Home Novel Cinta TAK SANGKA AKU
BAB 9
BAB 9

“AMBOI, senang hati nampak.”

Ikhwan yang sejak tadi berendam dalam kolam renang menoleh. Segera dia ke tepi. Mendapatkan Wilma yang melabuhkan punggung di bangku rehat tidak jauh dari situ.

“Kau dari mana?” soal Ikhwan sebaik memijak lantai.

Dicapai tuala di kerusi. Tubuh basahnya dilap lalu duduk mengadap gadis itu.

“Dari asrama sekolah,” jawab Wilma sambil menyalakan rokok yang telah disumbat masuk di celah bibirnya.

Dihembus asapnya beberapa ketika kemudian.

“Mana kau tahu aku kat sini?”

Tersenyum sinis Wilma mendengarnya.

“Bukan susah aku nak cari kau. Bandar ni bukannya besar sangat pun.”

Ikhwan hanya mencebik. Dialih pandangannya. Tidak ramai pengunjung pusat renang yang terletak di sudut bandar raya Georgetown itu. Berkonsep mewah dan elit menjadikan pusat renang itu menerima kunjungan mereka yang benar-benar berkemampuan dan ternama sahaja.

“Jadi, siapa yang ada dalam fikiran kau tadi?”

Soalan Wilma mengalihkan pandangan Ikhwan. Wajah berselaput mekap tebal itu dijeling sekilas.

“What do you mean?” soal Ikhwan, kurang faham.

“Hey, come onlah Wan. Macamlah aku baru kenal kau sehari dua. Walaupun kita berlainan agama but we are still cousin okay. Bukannya aku tak tahu perangai kau tu. Mana boleh kau duduk diam tanpa fikir pasal perempuan walaupun seminit.”

Wilma menyedut rokoknya lagi.

“Jadi, siapa yang ada di fikiran kau?” soal Wilma kembali.

“Kenapa kau nak tahu?” soal Ikhwan tanpa menoleh wajah.

“Saja.”

Ikhwan tersenyum semula.

“Kau rasa siapa?” soal Ikhwan, sengaja bermain kata.

“Kalau aku kata Farah, macam mana?”

Tekaan Wilma berjaya mengubah riak muka Ikhwan. Tegang.

“Mana kau tahu aku fikir Farah?”

Wilma tertawa besar.

“Wan, kau tak boleh sembunyikan apa-apa pun dari aku tahu,” ujar Wilma sambil tertawa lagi.

Ikhwan terus mendengus marah. Jus orennya diteguk lagi.

“Jadi, apa sebenarnya yang kau fikir tentang Farah?” soal Wilma lagi.

“Bukan ada kena mengena dengan kau kan?” jawab Ikhwan sinis.

“Memang tak ada kena mengena tapi aku ingatkan kau. Jangan sesekali kau cuba rosakkan Farah macam kau rosakkan Surina dan gadis-gadis lain. Dia terlalu baik untuk kau buat macam tu,” tegas Wilma, memberi amaran.

“Kenapa? Kau fikir aku akan buat macam tu pada dia?”

Wilma mengangguk laju.

“Tak mustahil kau akan buat macam tu. Rasanya mimpilah aku nak jumpa gadis-gadis yang masih suci bila dia orang bersama kau,” balas Wilma sambil menyedut rokoknya lagi.

“Aku takkan buat macam tu pada Farah, takkan sesekali. Aku nak jadikan dia isteri aku, pasangan hidup aku,” tegas Ikhwan.

Dia menoleh apabila Wilma tertawa semula.

“What? Kau nak jadikan Farah isteri kau?”

Wilma tertawa lagi.

“Hei, come onlah Wan. Kau fikir kau layak ke nak jadikan Farah isteri kau? Apa kau tak pernah cermin diri kau tu ke hah? Kau dengan dia umpama laut dan darat tahu. Tak sesuai langsung,” ejek Wilma lalu tertawa besar.

“Tapi kami masih hidup di bumi yang sama bukan? Aku manusia. Macam tu jugak dia. Tak mustahil aku boleh jadikan dia isteri aku,” jawab Ikhwan tegas.

“Tapi kau kena sedar. Antara kau dan Farah, takkan mungkin wujud hubungan macam tu. Kau kena ingat Wan. Walaupun minyak dan air dicampur dalam satu bekas, mustahil kedua-duanya boleh bersatu,” tegas Wilma semula.

“Baik kau fikir habis-habis pasal hal ni. Jangan sesekali kau bermain api. Kelak kalau kau terbakar, kau jugak yang menyesal,” sambung Wilma.

“Hei, ni Ikhwanlah. Aku akan dapatkan apa aje yang aku mahu walau apa cara sekalipun. Kau sendiri belum tentu boleh halang aku Wil,” balas Ikhwan, ego.

“Baik. Kalau macam tu aku nak tengok sama ada kau berjaya atau tak capai angan-angan kau tu,” ujar Wilma seakan-akan mencabar.

“Jadi, apa perancangan kau untuk dapatkan Farah?” soal Wilma lagi.

“Perancangan? Maksud kau?” soal Ikhwan dengan dahi berkerut.

“Tak payahlah kau buat-buat tak faham. Aku tahu, kau mesti ada perancangan untuk dapatkan Farah bukan? Sama seperti kau dapatkan Surina dan gadis-gadis lain.”

“Untuk Farah lain sikit. Aku akan cuba dapatkan dia dengan cara aku sendiri. Aku nak dia tahu yang aku betul-betul sayangkan dia dan aku nak dia terima diri aku seikhlas hati. Itu aje.”

“Kau fikir Farah percaya ke yang kau sayangkan dia sedangkan dah selalu dia tengok kau dengan perempuan-perempuan lain selama ni?” cemuh Wilma.

“Tu terpulang pada dia. Sama ada dia percaya atau tak, aku tak peduli. Yang aku harap, dia akan jadi milik aku jugak suatu hari nanti,” ujar Ikhwan, memasang impian.

“Aku tak percaya dengan cakap kau tu. Begitu ramai anak dara yang gilakan kau dan kau ambil kesempatan tu untuk rosakkan mereka. Aku yakin, kau jugak akan buat macam tu pada Farah. Mungkin bukan sekarang tapi di masa akan datang.”

“Aku beri jaminan pada kau Wil, aku takkan buat macam tu pada Farah tapi tak mustahil aku akan lakukannya andai terpaksa. Malah aku sanggup buat apa aje asalkan dia jadi hak aku jugak suatu hari nanti,” tegas Ikhwan.

“Oh ya, tak lama lagi cuti sekolah. Apa rancangan kau sepanjang cuti tu nanti?”

Wilma menukar topik bicara. Bosan sudah bercakap tentang perkara sama.

“Buat apa lagi, enjoylah,” balas Ikhwan lalu jus oren diteguk semula.

“Kau tak nak balik ke Itali?” soal Wilma, ingin tahu.

“For what?” soal Ikhwan keras.

“Kaum keluarga dan harta kekayaan kita kat sana Wan. Kita ada kat Malaysia ni pun

sebab ayah kau nak luaskan empayar perniagaannya di negara kelahiran ibu kau ni. Tu pun tak pasti sampai bila. Sampai masanya kita terpaksa pergi dari negara ni sama ada kau suka atau pun tak.”

“Aku tak fikir aku akan kembali semula ke Itali.”

Kata-kata bersahaja Ikhwan membuatkan mata Wilma serta-merta terbuka luas. Sedikit terbeliak.

“What? Kau sendiri pun tahu. Kalau kita tak ikut perintah orang tua kita, bermakna kita takkan dapat harta keluarga kita. Tu yang tertulis dalam wasiat nenek moyang yang perlu kita ikut. Apa kau sanggup kehilangan harta bernilai puluhan juta dolar tu?” ujar Wilma, terkejut.

“Aku tak kisah dengan semua tu. Aku mampu carinya sendiri. Untuk apa harta kekayaan melimpah ruah kalau secubit kasih sayang pun aku tak pernah dapat daripada orang tua yang hanya pentingkan harta benda semata-mata? Aku lebih rela mengemis di sini daripada terus berada dalam keluarga kita yang macam neraka,” balas Ikhwan keras.

“Huh, tu kata kau tapi hakikatnya kau takkan dapat lari daripada semua ni Wan. Seumur hidup kita tak pernah sekalipun kita hidup tanpa kemewahan yang melimpah ruah. Jadi macam mana kau nak hidup tanpa semua harta kekayaan tu kalau kau masih berdegil untuk terus berada kat sini?”

“Aku akan buktikan pada kau yang aku mampu berdiri di atas kaki aku sendiri tanpa mengharapkan bantuan sesiapa termasuk keluarga kita sendiri. Aku akan buktikan dan kau hanya akan tengok semua tu akan jadi kenyataan suatu hari nanti.”

Wilma terkunci mulut. Kaku dengan ketegasan anak muda itu.

“ABANG Zam!” jerit Amir girang tatkala melihat kelibat Faizam di wad hospital.

“Sihat hari ni Amir?” tanya Faizam lalu melabuhkan punggung.

“Alhamdulillah, saya dah sihat betul. Cuma kaki ni aje yang tak boleh digerakkan sangat. Risau kalau kedudukannya lari dari tempat asal. Kata doktor, saya dah boleh balik hari ni,” cerita Amir, gembira.

“Iya? Baguslah. Tak payah Amir terbaring lagi kat sini kan,” balas Faizam.

“Habis tu siapa yang nak ambil Amir nanti?” soal Faizam semula.

“Kalau tak ayah, mungkin atuk saya yang datang nanti.”

Amir mengeluh kecil.

“Nampaknya lepas ni saya tak dapatlah jumpa abang lagi,” ujar Amir, sayu.

“Kenapa pulak?” tanya Faizam, hairan.

“Yalah, dua minggu saya kat sini. Hampir setiap hari abang datang melawat saya. Esok-esok bila saya dah balik ke rumah, mesti saya takkan dapat jumpa abang lagi.”

“Apa pulak tak boleh. Beritahu bila Amir nak jumpa abang. Insya-ALLAH, abang datang kalau tak sibuk.”

Jawapan Faizam menceriakan wajah suram itu semula.

“Tak pun apa kata abang datang aje ke rumah. Abang pun tak pernah jumpa keluarga saya lagi,” cadang Amir tiba-tiba.

“Insya-ALLAH tapi abang tak janji tahu bila abang boleh datang sebab abang sibuk sikit sekarang. Kalau nanti-nanti tu bolehlah.”

“Tak kisahlah bila pun. Janji abang datang jugak ke rumah saya nanti walaupun hanya sekali,” balas Amir, mengharap.

“Oh ya bang. Cuti tahun baru Cina nanti abang balik mana?”

“Tak tahu lagilah dik. Mungkin abang balik ke rumah keluarga angkat abang kat Pahang atau boleh jadi abang tinggal kat asrama sekolah aje. Kenapa Amir tanya?”

“Tak adalah. Saya sebenarnya pelik dengan abang. Setiap minggu abang turun ke Alor Setar dari Penang padahal jauh jugak tu. Kadang-kadang hampir tiap-tiap hari abang ke sini. Apa abang memang orang sini ke?”

“Oh, pasal tu ke?”

Senyuman Faizam kembali melebar.

“Sebenarnya, keluarga abang tinggal jauh dari sini. Nun di Selangor. Abang bukan tak teringin nak balik tapi bukannya ada siapa-siapa kat rumah tu. Adik-beradik abang semuanya dah ada keluarga sendiri. Mak ayah abang pulak sibuk bekerja. Daripada abang balik sana baik, abang tinggal kat sini aje. Abang selalu turun ke Alor Setar pulak sebab abang kerja kat sini,” jelas Faizam satu per satu.

“Kerja? Kerja apa tu bang?” soal Amir, ingin tahu.

“Abang mengajar silat pada budak-budak sekolah dan persatuan seni silat gayung. Tapi hujung minggu aje. Hari-hari biasa tak bolehlah sebab abang perlu ke sekolah. Kadang-kadang abang terpaksa jugak turun pada hari-hari biasa sebab ganti pengajar lain yang ada hal. Tapi tak selalulah. Kalau ada pun hanya waktu petang aje. Macam sepanjang minggu ni, ada beberapa orang tenaga pengajar tak dapat datang mengajar budak-budak di persatuan silat. Terpaksalah abang datang gantikan tempat dia orang,” jelas Faizam.

“Hmm... tak apalah Amir. Abang minta diri dulu ya. Dah lewat petang ni. Nanti lambat pula abang sampai asrama sekolah,” pamit Faizam.

Dihulur tangan pada Amir. Lambat-lambat anak muda itu menyambut.

“Bila lagi saya boleh jumpa abang?” soal Amir, sayu.

“Insya-ALLAH kalau umur panjang, kita jumpa lagi nanti. Nombor telefon abang Amir dah ada kan?” soal Faizam.

Amir mengangguk perlahan-lahan.

“Okey Amir, jaga diri baik-baik. Kirim salam abang pada keluarga Amir nanti. Abang balik dulu ya.”

Faizam meninggalkan Amir yang sayu dengan keadaan itu.

Sayang rasanya untuk Amir melepaskan anak muda yang telah dianggap abang sendiri

itu. Anak muda yang telah bersusah payah menyelamatkan nyawanya ketika

kemalangan tempoh hari. Namun dia yakin, mereka pasti akan bertemu semula suatu

ketika nanti. Itu doanya saban hari.

http://karya-azraaryriesa.blogspot.com/2013/10/bab-9-ketika-hati-bercinta.html

Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh