jauh. Shuh!
Jangan datang lagi!
Hakimi mencebik. Hampeh sahaja memancing cemburu
Ila. Dari dahulu sampai hari ini, memang tiada tanda-tanda Ila terjatuh cinta
dengannya. ‘Tak apa Hakimi, sabar. Gadis arnab ni memang suka bermain kat taman
hati kau. Perlahan-lahanlah kau buat dia rasa tak nak keluar lagi dari hati
kau,’ bisik hati Hakimi. Antara mereka sudah tiada gangguan lagi rasanya.
Semenjak berada di universiti, Ila tidak pernah juga bercerita soal Andrew atau
teman lelakinya yang lain.
“Pilih sorang nak buat apa?” tanya Hakimi.
“Isteri,” jawab Ila selamba. Dia sudah selesai
makan. Sisa makan yang terlekat di tepi bibirnya dibersihkan dengan napkin.
Hakimi buat muka sedih. Memang hatinya sedih
pun. Dia langsung tidak boleh menerima perempuan lain selain Ila. Ila...
sudah-sudahlah melukakan perasaannya itu. Berilah dia peluang, rayu Hakimi
dalam senyap. “Kenapa?” tanya Hakimi mahu Ila menjelaskan alasannya.
“Sebab kebelakangan ni awak asyik ajak saya
kahwin aje. Dah sampai serulah tu,” beritahu Ila. Dia cakap mengikut sedap
mulut sahaja.
Hakimi tersenyum kelat. Ila ingat dia main-main
ke? Kalau waktu itu Ila bersetuju, mesti dia betul-betul akan memasuk meminang.
“Awak sukalah kalau saya kahwin, ya?”
Ila mengangguk. Dalam hati tidak pasti.
“Alasannya?” pinta Hakimi sedikit marah.
Ila pandang Hakimi. ‘Berangin pula mamat ni,’
omel hatinya. “Kalau awak dah ada isteri, taklah awak kacau saya lagi.”
Hakimi merengus perlahan. Mulutnya diherotkan.
Hilang seleranya mahu menghabiskan spagetinya. Dia sudah kenyang dikecewakan
Ila. “Kalau saya kahwin betul-betul nanti, awak jangan nangis.”
Ila yang tidak faham dengan nada yang dituturkan
Hakimi, masih menganggap lelaki itu bergurau seperti selalu. Dia tersenyum
lebar. “Tak ada maknanya saya nak menangis. Suka lagi ada. Sebab dapat kakak
ipar.” Dia tergelak kecil.
Hakimi menjeling. Ila sengaja meretakkan
harapannya seribu.