24
MARISSA NORHANIS
akhirnya pulang ke rumah itu selepas beberapa bulan tidak menjejakkan kaki ke
rumah mereka. Malam tadi, Marissa Norhanis menelefon dan bercakap panjang
dengan Halim. Anaknya itu meluahkan perasaan rindu dan sayang yang teramat
terhadap mereka. Halim juga dengan
rendah diri, meminta maaf kerana telah
mengabaikan perasaan anak sendiri. |
Sememangnya sebagai seorang
ayah, Halim cukup memahami sikap manja anaknya itu. Sesekali, sikap Marissa
Norhanis jelas mewarisi sikap tegas Halim yang bergelar majistret. Bukan lagi
bertegas, mungkin juga bersikap diktator. Keputusannya rigid dan sukar
dipengaruhi sesiapa.
Pertemuan kali ini,
mereka mahu menghabiskan waktu sebaiknya. Mereka mahu saling berkongsi cerita
demi meleraikan segala rajuk di hati. Petang itu, mentari memancar lembut.
Warna jingga di kaki langit kian berserakan. Mereka anak-beranak meluangkan
waktu di situ. Bersuka ria, bergurau senda. Mereka ke ladang jagung. Luas
ladang jagung itu saujana mata memandang.
Mereka berjalan dan
terus berjalan. Hampir sejam mereka berjalan, barulah mereka tiba ke hujung
ladang.
“Eh, arnab! Arnab!”
teriak Marissa Norhanis kegembiraan.
“Mana, kak? Mana?”
tanya Hakim melilau mencari apa yang dimaksudkan Marissa Norhanis.
“Wah, comelnya dia!”
kata Marissa Norhanis dengan teruja. Dia berlari mendapatkan sepasang arnah
putih yang nampak jinak.
“Ha’ahlah ayah, ibu.
Comelnya dia. Jinak lagi,” kata Hakim sambil mengusap-usap badan arnab putih
itu. Arnab putih itu langsung tidak terkejut dengan kehadiran mereka, malah
begitu lahap memakan pucuk-pucuk tumbuhan yang melata di kawasan ladang itu.
Halim memetik pucuk
pokok jagung dan mengeluarkan beberapa tongkol putik jagung di antara celah
daun dan tangkainya. Putik jagung itu lantas diletaknya di depan pasangan arnab
putih tadi. Pasangan arnab putih itu kian lahap menerima pemberian Halim.
Marissa Norhanis
teruja. Hakim dan Raudah Maryam juga sedemikian. Tak pernah mereka bertemu
dengan arnab hutan ini. Tak pernah mereka mendekati binatang jinak ini apatah
lagi mengusap bulu badannya. Kalau sebelum-sebelum ini mereka hanya melihatnya
di zoo.
“Ayah, ibu... tengok
tu. Kim nampak tak tu?” Suara Marissa
Norhanis kedengaran menjerit riang.
“Kim! Kim! Mehlah sini.
Kau tengok, dia suka sekali kat kakak. Kaki seluar kakak pun nak digigitnya,”
beritahu Marissa Norhanis yang sedang
mencarik-carik pucuk jagung di tangannya untuk dibahagikan kepada arnab itu.
Hakim tergelak sambil
mendekati tubuh Marissa Norhanis.
“Kak, bukan kaki seluar
kakak yang dia nak gigit, tapi dia nak makan putik jagung yang jatuh kat seluar
kakak tu,” jelas Hakim.
“Oh...” Marissa Norhanis hanya tergelak memerhati
seekor dua arnab yang memijak kakinya hanya kerana mahu makan putik jagung yang
jatuh di hujung seluar treknya.
“Kakak gelilah. Macam
gigi dia kena kat kulit kaki kakak lah pulak.”
Marissa Norhanis tergelak lagi mengiakan kata-kata Hakim itu.
Raudah Maryam dan Halim
turut tergelak melihat gaya Marissa
Norhanis yang menahan geli.
Hakim membantu Marissa
Norhanis mencarik-carik pucuk pokok jagung. Dia turut mengeluarkan putik jagung
di antara celah pelepah dan tangkainya lantas dilonggok ke tanah. Hakim dan
Marissa Norhanis kemudiannya bertinggung, melayani kumpulan arnab yang mula
mengerumuni putik jagung tadi.
“Tak sangka ya arnab
makan putik jagung. Ingatkan makan lobak aje!”
“Mana nak cari lobak
kat sini, kakak? Makan ajelah, apa-apa yang ada. Kan arnab comel, kan?” jawab
Hakim sambil bercakap-cakap dengan arnab di depannya.
Marissa Norhanis
mengambil seekor arnab yang berada di kakinya sejak tadi dan mengangkat tubuh
arnab itu dekat dengan wajahnya.
“Alahai, comelnya dia!
Kita ambik bawak balik, boleh tak ibu, ayah?” tanya Marissa Norhanis sambil mengagah-gagah arnab
hitam itu.
“Cup! Cup! Cak! Cak!”
agah Marissa Norhanis berkali-kali.
Namun arnab yang nampaknya jinak sebentar tadi tiba-tiba bertukar agresif.
Arnah itu seperti berusaha mahu meloloskan diri daripada pegangan Marissa
Norhanis. Akhirnya arnab hitam di tangannya berjaya melompat ke tanah.
Marissa Norhanis
buru-buru mengejar arnab tadi kala disedarinya kumpulan arnab itu bertempiaran
lari seperti takutkan sesuatu.
“Arnab yang lain takut
kot bila kakak angkat tinggi-tinggi macam tu. Arnab tu rasa terancam agaknya,”
komen Hakim.
Marissa Norhanis masih
mengejar arnab yang dipegangnya tadi tanpa mempedulikan kata-kata Hakim. Dia
nekad mahu membawa arnab itu pulang ke rumah. Hatinya sudah terpaut akan wajah
comel arnab tadi. Sudah jatuh kasih dengannya.
Marissa Norhanis
memanggil-manggil arnab hitam tadi dengan harapan arnab itu kembali kepadanya.
“Cup! Cup! Cak! Cak!”
ulang Marissa Norhanis lagi.
Matanya melilau ke
kawasan semak, mencari-cari tubuh arnab yang bersembunyi entah ke mana. Sekejap
benar mereka menghilang. Raudah Maryam dan Halim yang memerhati gelagat anaknya
itu hanya menggeleng kepala.
“Aduh, hilang ke mana
pulak?!” rungut Marissa Norhanis.
“Jomlah, kakak. Dah
lewat petang ni. Lain kali kita datang sini lagi, ya?” pujuk Raudah Maryam
menyedari wajah hampa anaknya.
“Sekejaplah bu, ayah.
Kakak nak tangkap arnab tadi. Kakak nak bawa balik rumah,” laung Marissa
Norhanis yang semakin menjauh daripada mereka.
“Jomlah, kakak.
Matahari dah nak terbenam ni. Langit dah nampak jingga benar tu,” panggil Halim
pula seraya memandang ke wajah langit. Terpukau dia memandang keindahan langit
petang yang berserakan warna merah jingga.
“Layang-layang pun dah
galak terbang, pulang ke sarang,” sambung Halim lagi.
“Subhanallah, indah
sekali panorama ciptaan Allahpetang
ni ya, bang?” komen Raudah Maryam.
Kepalanya dipanggung ke
wajah langit sambil melangkah kaki, merapati tubuh suaminya. Raudah Maryam
kemudian memegang erat tangan suaminya itu. Kelakuannya dibalas dakapan mesra
Halim ke tubuhnya. Hakim memandang kemesraan ayah dan ibunya itu dengan penuh
rasa bahagia.
“Eh, mana pulak kakak
ni?!” Hakim berpaling ke belakang mencari susuk tubuh Marissa Norhanis.
“Ya Allah, kakak!” Hakim bertempik kuat
kala matanya menujah tajam ke tubuh
Marissa Norhanis yang sudah longlai dipatuk seekor ular tedung selar.
“Maryam, anak kita
Maryam! Ya ALLAH... kakak dipatuk ular!” jerit Halim, terkocoh-kocoh berlari
mendapatkan Marissa Norhanis.
“Allahuakbar!
Allahuakbar!” Hanya itu yang kedengaran di cuping telinga Halim. Kalimah Allah Maha Besar, yang dilaung oleh
isterinya itu cukup menggambarkan perasaan cemas Raudah Maryam.
“Kakak! Kakak!” Halim
bertempik kuat.
“Kakak, mengucap kak,
mengucap!” kata Raudah Maryam dengan nada tangisnya yang semakin kuat. Kepala
Marissa Norhanis kini di ribanya.
“Ikut kata ibu, ikut.
Lailahailallah, Muhammad ya rasulullah,” ulang Raudah Maryam beberapa kali.
Marissa Norhanis
tercungap lesu, mahu menyebut kalimah yang diajar ibunya. Bibirnya bergerak-gerak
bersama bebuih putih yang kian mengalir hingga ke dagu. Matanya layu. Tenaganya
sudah terlalu lemah.
Hakim membantu Halim
mengikat pergelangan betis Marissa
Norhanis dengan stoking yang baru saja ditanggal anak lelakinya itu. Harapan
mereka agar stoking itu dapat membantu memperlahankan aliran darah Marissa Norhanis ke serata tubuhnya. Sebentar
tadi, Halim sudah pun menghisap keluar bisa ular dari tubuh anaknya. Halim
dapat membayangkan apa yang akan berlaku andai kata racun ular tedung selar
yang berbisa itu akan menghentikan degup jantung anak gadisnya itu.
Satu-satunya anak perempuan yang dia ada.
Halim mencepong pantas
tubuh Marissa Norhanis. Dia berlari dan berlari dengan sekuat hati. Tujuannya
hanya satu, mahu segera membawa Marissa Norhanis ke hospital. Langkah kaki
Halim yang berlari laju turut dikejar Raudah Maryam dan Hakim. Perjalanan
mereka dari hujung ladang jagung itu dirasakan terlalu jauh pula untuk tiba ke
kereta dalam keadaan cemas begini.
“Ayah... cepat ayah. Cepat ayah!” teriak
Hakim.
Halim melajukan
langkah. Berat badan Marissa Norhanis bagai tidak terbeban di badannya.
Meskipun kakinya berasa sangat kejang dan sakit, Halim sudah tidak pedulikan
semua itu. Apa yang penting, soal hidup mati Marissa Norhanis.
Nyawa Marissa Norhanis
bak telur di hujung tanduk. Kalau suntikan anti venom lambat diambil... Ya
ALLAH, tak sanggup Halim memikirkan semua itu.
“Ayah... cepat ayah!
Baringkan kakak kat sini,” arah Hakim. Pintu kereta sudah pun dikuak lebar.
Enjin kereta sudah pun dihidupkan Hakim sejak tadi.
Halim yang kecungapan
membaringkan tubuh Marissa Norhanis di tempat duduk belakang. Seketika, Halim
terbatuk-batuk menahan lelah di jiwa. Batuknya panjang dan berulang-ulang.
Terduduk tubuhnya di rumput bumi. Badannya tersandar lesu di badan kereta,
dekat dengan tayar.
Raudah Maryam menjadi
tidak tentu arah. Perasaan panik bertambah cemas melihat keadaan suaminya.
Sesekali dia melihat keadaan Marissa Norhanis. Sesekali pula matanya berubah
arah ke arah Halim.
“Kim... ayah kau ni,
Kim! Ayah kau kenapa ni, Kim? Ya ALLAH! Abang kenapa?” teriak Raudah Maryam
seraya mengurut belakang suaminya.
Melihat keadaan Halim,
Hakim tidak jadi menutup daun pintu kereta. Sebenarnya, dia sudah berada di
tempat pemandu dan bersedia untuk memandu kereta milik ayahnya itu. Dia mahu
segera membawa Marissa Norhanis boleh dibawa ke hospital.
Dalam benaknya hanyalah
satu iaitu anti venom. Anti venom ialah sejenis penawar yang akan melawan
segala bisa racun ular tedung selar yang mematuk betis kakaknya tadi. Dia tidak
mahu terlambat dan mempertaruhkan nyawa kakaknya di ambang kematian. Ya
ALLAH...
“Kim, cepat Kim!”
Raudah Maryam menjerit lagi.
Hakim keluar dari perut
kereta lantas menerpa mendapatkan tubuh ayahnya yang hampir terbaring di tanah.
Ada darah merah pekat keluar membuak-buak daripada mulut Halim.
“Ya ALLAH! Ayah kenapa
ni? Cepat bangun, ayah! Kita kena bawa kakak ke hospital dengan segera. Nyawa
kakak dalam bahaya,” desak Hakim sambil membantu ayahnya bangun. Namun, Halim
masih terbatuk-batuk panjang. Darah merah pekat semakin banyak kelihatan di
bibir.
“Jangan pedulikan ayah.
Cepat bawa kakak ke hospital,” arah Halim dengan suara tersekat-sekat.
Tangannya menekan dada yang sakit.
“Bangun ayah, bangun!”
desak Hakim seraya memegang lengan Halim. Dia mahu membantu ayahnya bangun.
“Usah pedulikan ayah. Cepatlah hantar kakak ke hospital. Pergi! Pergi!” gesa
Halim lagi.
Mendengar perkataan
kakak, Hakim mengintai dari cermin kereta yang direndahkan. Melihat keadaan
Marissa Norhanis, denyut nadi Hakim bagai terhenti.
“Ya ALLAH kakak...
kakak!” tempik Hakim dengan nafas tercungap-cungap sebaik saja pintu kereta
dikuak.
Suaranya tersekat-sekat
menahan sejuta rasa sebak sebaik saja memeriksa nadi tubuh Marissa Norhanis.
Hakim memeluk tubuh Marissa Norhanis kejap-kejap. Dia menangis, meratap,
meraung sambil memanggil-manggil nama kakaknya.
“Tidak, kakak! Jangan
pergi dulu, kak. Kim sayang kakak. Kim sayang kakak.” Tangisannya kian lirih
membuatkan Raudah Maryam dan Halim terpempan hebat.
Raudah Maryam menerpa
mendapatkan tubuh Marissa Norhanis. Tanpa suara, dia memeluk tubuh anak
perempuannya itu kejap-kejap. Seketika, suara tangisannya merintih pilu.
“Hah, apa? Tidak!
Tidak, Hakim tidak! Tak mungkin! Tak mungkin! Kakak, jangan tinggalkan ayah.
Jangan tinggalkan ayah, kakak! Jangan kakak! Jangan pergi dulu!” tempik Halim
berkali-kali.