Home Novel Keluarga Dia Yang Mengerti
Bab 12

12


"ABANG mintak maaf sangat-sangat Suri kalau selama ni abang ada buat Suri tak senang.” Osman mengatur ayat cuba memancing perhatian isterinya itu.

“Suri tak senang? Apa maksud abang?” tanya Suriyana. Kata-kata Osman itu cukup membuatkan matanya yang terpejam, tercelik kembali.

“Abang nak mintak maaf dengan Suri sebab abang tahu akan kelemahan abang. Abang kesiankan Suri. Suri tentu merana sebab abang, kan?”

“Abang, sudahlah. Tak usah diungkit-ungkit lagi hal ni. Kalau Suri merana, abang pun sama kan? Kita sama-sama merasainya. Dan bagi Suri, semua ni dah takdir. Kenapa pulak tiba-tiba abang nak ungkit semua ni?” tanya Suriyana sambil memeluk bantal, menyandar badan di kepala katil.

“Entahlah, Suri... abang hanya fikirkan yang terbaik untuk dipersembahkan kepada Suri. Tapi sayang, abang tak mampu.” Suara Osman kedengaran kesal. Ada rasa sebak singgah di hati mengenangkan tradegi kemalangan jalan raya beberapa tahun dulu. Peristiwa sedih itu mengakibatkan dia menjadi lelaki yang ‘tidak berdaya’. Puas sudah dia berubat, namun usahanya hanya sia-sia belaka.

“Usah dikesal, bang. Kita dah cuba sedaya upaya. Bagi Suri, cukuplah abang sentiasa berada di sisi Suri. Itu jauh lebih bermakna buat Suri.”

“Bahagianya abang mendengar kata-kata Suri.” Osman meluahkan perasaannya. Dalam sebak, dia merangkul tubuh isterinya itu.

“Terima kasih, sayang. Abang percayakan, Suri. Tolong, jangan persiakan kasih sayang abang. Tolong jaga kepercayaan abang terhadap Suri baik-baik,” bisik Osman dengan suara serak.

Antara sebak yang menguasai jiwa lelakinya, kata-kata Osman kedengaran beramaran di cuping telinga Suriyana. Dia sayangkan Suriyana sepenuh hati, namun rasa curiga yang berkocak hebat di tasik hati membuatkan dia tidak keruan. Namun, demi sebuah hubungan yang berlandaskan kesetiaan dan kepercayaan, Osman tidak mahu buru-buru membuat pertuduhan. Sejujurnya juga dia belum bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Abang kenapa sedih sangat ni?” tanya Suriyana apabila sedar yang suaminya itu sedikit sugul.

“Entahlah. Mungkin sebab abang akan ke luar daerah lagi. Hati abang sayu sangat nak tinggalkan Suri dan anak-anak.”

“Lah, Suri okey aje bang. Bukan tak biasa kami ditinggalkan. Sayang isteri tingal-tinggalkan. Abang tinggalkan Suri sebab sayang Suri, kan?” jawab Suriyana memujuk resah di dada Osman.

Osman tersenyum. Sedikit sebanyak kata-kata Suriyana melegakan perasaannya. “Abang pergi pun tak lama. Dalam seminggu ke sembilan hari. Kalau ada perubahan nanti, abang cerita,” jelas Osman.

Suriyana hanya mengangguk faham.

“Tarikh anniversary kita dah tak lama. Suri nak hadiah apa?” tanya Osman dengan nada ceria. Dia berusaha mahu mengubat rasa gundah di dada. Dia nekad mahu mengusir perasaan jahat yang mula membelit tubuhnya.

“Hadiah? Hmm… abang nak bagi Suri apa?” Suriyana mempamerkan wajah terujanya. Dia merapatkan tubuhnya ke tubuh Osman. Topik baru mereka mengujakan perasaan. Suriyana menyandarkan badannya ke dada Osman.

“Suri bagitahulah. Suri mintaklah apa saja hadiah termahal yang Suri mahu. Kalau abang mampu tunaikan, insya-ALLAH akan abang tunaikan.” Osman menutur lembut sambil mengelus rambut Suriyana yang cantik beralun.

“Betul ke ni, bang?” tanya Suriyana bersungguh-sungguh. Wajahnya berseri-seri. Matanya bersinar-sinar melihat mata Osman yang redup memandangnya.

Anggukan beria Osman membuatkan Suriyana bertepuk tangan. Dia kegembiraan. Otaknya mencongak-congak, memikirkan apa gerangan hadiah termahal yang akan dimintanya daripada Osman.

“Hmm… kalau Suri mintak rantai berlian, mampu ke abang?” tanya Suriyana.

Osman terdiam seketika.

“Tentu boleh, sayang. Lagipun, memang itu yang abang fikir nak bagi Suri.”

“Wow, terima kasih bang!”

“Tapi, janji dengan abang. Suri akan menyayangi abang sehingga ke akhir hayat Suri. Tiada cinta yang lain di hati Suri melainkan untuk abang.”

“Yalah, bang. Mana ada lagi cinta yang lain selain untuk abang!” tegas Suriyana.

“Betul ke ni, sayang?” Osman inginkan ucapan kepastian. Dia mahu melihat ketulusan isterinya berkata-kata.

“Yalah, bang. Sumpah! Hanya abang di hati Suri. Suri tak mungkin dan takkan khianati cinta kita selama ni. Hanya abang di hati Suri, satu-satunya. Percayalah!” Suriyana mengikat janji.

Kata janji Suriyana bagai benar belaka. Jadi, harus bagaimana untuk dia melayan rasa curiganya lagi?



RASA sedih dan kecewa bertali-temali dalam diri Osman. Dia benar-benar rasa tercabar, namun tidak berdaya mahu menidakkan segala apa yang dilihat di depan matanya tadi. Hubungan mereka bukan setakat berpegangan tangan, malah berpeluk-pelukan manja dan berdakapan mesra berjalan ke bilik hotel. Apa lagi nak dikatakan apabila seorang wanita dan lelaki berdua-duaan dalam bilik hotel pada waktu begini?

Sudah dua jam masa berlalu. Osman masih menunggu dengan penuh sabar di dalam kereta, di kawasan parkir hotel. Dia mahu menyiasat dan melihat dengan mata kepala sendiri kisah kecurangan seorang isteri. Malam ini, dia telah mengatur semuanya dengan lebih teliti. Mujurlah dia terfikir untuk menyewa kereta demi melicinkan pergerakannya. Sejak dari rumah lagi, Suriyana dan lelaki itu langsung tidak sedar yang diri mereka sedang diintip. Rancangannya sudah berjaya membongkar kegiatan maksiat isteri sendiri.

‘Ya ALLAH, hanya Tuhan yang tahu betapa perasaan ini tersentap hebat! Sukar mahu berdepan dengan hakikat yang menyakitkan ini. Ya ALLAH, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, tabahkanlah hatiku.

Tetapkan imanku, Ya ALLAH. Kuatkan hati ini untuk menerima setiap ujian-Mu. Aku tidak mahu terlalu mudah kecewa dan berputus asa, Ya ALLAH. Aku mahu selesaikan semua ini dengan sebaiknya. Astaghfirullaalazim! Ya ALLAH, aku tidak pernah rasa betapa hebatnya rasa sakit di jiwa ini. Rasa luka ini terlalu dalam, Ya ALLAH!’

Dalam resah berbaur marah dan kecewa, Osman masih memujuk dirinya agar terus bersabar. Dia cuba untuk berzikir dengan sepenuh hati. Dia berusaha keras, cuba mengusir segala rusuhan perasaan yang membuatkan tubuhnya menggeletar hebat. Dia beristigfar panjang agar TUHAN menetapkan imannya daripada bertindak di luar kewarasan manusia normal.

Kalau diikutkan rasa marah yang mendidih-didih, ingin sekali dia merodok perut lelaki yang begitu berani membawa isterinya memanjat tangga hotel itu. Biar saja dia digelar pembunuh daripada menyaksikan kecurangan isteri dan jantan keparat yang entah dari mana asalnya itu.

Kini, Osman sedar... dia terlalu taksub dengan kasih sayang Suriyana. Matanya buta hanya kerana cinta palsu Suriyana. Sedikit pun dia tak menduga sedemikian sikap Suriyana di belakangnya. Selama ini, dia menganggap Suriyana permaisuri hatinya yang memegang cinta suci mereka dengan penuh tulus dan setia. Tapi sayang, detik ini terbukti sudah. Suriyana bukan saja menikamnya, malah telah membunuh jiwa raganya. Sesungguhnya, hanya ALLAH Yang Maha Tahu, betapa remuk hatinya dengan perlakuan Suriyana. Semangatnya benar-benar lumpuh.

Tanpa sedar, Osman menangis. Dia tahu kerana kekurangan dirinya, maka Suriyana tega mencari kekasih baru. Tergamak Suriyana berzina, menanggung dosa seumur hidup. Kasih sayang yang tulus suci hanya untuk wanita itu ternyata sudah dipijak-pijak rakus oleh isterinya sendiri. Entah sudah berapa lama Suriyana memperbodohkan dirinya, dia pun tak tahu.

Malam ini, terang lagi nyata maruahnya sudah dipijak-pijak isterinya sendiri. Cintanya sudah dilempar ke tempat yang jijik dan penuh hina. Ternyata wanita yang disanjunginya itu sudah berpaling daripada cinta mereka hanya kerana tuntutan nafsu serakah. Suriyana sudah terjerumus dalam perangkap syaitan dan iblis.

Ya ALLAH, Kuatkan imanku untuk menyaksikan semua ini, Ya ALLAH. Ampuni hamba-Mu, Ya ALLAH. Aku berdosa kerana gagal menjadi pemimpin terbaik buat isteriku. Aku lelaki dayus, Ya ALLAH. Aku sudah menemui jawapannya. Aku gagal membimbing Suriyana menjadi insan yang jauh lebih baik daripada sejarah lampaunya. Gagal, gagal sama sekali!



“EH, abang dah sampai?” Lunak suara Suriyana menyambut kepulangan Osman di muka pintu. Dia mencapai beg kerja suaminya. Tangan suaminya dikucup mesra.

“Suri apa khabar?” tanya Osman sebaik saja melangkah masuk ke dalam rumah. Dia memaniskan wajah, cuba berlagak mesra dengan isteri kesayangannya itu meskipun hatinya sudah hancur lebur. Sedaya upaya dia cuba gagahkan sisa-sisa semangat yang masih ada. Senyuman manis Suriyana yang menyambut kepulangannya seakan mengejek-ejek dirinya.

“Baik-baik saja, bang. Suri rindukan abang sangat-sangat. Terasa begitu lama abang tinggalkan Suri dan anak-anak,” jawab Suriyana ceria.

“Betul ke ni? Betul ke Suri rindukan abang?” tanya Osman sambil melabuhkan punggung di sofa, di tengah rumah. Tawar hatinya ingin berbicara mesra, namun dia perlu belajar untuk menjadi seorang pelakon sehebat lakonan isterinya itu.

“Eh, betullah abang! Abang tahu tak, sehari abang tinggalkan Suri, jiwa Suri rasa terseksa. Abang tahu tak, siang malam Suri berdoa agar abang cepat-cepat pulang. Suri rindu sangat-sangat. Takkan abang tak faham perasaan Suri? Cinta Suri hanya untuk abang. Tiada dua, tiada tiga. Anak-anak pun bukan main sibuk tanyakan abang,” jawab Suriyana tenang dan manja. Dia memandang seraut wajah suaminya dengan pandangan yang mencerminkan ketulusan. Keikhlasan.

Osman hanya mengangguk mengiakan. Betapa bijaknya Suriyana mengatur ayat. Mana tak perasaan Osman mudah mencair selama ini?

“Suri pergi simpan beg abang ni kejap. Abang duduklah sementara Suri buat air.” Lemah lembut tutur kata Suriyana. Dia mengatur langkah, meletakkan beg kerja suaminya di dalam bilik perpustakaan.

Osman tersenyum hambar. Betapa indahnya kata-kata yang diucap isterinya itu. Manis bak madu. Hampir saja dia terpujuk dengan kemesraan dan keramahan wanita itu melayaninya. Andai kata dia tak tahu siapa sebenarnya Suriyana, tentu saja dia tewas dengan perasaan marah dan kecewa yang tersimpan buat wanita itu.

Tidak lama kemudian, Suriyana kembali di situ. Dia melirik pandang akan seraut wajah Osman yang tak lepas memandangnya.

“Abang…” panggil Suriyana manja dan penuh menggoda.

Osman tersentak. Cepat-cepat dia melemparkan senyuman buat Suriyana.

“Kejap abang. Suri buatkan air. Tentu abang dahaga, kan?” Suriyana gesa-gesa ke dapur. Dia nampak bersungguh mempersembahkan layanan terbaik buat Osman.

Osman tersenyum dan cuba untuk tersenyum. Dia sedaya upaya menyembunyikan gelodak rasa di jiwa. Entah mengapa, kala itu perasaan sebak mula menguasai segenap inci tubuhnya. Mengenangkan babak laku Suriyana di belakangnya, hatinya bagai dihiris-hiris. Di rumah, di depannya, Suriyana begitu baik melayaninya. Kalau diikutkan logik akal, langsung tidak munasabah isterinya itu sanggup mencuranginya.

Diam-diam Osman akui, betapa lakonan mantap Suriyana setanding lakonan hebat Seniwati Siput Sarawak dalam setiap filemnya. Tiap gerak laku isterinya itu begitu berkesan di hati. Betapa menjadinya lakonan primadona cantik itu di pentas dunia. Terasa begitu bodoh dirinya sehingga terlalu mudah dia dipermainkan wanita yang mendapat tempat teratas di carta hatinya.

‘Ya ALLAH, tega sekali Suri memperlakukan abang semua ni,’ bisik hati Osman lirih. Perasaannya makin tak tertahan. Rasa sebak makin menyesak dada. Kepalanya tiba-tiba berasa tepu yang amat sangat.

“Eh, abang nampak tak sihat aje! Abang okey tak ni?” tanya Suriyana penuh cakna. Wajahnya nampak cemas. Dia pantas melabuhkan punggung di sisi suaminya itu. Gelas berisi air sirap di tangannya, diletak di atas meja kopi. Dahi Osman dirabanya.

“Abang okey. Mungkin penat sikit,” jawab Osman tidak mahu Suriyana susah hati.

“Minum sikit, bang. Biar lega panas badan abang tu.” Suriyana menyuakan gelas ke mulut suaminya.

Osman akur menghabiskan segelas air sirap itu.

“Abang pergilah berehat, tidur. Jom, Suri pimpin abang ke bilik.” Suriyana membantu suaminya untuk bangun.

Osman tak berkata apa-apa. Dia hanya menurut langkah kaki isterinya.

Menyedari jari-jemari Suriyana yang sedang memegang tangannya kejap-kejap, entah kenapa dirinya bagai dihempas tsunami perasaan yang cukup hebat. Hati sanubarinya kian merusuh. Segalanya sudah tidak terkawal lagi. Segala emosi sedih dan kecewa, makin lebat menggayuti setiap tangkai jantung hatinya. Sungguh, betapa dia tidak rela untuk memikirkan hal Suriyana lagi. Cukuplah fikiran jahatnya merasuk dia untuk membenci wanita itu. Meskipun tidak rela dan masih cuba menolak sebuah realiti, ternyata tubuhnya mula mengusung sengsara.

Benar kata orang, memendam rasa membuatkan jiwa merana. Antara cinta, kasih dan sayang yang mulai ranap, Osman terlalu takut memikirkan kebencian yang menyala-nyala di dadanya. Memikirkan sebuah kehidupan di hari mendatang juga kemaafan buat Suriyana, akalnya benar-benar buntu.

Kalau selama ini dia sudah bergelar lelaki dayus, adakah sepanjang hayatnya dia mahu menanggung dosa akan sikap isterinya itu? Bukankah baik kalau dilepaskan saja isterinya itu? Tapi, mampukah dia sedangkan perasaan sayangnya masih berbaki?

‘Suri, apakah Suri benar-benar sayangkan abang? Apakah Suri gembira kalau abang sakit dan cepat-cepat mati? Abang pun tak tahu, apakah layanan Suri terhadap abang tika ini benar-benar ikhlas atau palsu semuanya? Hati abang sakit, Suri. Sakit yang amat sangat bila Suri seksa abang dengan cinta dusta Suri. Sungguh abang tak sangka Suri tergamak menjadi seorang yang hipokrit! Suri memang hipokrit!’ tempik Osman, bergema kuat dalam tubuhnya yang mula menggigil.

“Dah, abang jangan fikir apa-apa lagi. Tak elok kusutkan kepala abang fikir yang bukan-bukan. Abang tidurlah. Nanti bila anak-anak balik, Suri kejutkan abang. Kita makan sama-sama,” pujuk Suriyana bagai dapat membaca fikiran Osman yang sedang berserabut. Dia kemudian membantu membaringkan tubuh Osman.

Osman memejam mata rapat-rapat. Dia tidak berkata apa-apa untuk membalas kata-kata isterinya. Kala Suriyana menutup kembali daun pintu kamar tidur mereka, hatinya berasa sungguh sayu. Dia bagaikan terasing. Laksana terlempar di sebuah pulau sendirian, begitulah tak ubah cintanya di hati Suriyana.

Isterinya itu sudah pun membuang cintanya jauh-jauh. Kepura-puraan itu punya maksud yang tersendiri. Suriyana tidak pernah menuntut hubungan mereka diputuskan kerana Osman bisa memberikan kemewahan material kepadanya. Itulah yang Osman faham akan perangai isterinya.

Osman cuba mengheret nafas dalam. Entah sampai bila dia mampu bertahan menyimpan segala rasa ini sendirian, hanya Al Khalid saja Maha Tahu. Dia pun tidak pasti, apakah kesabarannya masih berbenteng kukuh di sanubari? Entah, mungkin tika ini hatinya sekeras batu, tapi hari esok mungkin ada kemaafan buat Suriyana.

Osman pun tidak tahu apakah jalan terbaik yang perlu dipilihnya? Memikirkan hal anak-anak, mengajarnya agak tidak terlalu terburu-buru membuat keputusan. Dia perlukan ketenangan. Sedikit rasa tenang memberikan impak yang baik untuk setiap keputusan yang waras dan adil.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.