Home Novel Cinta Gadisku Rabitta
Bab 37

Bab 37

TELEFON BIMBIT ditangan dibelek berkali-kali. Dahinya juga sudah banyak kali berkerut. Ila langsung tidak faham kenapa Andrew sudah kurang menghantar mesej. Sekarang dua tiga hari sekali sahaja ucapan selamat pagi dan malam yang diterima. Apek tu dah ada girlfriend ke? teka Ila. Kecewalah aku kalau macam tu. Dia mencebik.

Apek... awak dah tak nak kawan dengan saya lagi, ye?

Asyik menunggu Andrew sahaja yang menghantar mesej, elok dia pula yang berbuat begitu. Manalah tahu apek itu memang sibuk. Ila menunggu seketika tetapi hampa. Hmm... sedih disisih jejaka impiannya.

Langsir pintu kaca diselak. Dia melangkah ke balkoni. Disandarkan dadanya sambil menjuntaikan tangan di penghadang balkoni itu. Hatinya sepi tanpa kawan. Hakimi pun hari-hari sibuk dengan Maniera. Sudah dua minggu mereka tidak berjumpa. Mamat itu pun dirinduinya juga. Argh... dah teruk kau ni Ila. Yang belakang kau nak, yang sebelah rumah kau suka. Apa ni? Jangan nak buat hal, okey!

Tiba-tiba Andrew keluar dari balkoni rumahnya.

Ila menoleh. “Hai,” sapa Ila dengan muka gembira. Ada pun apek tu di rumah.

Andrew yang tidak perasan kehadiran Ila di situ sedikit terkejut. Namun, senyuman tawar sempat dilemparkan. Ikutkan hati dia mahu berpatah masuk ke biliknya semula. Tapi nanti Ila berkecil hati pula. Mahu tidak mahu dia berdiri jugalah di situ.

“Hai,” balas Andrew hambar. Matanya memandang ke bawah seperti sedang memerhatikan sesuatu.

Ila menjengokkan kepala sedikit. Cuba mencuri pandang apa yang dilihat Andrew. Sayangnya dia tidak nampak apa-apa pun. “Tak ke kolej ke?”Dia rasa muka Andrew seperti sedang menyembunyikan masalah. Belum pernah lagi Andrew bercakap tanpa memandangnya begitu.

“Hari ni saya tak ada kelas,” jawab Andrew sambil menoleh sekilas kepada Ila sebelum memandang kakinya semula.

“Ooo...” Ila mengangguk. Tetapi dahinya berkerut. Kenapa Andrew buat perangai seperti orang sudah membuat salah? “Awak... Awak sibuk ya kebelakangan ni?”

Andrew menggeleng.

Ila buat muka pelik. “Tak sihat ke?” tanya Ila lagi. Andrew buat dia resah. Dia ke yang buat silap dengan Andrew? Andrew ternampak dia berbasikal dengan Hakimi lalu cemburu ke?

Andrew terus menggeleng.

‘Aik, dah bisu pak we aku ni, gumam Ila perasan. “Awak ada masalah ke?”

Andrew mengeluh. Dia tahu Ila perasan dengan perubahan sikapnya. Dia pun tidak mahu begitu. Tetapi tiada cara yang lebih baik daripada membiarkan perasaan mereka terus berbunga dan bermasalah nanti.

“Saya ada buat salah dengan awak ke?” tanya Ila lagi.

Andrew menggeleng sebelum memandang Ila. “Bukan... saya sibuk dengan assingment. Nak kena siapkan cepat,” dalihnya.

Ila tersenyum tawar. Nada yang disampaikan Andrew kedengarannya tidak jujur.

“Ila, kita keluar sekejap, boleh?” ajak Andrew. Sementara dia rasa boleh menjelaskan keadaan, dia perlu berbuat demikian. Kasihan pula hatinya melihat Ila tertanya-tanya begitu. Diakan lelaki, harus berani dalam membuat keputusan.

Ila menunjukkan muka gembira. Mestilah boleh. Sudah lama mereka tidak keluar bersama.

BEBERAPA minit kemudian mereka sudah berada di hadapan rumah masing-masing. Andrew berjalan mendapatkan Ila. Ila memandang Andrew bersama sesuatu di dalam pelukan pemuda itu.

“Untuk awak,” beritahu Andrew sambil menyerahkan benda dalam pelukannya. Sudah lama dia hendak memberi benda itu kepada Ila tetapi teguran mummynya mematikan segala.

Ila menerimanya dengan rasa gembira. “Terima kasih. Tapi kenapa?” tanya Ila pelik. Hari itu bukan hari lahirnya.

“Hadiah persahabatan,” beritahu Andrew perlahan. Sebenarnya dia membeli hadiah itu untuk mencurahkan isi hatinya pada Ila tapi apakan daya. Mummynya lebih penting daripda Ila.

Ila tersenyum. Baru semalam dia terfikir hendak membeli teddy bear itu. Tetapi kenapa Andrew kata itu hadiah persahabatan? Tak best betul bunyinya, protes hati Ila.

“Jom duduk kat taman tu,” ajak Andrew sambil menunding jari ke taman permainan di depan rumah mereka.

Ila mengangguk.

“Saya nak minta maaf sebab tak balas mesej awak,” ujar Andrew sebaik mereka duduk.

Ila tersenyum. Dia tidak marah pun.

“Ila, saya suka kawan dengan awak,” beritahu Andrew.

Ila tersenyum meleret. Tetapi kenapa dari tadi Andrew asyik bercakap suka berkawan dengannya sahaja? Cepatlah luahkan perasaan. Hmm... hati Ila mengharap.

Andrew mengeluh. “Ila, selain daripada perasaan suka berkawan dengan saya, awak ada perasaan lain tak kat saya?” tanya Andrew tanpa segan silu walau sebenarnya hatinya malu. Tetapi kalau tidak bertanya, dia tidak boleh nak membuat keputusan.

Ila yang tengah syok memeluk teddy bear terus mengangkat muka. Apa pasal dia pula yang kena luahkan isi hati? Ish, malulah. Tetapi Andrew nampak tidak kena. Tidak mungkin juga kerana mahu mendengar ucapan cintanya Andrew kelihatan begitu. Kenapa ni?

“Maksud awak?” tanya Ila tidak faham.

“Suka yang lebih daripada seorang kawan?” kata Andrew dengan muka serius. Muka Ila dipandang. Dia mesti kuat untuk menatap wajah gadis itu, supaya apa yang disampaikan nanti akan membuat gadis itu yakin.

Ila menahan senyum. Pipinya mula merona kemerahan.

“Kalau ada, jangan teruskan perasaan awak tu,” larang Andrew.

Air muka Ila berubah. Sedih mendengar kata-kata itu. Tetapi kenapa? Bukan selama ni mereka memang saling menyimpan perasaan ke? tanya hatinya.

“Saya minta maaf kalau buat awak salah anggap dengan persahabatan kita selama ni.” Andrew tahu hati Ila kecewa. Dia pun begitu juga. Tetapi hendak buat bagaimana? Dia tidak boleh menyukai Ila lebih daripada seorang kawan. Sebelum hubungan mereka pergi lebih jauh dan ditentang keluarga, elok mereka kekal begitu sahaja.

“Kenapa awak cakap macam tu?” tanya Ila perlahan. Mata mereka saling bertentangan. Habis menjadi debu perasaan gembiranya tadi. Sekarang dia terasa syok sendiri pula.

“Sebab saya sayang awak,” akui Andrew.

Hah, Andrew buat kepalanya berpusing. Dia tidak faham. Kepala Ila terus tertunduk ke bawah. “Apek, janganlah main-main,” ujar Ila perlahan.

“Saya tak main-main. Saya sayang awak, tapi tak boleh nak bagi lebih,” beritahu Andrew sejujurnya.

Ila terdiam dengan muka sedih. Dia tidak faham apa sebenarnya yang berada dalam hati dan fikiran Andrew. “Sebenarnya, awak nak cakap apa?” tanya Ila sedikit mendesak.

Andrew diam. Susah hendak menjawab. Hendak memberitahu dia mencintai Ila tetapi tidak boleh memberi harapan. Samalah dengan dia mempermainkan perasaan gadis itu. Masalah! Jadi dia harus berdalih walaupun terluka.

“Sebenarnya saya tak ada adik. Saya nak awak jadi adik saya,” beritahu Andrew. Itu lebih baik daripada memberitahu Ila hal sebenar. Dia tidak mahu kehilangan persahabatan mereka hanya kerana sebaris kata cinta.

Ila mempamerkan muka hampa. Huk huk huk... malu selama ini dia yang terperasan lebih. Andrew hanya mahukan seorang adik. Dia menarik nafas dalam-dalam sebelum menghembus kembali. Muka Andrew dipandang. Bibirnya mengukir senyum manis.

“Lah, ingatkan apa tadi. Tak payahlah nak muram dan elak-elak saya. Saya pun anggap awak macam abang saya juga.” Sudahnya diikutkan rentak Andrew walau hatinya berkecai.

“Betul?” muka Andrew terus berubah gembira. Hatinya yang kecewa sedikit lega. Paling tidak dia dan Ila akan terus berkawan. Akan terus menjadi rapat seperti adik dan abang. Mereka tidak perlu bermasam muka dan berpisah.

Ila tersenyum dan mengangguk. Pandai dia berlakon. Sebenarnya dia hendak menangis. “Betullah. Kita ni muda lagi. Buat apa nak fikir hal perasaan. Buat rugi masa aje,” ujar Ila bersahaja. Sebenarnya dia cuba memujuk hati sendiri.

Andrew tersenyum kelat. Rupanya selama ini dia sahaja yang terperasan Ila syok kepadanya. Malu.

“Itulah, sebenarnya saya takut awak dah jatuh hati pada saya. Tapi rupanya saya ni tak handsome,” gurau Andrew.

Ila tergelak kecil. Dalam kecewa, tercuit juga hatinya dengan gurauan Andrew.

“Mengarutlah awak ni,” nafi Ila akan perasaannya.

“Sekarang masa untuk kita fikir masa depan. Cinta boleh dapat nanti. Tak pasal-pasal aje awak jauhkan diri daripada saya sebab ingat saya cinta awak.” Ila terus menutup rasa hati.

Andrew tersenyum.

“Kira sekarang salah faham ni dah selesai,” umum Ila. Dia sudah tidak sanggup hendak menatap muka Andrew lebih lama di situ. Dia hendak balik rumah dan meniarap atas tilam, meratapi kesedihan hati di bawah bantal.

Andrew mengangguk. Memang dia tidak boleh hendak berkata apa lagi dengan reaksi Ila yang bersahaja. Tetapi kenapa hatinya terasa kecewa. Dia rasa hendak menangis.

“Jom kita balik. Saya ada kerja lagi nak buat,” ajak Andrew. Dia mahu bersendiri untuk beberapa jam.

Ila mengangguk. Buat apa lagi mereka berlama-lama di situ. Lepas ini dia sudah tidak perlu perasan lagi. Andrew hanya menyukainya sebagai adik. Tidak perlu dia hendak berangan lebih-lebih lagi. Rasa kecewa di dadanya pun bukan sakit mana. Dia okey lagi. Inilah pengalaman. Lain kali dia tidak mahu syok sendiri lagi. Malu satu hal. Sakit hati lagi satu hal. Tetapi tidak mengapalah, dia mendapat bear besar itu sebagai pampasan. Hahaha... otaknya sudah tongang-terbalik memproses rasa hati yang tunggang-langgang.

HUK... HUK... HUK... Aku tergoda dan terkecewa. Ila membenamkan mukanya ke atas dada teddy bear pemberian Andrew. Kononnya samalah seperti dia sedang melepaskan perasaan kecewa di dada Andrew. Bodoh dirinya... tidak fasal termalu. Tidak habis-habis Ila menyalahkan diri. Hisy, selepas ini mesti dia tidak boleh hendak berbual dengan Andrew seperti biasa. Telefon bimbitnya berbunyi. Dia segera mencapainya. Dia memuncungkan bibir membaca nama yang tertera di skrin. Mengacau aje! Marahnya.

Saya nak tuntut syarat. Keluar jom.: -)

Ila merengus. Dalam saat dia bersedih pun Hakimi tidak mahu memberi peluang. Teruk betullah. Agaknya dia pun kena buat seperti Andrew. Beritahu Hakimi yang dia menganggap lelaki itu seperti seorang abang sahaja. Ish, boleh ke? Dia tidak pernah menghormati Hakimi pun. Tidak terasa juga Hakimi itu lebih tua daripadanya.

Syarat apa ke bendanya petang-petang hari ni?

Hakimi balas lagi.

Tak ada alasan. Saya dah mintak kebenaran auntie awak. Sekarang saya kat rumah awak ni. Siap cepat!

Hah? Ila terus bangun. Gila punya Hakimi!

Awak, boleh tak lepaskan saya hari ni aje?

Boleh. Tapi hari-hari lain awak kena teman saya seumur hidup. Boleh?

Nenek... Hakimi dah gila... raung Ila dalam hati. Lemah tubuhnya untuk bangun dan bersiap. Apalagi melangkah keluar dari bilik itu. Hakimi ni suka menganiayanya.

“NAIKLAH,” arah Hakimi sambil menarik tangan Ila.

Ila terpinga-pinga seketika. Dalam satu hari itu pelbagai perasaan terpaksa dilalui kerana dua orang lelaki yang berbeza. Lelaki dihadapannya ini memang raja memberi kejutan. Tidak habis-habis hendak membuat dirinya diserang penyakit jantung.

“Kita nak pergi mana?” Tapak tangannya digosok sebaik Hakimi melepaskan pegangan.

“Tangkap ikan,” kata Hakimi. Dia berjalan mendapatkan Ila yang sudah berdiri agak jauh daripadanya.

“Hah?” Ila memandang Hakimi sebelum pandangannya beralih ke sekeliling. Itu kali pertama dia menaiki bot semewah itu. Bangga hatinya. Bersama Hakimi kadang-kadang boleh membuat hatinya tenang. Lupa masalah dengan Andrew sekejap.

“Tangkap ikan?” ulang Ila.

Hakimi mengangguk sambil menanggalkan cermin mata hitamnya. “Memancinglah,” jelasnya. Tidak mungkinlah mereka berenang di laut itu sambil menangkap ikan. Ditangkap ikan mungkin.

“Saya mana pandai memancing.” Ila mula terbayang suasana bosan menunggu ikan memakan umpan. Dia kena jadi bangau ke? Muka Hakimi dipandang lagi. Lelaki kurang sabar seperti Hakimi boleh memancing ke?

“Awak tak payah memancing. Temankan saya aje,” kata Hakimi sambil menghirup hembusan bayu laut yang mendamaikan. Dia rasa laut itu tempat paling baik untuk meluahkan rasa hati dan melupakan masalah. Selalunya dikala hatinya resah, dia akan mengajak Dion dan Rudy memancing. Sekarang ada Ila, dia mahuberkongsi rahsianya itu dengan gadis arnab itu pula. Dia mahu Ila lebih mendekati dan memahaminya.

Ila menggaru kepala. Lagilah bosan.

Hakimi menghidupkan enjin bot. Sekejap sahaja bot itu sudah digerakkan menuju ke laut lepas. Ila memerhati kecekapan Hakimi mengendalikan bot. Wah, Hakimi nampak lain. Bila Hakimi memandangnya, dia mengalihkan muka. Tidakpasal sahaja hatinya mula berbunga melihat Hakimi. Jangan buatpasal. Baru tadi dia termalu dengan Andrew. Silap-silap Hakimi pun sengaja suka menyakat dia selama ini. Tiada kerja, sengaja hendak mencari kawan bergaduh, bukannya sebab jatuh cinta. Hakimi dihampiri.

“Awak jangan pergi jauh-jauh. Selagi boleh nampak jeti tu, kira okeylah,” pinta Ila. Atas bot tu mereka hanya berdua, kalau otak Hakimi tiba-tiba disampuk syaitan nanti senanglah dia hendak terjun ke laut dan berenang balik.

“Alah, kita pergi tengah sikit aje. Kalau kat sini ikan apa yang dapat? Anak gelama aje,” ujar Hakimi. Dia sudah tahu dibahagian laut mana mudah mendapatkan ikan. Tidak mungkinlah dia mahu memancing sekadar ditepian pantai. Seksa menunggu ikan memakan umpannanti.

Ila diam. Hendak bercakap fasal ikan banyak-banyak pun dia bukan faham. Elok sekarang mod Hakimi baik, nanti bertukar menjadi rasaksa pula. Berdoa sahajalah dalam hati supaya hal bukan-bukan tidak terjadi.

Sebaik memberhentikan bot. Hakimi mendapatkan joran pula.

Ila memerhati kawasan sekitar.

“Nah, ambik ni.” Hakimi menyerahkan sebatang joran kepada Ila.

Ila terus mengambilnya sambil memerhatikan Hakimi memasang umpan. Pantas sahaja pergerakan tangan lelaki itu.

“Okey, dah siap,” beritahu Hakimi.

Ila melihat umpan yang dipasang Hakimi. Cantik dan menarik. “Kenapa guna umpan palsu?” tanya Ila ingin tahu.

“Sebab ikan sekarang suka kena tipu. Sama macam manusia,” jawab Hakimi sinis. Joran ditangan Ila diambil. Dia mula membuat balingan. Sekejap sahaja umpan itu sudah hilang ke dasar laut. Joran itu diserah kepada Ila semula.

Ila tidak menolak, dipegangnya. Bukan susah pun.

“Saya tak nak lama-lama kat sini,” beritahu Ila. Sedar langit sudah mula berwarna jingga. Sekejap lagi malam bakal tiba.

Hakimi mengeluh. “Dapat ikan nanti kita baliklah,” beritahunya. Mereka baru sahaja beberapa minit di situ, Ila sudah cerita hendak balik. Buat moodnya tersekat sahaja.

“Kalau tak dapat?” soal Ila sedikit gelisah.

“Tak payah balik,” balas Hakimi selamba.

Ila membesarkan matanya. Menyesal ikut, keluh hatinya.

Hakimi tersengih. “Malam nanti kita baliklah.

“Hah? Nak tunggu sampai malam?” Ila buat muka tidak percaya. Berdegup kencang jantungnya. Takut.

“Eh, awak ni. Mintak sini.” Belum sempat Hakimi menjawab soalan Ila, ikan sudah pun memakan umpan.

Yeh... boleh balik, sorak Ila dalam hati. Sebab tadi Hakimi kata dapat ikan mereka boleh balik.

Hakimi bermain-main dengan tali joran, bertarung untuk mendaratkan ikan yang bergerak kuat di dasar sana. Akhirnya seekor ikan berjaya di tangkap.

“Wow, besarnya,” lonjak Ila keriangan. Terlupa sesaat apa yang mereka bualkan tadi.

“Esok boleh bagi nenek awak masak ikan ni,” beritahu Hakimi.

Sekali lagi Ila memandang Hakimi. Perkataan esok itu tidak sedap didengarnya. Apa maksud Hakimi dengan esok? Takkan mereka hendak bermalam di situ? “Kenapa esok?” tanya Ila.

“Yalah, takkan malam-malam buta nak pergi hantar ikan ni ke rumah nenek awak?” jawab Hakimi. Dia tahu apa yang tersirat dalam fikiran gadis arnab itu. Tetapi dia tidak tahu bagaimana hendak meyakinkan Ila. Bukan Hanim sahaja yang tahu dia akan ke situ bersama Ila. Mamanya juga tahu.

Ila tersengih. Malu kerana tersalah faham. “Hmm.. dah dapat ikan. Bolehlah kita balik,” ujarnya memang tidak sabar hendak balik.

“Balik buat apa? Belum malam lagi.” Hakimi memasukkan ikan itu ke dalam kotak khas. Kemudian dia memasang umpan lain.

“Awak jangan nak cari pasal,” tegur Ila dengan muka cuak.

“Cari pasal kenapa pulak?” tanya Hakimi tidak faham.

“Awak kata tadi, lepas dapat ikan kita balik. Sekarang dah dapat ikan. Jomlah balik,” ujar Ila perlahan seperti mahu menangis.

“Baru seekor. Paling kurang pun biarlah lagi dua ekor,” balas Hakimi.

Ila buat muka serba salah.

“Awak takut apa?” soal Hakimi.

“Hmm...”

“Ish, awak ni. Ingat saya ni apa?” marah Hakimi. Geram punya pasal dia terus berlalu ke kabin. Biar Ila sorang-sorang kat situ. Mahu selamat sangat, kan? Macamlah dia tidak beriman hendak membuat perkara bukan-bukan dengan anak dara orang.

Ila mengeluh. Perasaan curiganya membuatkan mood mereka rosak. Laut luas itu direnung. Dia menjeling ke kabin. Kenapa dia mengikut Hakimi tadi? Ke tengah laut pula tu. Apa-apa terjadi nanti, memang dia tidak boleh nak buat apa. Mati katak sahaja. Ila menggigit jari menahan resah.

SEJAM telah berlalu. Ila terjenguk-jenguk ke dalam kabin. Hakimi yang berada dalam kabin itu langsung tidak keluar. Merajuk betul mamat tu. Hari semakin gelap. Mahu tidak mahu, dia menghampiri kabin. Hakimi dah mati lemas kat dalam tu ke?

“Hakimi,” panggil Ila dari luar pintu.

Hakimi membisu.

Ila mengerut dahi. Tangannya menolak pintu kecil itu. Diberanikan diri dan melangkah masuk. Ini baru betul tempah masalah. Sebaik masuk, matanya terpegun melihat keselesaan ruang itu. Lengkap dengan kemudahan asas. Memang jiwa remaja seperti dirinya mudah terpesonalah.

Matanya mencari Hakimi. Amboi... Sedap betul Hakimi diulit mimpi di atas sofa itu. Dia pula duduk sorang diri bagaikan tunggul di luar sana. Geramnya.

“Awak ni betullah,” protes Ila sambil memerhati keadaan sekeliling sebelum matanya terhenti memandang rak mini yang bersusun dengan botol-botol kecil berisi jus buah-buahan dan air kosong. Dia tersenyum. Dia menghampiri rak itu. Pantas tangannya mencapai salah satu botol. Penutup botol itu dibuka. Haus pula tekaknya. Minuman itu ditonggang ke mulut. Habis separuh botol. Dia memandang botol itu dan Hakimi. Dengan senyuman jahat Hakimi dihampiri.

“Awak... bom meletup!” jerit Ila sambil menjirus baki minuman ke muka Hakimi.

Terpisat-pisat Hakimi bangun. Tangannya menepis-nepis air yang membasahi pipi. Sangkanya bot itu sudah tengelam.

Ila berdiri dan buat muka tidak bersalah. Dia menahan ketawa sambil memandang Hakimi yang sudah duduk mengelap muka.

Hakimi memandangnya. ‘Nak kena gadis arnab ni. Elok tadi seorang diri kat luar, sengaja datang serah diri kat sini pulak,’ omel Hakimi sebelum bangun dan mencapai tangan Ila.

Ila mengelak dan mengacah mahu membaling botol kaca di tangannya.

Hakimi tergelak dan menggeleng. ‘Dah cari pasal, nak lari pula, bisik hatinya.

“Jomlah balik,” pinta Ila. Dari tadi hanya itu sahaja yang terfokus dalam fikirannya. Takkan sampai dia sudah betul-betul terjun ke laut baru Hakimi hendak bersetuju.

Hakimi mengeset matanya. Sengaja mahu mengundang resah di hati Ila. Dia hendak membalas dendam kerana Ila buat dia terkejut begitu. “Esok ajelah kita balik,” sakat Hakimi.

Ila buat muka sedih. Dia tidak mahu. Menyesal tidak berfikir sebelum bertindak mengikut Hakimi tadi. “Encik Hakimi saya nak balik,” rayunya separuh merengek. Jantungnya sudah semakin lemah melihat keadaan sekeliling di luar sana. Pohon-pohon bakar yang kelihatan sewaktu mereka datang tadi juga sudah hilang dibaluti gelapnya malam.

“Awak panggil saya Encik Hakimi lagi, saya bawak bot ni lebih jauh ke tengah,” gertak Hakimi. Sakit telinganya mendengar Ila memanggilnya begitu.

“Tapi saya nak balik!” Rengek Ila.

Hakimi ketawa. Comel betul melihat Ila dengan gaya budak kecil. Ila dipandang seketika. Susah benar Ila hendak mempercayai dirinya. Kenapa? Gadis arnab tu tidak rasa selamat ke berada di sisinya? Bukankah bila hati kita disapa cinta, kita akan rasa bahagia dan selesa bersama seseorang itu? Hakimi tersenyum hampa pula.

Ila buat muka hendak menangis. Hakimi dah gila, gumamnya lemah.

“Dahlah jangan fikir bukan-bukan. Saya bawak awak datang sini sebab nak buat awak senyum. Bukan nak suruh awak merengek macam tu,” beritahu Hakimi tidak mahu mendebarkan perasaan Ila lagi.

Ila tetap tidak mahu senyum. Hendak bergembira bagaimana kalau sudah malam seperti itu mereka berdua di tengah laut. Dia terasa seperti hendak dihukum bunuh sahaja. Dalam hati terus berdoa mengharap pintu hati Hakimi terbuka untuk segera pulang ke daratan.

“Dahlah, cakap banyak-banyak pun awak tak faham juga. Jom keluar,” ajak Hakimi.Dia berjalankeluar.

Ila menurut. Rasanya di luar lebih selamat berbanding dalam kabin.

Hakimi berdiri di tengah-tengah bot itu. “Cuba dongak kat atas,” arahnya sambil turut memandang ke langit.

Ila menurut. Matanya tidak berkelip. Cantiknya dada malam.

Hakimi tersenyum. “Saya pernah berniat mahu menghadiahkan malam yang indah untuk awak.” Dia tahu hadiah percuma seperti itu boleh diberikan sesiapa sahaja kepada Ila. Namun, situasi yang sedang mereka lalui itu tidak mungkin akan Ila lupakan sepanjang laluan hidupnya. Andai satu hari nanti mereka tidak ditakdirkan bersama, saat itu pasti akan menjadi kenangan buat gadis arnab itu.

“Tak lama lagi saya akan sibuk dengan Maniera. Mungkin kita tak ada masa untuk bergaduh dan bergurau macam selalu,” tambah Hakimi.

Ila terus memandang Hakimi. Hatinya terharu. Itulah malam penuh bintang yang pernah dilihatnya. “Tapi kenapa?” tanya Ila tidak faham tujuan Hakimi berbuat demikian.

“Sebab awak sangat istimewa,” kata Hakimi sambil memandang wajah Ila yang kembali menghayati keindahan dada malam itu. Dia tersenyum. Andai dapat dilukis wajah itu, pasti sudah dilakar di atas kanvas. Buat masa itu rakam dengan telefon bimbit sahajalah.

Previous: Bab 36
Next: Bab 38

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.