Home Novel Cinta TAK SANGKA AKU
BAB 34
BAB 34

FARAH melepaskan pandangan ke seluruh tempat dia berada kini. Menatap setiap bangunan di depan mata. Kagum melihat keunikan dan keindahan yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini.

Diam-diam dia menyelit rasa syukur kepada ALLAH kerana menjadikan impiannya untuk menjejak kaki di London tercapai jua.

“Hei Farah, kau tengok apa lagi? Sudah-sudahlah tu. Bukan hari ni aje kau boleh tengok. Ada lima tahun lagi kita kat sini. Esok-esok satu UK ni pun boleh kita jelajah kalau kena gayanya. Jomlah cepat mendaftar. Nanti lambat susah pulak kita nanti.”

Teguran Haiza menyentak pandangan Farah. Dia mengangguk laju. Lalu turut menapak bersama teman-teman yang lain.

“Jalan laju-laju ni nak pergi mendaftar ke atau nak masuk acara marathon?”

Farah terus menoleh. Terpempan dia dengan kewujudan lelaki itu di sini.

“Awak bu... at apa kat sini?” soal Farah tergagap-gagap.

“Buat apa? Studylah. Kenapa? Awak seorang aje ke yang boleh masuk universiti ni? Saya tak boleh?” soal Ikhwan sambil tertawa kecil.

“Awak nak mendaftar ya? Masih awal lagi Farah. Baru pukul berapa sekarang ni,” ujar Ikhwan lagi apabila gadis itu hanya menatap wajahnya tanpa sepatah kata.

Lambat-lambat Farah menguntum senyuman. Tawar.

“Awak belajar kat sini jugak ke? Ambil course apa?” soal Farah, cuba bertenang.

Sungguh, dia benar-benar tidak menduga akan bertemu Ikhwan di London.

“Business,” jawab Ikhwan sepatah.

Lembut menggoda namun entah mengapa nada itu menimbulkan rasa tidak senang pada Farah. Namun dia pura-pura ceria.

“Oh iya ke? Saya ambil course...”

“I know. Perubatan kan?” pintas Ikhwan cepat.

“Mana a... wak tahu saya ambil kursus perubatan kat sini?”

Farah kembali gagap. Mana dia tahu ni? Siapa pulak yang beritahu? Hati Farah tertanya-tanya sendiri.

Ikhwan menjongket kening. Dirapatkan tubuhnya pada Farah.

“Semua perkara tentang awak ada dalam pengetahuan saya Farah. Awak tak perlu beritahu apa-apa. Saya tahu semuanya.” ujar Ikhwan dengan nada menggoda.

Namun Farah berasa seram sejuk. Pantas dia menjarakkan diri. Tergamam dengan bisikan lelaki itu.

“Jumpa awak lagi Farah,” ucap Ikhwan lagi sebelum berlalu.

Sempat dia mengenyit mata pada Farah yang telah terkaku di situ.

Hampir-hampir Farah melompat apabila satu tepukan kecil singgah di bahunya.

“Hei Farah, kenapa Ikhwan ada kat sini?” soal Laila sambil menatap wajah pucat Farah.

“Dia belajar kat sini,” jawab Farah terketar-ketar.

“Ikhwan belajar kat sini? Biar betul? Dia ambil course apa?” sampuk Asyikin, terkejut.

“Business,” jawab Farah.

Dia perlahan-lahan menghela nafas. Cuba menenangkan hati semula. Dia kembali menapak bersama mereka.

“Maksudnya lepas ni kita akan selalu terserempak dengan dialah? Hai, tak sangka aku. Sampai ke sini dia kejar kau Farah,” ujar Jeslynn sambil menggeleng kecil.

“Eh, iya ke Ikhwan tu kejar Farah? Kau biar betul Lynn?” soal Regina, mahu kepastian.

“Aku tahulah. Bukan ke dari tingkatan satu lagi dia cuba mengorat Farah? Sebab tulah dia ikut Farah ke sini. Nak jugak Farah yang jadi girlfriend dia,” jawab Jeslynn.

“Hei kau orang, dahlah tu! Nanti balik rumah sewa cakaplah puas-puas! Jomlah mendaftar! Nanti kalau dah ramai yang tunggu kat fakulti tu, mahu kita jugak yang terbelakang nanti!”

Laungan Marya yang berada di depan sekali mempercepatkan langkah mereka.

“WOW, cantiknya pemandangan,” puji James sambil menolak luas tingkap bilik.

Menjemput masuk tiupan bayu sejuk ke ruang apartment lima tingkat itu.

“Tak sangka aku, sampai jugak akhirnya kita berempat ke kota London ni,” sambung James.

Dia merebahkan tubuh ke katil.

“Apa pulak tak sampainya. Dah kita dapat tawaran sambung belajar kat sini. Takkan nak tolak pulak padahal kita jugak yang mohon dulu,” balas Raymond lalu mengerling Faizam yang ada tidak jauh dari situ.

Sejak tadi Faizam berdiri di tingkap. Ralit dia membuang pandang ke luar.

“Woi Zam, kau tengok apa sampai tak bergerak-gerak dari situ?”

Soalan Raymond menyentak pandangan Faizam. Pantas dia menggeleng.

“Tak ada apalah Ray,” sahut Faizam yang masih berdiri tegak di situ.

“Kalau iya pun kau nak mengorat anak dara Inggeris Zam, tak payahlah buang masa kat tingkap tu. Kau tunggulah sampai kuliah kita bermula esok lusa. Mesti ramai yang satu kelas dengan kau nanti. Masa tu kau nak mengorat ke, kau nak nombor telefon ke, confirm dapat punya sampai tak terlayan nanti,” usik James.

Dikerling Irwan Putra di hujung katil.

Lelaki itu hanya tersenyum kecil. Tidak masuk campur dengan keadaan itu.

Faizam tidak menyahut. Dihala pandangannya ke kawasan sekitar. Dari tingkap itu dia dapat melihat dengan jelas kawasan kampus universiti lantaran kedudukan rumah sewa mereka yang terletak tidak jauh dari situ.

Dipicing anak matanya tatkala terpandang sekelompok gadis yang dikenali kelibatnya. Masing-masing sibuk berbual sesama sendiri sambil menapak ke fakulti. Namun perhatian Faizam tidak tertarik di situ. Sebaliknya tertancap pada seseorang yang berada tidak jauh dari kelompok itu.

Sejak tadi gadis itu hanya menyendiri di bangku batu di kawasan kampus. Melayan mesra panggilan di telefon bimbit walaupun tiada senyuman di wajah seriusnya. Hingga Faizam yang sejak tadi memandang tingkah lakunya dihimpit cemburu. Lalu menjemput semula kenangan pahitnya di KOMTAR suatu masa dulu ke minda.

Sehingga ke hari ini Faizam masih mengingati peristiwa itu. Akhirnya dia memutuskan untuk melupakan gadis impiannya itu buat selamanya. Namun sayang, semua itu hanya mampu terlafaz di bibir. Hati dan mindanya tidak berdaya menerimanya. Membuatkan Faizam masih terjerat dengan cinta tidak berbalas itu hingga ke detik ini. Walaupun dia telah berusaha sedaya upaya untuk melupakannya.

Tanpa sedar Faizam mengeluh perlahan. Kesal dengan keadaan itu.

“BALKIS sihat?” soal Anaz sebaik salamnya bersambut di hujung corong telefon.

“Alhamdulillah. Balkis sihat-sihat aje kat sini. Abang dan keluarga macam mana? Sihat?” soal Balkis.

Dia melekap kuat telefon bimbit ke telinga yang terlindung di balik tudung. Cuba menghindari deruan angin yang bertiup sedikit kencang agar tidak menganggu perbualan mereka pagi itu.

“Alhamdulillah. Kami semua sihat tapi tulah, semuanya rindu Balkis. Rasa lain aje bila Balkis tak ada kat rumah ni. Sunyi semacam,” ujar Anaz.

Suaranya kedengaran jauh.

“Atuk apa khabar bang? Mesti dia rindu Balkis kan?” tanya Balkis sayu.

Sekilas itu bayangan Tuan Ashman melekat di minda. Rindunya pada datuk kesayangannya itu bukan sedikit waktu ini.

“Mahu dia tak rindu. Balkis kan cucu kesayangan dia, mestilah dia rindu. Sampai demam dia dibuatnya. Tapi Balkis jangan risau. Demamnya dah pun surut lepas makan ubat pagi tadi.”

“Iya ke bang? Teruk ke atuk demam? Dah berapa hari dia demam tu?”

Bertalu-talu Balkis bertanya. Bimbang dengan kesihatan datuknya yang kini berada jauh dari mata.

“Elok sehari Balkis pergi aje, esoknya terus dia demam. Siap meracau panggil Balkis lagi. Risau jugaklah kami mula-mula tu tapi lepas aje dia baca e-mel yang Balkis hantar semalam, terus dia sihat. Lega kami semua,” cerita Anaz sambil tertawa kecil.

Lucu mengenangkan sikap datuk kesayangan mereka yang jarang dapat berpisah jauh dengan cucu-cucunya.

“Habis tu, atuk buat apa sekarang? Boleh Balkis cakap dengan dia kejap?”

“Buat apa lagi Balkis, tidurlah. Bukan ke dah malam sekarang? Dah masuk pagi pun. Lainlah kat sana tu, dah pagi,” balas Anaz.

“Ya tak yalah bang, lupa pulak Balkis,” balas Balkis sambil menepuk dahi.

“Balkis, sebenarnya ada perkara yang abang nak cakap pada Balkis,” ujar Anaz dengan nada mendatar.

“Perkara apa tu bang?” soal Balkis lembut.

Kedengaran Anas menghela nafas perlahan. Serba salah untuk bersuara namun dia tetap membuka mulut.

“Semalam ayah Balkis ada datang ke rumah. Dia nak jumpa Balkis. Jadi abang beritahulah dia yang Balkis dah ada kat London sekarang.”

Teragak-agak Anaz menutur bicara.

“Balkis, are you still there?” tanya Anaz apabila tiada sahutan dari gadis itu.

“Ya bang,” sahut Balkis cepat.

Terkedu sebenarnya dengan berita itu.

“Balkis jangan marah abang ya? Abang sebenarnya tak sampai hati tak beritahu dia pasal Balkis. Yalah. Dia kan ayah Balkis, ayah saudara abang jugak. Jadi abang rasa tak patut kalau abang tak beritahu dia pasal Balkis,” ujar Anaz.

Nadanya kedengaran bercampur baur dengan rasa bersalah.

“Taklah, buat apa Balkis nak marah. Bukannya abang buat salah pada Balkis pun,” balas Balkis sambil memandang teman-teman yang melambai tangan padanya.

“Hmm... tak apalah bang. Lain kali aje kita berbual lagi ya. Balkis kena pergi sekarang.”

Balkis mulai bangkit dari duduk.

“Okeylah. Kirim salam abang pada semua kawan Balkis ya. Jangan lupa hantar berita tau. Kalau ada apa-apa, call aje abang,” ujar Anaz sambil menguap beberapa kali.

“Yalah bang. Sampaikan salam Balkis pada keluarga kita ya. Assalamualaikum,” ucap Balkis sebelum mematikan talian.

Kemudian dia bergegas mendapatkan teman-temannya. Tidak terperasan pada pandangan Faizam yang melihat tingkah lakunya dari jauh.

http://karya-azraaryriesa.blogspot.com/2013/10/bab-34-ketika-hati-bercinta.html

Previous: BAB 33
Next: BAB 35

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh