15
"ALHAMDULILLAH,
syukur kepada-Mu, Ya Allah. Akhirnya, ENGKAU makbulkan
doaku, Ya Allah...” doa Juriah
tak putus-putus sebaik saja doktor mengesahkan yang Osman sudah mula bertindak
balas. Jari Osman sudah bergerak.
Juriah
menggenggam jari-jemari Osman erat-erat. Kala itu juga, dia dapat merasai yang
tangan Osman bergetar kuat. Osman cuba membalas pegangannya.
“Man,
mak kat sini, Man. Syukurlah...” Juriah bersuara sebaik saja Osman membuka
kelopak matanya. Biarpun masih dalam keadaan tidak bermaya, Osman berusaha mahu
berkata-kata. Mulutnya nampak terkumat-kamit ingin katakan sesuatu.
Juriah
merapatkan tubuhnya dekat ke tubuh Osman yang masih terbaring itu. Sebutir dua
manik-manik jernih jatuh dari celah kelopak mata Juriah, gugur berderai di
pipinya. Perasaan sebak bercampur rasa syukur yang tak terhingga melihat
perubahan positif Osman setelah seminggu dia berada dalam keadaan koma.
“Man
nak bagitahu mak apa?” soal Juriah cuba untuk menangkap butir bicara Osman,
namun segalanya tidak jelas. Dahi Osman nampak berkerut-kerut cuba melontarkan
ayat-ayat, namun seperti dia gagal sama sekali.
“Puan,
nampaknya ada sesuatu yang ingin Osman katakan.” Dr. Krishnan yang dari tadi
tercegat di tepi Juriah bersuara.
Juriah
hanya mengangguk bersetuju akan kata-kata doktor itu.
“Man
tanya pasal Dina ke?” tebak Juriah.
Osman
mengangguk perlahan.
“Dina
baik-baik saja, Man. Dia tengah tidur. Nanti dah bangun tidurnya, mak bawak dia
ke mari ya?” balas Juriah seraya mengusap lembut rambut Osman.
Osman
hanya mampu mengangguk. Linangan air mata jernih menubir laju dari kelopak
matanya.
“Kenapa
Man menangis? Kenapa nak?” tanya Juriah sebak. Seperti ada sesuatu yang
menyentuh hati sanubari anak lelakinya itu. Kalau tak, tak mungkin Osman
menjadi sensitif begitu.
“Aaa…
aaa…” Osman cuba mengeluarkan kata-kata, namun butir perkataan yang cuba
dilontarnya seperti tersekat di kerongkong.
“Man,
Man… mahu cakap apa ni? Mak tak faham.”
“Aaaa…
aaaa…” ulang Osman lagi.
“Man,
cakaplah!” Juriah bersuara mendesak. Dalam keadaan tidak percaya akan perubahan
anaknya itu, dia menangis melihat kesukaran Osman ingin berkata-kata.
“Man,
cakap Man. Man nak bagitahu mak apa?” soal Juriah bertalu-talu.
Mulut
Osman ternganga-nganga cuba berkata-kata. namun akhirnya dia tercungap-cungap
mencari oksigen.
“Puan…”
Dr. Krishnan hanya menggeleng memandang wajah Juriah, isyarat agar tidak terus
mendesak Osman.
“Encik
Osman perlukan rehat. Saya khuatir emosinya akan terganggu.” Dr. Krishnan
memberi pendapat sambil membetulkan kepala Osman di perbaringan.
Juriah
hanya mengangguk faham meskipun pandangan matanya bertambah kabur.
“Aaaa…aaaa…”
Suara Osman semakin kuat. Sedaya upaya dia berusaha untuk berkata-kata.
Tangannya sudah terangkat-angkat mahu meraba tangan Juriah.
Juriah
mendapatkan jari- jemari Osman. Digenggam kejap jari-jemari itu, cuba memberi
kekuatan kepada anaknya.
“Am...
pun, mak... am... pun!” Akhirnya terlontar juga kalimah yang ingin dilontarkan
Osman biarpun dalam keadaan yang sangat payah.
“Ya,
Man. Mak dah ampunkan dosa-dosa Man. Mak dah halalkan semuanya. Makan minum
Man, air susu mak, semuanya dah mak halalkan!” kata Juriah berselang sedu dan
air mata.
“Aaa…
aaa…” Osman masih berusaha untuk meneruskan kata-kata.
“Mengucap,
Man. Mengucap. Ikut cakap mak. Lailahaillallah…” Juriah mengajar anaknya
mengucap.
Mulut
Osman terkumat-kamit mahu mengikut kata-kata emaknya.
“Ulang
lagi, Man. Sebut lagi… Lailahaillallah.” Juriah tak putus-putus mengucap
kalimah itu di cuping telinga Osman. Dalam kepayahan, Osman masih berusaha
untuk menuturnya. Namun seketika, Juriah dan Dr. Krishnan saling berpandangan.
Tubuh
Osman kembali terkulai kaku.
“Mann!”
tempik Juriah sekuat hati.
“Man…
Man!” teriak Juriah lagi sambil menggoncang kuat tubuh Osman.
Namun,
tubuh Osman masih seperti tadi. Terkejang kaku, bisu dan langsung tak bereaksi.
Mulutnya terkunci bersama kelopak matanya yang tertutup rapat.
“Puan
Juriah, Osman sudah meninggal dunia.” Dr. Krishnan mengesahkannya selesai saja
memeriksa nadi di leher dan pergelengan tangan Osman.
“Man…”
Juriah menerima khabar itu bersama tangisan panjang.
“Bersabar,
Puan Juriah. Bersabar. Ini semua ketentuan Tuhan.” Dr. Krishan cuba menenangkan
Juriah.
Seorang
jururawat hadir di situ cuba mententeramkan Juriah yang masih memeluk kejap
tubuh Osman.
“Innalillahiwainnailaihirajiun.
Mak cik sabar ya? Yang hidup pasti akan mati. Bertenang dan banyak-banyak
mengucap. Semoga perjalanan arwah ke sana dipermudahkan.” Jururawat itu
bersungguh-sungguh mententeramkan Juriah.
Namun,
Juriah masih meratap tangis. Wajah Osman diusap dengan penuh rasa kasih. Pipi
anaknya itu dicium bertalu-talu.
Dr.
Krishnan mengisyaratkan jururawat itu ke tepi. Dibiarkan saja seorang ibu
melepaskan segala rasa sedihnya menerima hakikat akan kehilangan seorang anak.
Selepas seminggu berada dalam keadaan koma, Osman hanya sedar lebih kurang 10
minit saja. Peluang sesingkat itulah digunakan mereka untuk berbicara. Allah memberi sedetik waktu untuk Osman
memohon ampun daripada ibu yang melahirkannya. Ternyata kegembiraan Juriah
melihat Osman membuka mata tadi hanya sekejap cuma.
“Mak…”
Satu sentuhan singgah di bahu Juriah membuatkan dia tersentak. Mahmud berdiri
di sebelah ibunya dengan mata merah, masih berair lebat. Mereka berpelukan
erat.
“Mud,
Man dah pergi. Man dah pergi tinggalkan kita buat selamanya.”
Mahmud
tidak mampu berkata apa-apa. Dia hanya mengangguk. Sebak di dada mampu dikawal
lagi, berjejehan jua air matanya.
“Abang,
abang!” Suara teriakan Suriyana mengejutkan Juriah dan Mahmud.
“Abang…”
“Ayah…”
Suara teriakan kedengaran semakin kuat.
Suriyana
meluru mendapatkan tubuh Osman di atas katil. Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan
juga turut berlari meratapi pemergian ayah mereka menghadap Ilahi.
“Suri...”
Juriah menerpa, mendakap tubuh Suriyana dan cucu-cucunya.
Mahmud
pun begitu. Dia pantas mendapatkan Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan yang sedang
mengongoi panjang. Di wajah masing-masing terlukis rasa sedih yang amat sangat.
“Ayah…
ayah!” Suara Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna semakin kuat. Kedua-duanya memeluk
tubuh Osman.
Mahmud
mengusap lembut rambut Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna dalam usaha mahu
menenangkan mereka. Tadi Mahmud yang beria-ia menelefon rumah Suriyana
memberitahu keadaan Osman yang sudah sedar daripada koma. Tapi tak disangka
perkhabaran gembira itu bertukar menjadi hiba.
Mahmud
melepas pandang ke wajah Suriyana yang longlai di sisi Osman. Entah kenapa
melihatkan keadaan Suriyana sedemikian, rasa sedih dan hiba di hati Mahmud
bertukar benci dan meluat. Mahmud dapat merasakan yang Suriyana tidak menangis
sepenuh hati, tetapi hanya lakonan semata-mata. Suriyana tidak bersedih meratapi
pemergian Osman, tetapi sebaliknya gembira dengan perkhabaran ini. Kematian
Osman memang dipinta Suriyana.
Sehari dua
ini, Mahmud benar-benar berasa tertekan. Segala rasa marah dan meluatnya
terhadap Suriyana makin berangkai-rangkai
menjadi benci yang amat sangat.
Semua angkara foto yang ditunjukkan Sazali kepadanya. Mahmud sengaja
mengupah Sazali untuk mengumpul bukti dan merancang mahu menunjukkannya kepada
Osman. Tapi sayang, Osman pergi terlebih dahulu sebelum sempat Mahmud
membuktikan kebenaran.
Sungguh
hina perempuan bernama Suriyana ini. Menangis konon! Tangisan yang penuh
pura-pura. Semuanya palsu belaka. Kala suaminya nazak, dia masih lagi boleh
mengikut jantan ke hotel. Perempuan jenis apa ni? Isteri seperti inikah yang
selalu dibela Osman? Betina inikah yang dicintai Osman sepenuh hati?
Arghhh!
Kalau ikutkan rasa marah, benci dan meluat terhadap Suriyana, tak ingin aku
melihat wajahnya. Harap muka saja cantik, tapi perangai mengalahkan jembalang
tanah!
“Ayah!”
Suara halus yang baru hadir ke situ membuatkan lamunan Mahmud melayang pergi
entah ke mana.
Wajah
pucat Wardina Amni meluru mendapatkan emak, abang dan kakaknya di tepi katil
Osman.
“Ayah!”
jerit Wardina Amni seperti baru menyedari situasi yang berlaku. Namun belum pun
sempat dia mendakap tubuh Osman, tubuhnya kini longlai menyembah bumi.
“Ya Allah, Dina…” Hanya itu yang terbit
daripada mulut Mahmud.