RENUNGAN Puan Alia yang terlalu lama membuatkan
Hakimi tidak selesa. Apa yang membuatkan mamanya kelihatan begitu resah?
“Cakaplah, ma,” pinta Hakimi tidak sabar.
Puan Alia tersenyum kelat. “Sebenarnya... Kim
bukan anak kandung mama.”
Hakimi mengerut dahi. “Mama, janganlah nak
bergurau,” sangkalnya. Senyum tidak percaya dilemparkan. Tidak mungkinlah hanya
kerana bersikap kurang ajar terhadap Rosmini, mamanya mahu menyisihkan dirinya.
Puan Alia terus menatap muka Hakimi. Berat rasa
hatinya hendak mengakui semua itu. Terbayang-bayang wajah ibu kandung Hakimi di
matanya. Wanita itu lemah lembut tetapi hebat dalam membina kerjaya. Baik hati
tetapi sering diperdaya dengan sikap hidung belang suami mereka.
“Maafkan mama, Kim,” pinta Puan Alia sayu. Dia
tidak main-main dengan apa yang disampaikan. Rahsia itu tidak harus menjadi
rahsia lagi.
Hakimi terdiam. Buntu mahu bersuara. Hatinya
sedikit pun tidak percaya dengan semua itu. Tetapi riak wajah Puan Alia
bersungguh menyatakan itulah kenyataannya. Hakimi terus memandang Puan Alia.
“Kalau Kim bukan anak mama, bererti Kim juga
bukan anak papa, kan ma?” tanyanya perlahan walau hati berasa sedikit berat.
Apa yang harus dilakukan andai jawapan Puan Alia, ya. Itu bererti selama ini
dia sudah menjadi manusia tidak sedar diuntung. Berani pula dia memusuhi Encik
Harun dan membantah setiap permintaan Puan Alia. Aduhai... tidak sanggup untuk
difikirkan kenyataan itu. Dia malu.
Puan Alia tersenyum tawar dan menggeleng.
Gelengan Puan Alia buat Hakimi keliru. “Tapi
peliknya kenapa dalam surat beranak Kim tertulis nama mama dan papa?” Dahinya
dikerutkan.
Puan Alia tahu Hakimi keliru tetapi bukan silap
sijil kelahiran itu dicatat begitu. “Kim anak kandung papa, tapi bukan dengan
mama,” beritahu Puan Alia. Hatinya merasa sakit mengakui semua itu. Jika boleh
dia langsung tidak mahu Hakimi tahu apa kebenarannya, tetapi tidak boleh.
Sekali lagi perasaanya harus dikorbankan demi masa depan Hakimi. Dia menyayangi
anak itu seperti anak-anaknya yang lain. Jika tidak masakan dia rela
bersengkang mata membesarkan Hakimi bagaikan menatang minyak yang penuh. Dia
tinggalkan Maniera untuk memastikan keperluan anak itu sempurna sehingga
dewasa.
Hakimi menjongketkan kening. Bertambah misteri
kisahnya.
“Kim, anak isteri papa sebelum Rosmini. Nama ibu
Kim dan mama sama,” jelas Puan Alia.
Hakimi memandang Puan Alia. Langsung tidak
percaya selama ini dia dibesarkan oleh ibu tiri. Bertambah tidak percaya
dirinya dibesarkan seperti anak sendiri dan selalu dimanja lebih daripada
abang-abangnya. Mulia sungguh wanita yang menjadi ibunya itu. Sedikit pun dia
tidak merasakan dia bukan anak kandung Puan Alia.
“Tapi beza ejaan nama mama dan ibu Kim pada
huruf akhirnya. Ejaan nama ibu Kim berakhir dengan huruf H sedangkan nama mama
berakhir dengan huruf A,” jelas Puan Alia.
Hakimi menelan liur. Boleh pula bapanya
berkahwin dengan dua orang wanita yang punya nama sama. Dia langsung tidak
sedar semua itu. Sangkanya selama ini itu hanya kesilapan ejaan.
“Ma, papa ceraikan ibu Kim sebab nak kahwin
dengan perempuan tu ke?” duga Hakimi. Kalau itu kebenarannya lagilah dia benci
hendak memandang muka Encik Harun dan Rosmini.
Puan Alia menggeleng. “Bukan. Papa Kim dan
Rosmini bernikah selepas ibu Kim meninggal dunia.” Sebak dada Puan Alia
mengenangkan peristiwa lalu.
Hakimi membesarkan mata. Patut sahaja
pertengkaran tempoh hari Puan Alia ada menyebut tentang kematian ibu
kandungnya. Tidak sabar dia mahu mendengar cerita selanjutnya. Apakah yang
berlaku kepada ibu kandungnya? Kerana perempuan bernama Rosmini itu juga ke?
“Maafkan mama sebab terlambat selamatkan ibu
Kim. Kalau mama tak lewat petang tu... mesti ibu Kim masih ada dan Rosmini
tidak menjadi sebahagian daripada keluarga kita,” keluh Puan Alia.
Bertahun-tahun dia dibayangi perasaan kesal kerana terlambat menyelamatkan ibu
Hakimi. Semua itu terjadi kerana dia sibuk ke salon mendandan rambut. Sedangkan
dia sudah berjanji mahu menemani ibu Hakimi yang tinggal berseorangan petang
itu. Kelewatan itu menjadi kesal seumur hidupnya, kelewatan itu juga telah
membuka peluang Rosmini menjadi duri dalam keluarga mereka
SELESAI mendandan rambut, Puan Alia
bergegas ke rumah madunya. Masuk sahaja ke halaman rumah, dia melihat kereta
Encik Harun terpakir di situ. Hatinya sedikit lega kerana suami mereka masih
belum terbang ke luar negara. Tidaklah madunya yang sedang sarat mengandung itu
keseorangan.
Madunya itu enggan mengambil pembantu rumah
kerana rumah itu hanya digunakan untuk tidur sahaja. Masa madunya banyak
dihabiskan di pejabat. Dengan senyuman kecil Puan Alia melangkah ke pintu
utama.
“Youuu...”
Jeritan itu membuatkan Puan Alia cemas. Dia
berlari masuk. Melalui pintu utama yang terbuka luas, dia terpandang Encik
Harun memangku tubuh madunya yang terkapar tidak berdaya di kaki tangga.
Encik Harun terkejut melihat kehadiran Puan
Alia. Pucat mukanya.
Puan Alia menghampiri mereka dengan perasaan
cemas dan curiga. Mulutnya terlopong melihat cecair merah mengalir daripada
celah kangkang madunya.
“Abang! Apa dah jadi ni?” Puan Alia takut
melihat keadaan itu. Dia memandang madu dan suaminya silih berganti. Pelbagai
persoalan bermain di mindanya.
“Lia... to... tolong selamatkan anak saya...”
rayu madunya. Darah merah kelihatan keluar dari celah bibir wanita itu.
Puan Alia yang kaget hanya mengangguk.
“Bang... cepatlah bawa Cik Aliah pergi
hospital,” desaknya.
SEMENTARA menunggu madunya menjalani
rawatan, Puan Alia merenung tajam Encik Harun yang duduk memeluk lutut atas
bangku panjang di ruang menunggu hospital itu.
“Apa abang dah buat pada Cik Aliah?” tanya Puan
Alia. Masalah apa lagi yang menyebabkan semua itu terjadi? Setahunya syarikat
suaminya sudah pulih dari masalah kewangan. “Abang ada niat tak baik pada dia
ke?” tanya Puan Alia separuh berbisik.
Encik Harun mengangkat muka. Tersentak mendengar
pertanyaan itu. “Tak...” Kepala digeleng beberapa kali. “Abang langsung tak ada
niat macam tu.”
Puan Alia merengus tidak percaya. Bukan dia
tidak tahu niat asal Encik Harun mengahwini anak tunggal majikannya itu.
Semuanya kerana wang ringgit. Argh... kerja gila!
“Abang nak bolot harta dia, kan? Sebab tu abang
nak bunuh dia,” tuduh Puan Alia.
Encik Harun membesarkan mata. “Tak Lia... abang
tak pernah fikir nak buat macam itupun,” nafinya sedikit cuak.
“Mungkin betul, abang kahwin dengan dia sebab
nak selamatkan syarikat daripada muflis. Tapi abang tak kejam. Abang sayang
dia,” beritahu Encik Harun.
Apa yang terjadi itu memang salahnya. Mereka
bertengkar setelah Cik Aliah mendapat tahu penipuannya. Dia bukan mahu ke luar
negara kerana urusan syarikat, tetapi dia mahu bercuti dengan Rosmini, gadis
kelab malam yang baru dikenali. Cik Aliah tidak mahu mengorbankan gilirannya
semata-mata membiarkan Encik Harun berseronok dengan perempuan yang tidak
halal.
Ketika Cik Aliah mengejar Encik Harun yang sudah
pun sampai separuh anak tangga tingkat bawah banglo dua tingkat mereka, Cik
Aliah tergelincir dan berguling jatuh. Encik Harun tidak sempat berbuat
apa-apa.
Puan Alia tersandar mendengar penjelasan itu.
Dia termenung seketika. Tergamak suaminya bertindak mengikut nafsu. “Kenapa
abang kejam sangat? Tak cukup ke Lia aje yang abang seksa selama ni?”
Encik Harun mengeluh.
Jururawat bertugas datang meminta Encik Harun
menurunkan tandatangan atas dua helai borang. Cik Aliah harus dibedah segera.
30 minit kemudian, jururawat tadi datang semula
sambil menyorong katil bayi ke arah Encik Harun dan Puan Alia.
“Tahniah! Encik dapat bayi lelaki,” beritahu
jururawat itu.
“Encik boleh azankan bayi ni di surau sebelah
kanan bilik tu,” arah jururawat itu pula.
Encik Harun mengangguk.
Puan Alia memandang sayu wajah bayi itu. Andai
apa-apa terjadi kepada ibu bayi itu nanti bagaimana? Tangan kecil itu disentuh
dengan rasa sayang.
Hati Puan Alia berdetak tidak enak rasa. Dia
memandang wajah jururawat tadi. Ada sesuatu mahu ditanyakan, namun jururawat
itu lebih dahulu membuka mulut.
“Puan, ibu bayi ni nak jumpa puan,” beritahu
jururawat itu kemudian.
Encik Harun memandang Puan Alia. Isyarat mata
supaya Puan Alia memenuhi permintaan itu.
Puan Alia mengangguk dan segera ke bilik yang
ditunjukkan jururawat itu. Perlahan pintu bilik ditolak. Katil madunya
dihampiri. Dia melihat wanita malang itu terbaring sambil matanya merenung
dinding. Ada kesan tangisan dicelah mata itu.
“Cik Aliah,” sapa Puan Alia sambil mengenggam
tangan madunya.
“Saya dah tak ada banyak masa lagi. Tolong
jagakan anak saya macam anak awak sendiri,” pinta Cik Aliah perlahan. Air
matanya bercucuran ke pipi. Sebak perasaan seorang ibu yang terpaksa
meninggalkan anaknya sendiri di dunia ini. Mahu mengharapkan suaminya, jelas-jelas
lelaki itu tidak berguna. Hanya tahu menyeksa hati perempuan sepertinya sahaja.
Dia benci suaminya itu.
“Tolong pasti kan dia jadi lelaki yang
bertanggungjawab. Jangan mewarisi sikap berfoya-foya ayahnya,” pesan Cik Aliah
lagi. Sampai nafasnya yang terakhir pun dia takkan memaafkan Encik Harun.
Puan Alia mengangguk hiba. Bercucuran air
matanya. Dia langsung tidak tahu bagaimana anak tunggal hartawan itu boleh
terjerat dalam permainan cinta Encik Harun. Sedar-sedar mereka sudah pun
bernikah. Namun, gadis polos seperti Cik Aliah bukannya bodoh. Dia membantu
syarikat Encik Harun bukan dengan percuma. Syarikat itu dibeli untuk menyuntik
modal baru dan Encik Harun dikekalkan sebagai pengarah dengan pegangan saham
lebih sedikit.
Setelah meninggal dunia. Cik Aliah mewasiatkan
Puan Alia dan Encik Harun sebagai penjaga hartanya sehingga satu-satu anak
lelakinya berkahwin. Selepas Hakimi berkahwin, semua harta dan syarikatnya
harus diserahkan kepada Hakimi sepenuhnya.
“Lia... tolong namakan anak saya Hakimi. Semoga
bila besar nanti dia akan menghakimi semua perbuatan ayah dia dan perempuan tu
terhadap saya,” pesan Cik Aliah penuh dendam. Hatinya takkan tenang selagi
perempuan itu bersenang-lenang menikmati kekayaannya. “Tolong sayang dia untuk
saya Lia,” pintanya lagi. “Jangan biarkan dia terasa kehilangan kasih ibu.
Tolong, Lia...” Cik Aliah semakin lemah. Nafasnya turun naik.
“Ya, saya janji akan jaga dia baik-baik.” Puan
Alia menangis lagi.
Dalam keadaan semakin nazak Cik Aliah mengukir
senyuman. Puan Alia membisikkan kalimah suci ke telinganya. Cik Aliah pergi
buat selamanya.
HAKIMI menyapu air mata yang mengalir. Dia
langsung tidak mampu menahan titisan itu daripada mengalir. Kisah ibunya sangat
menyentuh perasaan. Dia merasakaan kelukaan itu. Dia pasti akan menunaikan
permintaan akhir ibunya itu. Tidak semena-mena, tubuh Puan Alia terus dipeluk.
Mana dia mahu mencari seorang wanita yang sanggup membesarkan anak madunnya
sendiri seperti anak sendiri.
“Maafkan Kim, ma. Kim selalu sakitkan hati
mama,” pinta Hakimi.
Puan Alia turut menangis dan memeluk Hakimi.
“Mama sayang Kim bukan kerana harta yang ditinggalkan ibu Kim. Tapi sebab Kim
anak mama,” ujar Puan Alia. Selain daripada amanah yang ditinggalkan Cik Aliah,
dia langsung tidak punya niat lain. Andai Hakimi menghargai susah payahnya
selama ini, itulah hadiah paling indah dalam hidupnya. Andai sebaliknya, dia
terima takdir itu.
“Kim... sekarang mama ada dua permintaan,”
beritahu Puan Alia sebaik pelukan mereka leraikan.
Hakimi memandang Puan Alia. Apa sahaja demi
wanita yang sudah memberinya sepenuh kasih sayang dan kehidupan yang baik itu
rela dilakukan. “Cakaplah, ma. Kalau Kim mampu, Kim akan buat,” ujar Hakimi.
Puan Alia tersenyum. “Bukan untuk mama, tapi
untuk Kim,” beritahunya. “Mama tak nak Kim berdendam dengan papa dan Rosmini
atas apa yang dah jadi,” pinta Puan Alia.
Hakimi menjongketkan kening. Dia melemparkan
pandangan tidak faham. Wajarkah mereka yang sudah menyebabkan kematian ibunya
dimaafkan begitu sahaja? Bukan itu sahaja, kerana mereka juga kehidupan Puan
Alia terseksa. Hakimi tertunduk tanpa jawapan.
“Kim, dendam takkan selesaikan persengketaan.
Ada cara lebih baik untuk menghukum mereka,” pujuk Puan Alia.
“Tapi ibu Kim kan nak Kim Hakimi mereka?” soal
Hakimi keliru.
“Betul. Tapi itu permintaan dia dalam perasaan
marah. Sebagai anak, Kim mesti tak mahu ibu Kim sengsara menanggung seksa
kerana permintaan terakhir dia, kan?” ujar Puan Alia.
Hakimi mengangguk.
“Mama tahu Kim anak yang baik. Bijak. Jadi
buatlah sebaiknya,” nasihat Puan Alia.
Hakimi terdiam seketika.
“Baiklah,
ma. Kim cuba.”
Puan Alia tersenyum. Dia tidak mahu memaksa. Dia
yakin Hakimi akan bertindak sewajarnya.
“Permintaan mama yang kedua... mama nak Kim
belajar selok-belok syarikat sebaiknya sebelum Kim berkahwin dan ambil alih
semua hak Kim. Jangan berfoya-foya macam papa dan buang masa. Kalau nak kahwin,
cari gadis yang baik-baik. Yang betul-betul boleh membahagiakan Kim. Lebih baik
lagi kalau dia boleh menjadi pendorong kerjaya masa depan Kim,” ujar Puan Alia.
Hakimi mengangguk. Berat tanggungjawab yang
harus digalas.