BAB
14BEGITU perlahan
Farah melangkah hingga bunyi tapak kakinya tidak mampu ditangkap mana-mana
telinga. Kepalanya dijengul di celah pohon-pohon jagung yang tumbuh subur di
ladang seluas lima ekar itu. Jari-jemarinya pula mengetip hujung tudung yang
terbuai-buai dek tiupan angin. Sedang mata liar mencari seseorang.
Farah
tersenyum lebar apabila terpandang kelibat orang yang dicari di penjuru ladang.
Dia menapak semula. Lebih perlahan. Terjengket-jengket mendapatkan seseorang
yang membelakanginya. Duduk mencangkung sambil membuat sesuatu.
“Abang
Ngah!” sergah Farah sambil menepuk bahu lelaki itu.
Imran
Putra tersentak kuat. Terlepas tongkol-tongkol jagung di tangannya. Dia berdiri
lalu berpaling. Memandang Farah yang sudah ketawa berdekah-dekah. Geli hati
melihat wajah pucat lelaki itu.
“Astaghfirullahalazim,
bertuah punya adik. Terkejut abang Ngah. Kalau ya pun bagilah salam,” marah
Imran Putra sambil mengurut-urut dada.
Dia
kembali mengadap timbunan jagung dalam raga besar di depannya.
“Ala
bang Ngah ni, Farah gurau ajelah. Tak baik marah-marah tau. Nanti cepat tua.
Bila dah tua dah tak handsomelah abang Farah ni,” pujuk Farah sambil
tersengih dan menyilang kedua-dua tangan di belakang.
Digoyang
sedikit tubuhnya ke kiri dan kanan.
“Abang
Ngah tak marah tapi geram aje dik,” sahut Imran Putra.
“Farah
datang dengan siapa? Atuk Man dan Nek Nah tahu tak Farah ke sini?”
“Farah
datang dengan kak Teh dan abang Chik. Farah dah beritahu nenek sebelum keluar
rumah tadi,” jawab Farah, manja.
“Mana
dia orang?”
Imran
Putra memanjang leher ke sekitar ladang.
“Tu,
kat sebelah sana. Dia orang tolong abang Lang bersihkan kawasan ladang,” ujar
Farah sambil mengunjuk jari ke satu arah.
“Abang
Ngah, boleh Farah tolong abang Ngah buat kerja?” pinta Farah kemudian.
“Tak
payahlah. Bukannya ada apa pun yang boleh Farah tolong. Setakat nak bersihkan
jagung-jagung ni, abang sorang pun boleh siapkan. Lagipun dah tak banyak ni.
Farah pergi duduk sana diam-diam. Nanti jadi apa-apa susah pulak abang Ngah nak
jawab kat atuk dan nenek Farah nanti,” ujar Imran Putra.
Farah
pula sudah menarik muncung. Tidak puas hati dengan kata-kata Imran Putra.
“Setiap
kali Farah datang sini mesti abang Ngah suruh Farah duduk aje kat dangau tu.
Bukannya nak bagi Farah buat apa-apa pun. Kak Teh dengan bang Chik boleh pulak
buat kerja. Betullah abang Ngah tak adil,” balas Farah, merajuk.
Jari-jemarinya
sudah bermain-main dengan hujung tudung.
“Bukan
macam tu adik sayang. Farah tu kan perempuan, anak dara lagi. Tak baik anak
dara berjemur tengah-tengah panas macam ni. Nanti kalau jatuh sakit, Farah
jugak yang susah. Kak Teh dan abang Chik kamu tu lainlah. Dia orang dah biasa
berjemur buat kerja-kerja ladang.”
Tangan
Imran Putra masih ligat melakukan kerja. Membersihkan timbunan jagung yang
bakal diambil peraih sebentar lagi.
“Eleh,
tu alasan abang Ngah aje. Kak Teh tu pun anak dara jugak. Boleh aje dia buat
kerja kat ladang ni. Farah pun dah biasa apa dengan semua kerja yang ada kat
sini. Abang Ngah tu aje yang tak nak bagi Farah tolong,” balas Farah, masih
merajuk.
“Kak
Teh kamu tu lain sebab memang dari kecil dia dah biasa buat semua ni. Kamu tu
jangan kata nak buat kerja, nak pegang cangkul pun ayah tak bagi. Dah, dah.
Jangan ganggu abang Ngah buat kerja lagi. Pergi duduk kat dangau tu diam-diam.
Kalau Farah nak makan, jagung bakar ada bawah tudung tu. Abang Long baru bakar
pagi tadi. Ambil aje sendiri,” tegas Imran Putra.
Diam-diam
Farah mengangguk. Mengerti sikap lelaki itu. Pantang kata-katanya disanggah.
Lain jadinya nanti. Lalu Farah melangkah ke dangau. Memijak tangga kayu dangau
buluh tidak berdinding itu. Beratap daun nipah semata-mata.
Angin
bertiup sepoi-sepoi bahasa memberikan rasa nyaman pada Farah yang duduk
berjuntai kaki. Berdesir lembut bersama bunyi gemersik terhasil dari geseran
angin pada dedaun jagung yang melambai penuh gemalai. Menyajikan suasana tenang
dan tenteram di ladang yang terletak berdekatan pergunungan banjaran Titiwangsa
itu.
Farah
menarik nafas dalam. Menyedut udara segar yang jarang-jarang dapat dinikmatinya
ketika di Pulau Pinang. Dibuang pandangannya ke seluruh pelosok ladang.
Di
tanah inilah dia, Faizam, Izrin Putri dan Irwan Putra membentuk zaman
kanak-kanak mereka bersama dua orang lagi sepupu sebelah keluarga angkatnya,
Shahrul dan Raniya. Bergaduh, bermain, bergembira adalah antara rencah
kehidupan mereka ketika itu. Saling berkejaran dan mengusik di celahan pohon
jagung yang sehingga kini masih setia di tempatnya.
Merakam
segala pahit manis kenangan mereka. Adakala mereka memancing di anak sungai di
pinggir ladang. Anak sungai yang menjadi sempadan antara ladang jagung Encik
Sulaiman, ayah angkatnya dan ladang jagung datuknya, Haji Rahman.
Namun
semua itu berlaku belasan tahun lalu. Sewaktu masing-masing bergelar
kanak-kanak. Usia meningkat selain kematangan diri berubah mengikut tuntutan
masa menjadikan mereka tidak lagi melakukannya. Sebaliknya masa remaja yang
dilalui waktu ini dihabiskan dengan menimba pengetahuan di negeri orang.
Tidak
juga mereka lupa memecah keringat di ladang tatkala menjejakkan kaki ke kampung
setiap kali musim cuti menjelang. Membantu mengerjakan ladang jagung kepunyaan
orang tua masing-masing. Sesekali timbul juga kerenah keanak-anakan mereka
andai berpeluang berkumpul bersama namun masih di bawah batas adab dan agama.
Puas
menatap pemandangan ladang, mata Farah beralih arah. Menatap gugusan gunung
tidak jauh dari situ. Membentuk sebahagian banjaran Titiwangsa yang tersergam
kukuh di belakangnya. Memukau pandangan serta kekaguman sesiapa saja dengan
kehijauannya. Melayangkan minda Farah pada keluarga angkatnya.
Di
kaki gunung itu terletak penempatan tempat dia menumpang kasih sayang selama
ini. Sebuah kampung yang menjadi kediaman kedua Farah selepas rumah Haji Rahman
dan Hajah Aminah. Rumah keluarga angkatnya.
Setahu
Farah, dia berusia dua minggu ketika dia diserahkan kepada Encik Sulaiman
dan Puan Maisarah. Ketika itu Izrin Putri dan Irwan Putra baru tiga bulan
menjengah dunia. Berkongsi ibu susuan membuatkan hubungan mereka bertiga begitu
erat dan rapat. Begitu juga hubungannya dengan mereka yang lain.
Membesar
bersama keluarga yang tidak dikenali menjadikan Farah begitu disayangi dan
dimanjai seluruh kaum keluarga Encik Sulaiman. Baik datuk mahupun mereka yang
lain begitu mengambil berat dan menjaga kebajikannya hampir sepanjang masa.
Hidupnya umpama minyak ditatang penuh. Malah melebihi adik-beradik angkatnya yang
tidak pernah menyimpan walaupun sebesar hama rasa cemburu atas pembahagian
kasih sayang yang tidak adil di mata Farah.
Lalu
ingatan Farah melayang pada adik-beradik angkat kesayangannya. Selain berbeza
kerenah, lima beradik itu turut mempunyai perwatakan berlainan walaupun masih
ada persamaan sikap antara mereka. Betapa Farah begitu menyayangi mereka
walaupun berlainan susur galur keturunan. Terutamanya pada Imran Putra yang
masih tekun melakukan kerja tidak jauh darinya.
Dalam
lima adik beradik angkatnya, Imran Putra yang paling rapat dengannya. Biarpun
lelaki itu sering bersikap tegas dan garang. Sikap ambil berat dan prihatinnya
terhadap Farah sering mendahului mereka yang lain. Andai Farah bermasalah,
Imran Putra menjadi orang pertama menghulurkan bantuan walaupun adakalanya
bantuan yang diberi melebihi kesanggupannya sendiri. Sikap yang sehingga kini
masih kekal dengannya walaupun telah lama lelaki itu berkeluarga sendiri.
Tetapi
itu tidak bermakna adik-beradik lain tidak menyayangi Farah. Malah kasih sayang
semua membuatkan Farah sering kali terlupa pada kewujudan keluarga kandungnya.
Keluarga yang jarang-jarang ditemui. Jauh sekali berbual mesra dan bergurau
senda seperti yang selalu berlaku antara dia dan adik beradik angkatnya.
Membuatkan hati Farah duka setiap kali mengingati semua itu.
Seingat
Farah, sejak kecil hanya sesekali dia bersua dengan abang-abang kandungnya.
Wajah kedua-dua orang tuanya juga jarang-jarang dapat ditatap. Kesibukan
mencari harta dunia menjadikan mereka lupa dengan kehadiran seorang lagi anak
mereka yang terasing nun jauh di bumi Pahang itu.
Apatah
lagi mengambil tahu keadaan Farah yang sentiasa kepingin merasai kasih sayang
mereka dalam diam. Sayangnya semua itu hanya menjadi impian Farah yang baginya
mustahil digapai sampai bila-bila. Membuatkan air mata Farah gugur beberapa
ketika tengah hari itu.
NISDA menghumban
tubuh di katil. Matanya dipejam celik beberapa kali. Ditarik nafasnya panjang
sebelum dihembus keluar. Wajah Johan melatari mata. Serentak itu dia memekarkan
senyuman. Terukir khas buat anak muda itu walaupun tidak mampu dilihat.
Sungguh
Nisda tidak mampu menipu diri sendiri. Kali pertama mengenali Johan lima tahun
lalu, hatinya bergoncang hebat. Menggegarkan seluruh ruang hati. Menghasilkan
getaran ke seluruh anggota tubuh. Getaran itu masih dirasainya setiap kali
bertentang mata dengan anak muda itu. Bahagia yang dirasa tidak mampu diucapkan
dengan kata-kata. Begitu mengasyikkan.
Setiap
kali dia dan Johan berbicara, hati gadisnya berdebar kencang. Malah makin bergendang
hebat tatkala anak muda itu menghadiahkan senyuman manis. Senyuman itu mampu
menggegarkan hati setiap wanita yang memandang. Mencairkan hati yang telah lama
membeku rasa.
Apabila
dihitung, Nisda mengaku telah lama mencintai Johan. Cinta itu hadir tanpa
dipinta. Cinta pandang pertama. Cinta itu muncul diam-diam. Namun sehingga
kini cinta itu masih tidak mampu diluah biarpun peluang sentiasa terbuka luas.
Entah mengapa bibirnya terkunci rapat setiap kali dia cuba meluahkannya. Hingga
akhirnya perasaan itu hanya dipendam sehingga ke hari ini.
Namun
Nisda sedar. Bukan kerana takut mahupun malu menjadikan dia payah meluahkan isi
hati. Tetapi kerana dia tahu. Tiada cinta di hati Johan buatnya. Bukan sahaja
tidak berputik, malah tunas cinta itu sendiri tidak kelihatan tumbuh. Sedangkan
laman hati Johan telah lama subur dengan pohon cinta. Bukan untuknya tetapi
untuk seseorang lain. Seseorang yang selama ini menjadi musuh utama Nisda dalam
diam. Seseorang yang begitu dibencinya. Farah!
Khayalan
Nisda terhadap Johan berderai serta-merta. Hati yang melimpah dengan cinta kini
digenangi rasa kemarahan sepenuhnya. Marah yang begitu membukit. Disulam rasa
dendam yang tidak pernah surut. Malah bertambah dari sehari ke sehari. Dendam
Nisda buat gadis itu bukan sekadar setitik. Seumpama luas lautan di muka bumi
ini. Malah lebih dari itu. Dendam kesumat yang mustahil terpadam hingga akhir
hayat. Dendam itu Farah tidak menyedarinya. Jauh sekali mengetahui puncanya.
Lalu
Nisda merengus kasar. Sakit hatinya bukan kepalang. Sering Farah menewaskannya.
Bukan sekali bahkan berkali-kali. Dalam setiap perkara yang dilakukan, pasti
Farah mendahului. Menjuarai segala pertandingan yang disertai. Baik
pertandingan pidato mahu pun bola tampar, Farah pasti menggenggam kemenangan.
Sedang
Nisda yang sejak sekolah rendah menjuarai kedua-dua pertandingan hanya mampu
berputih mata. Bukan untuk setahun bahkan lima tahun berturut-turut. Kekalahan
yang begitu memalukan dan mencabar maruahnya. Nisda tidak dapat menerima
kenyataan itu.
Dan untuk kali ini
dia tidak akan mengalah lagi. Dia mahu melihat Farah tewas buat pertama
kali. Ketewasan yang tidak mampu membangkitkan semula gadis itu sekaligus
menobatkan Nisda sebagai juara. Dia ingin Farah tewas sepenuhnya dalam merebut
cinta Johan. Kerana itu dia tidak akan sesekali membiarkan cinta Johan terhadap
gadis kampung itu terus mekar selamanya. Tidak sesekali! Jerit hati Nisda.
Nisda kembali mengukir senyuman penuh makna. Puas dengan janji yang diukir pada
diri sendiri.
http://karya-azraaryriesa.blogspot.com/2013/10/bab-14-ketika-hati-bercinta.html