KICAUAN burung di tepian Tasik Botanic itu tidak mampu menghiburkan hati
Ila. Dia sedih dengan apa yang terjadi di Maniera. Sepanjang hidupnya, itu
pengalaman bekerja yang pertama dan di dalamnya sudah tercatat satu pengalaman
pahit.
Ila duduk di atas bangku batu. Itulah tempat
pertama kali dia mempermainkan Hakimi. Tiba-tiba dia mengeluh. Dia langsung
tidak faham kenapa fikirannya asyik memikirkan Hakimi?
Hati, kau jangan cakap Hakimi dah mula beli tapak
untuk buat istana kat dalam kau? bisik Ila pada diri. Beberapa ekor rama-rama
yang berterbangan di atas bunga teratai dipandang. Dia menggaru kepala. Kenapa
setiap kali otaknya melalut memikirkan Hakimi, perasaan sedihnya bagaikan
terbang mengikut rama-rama itu sekali? Pelik. Mungkinkah dia sudah terjatuh
cinta dengan Hakimi? Tak mungkin...
Ila berpusing ke belakang sebaik terdengar suara
orang berdehem.
“Hei, betul pun awak,” sapa Andrew dengan wajah
gembira. Langsung tidak menyangka akan menemui Ila di situ. Bertambah indahlah
harinya hari itu. Hilanglah resah di hatinya seketika.
Hmm... jejaka idaman pula yang muncul pada saat
hati ni hendak curang, gumam Ila.
“Kenapa duduk sorang ni?” tanya Andrew lalu
terus mengambil tempat di sebelah Ila.
Ila tersenyum. Senang melihat Andrew di situ.
Dia pun perlukan teman.
“Kenapa awak nampak macam tak gembira?” tanya
Andrew sambil memandang muka Ila yang kelihatan bermasalah itu. Kehadiran gadis
itu di situ dalam waktu itu sangat mencurigakan. Bukankah sepatutnya Ila di
Maniera. Maklumlah gadis itu baru sahaja melebarkan sayap kehidupannya sebagai
gadis bekerjaya. Sibuk sepanjang hari sampaikan mereka tiada masa hendak bersua
muka seperti selalu.
Aik, aku dah senyum pun nampak juga ke muka tak
lawa tu? gumam Ila.
“Penat kerja ke?” tanya Andrew lagi walau
semakin pelik melihat Ila termenung sendiri di situ. Hatinya tertanya-tanya,
apa masalah yang dihadapi Ila. Jika tidak bermasalah, masakan gadis itu
sendirian di situ. Mulalah hatinya resah melihat Ila yang tidak ceria.
“Hari ni last saya kerja,” beritahu Ila.
Mulutnya dimuncungkan sedikit, sengaja hendak menunjukkan muka sedih. Dia bukan
mahukan simpati Andrew tetapi memang automatik hatinya mahukan seseorang untuk
mendamai rasa. Andrew lelaki yang tepat dirasakan. Orang yang selalu ada pada
masa-masa dia mengharapkan bahu seseorang untuk bersandar.
“Ooo...” Andrew mengangguk sebelum dahinya
berkerut. Ada sesuatu yang tidak kena dengan jawapan diberikan Ila. “Eh, bukan
ada satu bulan lagi ke?” Andrew masih ingat Ila pernah memberitahunya, gadis
itu akan bekerja sehingga bulan depan. Jika mengikut perkiraannya, Ila baru
sahaja tiga minggu bekerja. Kenapa awal sangat sudah tamat kontraknya?
“Saya kena pecat,” beritahu Ila selamba. Buat
apa hendak disorok jika itu kenyataannya. Cakap pun dia sakit hati, tak cakap
pun dia sakit hati. Sama sahaja.
“Hah...” Mulut Andrew sedikit ternganga.
“Tutuplah mulut tu. Terlopong macam terkejut
dengar berita sensasi aje,” tegur Ila, masih ada hati hendak bergurau.
Andrew tersengih dan menutup mulutnya. Selamba
aje gadis sorang ni. Tak rasa sedih ke kena buang kerja? Hisy, gumam Andrew.
Dia pula yang risau. Apa kesalahan yang dilakukan Ila? “Kenapa?”
“Saya hilangkan sehelai gaun,” beritahu Ila
perlahan. Peristiwa di Maniera sebentar tadi bermain di minda semula. Sampai
hati Hakimi tidak mempercayai dirinya. Memanglah dia bersalah kerana tidak
menyimpan gaun itu sebelum balik, tetapi dia tidak meninggalkan gaun itu di
lobi. Apa salahnya dengan Fradie sampai dianiaya begitu? Betul kata Hakimi,
Fradie tu teruk. Argh... yang sebenarnya adik-beradik tu memang teruk! Cemuh
hati Ila.
“Oh, sebab gaun aje awak kena pecat?” soal
Andrew pelik.
“Sebab tu bukan gaun biasa. Gaun tu mahal,”
beritahu Ila sedih. Bukan sahaja sedih, dia malu. Malu dituduh penipu. Dia
akui, dia telah memalsukan gaun itu tetapi dia tidak tipu soal kehilangan gaun
itu. Kenapalah Mira percaya kata-kata Fradie? Hakimi pun sama. Itukan kesalahan
pertamanya, kenapa dia tidak diberi peluang menjelaskan keadaan? Tetapi kalau Mira
beri peluang apa yang hendak diberitahu? Hakimi paksa dia balik secara
terburu-buru dan gaun itu hilang? Nampak sangat dirinya tidak bertanggungjawab.
Lebih buruk lagi dia mungkin dituduh cuba mengoda Hakimi. Oh! Tidak.
Andrew mengangguk. Tetapi hatinya masih tidak
bersetuju dengan keputusan yang dibuat ke atas Ila. Jika Maniera tidak kisah,
dia juga boleh membayar ganti rugi gaun itu. Apa sangatlah nilai wang setakat
seribu, dua berbanding nama baik dan maruah gadis itu. Andrew sudah
membayangkan situasi orang yang dipecat seperti di kaca TV. Dimarah atau
diherdik di hadapan pekerja lain. Terpaksa menahan malu. Kesiannya jika itu yang terjadi kepada Ila.
“Apa yang buat gaun tu mahal? Tak boleh ganti
ke?” tanya Andrew simpati.
Ila menggeleng. “Gaun tu ada potongan rahsia.
Lepas tu perhiasan kat dada gaun tu bukan batu biasa, tapi dari jenis
Swarovski,” beritahu Ila. Dia mengeluh.
“Wow.” Andrew terkejut mendengar perhiasan gaun
itu. Patutlah Ila dipecat. Batuan mewah itu sangat mahal harganya. Duit yang
dia ada pun belum tentu cukup untuk membayar ganti rugi beberapa butir
Swarovski asli.
“Eh, elok juga awak dah
tak kerja. Boleh teman saya.” Andrew mengerakkan keningnya beberapa kali.
Sengaja hendak menghibur hati Ila. Itu sahaja yang boleh dibantu saat itu.
Entah kenapa dia ingin selalu menjadi lelaki pertama yang mengetahui masalah
Ila. Mungkin teori majalah yang dibacanya betul. Dia sedang dilamun cinta. Hati
Andrew tersenyum.
Ila tersenyum nipis.
Andrew pasti suka dirinya sudah tidak bekerja. Nak kena belasah apek ni,
bisiknya dalam hati. Entah kenapa hatinya berputik riang. Siapa yang hendak
kena belasah ni? Dia ke Andrew? Alahai hati, sudah-sudahlah menguntum bunga.
Dia tidak mahu lemas dalam haruman hati yang belum pasti.
“Eh, lupa nak Tanya.
Awak buat apa kat sini? Cari amoi ya?” usik Ila.
Andrew mencebik dengan
gaya mata terkelip-kelip. “Yelah, cari amoi saya yang dah sibuk kerja. Dia tak
ingat pun saya lagi,” balas Andrew pura-pura merajuk.
Ila tersengih. Buat
merah pipi sahaja mendengar apa yang Andrew katakan. Terasa pemuda itu hendak
mengucapkan I love you kepadanya
pula. Dia kemam bibir menahan malu. Pandangannya dialih ke tempat lain sesaat.
“Helo, helo… mana ada
amoi tu lupakan awak. Bukan ke tiap-tiap hari awak dengan dia ada berbalas
masej? Ila pandang atas. Buat muka bodoh sebaik habis bercakap.
Andrew tersengih. “Betullah, tapi kenapa saya
tak rasa puas? Rasa tak sempurna hari kalau tak nampak dia?” Jantungnya bekerja
lebih laju. Perasaannya deras mengalir membelai jiwa. Dia rasa bahagia. Argh,
hatinya menguntum bunga-bunga sayang.
Ila kelip-kelip mata. Buat muka comel. Hatinya
yang membengkak kerana hal Maniera tadi semakin ditumbuhi taman-taman bunga.
Suka! Andrew menyukai dirinya juga. Tetapi malu-malu lagi hendak mengaku. Dia
buat muka sengal. Rasanya mereka tidak boleh terlalu lama di situ. Ada yang
terucap I love you pula. Perlahan-lahan dulu. Soal hati tidak boleh
laju-laju, nanti malu. “Eh, jomlah kita balik. Saya nak rehatlah,” ajak Ila.
“Okey, jom,” kata Andrew. Dia pun sudah letih
berpusing-pusing di Taman Botanic itu sebelum bertemu Ila.
“Jom. Saya hantar,” ajak Ila.
“Boleh ke awak yang kurus tu bawak saya yang
besar ni?” tanya Andrew bimbang jika Ila gagal mengawal keadaan, mahu
kelongkang mereka nanti.
“Tengok kakilah,” ujar Ila berlagak. Alah,
setakat Andrew yang kurus dan tinggi itu tidak menjadi masalah pun padanya.
Andrew tersenyum. “Hati-hati tau. Saya belum
kahwin lagi,” gurau Andrew. Seumur hidup, ini kali pertama dia menaiki
motosikal. Dia rasa teruja.
Ila turut ketawa. “Saya pun tak kahwin lagi.”
Ketawa mereka sama-sama berderai.
“Okey, sekarang duduk diam-diam. Jet nak
berlepas,” arah Ila masih mahu bergurau. Ila sudah bersedia untuk memasukan
gear. Dari cermin sisi dia tersenyum melihat muka Andrew yang sedikit cuak.
Alahai, comelnya apek ni.
“Okey...” Andrew meletakkan tangan atas peha
sendiri. Bersedia membonceng motosikal yang bakal dikendalikan Ila.
Ila memulakan perjalanan mereka.
Tanpa mereka sedar, Hakimi juga melalui kawasan
itu. Sengaja Hakimi mahu melihat Ila selamat tiba di rumah tetapi lain pula
yang dilihatnya. Dia menjeling benci.
JAM
baru menunjukkan pukul 4.30 petang tetapi Ila sudah
balik daripada kerja. Berkerut dahi Hanim sebaik terlihat anak saudaranya itu.
Novel di tangannya ditutup dan diletakkan ke atas meja kopi. “Awal balik hari
ni? Tak banyak kerja ke?” tanya Hanim.
Ila menarik nafas sebelum menghempas punggungnya
ke sofa. Tiada hati mahu mengulang tayang apa yang berlaku di Maniera tadi.
Tidak boleh ke perasaan indahnya bersama Andrew tadi terus dinikmati tanpa
perlu mengungkit tentang Maniera? “Dah tak payah kerja. Dah kena pecat.”
“Kena pecat?” soal Hanim tidak faham. Tetapi dua
hari kebelakangan ini dia nampak Ila ke pejabat sendiri. Mungkinkah dia
bergaduh dengan Hakimi, Ila dipecat?
Ila pandang Hanim dengan muka sedih.
“Bergaduh ke?” duga Hanim. Dalam hati dia rasa
pergaduhan Ila dan Hakimi itu hal lain, bukan membabitkan pekerjaan. Mungkin
kerana soal hati mereka yang masih belum jelas.
Ila mengeluh malas. Ada-ada sahaja ibu
saudaranya ini.
“Mana ada... achik ingat Ila kerja kat tempat boxing
ke?” jawab Ila.
“Tahulah tak kerja kat tempat boxing.
Tapi kena pecat tu kenapa?”
Ila memandang Hanim. Dia mengeluh. “Sebab Ila
hilangkan gaun mahal kat situ.” Mukanya berubah monyok. Dalam hati dia berharap
Hanim merupakan orang terakhir yang bertanyakan hal itu.
“Hah?” Hanim terkejut. Biar betul anak
saudaranya ini.
“Betul. Tapi eloklah kena pecat daripada kena
penjara, kan?” jawab Ila. Dia rasa tindakan yang diambilMira itu sudah cukup baik.
Mira? Teringat perempuan itu dia berasa terhina pula. Kalau hendak memecat
dirinya pun janganlah lancang sangat mulut tu. Manusia mana yang tidak pernah
membuat silap? Mira tu berlagak sangat! Habislah... Mira sudah menjadi orang
yang dia benci pula.
“Dah tu, gaun tu dah dapat ke belum?”
Ila menjongketkan bahu.
“Hmm...” keluh Hanim. Dia memandang Ila. Betul
ke sebab gaun? “Bukan sebab bergaduh dengan Hakimi ke?” duga Hanim.
Mendengar nama itu, pantas Ila menggeleng.
Hakimi tu manusia tidak ada otak! Percaya apa yang disampaikan Fradie. Kalaulah
dia punya magik, mahu sahaja diulang tayang hari gaun itu hilang di dalam
cermin sakti dan menangkap siapa pencuri sebenar. Entah-entah memang Fradie
yang punya kerja. Ila sakit hati lagi membayangkan senyuman manis bermadu
Fradie yang penuh beracun itu. Plastik! Marah hatinya.
“Habis achik nampak kamu bertegang leher dengan
dia pagi tu, kenapa?” Hanim terus menyiasat.
“Memanglah semalam Ila gaduh dengan dia. Sebab
dia tak bagi Ila pergi kerja naik motor. Dia nak suruh Ila ikut dia aje
hari-hari. Malaslah. Lagipun dia tu siapa? Bukan boyfriend Ila pun,”
jelas Ila.
“Dia nak ambik beratlah tu. Ila tak perasan ke
dia suka Ila?” ujar Hanim yakin.
Ila mencebik. “Menyampahlah dia tu. Entah
apa-apa. Suka sangat sakitkan hati orang,” protesnya. Lelaki itu selalu sahaja
membuatjiwanya sakit. Semakin dilayan, semakin berbahang hatinya. Lainlah Andrew.
Fikiran Ila merawang membayangkan senyuman manis Andrew. Ah, sejuk hatinya.
Hanim menggeleng. Lucu melihat telatah Ila. “Orang
kata, mula-mula benci, lama-lama rindu. Lepas tu sayang,” giat Hanim. Sudah
tiada kerja hendak dibuat biar digula-gulakan Ila dengan Hakimi.
Ila mencebik. “Ila tak naklah dia tu, chik. Bagi
ajelah kat perempuan lain.”
“Habis kamu suka siapa? Andrew?” usik Hanim.
Mulut disengetkan sedikit sebagai tanda kurang setuju dengan pilihan itu. Takut
memikirkan jika Ila betul-betul berjodoh dengan pemuda Cina itu. Layak ke anak
saudaranya itu memimpin seorang mualaf kelak.
Ila tersenyum mendengar nama Andrew disebut.
Teringat pula perbualan mereka di tepi tasik tadi. Hehehe... Andrew macam dah
bagi isyarat hijau aje, bisik hatinya gembira.
“Hah, berangan!” Sergah
Hanim. Sah Ila mula angaukan Andrew. Dia menggeleng.
TERKELIP-KELIP Hakimi membuang pandang ke
dinding. Gitar dalam pelukannya dipetik perlahan. Berbunyi tetapi nadanya
menyakitkan telinga. Mindanya kembali ke bilik mesyuarat petang tadi...
“Encik Kuichi... Cik Miyake...” Mira
menelan liur memandang dua orang wakil Pasio itu. Rasa berdebar mahu memberitahu
apa yang sudah berlaku atas gaun kontrovesi itu.
“Sebelum mesyuarat ini dimulakan... saya ingin
mohon maaf kerana salah seorang pekerja kami sudah memalsukan gaun terbaru
Pasio,” ujar Mira dalam debar. Dia menunggu tindak balas dua orang wakil Pasio
itu. Bagaimana jika hal itu akan membuatkan kontrak antara mereka terbatal?
Pasti Maniera mengalami malu besar. Lebih teruk lagi jika disaman. Musnahlah
reputasi hebat Maniera sebagai syarikat penerbitan nombor satu selama ini.
Encik Kuichi dan Cik Miyake saling berpandangan.
“Sebenarnya, sebelum ni pekerja kami tersalah
tempat menyimpan gaun tu. Kemudian dia menyangka gaun tu hilang. Untuk menutup
kehilangan gaun tu, Dia mengantikan dengan gaun yang seakan sama dengan rekaan
Pasio. Dia meniru rekaan Cik Miyake,” jelas Mira dengan muka bersalah.
Encik Kuichi dan Cik Miyake menganggukk.
“Gambar yang saya e-mail kepada Pasio tu, gambar
gaun palsu yang digayakan model kami. Saya minta maaf,” cerita Mira seraya
menundukkan sedikit badannya mengharap sedikit tolak ansur daripada mereka.
Terbeliak mata Cik Miyake. Dia tidak percaya apa
yang berada dalam gambar itu ialah gaun palsu. Segalanya kelihatan sama.
Lagipun mustahil pekerja biasa mampu memalsukan rekaan rahsianya. Dia dan Encik
Kuichi membincangkan sesuatu antara mereka dalam bahasa Jepun. Seketika
kemudian Cik Miyake memandang Mira.
Mira semakin berdebar.
Hakimi sekadar memerhati. Dia masih terasa
bersalah dengan apa yang sudah Ila lakukan.
“Watashi wa doresu o miru koto ga dekimasu ka!
(Saya mahu melihat gaun tu!),” pinta Cik Miyake sedikit tegas. Hatinya
tertanya-tanya siapakah yang begitu hebat meniru hasil ciptaannya yang penuh
kerumitan itu. Gaun yang dihasilkan untuk golongan atasan itu mengambil masa
yang lama untuk direka, tetapi orang menirunya mengambil masa yang singkat
sahaja mengkaji dan meniru gaun itu. Dia tidak cukup hebat ke? Hatinya sedikit
tercabar.
Mira mengangguk dan mengarahkan Zalikha
menyerahkan gaun yang ditiru Ila. Apa pun keputusan yang bakal diterima,
Maniera terpaksa menerima.
Cik Miyake meneliti gaun itu. “Totemo yoi
(Sangat bagus).” Dia terpegun melihat kekemasan dan skil jahitan itu. Hasil itu
terlalu baik untuk seorang amatur. Hampir setaraf dengannya yang sudah lama
dalam industri fesyen. Pasti tangan dan penelitian orang yang menghasilkan gaun
itu sangat baik. Dia teringin hendak berkenalan dengan peniru itu.
“Dare ga watashi no dezain o kopi sa remasu
ka (Siapa yang meniru rekaan ni)?” tanya Cik Miyake. Berminat mahu
berkenalan dengan tukang jahit gaun palsu itu.
Mira memandang jurubahasa menterjemahkan apa
yang disampaikan Cik Miyake. Nasib baik Maniera ada mengupah jurubahasa, kalau
tidak mahu tujuh hari tujuh malam mereka menyelak kamus mencari maksud
kata-kata Cik Miyake. Dua orang wakil Pasio itu tidak boleh berbahasa Inggeris.
“Hanya seorang kerani biasa,” beritahu Mira
perlahan. Dia pasti wakil Pasio itu akan tersinggung. Layak ke gadis biasa itu
menyentuh gaun semahal itu dan menirunya? Hati Mira sedikit jengkel
mengenangkan Ila. Padanya gadis itu langsung tidak tahu meletakkan diri di
tempat selayaknya. Gadis itu fikir jika mempunyai hubungan baik bersama Hakimi,
dia bole membuat sesuka hati? Menyusahkan sahaja.
Cik Miyake mengangguk beberapa kali. Riak
mukanya kelihatan gembira walau sedikit terkejut.
Hakimi yang memerhati mula selesa dengan wakil
Pasio itu. Dia rasa senang pula bekerja dengan orang Jepun yang banyak
mengangguk kepala dari bercakap ini. Dia sangka orang Jepun itu akan memaki
hamun mereka tadi.
“Watashi wa kare ni aitai (Saya mahu
menemui dia),” pinta Cik Miyake. Bakat hebat seperti itu tidak mahu dilepaskan.
Jika boleh memberi peluang untuk peniru itu menonjolkan bakatnya, dia bersedia
menawarkan peniru itu tempat sebagai pembantunya.
Mira menelan liur. Itu pula yang dimahukan Cik
Miyake. Ke mana dia hendak mencari Ila? Takkan hendak menyuruh Hakimi membawa
gadis itu ke Maniera semula? Tidak! Itu tidak mungkin. Dia tidak mahu
menjatuhkan air muka sendiri. Gadis itu sudah dipecat dan dia tidak mahu gadis
itu kembali lagi di situ.
“Maaf, Cik Miyake. Gadis tu dah dipecat,” akui
Mira.
Cik Miyake mempamerkan muka hampa. Sayang
sekali, keluh hatinya.
“Kanojo wa hijo ni saino ga aru (Dia
sungguh berbakat),” keluh Cik Miyake sambil matanya terus meneliti gaun yang
sudah ditiru Ila. Alangkah baiknya jika orang yang sudah meniru rekaannya itu
berada di situ. Pasti dia berbesar hati mahu berkongsi sedikit pengalaman dan
mempengaruhi peniru itu supaya lebih berminat dengan dunia rekaan fesyen.
Tanpa perasaan marah Encik Kuichi dan Cik Miyake
meminta mesyuarat diteruskan.
Hakimi berasa tidak puas hati dengan Mira. Dia
rasa Mira sengaja menyalahkan Ila atas pergaduhan dia dan Fradie. Wakil
syarikat Jepun itu tidak kisah pun. Cik Miyake seboleh-boleh mahu menemui
Ila.