27
"WAH, sedapnya bau! Mak masak apa
ni?” Suara Faizul Ikhwan kedengaran dari muka pintu. Dia meluru mendapatkan
Suriyana di tengah ruang tamu.
“Tak sabar sangat dah nak makan
sampai salam pun tak beri?” tanya Suriyana mengangkat punggung mendapatkan
Faizul Ikhwan. Hajat hatinya mahu menonton tv
terbatal.
“Mak, laparlah...” adu Faizul
Ikhwan. Mereka berjalan beriringan ke dapur.
“AIR,” pinta Faizul Ikhwan
kepada Wardina Amni yang sibuk mengatur pinggan di atas meja.
Wardina Amni menuang segelas air sirap lalu dihulur
kepada abangnya.
“Lagi,” pinta Faizul Ikhwan.
Wardina Amni yang tercegat di tepi
meja makan itu, setia melayan abangnya tanpa sebarang rungutan. Namun, hatinya
sangat tersentuh melihat Faizul Ikhwan dalam pakaian seragam sekolah.
Tergamak Suriyana melarangnya ke
sekolah. Sampai hati emaknya membiarkan remaja seusianya tidak mendapat
pendidikan semata-mata mahu dia menjadi bambu di rumah itu. ‘Aduhai, sedihnya
hati! Emak, tak adakah secebis kasihmu buat diriku? Kenapa begitu banyak hak
aku sebagai seorang anak dinafikan di rumah ini? Ayah, sampai bila Dina harus
begini? Dina nak ke sekolah. Dina nak jadi orang bijak pandai. Dina nak jadi
pengacara tv, tapi kenapa mak tak
pernah mengizinkan impian Dina ini menjadi kenyataan? Kenapa mak terlalu
bencikan Dina?’
“Wow, dah lama mak tak masak ikan
talapia goreng sesedap ni!” puji Faizul Ikhwan girang membuatkan lamunan
perasaan Wardina Amni terbang entah ke mana.
“Kau ni, Zul... tak
menyempat-nyempat nak makan. Kalau ya pun, makanlah sama-sama. Basuh tangan,
baca doa dulu,” tegur Mardiah Amna kepada Faizul Ikhwan.
Entah bila Mardiah Amna berada di
situ, langsung tak disedari Wardina Amni.
“Dah basuh tanganlah,” jawab
Faizul Ikhwan sambil terus menggagau lauk dari bawah tudung saji. Isi ikan
talapia merah disumbat lahap ke mulutnya.
“Kalau semua dah ada, jomlah
makan,” ajak Suriyana.
“Hoi, nasinya mana?!” tanya
Mardiah Amna kepada Wardina Amni.
Menyedari mangkuk nasi tambah
tiada di situ, Wardina Amni pantas ke dapur. Nasi dari dalam periuk pantas
disenduknya ke dalam nasi tambah. Dia kemudian segera ke meja makan dan
membubuh nasi ketiga mereka.
“Hoi, takkan kau sorang aje makan
ikan tu?! Aku pun nak jugak,” marah Mardiah Amna apabila dilihatnya Faizul
Ikhwan meratah lahap ikan talapia goreng itu.
“Alah, kalau ya pun lapar,
janganlah berebut-rebut makannya. Mak beli banyak ikan ni tadi.” Suriyana
lembut mententeramkan pertelingkahan anak-anak.
“Ikan gorengnya mana?” tanya
Suriyana dengan suara meninggi apabila disedari Wardina Amni hanya memandang
Faizul Ikhwan makan dengan mata tak berkelip.
“Ikan goreng? Tu aje ada,” jawab
Wardina Amni perlahan.
Wajah Suriyana berubah sama
sekali.
“Takkan banyak ni aje ada? Kau
melantak sorang-sorang kat dapur sampai tinggal tiga ekor aje?” marah Suriyana.
Kalau tadi dia duduk di sebelah Faizul Ikhwan, kini dia mengangkat punggung dan
menunjal kepala Wardina Amni bertalu-talu.
“Dina goreng empat ekor aje. Yang
lebihnya simpan untuk esok,” jawab Wardina Amni takut-takut.
“Empat ekor, habis ni kenapa tiga
aje tinggal?”
“Untuk Dina seekor kat dapur,”
jawab Wardina Amni.
“Oh, pandai kau ya! Sorok makanan
sendiri kat dapur? Siapa ajar, hah?! Dah, bak sini ikan tu!” arah Suriyana
setelah memulas cuping telinga Wardina Amni sekuat hati.
Terkocoh-kocoh Wardina Amni ke
dapur mendapatkan ikan talapia goreng yang disimpan untuknya.
“Zul... Diah... makan ikan ni
kenyang-kenyang,” suruh Suriyana sambil meletakkan ikan goreng itu di depan
kedua anaknya.
“Hisy, bodoh betullah kau ni! Dah
tahu masa ni semua orang tengah lapar, gorenglah semua,” bebel Suriyana sambil
duduk kembali ke kerusinya tadi.
“Ingatkan tadi cukup seekor untuk
seorang dengan saiz ikan tu,” jawab Wardina Amni sambil menunduk memandang
lantai.
“Menjawab, menjawab! Aku lempang
karang, bisu mulut tu baru tau. Dah, masuk bilik kau! Aku nak makan. Terbantut
selera tengok muka kau!” herdik Suriyana kasar.
Wardina Amni akur. Dia berlari
masuk ke dalam biliknya. Menggigil-gigil tubuhnya menahan segala rasa yang
dilontar Suriyana ke jiwanya. Saat ini, Wardina Amni ingatkan dia kuat,
rupa-rupanya tidak. Tanpa dipinta, air mata bercucuran lagi.
AZAN maghrib
yang tadinya berkumandang kini sudah tamat. Hujan lebat, ribut taufan dan guruh
berdentum-dentam petang tadi juga sudah tak bertempik lagi. Sore itu, alam
menjadi sunyi tiba-tiba. Wardina Amni bangkit dari duduknya. Sejak petang tadi
lagi, usai saja bersolat asar, dia begitu ralit mengarang cerpen.
Cerpen itu ditulisnya di dalam
sebuah buku bersaiz A4. Sudah berkajang-kajang ditulisnya. Syukurlah, melimpah
ruah ilhamnya bak hujan lebat yang jatuh dari bumbung langit. Sedar tak sedar,
azan sudah berkumandang kuat, memberitahunya yang senja kian melabuhkan tirai.
Wardina Amni melangkah keluar dari
biliknya. Hasrat hatinya ingin ke bilik air, mengambil wuduk dan mengerjakan
solat maghrib. Melintasi ruang dapur rumah itu, barulah dia sedar yang rumah itu gelap dan sunyi tanpa penghuni
lainnya. Hanya sebuah lampu dipasang, di ruang tamu, di rumah besar itu.
Lantaran terlalu ralit berkurung
dan melayan khusyuk mengarang, dia leka sendiri. Sementelaah pula lampu
biliknya dipasang sejak jam enam lagi kerana hujan lebat dan suasana dalam bilik stor itu menjadi gelap.
“Ke mana semua orang dalam rumah
ni? Keluar makan ke?” soal Wardina Amni sambil menapak kaki ke ruang dapur,
menuju ke bilik air. Matanya melilau ke kiri dan ke kanan. Tanpa mahu
memikirkan perihal mereka lagi, dia segera ke bilik air dan mengambil wuduk.
USAIbersolat dan berdoa maghrib itu, Wardina Amni segera
ke ruang tamu. Dia mengintai dari celahan tingkap nako, memerhatikan suasana di
halaman rumahnya. Pintu pagar rumah mereka kelihatan kemas bermangga. Wardina
Amni cuba membuka pintu depan, berkunci dari luar.
Wardina Amni kemudian berlari ke
dapur. Dia berharap benar moga-moga pintu dan gerigi dapur tidak berkunci dari
luar. Malam ini, dia bernekad mahu melarikan diri dari rumah itu. Dia ingin ke
rumah Ainon meminta pertolongan. Kalau boleh, dia mahu Ainon membawanya bertemu
Juriah dan Mahmud.
‘Lepaskan Dina, mak. Dina rela
pergi dari rumah ni. Dina tak mahu tinggal kat rumah ni lagi. Biarkan saja Dina tinggal kat rumah anak
yatim mana pun. Biar saja Dina menumpang kasih daripada orang lain. Dina serik
mengharap dan terus mengharap diri ini disayangi keluarga ini walhal apa yang
dia dapat melainkan sengsara semuanya.’
“Aduh, pintunya berkunci!” jerit
Wardina Amni geram. Niatnya terhalang. Suriyana seperti dapat membaca
tindakannya. Suriyana seperti tahu yang dia ingin pergi dari rumah itu
senyap-senyap.
“Kalau mak, kakak dan abang dah
tak suka Dina, biarkan saja Dina tinggal dengan nenek.” Wardina bercakap
seorang diri dengan suara lemah. Bagaikan berputus asa mengenangkan nasib tidak
pernah menyebelahinya.
“Mak Cik Ainon! Mak Cik
Ainon! Kak Alin, tolong Dina!” teriak
Wardina Amni berulang-ulang setelah menguak sedikit daun tingkap nako. Dia
meneriak sekuat hati dengan harapan jirannya itu mendengar suaranya.
Tetapi nampaknya rumah itu juga
sunyi sepi. Kereta Ainon yang biasa terpakir di garaj tidak kelihatan.
Mungkinkah Ainon ke rumah anaknya di bandar? Kebiasaan juga, Ainon bermalam di
sana.
“Ya Allah, kenapa sesulit ini kehidupan yang tertulis buatku?
Kenapa Ya Allah, sedangkan aku
cuma mohon sedikit kebebasan ini. Izinkan aku, Ya Allah.” Wardina Amni berdoa, mengubat rasa kecewa yang
benar-benar mencengkam jiwa. Saat ini, harapannya untuk keluar dari situ
seperti punah begitu saja.
Dia kembali ke tengah rumah.
Memerhati segenap ruang. Akalnya laju berfikir, apakah usaha yang mampu
dilakukan untuk membolehkan dia keluar dari situ?
“Nak keluar dari pintu tingkap
nako, mustahil! Sebab tingkap itu bergerigi besi. Kalau kata nak patahkan
tombol pintu, geriji besi di luar juga perlu melakukan hal yang sama. Pasti
gerigi besi itu bermangga.” Wardina Amni bercakap seorang diri.
“Hah!” Matanya terbeliak memandang
telefon rumah.
Ditenyeh matanya beberapa kali
untuk memastikan hal itu. Bermimpikah dia? Benarkah ini atau matanya tersilap
pandang? Tak pernah Suriyana lupa mencabut badan telefon meskipun ke pasar
sekejap cuma. Malah pada waktu malam pun, badan telefon itu dicabutnya.
‘Apakah hari ni emak lupa nak
mencabut badan telefon dan menyoroknya? Mungkinkah ini akan membantuku keluar
dari rumah ini?’ bisik hatinya dengan nada gembira.
Wardina Amni lantas mencapai
gagang telefon. Jari-jemarinya laju menekan nombor-nombor di punat telefon. Dia
mahu bercakap dengan neneknya, Juriah. Namun aneh, tiada sebarang nada
kedengaran di corong telinganya. Telefon itu bisu dan kaku.
“Arghhhh!” Wardina Amni meletak
gagang telefon itu kembali di tempatnya. Usahanya sia-sia belaka. Patutlah
Suriyana tak hairan meninggalkan badan telefon itu, rupa-rupanya peranti itu
tak berfungsi. Mungkin sebab petang tadi hujan lebat dan ribut taufan, maka ada
pokok tumbang dan menimpa kabel telefon. Talian komunikasi itu terputus sama
sekali.
“Huh!” Hanya itu yang mampu
dilepaskan. Satu perasaan yang maha berat, menghimpit dadanya yang kian perit.