Home Novel Cinta TAK SANGKA AKU
BAB 15
BAB 15

FARAH melepaskan pandangan ke bawah bukit. Sayup-sayup kelihatan pepohon jagung di ladang terbentang luas di depannya. Semuanya kelihatan kerdil di matanya yang duduk berjuntai kaki di batu besar di puncak bukit.

Agak lama dia memerhati ke bawah sebelum matanya dililau ke sekitar. Tiada seorang manusia di kawasan lapang itu melainkan dia sendiri. Sesekali kedengaran desiran dedaun pepohon renek tumbuh subur di sekeliling. Dihembus angin bertiup sedikit kencang petang itu. Diselit bunyi kicauan burung-burung dan serangga yang sekian lama menjadi penghuni persekitaran hijau itu. Menghasilkan ketenangan buat Farah yang sejak tadi diselubungi resah dan serba salah.

Tidak semena-mena peristiwa pagi tadi kembali menerjah minda. Peristiwa yang mengheret resah dan serba salah ke hatinya ketika ini.

“JADI macam mana sekarang? Kamu terima tak permintaan kami ni?”

Haji Fakhrulrazi memandang Farah yang tertunduk di depannya. Sesekali dia mengerling Hajah Naemah di sebelah gadis itu.

“Mungkin susah untuk kamu buat keputusan tapi kami nak kamu tahu. Apa yang kami lakukan ni adalah untuk kebaikan kamu dan Faizam sendiri. Sekurang-kurangnya bila ada keputusannya sekarang, bolehlah kami lakukan persediaan dengan lebih awal,” sampuk Hajah Naemah sambil mengusap lembut belakang tubuh gadis itu.

“Buat masa sekarang kami hanya nak kata putus sama ada kamu setuju atau tak dengan permintaan kami. Tu aje,” sambung Hajah Naemah apabila Farah tidak menyahut.

“Betul kata nenda kamu tu Farah. Kamu berdua pun dah lama kenal satu sama lain. Jadi lebih elok kalau kami eratkan lagi hubungan kamu berdua tu dengan ikatan perkahwinan. Rasanya, tak ada perkara yang lebih membahagiakan kami selain perkara ni Farah,” terang Haji Fakhrulrazi.

Tenang matanya memandang wajah Hajah Naemah yang mengangguk setuju.

Farah pula masih mengunci mulut. Sesekali matanya dihalakan pada Haji Rahman dan Hajah Aminah yang turut berada di serambi rumah. Seperti Farah, kedua-duanya hanya menutup mulut tanpa sepatah kata. Memberi peluang pada suami dan isteri itu untuk bertanya sendiri pada cucu mereka.

Beberapa lama membiarkan suasana sepi, akhirnya Haji Fakhrulrazi kembali membuka suara setelah nafasnya dihela panjang.

“Macam nilah Farah. Nenda berdua takkan paksa kamu buat keputusan terburu-buru berkenaan perkara ni. Kamu ambillah masa sebanyak mana yang kamu inginkan. Tapi kami berharap sangat kamu dapat penuhi permintaan kami ni.”

SAMPAI ke saat ini setiap patah kata Haji Fakhrulrazi dan Hajah Naemah terngiang-ngiang di pendengaran Farah. Kata-kata yang meresahkannya ketika ini. Resah dengan permintaan yang tidak pernah terlintas di minda jauh sekali melaluinya.

Kahwin dengan Faizam? Farah termangu-mangu apabila soalan itu menerpa minda. Sepanjang mengenali Faizam, tidak pernah sebesar hama pun perkara seperti itu muncul dalam benaknya. Perkataan kahwin itu sendiri memberi rasa gerun pada dia yang masih mentah dalam mengenal kehidupan. Apatah lagi melaluinya bersama seseorang yang sejak kecil dianggap saudara kandung dunia dan akhirat.

Tengku Faizam Fakhruddin Tengku Faizial. Sebaris nama itu memenuhi ruang minda seketika. Lalu satu keluhan panjang terkeluar dari celah bibir. Sejak dulu hubungan dia dan anak muda seusianya itu sering disalah erti semua terutama penduduk kampung. Rasanya tiada kata-kata bisa lagi pedih yang tidak pernah dilemparkan padanya dan Faizam. Ada saja tingkah laku mereka yang dilihat canggung di mata semua walaupun hakikatnya Farah dan Faizam begitu menjaga batas pergaulan mereka.

Segalanya semakin kedengaran apabila Faizam menetap di rumah Haji Rahman apabila datuknya, Haji Fakhrulrazi bersara ketika mereka berusia sepuluh tahun. Anak muda itu berada di situ hanya ketika musim cuti sekolah bertandang. Sesudah itu Faizam akan dihantar pulang ke rumah orang tuanya di Petaling Jaya.

Namun kata-kata pedas tetap tempias ke telinga mereka. Malah bertambah-tambah setelah mereka menginjak ke usia remaja. Umpama peluru ditembak keluar daripada senapang bertalu-talu. Tidak henti-henti. Hingga baik Farah mahupun Faizam sendiri telah lali dengan keadaan itu.

“Jauh kau pergi. Fikir apa?”

Pertanyaan itu mengejutkan Farah daripada lamunan. Dia menoleh. Sedikit terkesima melihat Faizam melabuhkan punggung di sisi.

“Tak ada apa-apa,” jawab Farah lemah.

“Kau datang seorang aje ke?” soal Farah semula.

Ada rasa bimbang dalam nada suaranya. Bimbang andai wujud permasalahan lain dek pandangan tidak senang mana-mana mata yang melihat keadaan dia dan lelaki itu ketika ini.

“Taklah. Aku datang dengan abang kau,” jawab Faizam.

“Mana dia?”

“Tu apa?” rungut Faizam sambil memuncung bibir ke satu arah.

Farah berpaling. Terpandang Irwan Putra duduk bersandar di bawah sepohon paku lima merimbun lebat. Sebuah buku terselit di tangannya. Lalu membuatkan senyuman terukir di bibir Farah. Mengerti sikap abangnya. Gemar membaca tidak mengira tempat.

Farah berpaling semula. Membuang pandangan ke hamparan alam di bawah bukit.

“Kau kenapa Farah? Dari pagi tadi aku tengok kau moody semacam aje. Makan nasi pun tak bertambah seperti selalu,” ujar Faizam sambil memandang ke bawah.

“Aku tak ada selera nak makanlah Zam. Mungkin penat kut.”

“Penat apanya. Kau tu bukannya kerja kat ladang macam aku dengan abang-abang kau. Jangan kata nak angkat guni, nak cabut rumput pun ayah Man tak kasi kau buat. Penat ke bendanya,” tempelak Faizam sambil tersenyum manis.

“Aku bukannya penat tulah. Aku penat sebab lain. Kau mana tahu aku punya susah,” rengus Farah sambil menjeling.

“Kau penat sebab lain ke atau sebab kau fikir perkara yang nenda cakap tu?”

Soalan itu mengalih mata Farah ke wajah tenang Faizam.

“Mana kau tahu pasal tu? Kau bukannya ada kat rumah pun pagi tadi,” soal Farah, hairan.

Bertambah pelik melihat senyuman anak muda itu semakin melebar.

“Kau ni Farah, dia orang tu kan nenda aku. Mestilah aku tahu sebab apa dia orang ke sini,” jawab Faizam tenang.

Dia kembali membuka mulut apabila perasan mata Farah masih tertancap di wajahnya. Seakan-akan tidak puas hati.

“Okeylah aku beritahu. Sebenarnya sebelum dia orang ke sini, dia orang ada call beritahu aku pasal hal ni. Waktu tu kita kat Pulau Pinang. Aku fikir dia orang main-main aje. Tak sangka pulak dia orang betul-betul datang tanya kau.”

Lalu wajah putih bersih Farah kembali diarak muram.

“Aku tak tahulah nak cakap apa pasal hal ni. Nak terima, aku tak pernah fikir pun nak kahwin dengan kau, jauh sekalilah dalam masa terdekat ni. Nak tolak, tak sampai hati pulak aku nak lukakan hati dia orang. Yalah, dia orang harap sangat aku terima. Aku peninglah Zam. Pening sangat-sangat tau,” rungut Farah.

Marah pada diri sendiri yang tidak pandai membuat keputusan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi. Digaru kepalanya yang berbalut tudung kuning air.

Sejak kecil, dia begitu menjaga penampilan dan tingkah lakunya di hadapan anak muda itu. Walaupun mereka sangat rapat dan mesra namun itu bukan halangan untuk dia menjaga batas aurat dan pergaulan sesama mereka.

“Nak pening ke bendanya. Kau cakap ajelah yang kita hanya kawan baik, sangat baik tapi tak adalah sampai nak berumah tangga pulak,” balas Faizam cepat-cepat.

“Kau cakap senanglah. Aku ni yang tak sampai hati nak beritahu dia orang macam tu. Kau tak rasa bersalah ke tengok dia orang sedih disebabkan kita? Berdosa tahu lukakan hati orang tua,” sanggah Farah sambil menjeling lagi.

“Habis tu, kau nak buat macam mana? Kau sanggup nak kahwin dengan aku lepas kita habis belajar nanti? Hisy, tak naklah aku kahwin awal. Dahlah tu, dengan kau. Macam tak ada orang lagi dah yang boleh jadi isteri aku.”

Kata-kata selamba Faizam membuatkan mata Farah terbeliak.

“Ewah, apa kau ingat aku teringin sangat nak jadi isteri kau tu hah? Daripada aku kahwin dengan kau, baik aku kahwin aje dengan abang Senin yang duduk kat tepi kampung kita tu. Baik pun ya, beragama lagi,” marah Farah.

Faizam tertawa besar.

“Kau ni Farah. Patutlah orang kampung gelar kau cik Ros bunga berduri. Nampak cantik kat luar tapi pantang diusik, melenting terus. Kalau macam ni kau punya perangai, jangan kata abang Senin, Haji Dollah duda tua bangka tu pun belum tentu berani nak masuk minta kau. Punyalah garang. Perangai sebiji macam abang Ngah kau,” usik Faizam lalu tertawa lagi.

Tidak peduli akan Farah yang sudah memuncung bibir.

“Farah, kau sayang tak pada nenda aku?” soal Faizam setelah seketika.

“Mestilah aku sayang. Dia orang tu dah macam datuk dan nenek aku sendiri,” jawab Farah lemah walaupun sedikit pelik dengan pertanyaan itu.

“Kalau macam tu, kau berterus terang ajelah pada dia orang. Habis cerita.”

“Maksud kau?” soal Farah, tidak faham.

Faizam menarik nafas panjang sebelum menghembus semula.

“Farah, baik kau mahupun aku, kita sama-sama tahu hakikatnya. Hakikat yang kita berdua saling sayang satu sama lain. Tapi kasih sayang kita tu tak lebih dari kasih sayang seorang sahabat kepada sahabatnya. Itu aje. Jadi kalau betullah kau sayangkan kedua-dua nenda aku, baik kau berterus terang aje. Kau tak mahu lukakan hati mereka tapi kau kena sedar. Dia orang akan lebih terluka kalau tahu kita menipu semata-mata nak bahagiakan hati dia orang sedangkan kita sendiri sengsara dengan keadaan tu. Bagi aku, daripada kita lihat dia orang terluka di masa depan, lebih baik kalau dia orang terluka sekarang. Sekurang-kurangnya kita takkan rasa bersalah nanti,” terang Faizam.

Farah terdiam sejenak. Laju mindanya memikirkan kebenaran kata-kata itu.

“Lagipun, kau rasa kau layak ke jadi isteri aku?” gurau Faizam sambil mengangkat kening beberapa kali.

Mengusik Farah yang segera menjuih bibir.

“Huh, kau fikir kau tu handsome sangat ke hah sampai aku hadap sangat nak tengok muka kau seumur hidup aku? Muka mamak Maidin yang jual roti canai tu pun seribu kali lagi handsome dari kau tau. Daripada aku kahwin dengan kau, baik aku kahwin dengan dia. Perut aku pun kenyang aje sebab selalu dapat makan roti canai percuma hari-hari,” marah Farah sambil menjeling semula Faizam yang tertawa mengekek.

“Ya tak ya kan. Elok jugaklah kau kahwin dengan dia. Mana tahu badan papan kau tu boleh bertukar jadi sebesar tong dram nanti. Anak-anak kau pulak esok-esok dah tentulah nampak gigi aje. Maklumlah, semuanya ikut kulit ayahnya yang gelap gelita tu.”

Faizam terjerit lalu tertawa apabila lengannya terus dicubit Farah.

Farah sendiri akhirnya turut ketawa hingga gamat seketika kawasan sekitar bukit itu dengan gelak tawa mereka berdua.

“Kau tahu siapa sebenarnya gadis impian aku selama ni?”

Faizam kembali melontar suara tidak lama kemudian. Serius.

“Siapa? Puteri kayangan ke puteri bunian?” usik Farah sambil tersenyum lagi.

Pantas Faizam menggeleng. Dia turut mengukirkan senyuman.

“Bukan. Aku sebenarnya selalu berdoa bertemu jodoh dengan seorang puteri yang mampu tunaikan segala impian yang aku mahu dalam hidup,” luah Faizam.

“Puteri? Puteri yang mana satu? Anak raja negeri mana pulak yang kau berkenan ni Zam? Ke anak sultan?” soal Farah, hairan.

Melebar senyuman Faizam jadinya.

“Kau ni Farah, bendul betullah. Puteri tu tak semestinya benar-benar seorang puteri raja atau anak mana-mana sultan. Boleh jadi dia seorang gadis biasa yang hidupnya lebih kurang macam hidup aku. Sunyi, sepi, keseorangan...”

“Dan kaulah putera yang akan datang menyelamatkan dia dari semua tu?” pintas Farah tanpa sempat Faizam menghabiskan ayat.

Dijeling semula Faizam yang telah mengekek ketawa lagi.

“Dahlah Zam. Buang aje angan-angan karut kau tu. Mana ada lagi dalam zaman sekarang gadis yang hidupnya ala-ala macam kisah dongeng Rapunzel tu. Kalau ada sekalipun, kau fikir dia mahu ke kahwin dengan kau?” balas Farah.

Dia sengaja mengusik anak muda itu yang serta-merta membeliakkan mata.

“Apa? Kau fikir aku ni tak handsome ke? Helo Cik Fatin Farahana. Aku ni tersenarai dalam carta lelaki rebutan ramai gadis tau,” balas Faizam sambil tersenyum.

“Huh, nak termuntah aku dengar,” balas Farah, pura-pura berasa mual.

Dia memandang sekilas Faizam yang menghambur tawa semula.

“Eh Zam. Agak-agak kaulah, aku ni sesuai untuk lelaki yang macam mana ya? Kau rasa ada ke lelaki yang nakkan aku?” soal Farah tiba-tiba.

“Kau?”

Faizam mengangkat kening sambil tersenyum nakal.

“Kalau untuk kau Farah, ada aje. Tak payah cari jauh-jauh, jodoh kau tu dah ada pun depan mata. Cuma tunggu masa yang sesuai aje nak kahwinkan kau orang berdua,” ujar Faizam.

Senyumannya melebar apabila terpandang mata Farah sudah membulat. Sedikit terkejut bercampur teruja dengan kata-katanya.

“Iya ke Zam? Betul jodoh aku dah ada depan mata aku? Siapa dia?”

Terburu-buru Farah menyoal. Lurus bendul.

“Ala, siapa lagi kalau bukan cucu lelaki kesayangan atuk dan nenek kau tulah.”

Faizam tersengih lebar. Keningnya dijongket lagi.

“Maksud kau?”

Melihat sengihan itu Farah telah dapat mengagak gerangan orang yang dimaksudkan kerana sejak kecil dia telah sering diusik dengan nama itu.

“Kau ni Farah, tak tahu ke atau buat-buat tak tahu? Nanti kalau aku sebut kau marah pulak. Yalah, kau kan cepat cemburu dengan dia,” ujar Faizam lalu tertawa kecil.

“Apasal pula aku nak cemburu?” marah Farah lalu terus menjegil mata.

“Bila aku sebut kau marah. Nak kau jugak yang sebut namanya dulu. Nanti kalau aku salah sebut pasal dia, kau jugak yang beria-ia nak backing dia. Mentang-mentanglah dia tu sepupu kau.”

Faizam masih tersengih lebar.

“Kau ni kan Zam, kalau aku tumbuk muka kau jadi belacan baru kau tahu kut dunia ni bulat ke empat segi!” marah Farah sambil mengepal penumbuk.

“Baik kau cakap terus-terang. Siapa yang kau maksudkan tu hah?” soal Farah lagi.

Biarpun telah dapat menjangka gerangan manusia yang dikatakan Faizam namun dia tetap mahukan kepastian.

Faizam pula semakin galak menghamburkan tawanya.

“Okey, okey aku beritahu kau,” ujar Faizam lalu mengangkat kedua-dua tangan.

Tanda menyerah apabila dilihat Farah benar-benar mahu melayangkan penumbuk. Dia sedar. Tidak sepatutnya mereka bersentuhan kulit biarpun tanpa sengaja. Satu keadaan yang begitu dijaganya sebaik melangkah ke alam remaja. Sekaligus menjauhi fitnah yang sejak dulu telah melingkari kedua-duanya.

“Kau betul-betul tak tahu ke siapa calon suami kau tu?” soal Faizam lagi.

Geli hatinya melihat sikap Farah yang sesekali masih keanak-anakan dan tidak matang. Dia sendiri hakikatnya masih bersikap serupa walaupun jarang-jarang dipamerkan. Wajah serius Farah yang tidak lagi mengacukan penumbuk kembali ditatap.

“Siapa?” soal Farah garang.

“Ala, anak Pak Ngah kau, si Johan tulah. Siapa lagi,” ujar Faizam lalu tertawa semula.

Serentak itu Farah kembali mencubit lengan Faizam. Anak muda itu terjerit sakit namun dia masih mahu mengusik gadis itu.

“Tulah, aku dah kata. Aku sebut aje nama dia, pasti kau marah. Apalah kau ni Farah. Sikit-sikit marah. Cengeng betullah kau ni.”

“Mahu aku tak marah. Kau tu, selalu sangat padankan aku dengan orang yang aku tak suka. Punya banyak manusia dalam dunia ni, dia jugak yang kau sebut. Buat aku berangin aje.”

Buat sekian kali wajah ceria Faizam menjadi mangsa jelingannya.

“Apa boleh buat Farah. Hanya dia aje yang aku rasa layak jadi suami kau. Dahlah handsome, bersopan santun dan paling penting, sepupu kau tu penyabar orangnya tahu. Padanlah dengan kau yang cepat melenting tu.”

“Huh, tak sukalah aku dengan dia. Walau apa sekalipun aku tak nak kahwin dengan dia. Berlambak lagi lelaki yang boleh aku pilih jadi suami aku.”

Panjang saja muncung Farah dijuih saat menyuarakan kata-kata itu. Dia merengus lagi.

“Eleh, sekarang ni memanglah kau tak nak kat dia. Esok-esok lepas kahwin, naklah kau. Lebih-lebih lagi bila dah ada anak. Silap hari bulan dia ke toilet pun kau ikut masuk sekali,” usik Faizam lalu tertawa lagi.

Lantas mengundang kemarahan Farah yang sejak tadi mendidih tinggi.

“Eii... kau ni Zam, memang dah puas hidup dalam dunia ni agaknya. Mari sini aku bunuh kau. Biar kau tidur dalam kubur tu awal-awal. Tak payah hidup dalam dunia ni lagi kalau tahu nak sakitkan hati aku aje. Sini kau Zam!” jerit Farah.

Dia segera bangkit mengejar Faizam yang terlebih dulu bangun. Lelaki itu berlari-lari di tanah lapang di permukaan bukit itu. Mengelak daripada Farah yang sudah seperti orang gila. Terus-terusan mengejar sambil menjerit nyaring. Memarahi anak muda itu berulang-ulang kali. Sedang Faizam tidak sudah-sudah ketawa mengekek.

Mereka tidak mempedulikan Irwan Putra yang menepuk dahi perlahan sambil menggeleng-geleng kecil. Ada senyuman terlukis di bibirnya melihat tingkah laku keanak-anakan Farah dan Faizam yang sejak kecil telah sering dilihat. Sama-sama tercuit hati dengan keadaan itu.

http://karya-azraaryriesa.blogspot.com/2013/10/bab-15-ketika-hati-bercinta.html

Previous: BAB 14
Next: BAB 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh