Home Novel Keluarga Dia Yang Mengerti
Bab 11

11


"PERGILAH, sayang... main puas-puas. Jangan main dekat air sangat ya. Kalau basah, susah. Kita tak bawak pakaian salin.” Suriyana lembut mengizinkan Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan yang meminta kebenarannya mahu bermain bola di tepi pantai.

Mersik suara Suriyana menjadi sajian halwa telinga Osman, begitu menyejukkan kalbu. Merenung seraut wajah Suriyana, Osman tertawan. Kala melayan kerenah Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan, isterinya itu tak pernah lekang dengan senyuman. Hati Osman turut senang melihat semua itu. Osman terpandangkan seraut wajah polos Wardina Amni yang begitu khusyuk membaca komik Bahasa Inggeris di kerusi batu, bersebelahan dengan tikar mereka.

Sejak dari dulu lagi, Osman tahu yang anak bongsunya ini minat membaca. Maka dengan itu, setiap kali dia ke luar daerah atas urusan bisnes, pasti dia tak lupa mencari bahan bacaan yang sesuai untuk Wardina Amni. Banyak buku cerita kanak-kanak dan novel remaja dihadiahkan buat anak bongsunya itu.

Sama ada buku bahasa Inggeris mahupun bahasa Melayu, Wardina Amni pasti teruja menerimanya. Buku kisah penyiasatan James and friends yang dibelinya semasa berada di Ipoh, sememangnya dicari khas untuk anaknya itu. Osman tersenyum meleret melihat wajah Wardina Amni yang sesekali nampak berkerut-kerut dan sesekali tersenyum sendiri.

Menatap wajah anaknya itu, dia disapa bahagia. Sebagai seorang ayah, dia sering memikirkan masa depan anak-anak. Potensi pelajaran Wardina Amni sangat menyerlah kalau dibandingkan pencapaian akademik Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan.

Sejak mula bersekolah sehingga anaknya kini berada di tahun 6, Wardina Amni selalu mendapat keputusan cemerlang. Dia tidak pernah gagal untuk mendapat tempat pertama di dalam kelas. Jauh di sudut hati, Osman yakin suatu hari nanti Wardina Amni pasti menjadi seorang yang berjaya. Andai dijaga dan digilap permata ini sebaiknya, pasti dia menjadi sesuatu yang bernilai.

Osman tahu, Wardina Amni pernah memberitahunya yang dia bercita-cita mahu menjadi seorang pembaca berita. Kata Wardina Amni lagi, dia mahu jadi terkenal seperti pengacara Majalah 3, Wan Zaleha Radzi. Osman mendengar baik tentang cita-cita anak-anaknya. Dia menyokong penuh minat dan impian mereka. Begitu juga Faizul Ikhwan yang berimpian mahu menjadi ketua polis negara dan Mardiah Amna yang mahu menjadi seorang pereka fesyen bertaraf antarabangsa.

“Kau biar betul Zul nak jadi polis. Ketua polis negara pulak tu. Beranganlah kau, penakut!”

“Apa pulak berangannya, kak?”

“Kau tu, asal gelap aje, menjerit. Asal tak ada karan aje, dah gelabah cicak. Nak jadi ketua polis konon. Ceh, pirahhh!” sindir Mardiah Amna.

“Diah, tak baik cakap Zul macam tu. Biarlah, itu cita-cita dia. Mungkin sekarang ni dia penakut, esok-esok dia berani. Mana tahu?” Osman menegur kata-kata Mardiah Amna yang memperlekehkan cita-cita Faizul Ikhwan.

“Padan muka kena marah. Sekurang-kurangnya Zul ada cita-cita. Kakak tu langsung tak ada matlamat. Siang malam menghadap tv aje.” Giliran Faizul Ikhwan pula mengenakan kakaknya.

“Ek eleh... tolonglah, Zul! Akak nak jadi pereka fesyen antarabangsa. Terkenal seluruh dunia. Akak nak bawak nama Malaysia ke negara-negara hebat dengan dunia fesyen.”

“Mimpilah kakak tu!”

“Eh, apa pulak mimpi?! Dah cita-cita aku. Kau kenapa nak sibuk?”

“Boleh akak bagitahu Zul negara yang terkenal dengan fesyen tu? Zul tak tahulah.” Suara Faizul Ikhwan kedengaran mengejek. Dia sengaja mengajukan soalan itu untuk menguji kakaknya.

“Kau carilah sendiri. Kenapa tanya akak pulak?”

“Eh, kata tadi tahu!” perli Faizul Ikhwan.

“Tahulah. Milan, Itali, Paris, Perancis,” jawab Mardiah Amna yakin.

“Betul ke jawapan kakak tu, ayah?” tanya Faizul Ikhwan mencebik.

“Entahlah, Zul. Betul kut,” jawab Osman apabila tiba-tiba namanya disebut dalam perbualan mereka.

“Hah, kan dah betul! Kau apa tahu? Ketua polis negara konon.” Mardiah Amna mentertawakan adiknya apabila Osman seakan menyebelahi jawapannya.

“Sudahlah, kak. Excited sangat! Yang penting, kakak tu tak payahlah berfesyen sakan macam orang putih tu. Seksi situ sini, macam tak cukup kain kat dunia ni.” Faizul Ikhwan mengingatkan kakaknya membuatkan Mardiah Amna mencemik.

“Kau Dina, takkan diam aje?” tanya Faizul Ikhwan seraya mencuit lengan Wardina Amni.

Wardina Amni yang ralit menyiapkan kerja sekolahnya sejak tadi, memaling wajah apabila namanya disebut.

“Kenapa bang?” tanyanya terpinga-pinga seakan tak sedar akan topik perbualan abang dan kakaknya.

“La, semua orang bercakap pasal cita-citalah!” Mardiah Amna memberitahu.

“Oh, ya ke? Kenapa tiba-tiba pulak bercakap pasal cita-cita?” soal Wardina Amni.

“Alah, cikgu suruh siapkan karangan. Pasal cita-cita. Sajalah abang tanya cita-cita kakak dan Dina,” jelas Faizul Ikhwan.

“Hmm… cita-cita Dina sebenarnya, nak jadi pengacara Majalah 3.” Wardina Amni bercerita jujur.

“Hah! Pengacara Majalah 3?” Serentak dengan itu kedengaran tawa mengejek Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna. Pecah perut mereka gelakkan Wardina Amni.

“Abang dengan kakak tak baik tau gelakkan Dina. Lepas ni, tak nak cakap dah!” Suara Wardina Amni kedengaran merajuk.

“Tak apa. Biarkan saja dia orang gelakkan Dina. Ayah kan ada, ayah akan sokong cita-cita Dina. Tapi, Dina kena belajar bersungguh-sungguh. Buktikan kepada mereka yang Dina akan berjaya. Biar dia orang gelak sepuas-puasnya. Esok-esok, dia orang akan terdiam bangga melihat Dina berada di puncak kejayaan.” Osman memujuk, meredakan perasaan Wardina Amni yang nampak terasa hati dengan ejekan abang dan kakaknya.

“Ayah, sebenarnya Dina ada satu lagi impian. Ayah tahu tak Dina nak sangat jadi seorang…” cerita Wardina Amni bersungguh-sungguh.

“Sudahlah, dik. Tak sangka ya, kau ni berangan nak masuk tv. Nak cari glamorlah tu,” komen Faizul Ikhwan memotong cakap Wardina Amni.

“Nasib baik tak cakap nak jadi penyanyi ke, pelakon ke. Hahaha...” tokok Mardiah Amna pula membuatkan tawa mereka makin terburai.

“Zul, Diah!” Suara Osman kedengaran beramaran. Dia tidak mahu kedua-dua anaknya berterusan mentertawakan Wardina Amni.

“Ada lagi ke impian Dina?” tanya Osman begitu cakna akan kata-kata Wardina Amni tadi.

“Hmm… tak ada apa-apalah, ayah.” Wardina Amni menjawab. Dia tidak ingin lagi berkongsi cerita, khuatir menjadi bahan tawa abang dan kakaknya.

Osman tak memaksa Wardina Amni untuk memberitahu. Namun jauh di sudut hati, dia tertanya-tanya juga apa impian anak bongsunya itu. Sehinggalah beberapa malam lepas, dia terbaca akan luahan hati anaknya untuk menjadi seorang penulis buku kanak-kanak dan novel remaja.

Mengingatkan diari milik Wardina Amni itu, tiba-tiba dia teringatakan coretan luahan perasaan anaknya. Lantas akalnya terus dirayapi rasa curiga. Dia mula berprasangka jahat sehingga perasaan itu melarat ke ruang hati. Nalurinya tercemar dengan pelbagai persoalan. Tiada lagi cerita tentang anak-anak yang melayari mindanya. Yang bertebaran kini adalah persoalan tentang Suriyana.

Benarkah Suriyana mencintaiku? Apakah dia masih ikhlas menerima kekurangan diriku? Apakah dia masih berpegang pada janjinya untuk sama-sama saling melengkapi?

Ya ALLAH , kenapa sejak malam tadi lagi naluriku berbisik yang bukan-bukan? Kenapa hati ini meronta-ronta mahukan kepastian? Mungkinkah ada kebenaran di setiap cerita yang dibawa angin yang menderu-deru selama ini? Apakah tepat tindakanku selama ini yang bersikap memekakkan telinga? Bodohkah diriku yang buat-buat tak endah akan sinisnya pandangan orang terhadapku? Ya Rabbi, dayuskah aku?

“Hah, tangkap bola tu Zul! Cepat!” arah Mardiah Amna menjerit-jerit. Suara lantang anak sulungnya menerobos ke telinga Osman. Teriakan itu bagai tidak mengizinkan dia larut dalam perasaan. Dia menghela nafas sebelum menebar pandangan ke arah mereka.

Faizul Ikhwan akur dengan arahan kakaknya. Dia berlari sepantas mungkin, cuba menangkap bola yang mula bergolek laju menuruni beting pasir, menuju ke gigi pantai. Sepakan luar biasa Mardiah Amna membuatkan bola itu bolos dari jagaan Faizul Ikhwan yang berlagak sebagai penjaga gol.

“Woi, Zul... cepatlah! Terkedek-kedek, macam ibu itik pulang petang,” usik Mardiah Amna lagi.

Suaranya dilaung kuat melawan suara ombak yang menderu-deru. Sesekali dia nampak marah melihat Faizul Ikhwan yang kemengahan mengejar bola. Sesekali juga, dia ketawa terbahak-bahak mengenangkan kemenangannya.

Osman sekadar tersenyum melihat kerenah anak-anak. Dia kemudian meneruskan bacaan di dada akhbar.

“Itulah, berlagak sangat. Jangan fikir perempuan lemah. Tengok, hari ni kakak dah buktikan yang Zul tu sebenarnya tak sehebat mana.” Mardiah Amna menyambung ayatnya apabila tubuh Faizul Ikhwan mula dekat dengannya.

Faizul Ikhwan buat-buat tak dengar. Bola tersebut dikepit di bawah ketiak sementara dia menceracak semula dua batang kayu dari ranting pokok untuk dijadikan tiang gol yang sudah senget.

“Eleh, kakak ni! Zul saja nak bagi akak peluang. Kalau tak, akak tension pulak!”

“Yalah tu, Zul. Banyaklah kakak tension, muka kau tu yang nampak tensionsemacam!”

“Okey, kita tengok siapa yang lebih hebat. Kalau akak boleh kalahkan Zul kali ni, kakak memang hebat. Zul akan tabik akak,” balas Faizul Ikhwan bersungguh-sungguh akan kata-kata Mardiah Amna lagi. Dia sudah pun melempar bola ke arah Mardiah Amna. Bola bertukar tangan.

“Hahaha… kalau tak hebat jangan berlagak lebih, sudah!” Mardiah Amna ketawa mengejek. Sengaja dia memulakan serangan psikologi terhadap adiknya sebelum dia membuat serangan sebenar.

“Sudahlah, kak!” marah Faizul Ikhwan.

“Fokus betul-betul. Lepas ni kau jangan salahkan bola ni bulat pulak.” Mardiah Amna masih tidak berpuas hati mahu menyakat adiknya.

“Arghhh, cepat-cepatlah akak!” bentak Faizul Ikhwan.

“Nah!” Mardiah Amna menyepak sekuat hati.

“Nah, ambik kau!” balas Faizul Ikhwan pula. Tendangan bola Mardiah Amna tidak ditepisnya, malah dibalas dengan tendangan sekuat hati. Bola itu melambung-lambung sebelum terkena tepat ke muka kakaknya.

“Aduh, mak! Kau memang jahatlah, Zul!” tempik Mardiah Amna.

“Mak, ayah! Tengoklah Zul tu. Dia jahat. Sengaja tendang bola kat muka kakak.” Mardiah Amna mengadu. Dia lantas meninggalkan Faizul Ikhwan dan belari ke arah Suriyana, Osman dan Wardina Amni.

“La, kenapa?” tanya Osman menyedari wajah Mardiah Amna yang mula mendung mahu menangis. Dia yang ralit menatap surat khabar terkejut.

“Zul tu, ayah. Dia sengaja tendang bola kat muka Diah,” jelas Mardiah Amna sambil menggenyeh matanya yang pedih lantaran dimasuki habuk pasir. Dia melabuhkan punggung di tepi Osman di tikar itu.

“Dah seronok-seronok main, gaduh pulak? Huhh!” tegur Suriyana separuh merengus. Dia yang ralit membaca majalah memanggung wajah, memandang Mardiah Amna.

“Meh, sini... ayah tengokkan,” pujuk Osman seraya meniup mata Mardiah Amna yang nampak berair.

“Emak tak gemar tengok anak-anak mak bergaduh. Datang sini nak suka-suka, kan?” keras suara Suriyana menegur anak-anaknya. Dia meletakkan majalah atas tikar.

“Sini kau, Zul!” laung Suriyana bercekak pinggang.

Faizul Ikhwan akur mendekati tubuh Suriyana.

“Boleh tak kalau main tu baik-baik. Jangan gaduh-gaduh. Pening kepala mak tau, eeii!” Mahu saja dipiat telinga Faizul Ikhwan mahupun Mardiah Amna. Namun, kornea mata Osman yang menujah pandang ke arahnya membuatkan hasratnya terbatal. Akhirnya, dia merengus panjang. Perasaan geram terbuku di dada.

“Itulah kau!” Mardiah Amna bersuara, masih menyalahkan Faizul Ikhwan yang tercegat macam patung cendana.

Faizul Ikhwan tak berkata apa. Mujurlah Suriyana tidak jadi menarik telinganya meskipun dia cukup bersedia menerima sebarang hukuman tadi.

“Sudahlah, Diah. Tak ada apalah. Sikit aje ni. Adatlah kalau kena sikit-sikit masa bermain tu,” pujuk Osman menenangkan situasi tegang anak-anaknya.

“Kalau dah tak nak main, jomlah kita balik!” ajak Suriyana dengan wajah bosan.

“Dah puas bermain? Nak main lagi ke nak balik rumah dah?” tanya Osman meminta pandangan anak-anak.

“Diah, Zul... kenapa diam aje? Ayah tanya ni. Bukannya ayah marah.” Osman cuba meredakan ketegangan, memahami konflik dalaman anak-anak.

“Ayah, dah lama kita tak makan ayam goreng KFC? Ayah belanja boleh?” Wardina Amni yang sejak tadi terdiam melihat keadaan tegang abang dan kakaknya, menyampaikan buah fikiran apabila masing-masing tak bersuara.

“Alah, baru hari tu makan ayam KFC. Boring betullah adik ni!” Mardiah Amna tidak bersetuju dengan cadangan Wardina Amni.

“Eh, hari tu kakak makan ayam kat KFC ke? Sedapnya. Dina mana ikut,” luah Wardina Amni. Nada suaranya kedengaran kecewa.

“Itulah kau, siapa suruh sakitkan hati mak. Padan muka tak dapat ikut jalan-jalan. Tak dapat makan ayam KFC.” Giliran Faizul Ikhwan pula menokok kata-kata Mardiah Amna.

Wardina Amni memandang wajah Suriyana sebelum beralih ke wajah Osman. Sungguh, kata-kata itu begitu menusuk kalbu. Tanpa sedar, dia telah menyakiti hati emaknya? Tapi atas alasan apa dan kenapa? Benak Wardina Amni laju berfikir. Sungguh, dia langsung tak perasan akan hal itu.

“Tak apalah, kalau Dina nak makan ayam goreng nanti ayah beli bungkus. Kita makan kat rumah,” pujuk Osman lembut menyedari air muka anak bongsunya.

“Alah, Diah nak makan sate ayah!” tegas Mardiah Amna.

“Zul pun.” Faizul Ikhwan menyokong kakaknya.

“Emak pun terasa nak makan sate. Kita makan ajelah kat kedai. Tak payah bungkus-bungkus balik rumah.” Suriyana membuat keputusan.

“Tiga orang dah setuju. Dua orang lagi belum buat keputusan. Sama ada setuju atau tidak, yang tiga dah menang. Macam mana, ayah?” Mardiah Amna mahukan kepastian dan jawapan yang tepat daripada Osman.

Osman menarik nafas. Dia mengangguk tenang. Nak tak nak, dia terpaksa berlaku adil.

“Baiklah. Ayah terpaksa ikut keputusan majoriti.” Osman mengumumkan keputusannya membuatkan mereka bertiga menjerit riang.

Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna sudah pun berlari ke kereta. Masing-masing nampak tak sabar mahu makan sate.

“Suri tunggu dalam kereta ya, bang.” Suriyana mencapai majalah di atas tikar. Dia kemudiannya berlalu, masuk ke dalam kereta menyertai Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan yang makin girang bercerita.

“Lain kali ayah belanja Dina makan KFC, ya?” pujuk Osman menyedari riak wajah anak bongsunya yang nampak kecewa.

Wardina Amni tersenyum mengangguk menyembunyikan perasaan terkilannya. Entah kenapa, hati Osman tersentuh. Dia perasan, ada cecair jernih bergenangan di kelopak mata anak bongsunya itu.

“Cepatlah ayah! Lapar ni!” teriak Faizul Ikhwan. Kepalanya sudah pun terjojol keluar dari cermin tingkap.

“Yalah, yalah!” balas Osman seraya mengibas tikar. Dia kemudian melipat tikar itu dengan dibantu Wardina Amni.

“Jom, Dina,” ajak Osman lembut. Dia mengerti perasaan anaknya yang sedang berduka.

Entah kesalahan apa yang dilakukan Wardina Amni sehingga dia dihukum Suriyana, Osman pun tak tahu. Tetapi terang nyata anak bongsunya itu kian tersisih daripada kasih sayang seorang emak. Malah, selama lebih dua jam mereka berada di pantai itu, Osman perasan yang Suriyana langsung tidak mempedulikan Wardina Amni.

‘Apa dah jadi sebenarnya, Suri? Apakah selama ni sememangnya begini layanan Suri terhadap Dina? Apakah Suri hanya melayan baik anak ini di depan abang? Seperti mana yang tertulis di buku diari Dina? Mungkinkah juga Suri melayan abang dengan baik bila kita bertemu mata, tetapi Suri berlaku sebaliknya di belakang abang?’

“Cepatlah, ayah! Buat apa lagi tu?” laung Faizul Ikhwan.

Osman tersentak. Dia lantas berpaling. Fikiran buruknya tentang Suriyana sudah lenyap. Kusut di kepalanya juga hilang serta-merta menyedari dia dalam perhatian anak-anak dari dalam kereta.

“Orait, ayah datang!”


Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.