Home Novel Cinta TAK SANGKA AKU
BAB 22
BAB 22

“ASSALAMUALAIKUM,” ucap Farah sebaik melangkah masuk.

Hampir serentak seisi bilik menjawab. Memandang Farah yang melabuhkan punggung di katil.

“Ya ALLAH... penatnya aku hari ni,” keluh Farah.

“Kau dari mana ni Farah? Dah petang macam ni baru balik,” soal Laila yang baru saja selesai menunaikan Solat Asar petang itu.

“Mana lagi kalau bukan dari kuliahlah,” jawab Farah.

Dia mencapai bekas air di atas meja sebelum diteguk beberapa kali air putih itu.

“Aik, kuliah apanya petang-petang macam ni? Rasanya kita semua tak ada apa-apa kuliah lagi lepas Zohor tadi,” balas Laila, hairan.

“Kuliah apa lagi Ila kalau bukan kuliah Bahasa Inggeris,” jawab Farah.

“Kuliah Bahasa Inggeris? Eh, kalau tak silap aku kuliah tu dah dibuat pagi semalam. Buat apa kau pergi lagi hari ni?” sampuk Haiza.

“Memanglah kuliah tu dibuat pagi semalam tapi aku tak sempat hadir. Aku jumpa Puan Ashidar waktu tu. Sebab tulah aku ganti hari ni. Sayang rasanya nak ponteng kelas walaupun sekali,” jawab Farah.

“Hmm... sedar tak sedar dah lebih dari setahun kita kat sini. Siapa sangka, tak lama lagi kita terpaksa tinggalkan tempat ni,” ujar Izrin Putri tiba-tiba.

“Dah nama pun pelajar. Mestilah kita ke sini sebab nak tambah ilmu aje. Takkan kau nak tinggal kat sini pulak sampai ke tua,” ujar Haiza

Sempat dia mengusik Izrin Putri. Gadis itu sudah tertawa kecil mendengar kata-kata itu.

“Bukanlah macam tu maksud aku Za tapi sayang rasanya nak tinggalkan matrikulasi ni. Walaupun hanya setahun lebih kita kat sini tapi banyak jugak pengetahuan dan kenangan yang kita dapat sepanjang kat sini,” balas Izrin Putri.

“Betul cakap kau tu Rin. Hanya pengetahuan dan kenangan aje yang kita dapat,” sampuk Laila lalu mengeluh.

“Apasal? Kau harap kau dapat benda apa lagi kat sini Ila?” tanya Jeslynn cepat-cepat.

Sambil menghayun kaki di katil dia mengukir senyuman nakal.

“Aku rasalah Ila, sampai hari terakhir kau kat sini pun belum tentu kau akan dapat seorang boyfriend. Sebabnya matrikulasi kita ni kekurangan lelaki. Dalam kelas kita tak payah cakaplah. Berapa kerat sangat lelaki yang ada. Dahlah tu, takhandsome pulak,” sambung Jeslynn tanpa sempat Laila membuka mulut.

“Amboi Lynn. Mentang-mentanglah boyfriend kau si James tu boleh tahan jugak rupanya, sesedap rasa kau aje kata budak-budak lelaki dalam kelas kita takhandsome ya,” celah Haiza tanpa sempat Laila membalas.

“Entah kau ni, sedap mulut aje nak cakap apa pun. Lagipun bila masanya aku kata aku nak cari boyfriend kat sini hah? Aku bukannya gatal macam kau. Muda-muda lagi dah bercouple,” ujar Laila, pura-pura marah.

Dijegil matanya pada Jeslynn.

“Ala Ila, aku gurau ajelah. Janganlah marah,” ujar Jeslynn sambil tersengih.

Farah yang memandang kelakuan teman-temannya hanya menggeleng.

“Balkis, Faizam kirim salam pada kau,” ujar Farah sebaik ternampak kelibat Balkis yang baru melangkah keluar dari bilik mandi.

“Waalaikumussalam,” jawab Balkis perlahan namun masih dapat didengari.

“Mana kau jumpa Faizam tu Farah?” soal Laila.

“Aku terserempak dengan dia dan abang aku masa kat kafe tengah hari tadi.”

“Aku peliklah dengan kau ni Balkis. Rasanya dah lebih setahun pun Faizam cubatackle kau tapi kau buat dek aje dengan budak tu. Kau tak kesian kat dia ke Balkis?” tanya Laila sambil memandang Balkis menyarung pakaian ke tubuh.

“Kalau kau nak tahu Balkis, Faizam tu baik orangnya. Tak pernah tinggal solat, rajin mengajar budak-budak mengaji Al-Quran, selalu bantu orang lain. Pendek kata Faizam tu memang baik sangat orangnya,” celah Farah yang turut memandang gadis itu.

“Betul. Aku sokong cakap kau orang. Mak aku pun selalu puji Faizam. Dia kata Faizam tu anak yang baiklah, bersopan santunlah. Satu aje keburukan Faizam. Dia tu berangin sikit orangnya. Cepat naik marah tapi mudah minta maaf tambahan pulak kalau dia yang buat salah,” sampuk Haiza juga.

“Cubalah kau bagi peluang kat dia Balkis. Mana tahu memang dia jodoh kau nanti. Kita orang ni jugak yang tumpang gembira,” ujar Laila.

Dipandang Balkis yang melabuhkan punggung di kerusi meja belajarnya. Menarik sebuah buku sebelum mula menyelak helaian.

“Hei Balkis, kau dengar tak apa yang kita orang cakap ni?” soal Haiza apabila Balkis hanya menulikan telinga.

Sejak tadi tiada sepatah kata terluah dari mulut gadis itu.

“Dengar,” sahut Balkis perlahan.

“Habis tu, kau tak nak ke bagi peluang kat Faizam? Kesian dia.”

“Aku tak berminat nak berkawan dengan mana-mana lelaki pun buat masa ni Za,” jawab Balkis tegas sebelum mencapai pen untuk menyiapkan tugasan.

“Kalau iya pun kau berkawanlah dulu dengan dia. Ni tak, dia tegur pun kau buat tak tahu aje. Kesian kawan baik aku tu Balkis,” ujar Laila pula.

Namun Balkis tidak lagi mengendahkan kata-kata teman-temannya. Dia mula hanyut dalam dunianya sendiri. Tidak peduli pada mereka yang perlahan-lahan mengeluh panjang melihatkan reaksinya. Kesal.

“AMBOI, lajunya berjalan. Nak pergi mana tu?”

Terhenti langkah Johan. Dia pantas menoleh. Lalu tersenyum lebar pada gadis itu.

“Hai Nisda, lama tak jumpa awak,” jawab Johan mesra.

“Kenapa? Awak rindu saya ya?” soal Nisda, gembira.

Namun senyumannya kendur tatkala Johan menggeleng perlahan.

“Bukanlah macam tu tapi rasanya agak lama jugak saya tak jumpa awak. Yalah, selalunya ada jugak kita terserempak kat kafe atau kat library sekali-sekala walaupun bukan setiap hari,” jawab Johan.

Dia kembali mengatur langkah dan Nisda mengiringinya.

“Saya sibuk sikit kebelakangan ni. Ada banyak assignment yang perlu saya siapkan,” ujar Nisda tanpa dipinta.

Nada suaranya tidak lagi seceria tadi biarpun kedengaran sama di telinga Johan. Kecewa dengan jawapan lelaki itu.

“Awak ada kelas lagi ke lepas ni?” soal Johan, menukar butir bicara mereka.

“Ada, kelas ekonomi. Tu pun pukul 2.00 petang nanti. Awak?”

“Saya pun ada kelas kejap lagi,” ujar Johan sambil melingas mata ke sekeliling kampus.

Dia terpandang teman-temannya yang sejak tadi menantinya di bawah pokok.

“Tak apalah Nis, saya minta diri dulu. Lain kali aje kita berbual ya. Jumpa lagi bila-bila. Assalamualaikum,” ucap Johan lalu mendapatkan teman-temannya.

Nisda hanya mengangguk kecil. Dibiar matanya mengikut langkah Johan sebelum dia sendiri turut beredar.

“Tak sangka betul aku Johan, sampai ke sini Nisda ikut kau,” ujar Danial sebaik Johan berdiri di depannya.

Johan mengerutkan dahinya.

“Nisda ikut aku? Maksud kau?” soal Johan, hairan.

“Yalah. Dah setahun lebih kita kat Universiti Malaya ni. Tak sangka aku, dia pun ikut kau sambung belajar kat sini,” terang Danial.

“Alah, kebetulan aje tu. Mana adanya dia ikut aku,” nafi Johan.

Dia mula menapak ke arah bangunan di depan mereka bersama teman-temannya.

“Kau pernah beritahu Nisda tak yang kita rancang sambung study kat sini sebelum ni?”

Iskandar mengajukan soalan. Masih berkisar pada persoalan sama.

Johan kembali mengerutkan dahi. Berfikir sementara.

“Pernah kut tapi tu pun masa kita kat sekolah dulu,” jawab Johan, ingat-ingat lupa.

“Hah, betullah tekaan aku tu. Dia datang belajar kat sini sebab dia ikut kau,” balas Danial, mengiyakan kata-katanya sebentar tadi.

“Hisy, ada ke macam tu pulak. Tak ada maknanya dia nak ikut aku belajar kat UM ni. Kau orang ingat UM ni universiti keluarga dia ke? Bila-bila masa aje boleh masuk belajar kat sini,” sanggah Johan.

“Apa pulak tak ada maknanya Han. Dia kan dah jatuh cinta pada kau. Mestilah dia ikut ke mana aje kau pergi. Kalau kau tak percaya, kau tunggulah kita habis belajar beberapa bulan lagi ni. Aku pasti dia akan ikut kau ke mana pun kau sambung belajar nanti,” celah Nazrin.

“Tu pun kalau kau tak lupa beritahu dia kat mana kita nak sambung belajar lepas ni Han.”

Kata-kata selamba Iskandar meledakkan tawa mereka berenam. Geli hati dengan gurauan itu. Johan turut tersenyum lebar.

“Iyalah tu kau orang. Dari dulu sampai sekarang tak habis-habis nak cakap pasal Nisda aje. Dahlah, jom masuk kelas sekarang. Kuliah dah nak mula tu,” balas Johan.

Dia bergegas masuk ke dalam bangunan universiti diikuti mereka lain.

http://karya-azraaryriesa.blogspot.com/2013/10/bab-22-ketika-hati-bercinta.html

Previous: BAB 21
Next: BAB 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh