Home Novel Keluarga Dia Yang Mengerti
Bab 26


26


"AYAH yakin... Dina boleh berjaya mencapai cita-cita. Impian mesti seiring dengan usaha yang gigih. Insya-Allah... segalanya akan berbaloi.”

“Terima kasih ayah, doakan Dina.” Terharu Wardina Amni mendapat sokongan daripada ayahnya.

“Ayah juga berdoa semoga suatu hari nanti, anak ayah berjaya menjadi seorang penulis buku kanak-kanak dan novel remaja yang berjaya.”

“Penulis buku kanak-kanak dan novel remaja, hah?! Mana ayah tahu Dina nak jadi seorang penulis buku?” tanya Wardina Amni terkejut.

Come on, sayang. Ni kan ayah. Mana mungkin ayah tak tahu apa yang tersirat di hati anak sendiri. Ayah tahu, Dina nak tulis kisah cinta Dina yang berangan mahu berkahwin dengan anak raja, kan? Beradu kasih di kayangan, kan?”

“Ayah! Mana ada? Ayah ni…” Terjerit Wardina Amni dengan usiakan ayahnya. Wajahnya mulai merona merah.

“Hah... kan dah malu. Tapi kalau Dina tulis tentang putera impian Dina pun okey juga!” usik Osman lagi.

“Hisy, tak mahulah ayah! Malulah Dina kalau orang dapat baca apa yang tersurat di lubuk hati Dina.”

“Itu cadangan ayah aje. Dina boleh tulis apa-apa saja. Tentang kisah kasih sayang sesama manusia, tentang ketuhanan dan apa-apa saja. Janji apa yang Dina nak tulis tu memberi manfaat kepada Dina dan juga kepada pembaca.”

“Entah menjadi, entah tidak impian Dina tu, ayah. Dina hanya impikan saja.”

“Dina sayang... insya-Allah. Dengan izinnya, daripada impianlah menjadi harapan. Daripada harapan serta usaha dan semangat yang tak pernah kenal putus asalah, segalanya boleh dicapai. Tak mustahil suatu hari nanti, Dina bisa memetik dan menggenggam bintang kejap-kejap.”

“Aduh, tinggi bintang tu ayah! Nak mendongak ke langit pun adakalanya payah, inikan pula memetik dan menggenggam bintang,” jawab Wardina Amni.

“Ingat sayang, perkara tu tak mustahil. Ayah sentiasa doakan yang terbaik untuk anak-anak ayah. Andai kata ayah akan pergi meninggalkan Dina untuk selamanya, terus berazam untuk mencapai cita-cita. Abadikan kisah kasih sayang keluarga kita dalam novel Dina tu. Lakukan demi ayah ya?”

“Insya-Allah, ayah... insya-Allah. Dina akan lakukannya demi ayah,” janji Wardina Amni sambil mencium pipi ayahnya bertalu.

“Hah, macam nilah ayah nak dengar! Anak ayah mesti bersemangat tinggi. Jangan cepat berputus asa. Dan yang paling penting, walau apa pun yang berlaku, perjalanan hidup mesti diteruskan hingga ke nafas terakhir kita. Andai kata ayah sudah tiada di dunia ini, Dina lakukan yang terbaik demi ayah. Demi mendapat reda Ilahi,” pesan Osman bersungguh-sungguh.

“Insya-Allah,ayah. Tapi, Dina tak sedap hatilah bila ayah cakap macam ni,” kata Wardina Amni berterus terang.

“Aik, ayah cakap macam mana pulak?!”

“Tak adalah, bila ayah cakap sudah tiada di dunia tu. Dina takutlah ayah cakap macam tu,” ujar Wardina Amni lagi.

“Ayah ingatkan apa tadi. Bimbang ayah, takut tersalah cakap, karang Dina berkecil hati pulak.”

“Eh, eh, ayah gelak pulak!”

“Sayang, kita tak tahu apa yang bakal berlaku pada hari esok, apa yang akan jadi dengan segala usaha kita hari ini, bila dan di bumi mana kita akan mati. Jadi, beringat-ingat tentang kematian itu adalah perlu supaya kita lebih bersedia menghadapinya.”

Wardina Amni terdiam.

Dalam perjalanan pulang dari bandar itu, mereka terus rancak berbual sehinggalah seorang lelaki menahan kereta mereka di tepi jalan, berdekatan dengan ladang getah. Wajah lelaki itu nampak cemas. Dan Osman yang berjiwa murni tidak berkeberatan menolong lelaki itu. Menurut lelaki itu, enjin keretanya mati dan perlukan bantuan kereta lain untuk menghidupkan enjin keretanya.

Tanpa mengesyaki niat jahat lelaki itu, Osman menurut kata lelaki itu untuk menolongnya. Mereka masuk ke dalam ladang getah, hampir satu kilometer jauhnya dari jalan raya. Dan tanpa diduga, musibah telah menimpa mereka berdua. Nyawa Osman tumpas diragut perompak berjiwa binatang itu. Osman meninggal selepas lebih seminggu koma di hospital.

Kebencian dan dendam Suriyana semakin menjulang tinggi terhadapnya selepas kematian Osman. Tragisnya lagi, abang dan kakaknya turut menyalahkannya. Tiada lagi hubungan mesra mereka seperti suatu ketika dulu, melainkan rasa benci dan dendam semata-mata.

‘Ayah, macam mana Dina nak berjaya capai cita-cita Dina kalau sekolah pun Dina tak pergi? Dina benar-benar teringin nak ke sekolah. Dina rindukan cikgu dan kawan-kawan di sekolah Dina. Dina pun nak belajar macam orang lain. Dina nak berjaya seperti mereka. Tapi, mak sama sekali melarang Dina ke sekolah. Mak tak pernah faham dan tahu apa yang tersirat di hati Dina. Mak takkan mengerti dan tak mungkin mengerti semua harapan Dina.

“Ya Allah… ENGKAU berikan aku kekuatan, Ya ALLAH untuk melalui semua ini dengan tabah dan reda. Tidak hamba diuji-Mu melainkan dengan kemampuan hamba. ENGKAU berikanlah aku sekeping hati yang kental, dipelihara kesihatan mental, fizikal dan dibuang jauh-jauh akan rasa marah, benci dan dendam terhadap mak jua abang dan kakakku. Aku amat menyayangi mereka.

Aku tahu, ENGKAU Maha Tahu, Ya Allah. Kebencian ini menjadi semakin ketara kerana salah faham mereka terhadapku. Harapanku, Ya Allah, ENGKAU palingkan hati mereka agar segala kebencian mereka terhadapku akan segera surut. Agar kebencian ini menjadi rasa kasih dan cinta. Semoga suatu hari nanti, aku bisa merasa biarpun setitis cuma kasih sayang itu.

Wardina Amni meraup wajahnya yang sudah kebasahan dengan air mata. Dia kemudian mencapai sebuah diari dari bawah bantal dan mencoretkan sesuatu.

Ruang bilik stor ini terlalu sempit. Aku ter­sepit dan terhimpit antara barangan usang yang tidak lagi diperlukan tuannya. Dalam tim­bunan surat khabar dan majalah lama, aku mencari ruang untuk bernafas. Meskipun bilik ini pada mulanya terlalu berhabuk, namun saban hari aku berusaha membuang habuk itu de­ngan harapan penyakit lelahku tak akan datang. Syukurlah, meskipun sesempit ini ruang untuk aku berteduh, tapi sekurang-kurangnya emak masih ada sekelumit rasa sayangnya padaku. Masih waras untuk tidak membuang aku sewenang-wenangnya ke daerah yang maha asing.

Demikianlah diriku kini, persis barangan terbuang. Di rumah besar ini, aku dilayan tak ubah se­perti seorang gelandangan di sebuah kota raya yang besar. Bak seorang pengemis, aku merempat dan terus mengharap simpati orang demi sesuap nasi. Ada waktunya aku dikeji, dihina dan dipandang mereka dengan penuh jijik. Kehadiranku langsung tak dipedulikan mereka meskipun ke­lahiranku ke dunia ini, bukan aku yang pinta. Sekali pun aku tidak pernah mahu menjadi manusia yang dipandang sebegini rendah oleh ma­nusia lain apatah lagi dari kaca mata seorang ibu.

Sendiri, sepi merantai jiwaku yang kosong. Dalam kebisuan dan kekakuan rumah ini, aku masih berharap dan terus berharap, semoga suatu hari nanti aku bisa berkongsi gelak tawa bersama mereka. Aku mahu membina impian pada masa hadapan. Impianku semoga kami akan mencipta bahagia bersama.

Bisakah aku? Bisakah aku tabah untuk terus berkelana di bumi-Mu, Ya Allah. Bisakah aku hidup bahagia dalam rasa marah, benci dan dendam kesumat yang berakar umbi di jiwa mereka? Ya Allah, kasihani hamba-Mu, Ya Allah. Andai kata, umurku masih panjang, izinkan aku mengecapi bahagia Ya Allah. Hanya kepada-Mu aku bermohon dan hanya kepada-Mu jua, aku berserah.

“Dina! Dina!”

Suara lantang Suriyana mengejutkan Wardina Amni. Lantas dia menutup diari tadi dan disorokkannya segera di bawah bantal.

“Ya Allah! Mak dah balik.” Hanya itu yang terlantun keluar di bibirnya.

“Dina! Dina!” teriak Suriyana lagi menyebabkan tubuh Wardina Amni serta-merta menggigil.

Suriyana sudah pulang daripada berbelanja. Wardina Amni pasti pasal itu kerana setiap hari Rabu pasti ibunya ke pasar membeli lauk-pauk. Semenjak sebulan yang lalu juga, hidupnya tak ubah seperti budak suruhan di rumah itu. Dia dilarang keras untuk keluar dari rumah sama ada ke sekolah mahupun bertemu Amalin, anak kepada jiran mereka, Ainon.

Suriyana semakin tegas. Peraturan yang dikenakan terhadap Wardina Amni semakin ketat. Suriyana seperti berpendapat yang Wardina Amni mengadu domba hal dirinya kepada orang luar. Maka, Suriyana nampak risau sekiranya rahsia jahatnya terbongkar. Sememangnya Wardina Amni berusaha mencari jalan untuk keluar dari rumah itu, namun dia buntu. Harus bagaimana untuk dia keluar dari situ, sedangkan pintu dapur dan pintu utama rumahnya dimangga dari luar.

Kepada siapa mahu dia meminta pertolongan sedangkan kelibat Ainon dan Amalin langsung tidak kelihatan? Puas sudah dia mengintai mereka dari celahan tingkap yang terkuak, namun seperti mereka sentiasa tiada di rumah. Wardina Amni pernah berusaha menjerit dan berteriak, mengharapkan simpati kenderaan yang lalu-lalang, namun usahanya nyata sia-sia belaka. Tiada satu kenderaan pun yang mendengar jeritannya.

Suriyana telah mencabut wayar telefon rumah dan menyoroknya entah di mana. Wardina Amni tahu, Suriyana tidak mahu dia berhubung dengan sesiapa. Pernah juga Wardina Amni cuba masuk ke bilik,emaknya namun dia gagal kerana pintu bilik itu berkunci.

Suriyana sengaja mengurungnya. Suriyana memang mahu menderanya hati dan perasaannya, mental dan fizikalnya. Ya Allah, kenapa sekejam ini seorang ibu terhadap anaknya?

“Hei, Dina! Aku panggil kenapa tak menjawab? Dah pekak ke bisu kau ni?” tunjal Suriyana bertalu-talu membuatkan Wardina Amni tergamam.

Entah kenapa dia terlalu hanyut dalam mainan emosi sendiri. Entah bila Suriyana datang ke biliknya dan bercekak pinggang dengan wajah menyinga. Berkali-kali Suriyana memanggilnya dan dia pun tak tahu kenapa dia tak menjawab.

“Lembap! Agaknya betullah tanggapan aku yang kau ni dah kena sawan masa demam hari tu.” Wardina Amni terdiam cuma mendengar kata-kata Suriyana.

‘Eeii, geramnya aku! Kenapa aku panggil tak menjawab ni? Eh, Dina... kau dengar ke tak ni aku cakap!” tempik Suriyana sambil tak sudah mencubit bahu Wardina Amni membuatkan Wardina Amni menjerit dan menangis kesakitan.

“Menangis! Menangis! Menangis!” herdik Suriyana membuatkan tangisan Wardina Amni bertambah panjang.

“Hei, aku bilang sampai tiga, berhenti menangis sekarang!” Suriyana beramaran keras dengan mata mencerlung garang.

Wardina Amni terkedu. Dia menarik nafas dalam, cuba membuang segala rasa yang bergelojak di jiwa. Rasa sedih dan hiba bertukar rasa gerun.

“Sekarang, basuh muka kau. Pergi simpan semua sayur tu dalam peti ais. Lepas tu, siang ikan. Cuci ayam tu bersih-bersih. Lepas tu goreng, faham!” arah Suriyana membuatkan Wardina Amni terlopong besar.

“Siang ikan? Cuci ayam? Dina tak reti, mak...” jawab Wardina Amni dengan nada terketar-ketar. Kalau tersilap buat atau kerja yang dilakukan tak sempurna, pasti Suriyana melenting lagi. Dia tak mahu tubuh badannya menjadi tempat pelepas kemarahan Suriyana.

“Hei, kau tu dah umur berapa?! Takkan dah 14 tahun tak reti nak buat itu semua? Takkan semua perkara nak kena ajar? Sekarang, kau buat semua ni, buat! Tau goyang kaki, baca buku saja. Ewah, ewah... banyak cantik muka kau!” marah Suriyana.

Wardina Amni tak betah duduk di situ lama-lama.

“Mak, Mak Cik Kiah kenapa lama tak datang rumah kita?” soal Wardina Amni. Semenjak pembantu rumah mereka tiada, Wardina Amni dapat merasakan yang beban kerja di rumah itu tergalas di bahunya seorang.

“Kau ni, kenapa? Asal aku suruh buat kerja, kau sibuk bertanyakan orang tua tu. Kiah tu kan dah lama mati! Buat apa kau nak sebut-sebut nama dia lagi?”

“Hah! Mati?” tanya Wardina Amni dengan nada terkejut. Berubah air mukanya.

“Ya, mati dilanggar kereta.”

“Bila mak?”

“Arghhh, mana aku tahu! Sudah, aku nak kau bereskan semua ni. Aku nak pergi mandi.”

Wardina Amni kemudian meluru ke dapur. Berita yang diterima daripada Suriyana benar-benar mengejutkannya. Air mata bercucuran mengenangkan Rokiah. Setelah sekian lama Rokiah tidak datang ke rumah itu, baru hari ini dia tahu rupa-rupanya wanita itu sudah meninggal dunia.

“Ya Allah, tempatkan Mak Cik Kiah di kalangan hamba-Mu yang soleh solehah. Semoga rohnya damai di sana bersama arwah ayah.” Wardina Amni membaca surah Al-fatihah dengan perasaan sebak yang tak tertanggung.

“Hei, buat apa lagi tu?! Aku suruh kau buat kerja, bukannya menangis!” herdik Suriyana sekembalinya dia di sisi Wardina Amni.

Wardina Amni terperanjat besar dan segera menyapu air mata. Seperti mana yang diarahkan, dia pantas membereskan satu per satu kerja-kerja di dapur itu. Suriyana tercegat di muka pintu dapur. Matanya melingas memerhati gerak kerja Wardina Amni.

“Hoi, buat betul-betul! Jangan kotorkan dapur ni. Aku nak mandi, panas. Kalau bersepah dapur ni, nahas kau, aku kerjakan.”

Kepala Wardina Amni terangguk-angguk faham mendengar kata-kata Suriyana itu. Dia tak berani mengangkat muka. Cukuplah dia mengiakan dengan isyarat badan.

Dia cuba menyiapkan segala kerja di dapur itu secepat mungkin. Kisah sedih tentang Rokiah cuba dilenyapkan daripada perasaannya. Meskipun tangannya masih menggeletar hebat, terkejut dengan perkhabaran itu, namun ditahannya. Dia cuba bertenang agar segala kerja yang dilakukan menjadi dan sempurna.

Seusai saja menyiang ikan dan membersih ayam, Wardina Amni mengasingkan ikan yang hendak dimasak dan yang mana mahu disimpan di dalam peti ais.

“Kalau nak goreng ikan ni, senang aje Dina. Ikan atau ayam, kena kelar dulu. Sebab masa kita goreng nanti, masaknya sekata sampai ke dalam. Ambil secubit garam halus, sedikit serbuk kunyit agak-agaklah dengan jumlah ikan atau ayam yang kita nak goreng. Hati-hati bubuh garam, takut terlebih masin. Lepas tu, lumur sekata dan balik-balikkan badan ikan ni. Perap sekejap, lepas tu bolehlah goreng.” Wardina Amni masih teringat akan kata-kata Osman.

Tika itu, dia sedang membantu Osman memasak di dapur. Lantaran terbiasa melakukan kerja-kerja membantu ayahnya di dapur, Wardina Amni tidak berasa kekok meskipun kerjanya masih belum cekap.

Wardina Amni mencapai kuali dan memanaskan minyak. Sementara menunggu minyak panas untuk menggoreng ikan, barulah dia teringat yang nasi masih belum ditanak. Periuk nasi elektrik segera dicapai. Tiga pot beras diisi ke dalam periuk dan tangannya ligat membasuh beras tersebut. Tak lama kemudian, beras sudah pun ditanaknya.

Bau ikan yang sedang digoreng Wardina Amni, kini mengepung segenap ruang dapur dan rumah itu. Ketika itu, Suriyana baru saja selesai membersihkan diri. Terciumkan bau yang enak, dia keluar dari bilik. Dia mengintai ke arah dapur. Semerbak harum bau ikan tilapia merah yang digoreng Wardina Amni, membuatkan perutnya berasa lapar. Diam-diam, dia berasa kagum dengan hasil kerja Wardina Amni. Baru sekejap cuma dia meninggalkan dapur untuk mandi dan merapikan diri, tetapi ikan sudah di dalam kuali.

“Boleh tahan juga budak ni ligat buat kerja. Baru tingkatan dua, tetapi boleh diharap. Lepas ni makin senanglah kerja aku,” komen Suriyana sebaik saja kembali ke biliknya. Dia menyisir rambutnya yang panjang mengurai.


Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.