Awan pagi itu kelihatan cantik berlatar belakangkan langit yang membiru.
Ila memandang segala keperluan yang sudah dikemas. Esok, episod baru di dalam
hidupnya akan bermula. Dia akan bergelar siswi.
Beg kertas berwarna hitam yang terletak di atas
katil dihampiri. Lemah sahaja beg itu dipandang. Dia mengeluh. Betul ke hatinya
mahu begitu setelah apa yang berlaku malam itu? Beg kertas itu dijinjit. Dia
mengatur langkah ke rumah Puan Alia. Sebaik tiba, loceng ditekan. Keluar
pembantu rumah itu menyambut kedatangannya.
“Jemput masuk,” pelawa Bik Pia.
Ila tersenyum dan mengangguk. Sebaik melangkah
masuk dia terdengar suara dua orang perempuan sedang berbual mesra.
“Siapa, Pia?” tanya Puan Alia sebaik ternampak
pembantu rumahnya masuk.
“Cik Ila, puan,” beritahu Bik Pia.
Ila yang berdiri di belakang Bik Pia terus
menunjukkan muka. Dia tersenyum. Sudah berkali-kali mengunjungi rumah Puan
Alia, dia masih malu.
“Ooo... Ila,” Puan Alia menghampiri gadis itu.
Ila menyalami tangan Puan Alia.
Juliesa mencebik. Berlebih-lebih pula Puan Alia
melayan. Menyampah dia melihat kehadiran gadis itu. Menyibuk! Tidak lain hendak
mencari Hakimilah tu, teka Juliesa dalam hati. Dia yang dari tadi datang mahu
menemui Hakimi tidak dipedulikan, gadis ini pula mahu menunjuk hebat. Eeii...
geram! Nasiblah ini bukan rumahnya. Kalau tidak dia akan mengarahkan Bik Pia
mengusir gadis itu.
“Pia, panggilkan Kim. Dari tadi naik tak
turun-turun,” arah Puan Alia.
Bik Pia mengangguk dan segera berlalu.
“Mari duduk dulu Ila,” pelawa Puan Alia.
Ila hanya mengangguk.
“Ila berbual dengan Juliesa dulu ya. Auntie nak
ke belakang sekejap,” kata Puan Alia.
Ila tersenyum dan mengangguk. Dia duduk dan
memandang Juliesa. Tidak sangka betul mereka akan bertemu lagi.
Juliesa menarik muka masam sebaik Puan Alia
hilang daripada pandangan. Ila dipandang dingin. Benci!
“Hei, you ni memang tak boleh tengok I senang,
kan?” marah Juliesa.
Ila buat-buat tidak dengar. Malas hendak melayan
perasaan sakit hati Juliesa. Dia bukan datang ke situ dengan niat seperti
Juliesa, mahu mengoda Hakimi. Dia ada tujuan lain. Lagipun hendak buat apalah
dia mengoda Hakimi yang sudah sememangnya terkejar-kejarkan dirinya itu.
Mulalah dia hendak riak. Terlupa pula Hakimi itu jenis lelaki diburu wanita.
Untuk menjadi teman wanita lelaki itu, dia harus kebalkan hati terlebih dahulu.
Boleh ke?
“Hei, you ni pekak ke?” bentak Juliesa tidak
puas hati.
Ila mengeluh. Perempuan ini memang tidak betul.
Orang tak mahu cari pasal, dicuit-cuit pula hati kita.
“Cik Juliesa yang cantik jelita,” ujar Ila. Muka
Juliesa dipandang. Memang sengal, gumamnya bila melihat Juliesa tersenyum bila
dipanggil begitu. “Saya rasa, saya tak ganggu awak pun. Saya datang nak jumpa boyfriend
saya aje,” beritahu Ila sengaja hendak membuat hati Juliesa berdarah.
“What? Hei girl, Hakimi tu bakal
tunang I tau!” tempelak Juliesa. Ada yang kena belasah ni. Tak padan dengan
kecik, nak bersaing dengan dia.
Ila mecebik sambil jungkit bahu.
Juliesa memandang Ila semula. “You baru aje
ganggu I dengan auntie pilih cincin tunang kita orang.” Majalah di tangan
dicampakkan ke atas meja kopi. Dia mahu Ila mengalah, tidak perlulah
bersusah-susah mahu berebut Hakimi dengannya. Dia lebih mengenali lelaki itu
berbanding Ila. Jadi hanya dia sahaja yang boleh membahagiakan Hakimi.
Ila menjeling majalah itu. Memang majalah
berkaitan perkahwinan pun. Agaknya betullah Hakimi dan Juliesa sudah berbaik
semula. Nasib baik masa dia terjatuh hati kerana hadiah jutaan bintang dilangit
dulu tidak disuarakan. Kalau tidak, sekali lagi dia kecewa kerana cinta. Huh,
cinta memang menyesakkan akal. Dari buang-buang masa menaruh perasaan sana sini,
elok ditetapkan hatinya menuju cita-cita. Kononnyalah tu. Tetapi dia
betul-betul sudah tersuka Hakimi.
“Tahniahlah kalau Cik Juliesa dah nak bertunang.
Lepas tu giliran saya pula. Harap nanti kita boleh jadi madu yang sehati
sejiwa.” Ila senyum jahat.
“What?” Juliesa naik angin. Tetapi
terpaksa mengawal perasaan setelah melihat Bik Pia datang. Langkah Bik Pia
diperhatikan sehingga sampai ke tepi sofa yang diduduki Ila.
“Cik Ila, Encik Hakimi suruh naik atas aje.” Bik
Pia menyampaikan pesanan tuan paling muda dalam rumah itu. Tuan yang punya
seribu satu macam kerenah.
Juliesa menjongket kening tidak percaya. Hampir
dua jam dia di situ, Hakimi langsung tidak mahu turun. Dia tidak puas hati. Dia
mahu mengikut Ila ke tingkat atas. Dia mahu tahu apa tujuan Ila ke situ. Dia
tidak mahu dimalukan Hakimi sekali lagi. Dia bakal tunangan Hakimi, bakal dalam
angan-angannya.
Ila mengangguk dan segera bangun. Lagi lama
melayan Juliesa, lagi rosak harinya nanti.
Juliesa turut bangun tetapi Puan Alia pula sudah
sampai. Dia mengeluh dalam hati. Puan Alia seperti berpakat dengan Hakimi.
Tidak mungkinlah dia mendesak Puan Alia supaya membenarkan dirinya ke atas
kerana tujuannya ke situ mahu menziarahi Puan Alia sambil mengintai Hakimi.
“Nak ke mana?” tanya Puan Alia kepada Ila sebaik
melihat Ila sudah berdiri.
“Jumpa Hakimi,” beritahu Ila perlahan.
“Kat atas?” tanya Puan Alia. Sempat dia mencuri
pandang Juliesa. Pasti meradang hati Juliesa dilayan Hakimi begitu. Hai, dia memang tidak boleh masuk campur.
Hakimi ada pilihannya sendiri.
Ila mengangguk.
Juliesa memuncungkan mulutnya. Sengaja mahu
menunjuk protes. Tetapi ada ke orang yang peduli?
“Hmm... pergilah,” kata Puan Alia.
“Auntie...” rengek Juliesa tidak puas hati.
Ila terus mendapatkan tangga ke tingkat atas.
Sampai sahaja di ruang tengah yang dihias seperti ruang tamu itu, dia sudah
ternampak kelibat Hakimi.
Hakimi tersenyum memandang Ila.
“Assalamualaikum,” ucap Ila.
“Waalaikumussalam,” balas Hakimi senang melihat
kehadiran Ila. Dia mempelawa Ila duduk.
“Kenapa beria-ia nak datang? Jumpa kat luar kan
senang,” ujar Hakimi. Ila hanya mesej menyuruhnya menunggu di rumah. Tidak pula
dinyatakan kenapa.
“Saja tak nak menyusahkan awak bawak beg kertas
ni.”Ilamengangkat sedikit beg kertas di tangannya.
“Apa tu?”
Ila menghulurkan beg kertas itu.
Hakimi mengambil dan melihat isi beg kertas itu.
Dia tersenyum dan mengembalikan beg kertas itu kepada Ila semula.
Dahi Ila berkerut tidak faham.
“Saya memang beli untuk awak. Simpanlah buat
kenangan,” beritahu Hakimi. Bukan caranya mengambil kembali apa yang sudah
diberikan sebagai hadiah.
“Kalau macam tu, terima kasih. Saya balik dulu,”
ucap Ila sedikit gembira. Sebenarnya dia teragak-agak hendak menyimpan gaun
itu, Hakimi tidak pernah pun memberitahunya gaun itu dipinjamkan ataupun diberi
terus. Kalau sudah diberi begitu, barulah lega hatinya.
“Laaa... kalau sebab gaun tu aje awak datang,
elok kita cakap kat balkoni aje tadi. Tak payah jalan kaki datang sini,” kata
Hakimi tidak puas hati.
Ila tersengih. Hakimi ni apalah, takkan hendak
dicampak sahaja beg kertas itu dari balkoni. “Kalau macam tu, awak tunggulah
kat balkoni. Saya balik dan pergi situ,” balas Ila buat-buat lurus.
“Eh, tak payah. Saya pun nak keluar kejap lagi.
Awak tunggu kejap. Ada benda saya nak bagi.” Hakimi terus berlalu ke biliknya.
Ila duduk menunggu. Hakimi nak keluar? Mesti
dengan Juliesa, cebik hatinya.
Hakimi datang semula bersama sebuah kotak besar.
“Nah, untuk awak.” Diserahkan kotak itu kepada Ila.
Ila sedikit terkejut. “Apa ni?” tanyanya teruja.
“Teman awak masa kat U nanti.” Hakimi tersengih.
Dia tahu Ila pasti terkejut melihat isi kotak itu nanti. Isi kotak itu akan
buat Ila tidak lupa kepadanya.
Ila mengerut dahi. Ada-ada sahaja Hakimi ni.
“Hei, nanti bila free saya jumpa awak kat
sana, tau?” pinta Hakimi.
“Hah? Tak naklah,” tolak Ila.
“Jangan lupa, syarat yang saya bagi tu belum
habis,” ugut Hakimi. Masih juga hendak mengikat Ila dengan syarat yang tidak
nyata. Memberi syarat mengikut suka hatinya sahaja.
“Mana boleh. Tak naklah bersyarat-syarat lagi.
Entah berapa banyak yang awak nak syaratkan,” protes Ila.
Hakimi tersenyum. Paling tidak kerana syarat itu
dia berjaya merapatkan hubungan mereka semula. Tidak ke syarat itu berguna
kepadanya sebagai senjata untuk pastikan Ila tidak hilang daripada hidupnya.
“Dua aje lagi. Lepas kita jumpa nanti, tinggal
satu,” beritahu Hakimi.
“Janji?” desak Ila. Dia sudah tidak larat lagi
mahu melayan kerenah Hakimi.
Hakimi mengangguk. Sedar dia pun tidak mungkin
ada banyak masa untuk temui Ila. Misi untuk memiliki semua peninggalan ibunya
sudah bermula.
Ila tersenyum.