16
"SEBAB kaulah, rantai berlian tu hilang tahu tak? Sebab
kaulah… laki aku ditikam perompak dan mati. Eeii...” marah Suriyana makin
menjadi-jadi.
“Kalau dah anak tak guna, tak guna
juga!” bentak Suriyana sambil mencekak rambut Wardina Amni. Hampir terpusing ke
belakang tubuh anak gadis itu diperlakukan Suriyana sebegitu.
Dalam keadaan tangisannya yang
belum surut meratapi pemergian Osman kembali ke pangkuan Ilahi, Wardina Amni seperti rela
diperlakukan semahunya oleh Suriyana. Meskipun dalam keadaan terpinga-pinga
mendengar kata-kata emaknya, namun sebagai seorang anak yang cepat faham, dia
mengerti maksud Suriyana.
Wardina Amni akur akan musibah
yang menimpa Osman adalah kerana dia yang beria benar mahu makan ayam goreng
KFC. Dia yang beria menuntut ayahnya ke bandar tanpa sempat ayahnya naik ke
atas rumah dan memberikan rantai berlian itu kepada Suriyana.
Wardina Amni juga faham akan
tekanan yang dihadapi Suriyana kini. Dia tahu Suriyana tidak dapat menerima
hakikat kematian Osman, begitu juga rantai berlian yang diimpikan emaknya itu.
Maka, dia rela batang tubuhnya menjadi tempah pelepas kemarahan Suriyana.
Wardina Amni langsung tidak
melawan untuk membela dirinya. Biarlah! Biarlah Suriyana memukul tubuhnya
sepuas hati. Dia tidak menangis kerana kesakitan yang dilakukan Suriyana,
tetapi dia menangis kerana Suriyana tidak pernah mengerti akan kesedihan dalam
dirinya. Dia masih berhiba menerima perkhabaran Osman yang berangkat pulang ke
perkampungan abadi bertemu Tuhan
yang menciptanya. Ayahnya itu sudah pergi dan tidak akan kembali lagi.
“Ayah, ayah…” Hanya itu yang
terbit daripada bibir Wardina Amni. Dia terketar-ketar mengenangkan seraut
wajah Osman juga menahan kesakitan, tubuhnya menerima tamparan yang
bertubi-tubi daripada Suriyana.
“Apa, kau ingat dengan tangisan
kau ni, ayah kau boleh bangun? Eeii, anak tak guna! Menangis air mata darah
sekalipun orang mati takkan bangkit lagi, tahu tak?! Kaulah puncanya. Kaulah
yang menyebabkan aku hilang segalanya, bodoh!” bentak Suriyana bertalu-talu.
Makin geram nampaknya dia melihat ngongoian panjang anak bongsunya itu.
“Sakit, mak! Sakit! Ayah…” jerit
Wardina Amni sekuat hati.
Buk!Buk! Buk!
Bunyi ketukan di daun pintu yang
bertalu-talu itu membuatkan Suriyana tersentak. Dia menolak tubuh Wardina Amni kasar
ke lantai. Terhenyak tubuh Wardina Amni. Hampir saja mukanya tersembam, mencium
simen yang kesat dan keras itu.
“Suri! Kenapa ni?!” jerit Juriah
yang masih berwajah sembab. Dia seperti dihadang Suriyana daripada menapak
masuk ke bilik yang paling hujung dari ruang tamu itu. Bilik itu adalah sebuah
bilik stor.
“Apa yang kenapa, mak?” tanya
Suriyana semula berpura-pura tenang. Hatinya sebal dengan kedatangan Juriah.
“Kau tanya aku kenapa? Kau ingat
aku pekak? Yang kau terjerit-jerit marahkan budak Dina tu, kenapa? Kau dah
hilang akal ke pukul dia sampai jadi macam ni? Kat luar tu bukan main ramai
tetamu, kau tak malu ke?” bidas Juriah sebaik saja menerpa masuk dan meluru
pantas mendakap tubuh lesu Wardina Amni.
Suriyana merengus geram. Hatinya
yang sakit dengan Wardina Amni belum dilepaskan sepenuhnya, tetapi dengan
tiba-tiba pula Juriah hadir dan membantutkan kemarahannya.
“Suri, jenazah laki kau tu kat
tengah rumah masih belum diuruskan lagi. Apa kau nak, anak kau ni pun terima
nasib yang sama?” soal Juriah dengan suara menengking.
Wardina Amni di ribanya sudah tercungap.
Lelahnya datang lagi.
“Huh!” Suriyana merengus mendengar
kata-kata mertuanya. Dia menutup daun pintu kasar dan berlalu pergi dari situ.
‘Suri, Suri… kau tu memang sakit.
Sakit jiwa!’ omel Juriah geram sambil memangku tubuh Wardina Amni kejap-kejap.
“Nek…” panggil Wardina Amni dengan
suara lesu.
“Sakit ke, sayang?” soal Juriah
bersama air mata yang melimpah dari empangannya.
“Tak, nek. Dina nak tengok ayah.
Dina nak baca surah Yassin untuk ayah,” ujarnya dengan suara teresak-esak.
Juriah mengangguk dan membantu
Wardina Amni bangun, keluar dari bilik itu.
“MAK, Dina kenapa?” soal
Mahmud terkejut melihat Juriah memimpin tubuh Wardina Amni yang
terhenjut-henjut melangkah ke tengah rumah. Dia yang usai saja mengaji,
menerkam mendapatkan Juriah dan Wardina Amni.
Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan di tepinya juga turut
bangun mendapatkan Juriah dan Wardina Amni.
“Adik ipar kau tu, dah tak betul
gamaknya. Ada ke patut dibalunnya tubuh budak Dina ni sampai lebam macam ni? Si
Suri tu memang makin teruk sakitnya, Mud.” Juriah berbisik ke telinga Mahmud.
“Astaghfirullahalazim... apa
halnya?” balas Mahmud separuh berbisik tidak mahu perbualan mereka didengari
anak-anak Osman mahupun tetamu yang datang.
“Mak dengar tadi dia bertempik
pasal rantai berlian dan anak tak guna. Hal sebenar mak tak pasti,” jawab
Juriah seraya memegang bahu Wardina Amni yang dikelilingi Mardiah Amna serta
Faizul Ikhwan.
Mahmud menggeleng kesal. “Orang
lain kalau mati laki, duduk mengaji. Ni duk fikir pasal rantai berlian yang dah
hilang tu,” balas Mahmud.
Mendengar kata-kata Mahmud, Juriah
hanya mampu menggeleng kepala.
Mengenangkan Suriyana,
perasaan marah dan geram Mahmud terhadap
Suriyana makin meluap-luap. Segala apa yang dilakukan Suriyana selama adiknya
terlantar di hospital membuatkan dia berasa ingin membunuh perempuan itu.
‘Dasar
betina tak sedar diri!’ bentak Mahmud dalam hati.
“Adik kenapa ni?” tanya Mardiah
Amna.
Pertanyaan Mardiah Amna membuatkan
Mahmud merapati tubuh kecil anak-anak saudaranya.
“Mak pukul, eh?” duga Faizul
Ikhwan.
Wardina Amni tidak menjawab, namun
dia yang tadinya sudah berhenti menangis, kini menangis semula.
“Kesian kau, dik. Asyik kena marah
aje. Sabar ya, dik.” Mardiah Amna cuba memujuk sambil memegang tangan Wardina
Amni.
“Aduh!” Wardina Amni mengaduh
sebaik saja Mardiah Amna terpegang tangannya yang sakit. Kulitnya yang mulus,
kini merah dan hampir melecet.
“Maaf, dik. Kakak tak sengaja.
Mungkin mak tertekan sebab ayah kita dah meninggal,” balas Mardiah Amna bersama
teriakan panjang. Dia lantas menerpa ke tubuh Osman yang terbaring kaku di
tengah rumah. Jasad Osman diselimuti kain batik jawa.
“Ayah!” jerit Mardiah Amna hiba.
“Ayah!” Faizul Ikhwan pula
menerkam. Dipeluknya tubuh Osman kejap-kejap menyertai kakaknya. Wardina Amni
menjadi tidak tertahan. Sayu pilu melanda hatinya.
“Ayah… kalau tak kerana Dina, ayah
mungkin tak mati. Ayah mungkin tak ditikam perompak. Maafkan Dina, ayah!
Maafkan Dina!” tempik Wardina Amni sekuat hati bersama tangisan panjang.
Juriah menerkam ketiga-tiga orang
cucunya, cuba menenangkan mereka. Namun mendengar teriakan yang bertalu-talu,
dia sendiri tewas dengan perasaan hiba yang melilit diri. Di situ, dia menangis
dan menangis lagi meratapi kehilangan anak yang amat dikasihi.
Mahmud melangkah longlai
mendapatkan anak-anak saudaranya dan emak yang meratap tangis, mengiringi
pemergian Osman mengadap Al-Khalid.
“ARGHHH, semua ni takadil! Memang tak adil. Abang Mahmud dengan mak sengaja
berkomplot dengan peguam ni. Mana mungkin jadi macam ni?!” Suriyana berang.
Merah padam mukanya melihat wajah peguam sebelum beralih ke wajah Mahmud dan
Juriah.
“Saya hanya menjalankan amanah
peninggalan arwah, puan. Demi Allah,
sepatah perkataan pun dalam surat wasiat tu saya tak ubah. Untuk makluman puan,
arwah Osman telah mengubah isi kandungan surat itu sebulan sebelum beliau
koma.”
“Apa yang Suri tak puas hati? Tiga
buah lot kedai, rumah, tanah, intan berlian… apa, semua tu tak cukup?” bidas
Mahmud berkerut dahi tidak faham dengan sikap tamak Suriyana.
“Alah, Suri tahu Abang Mahmud
dengan mak yang ubah kandungan surat perjanjian ini, kan?” tuduh Suriyana tidak
berpuas hati.
“Kau jangan tuduh sebarang tuduh,
Suri! Harta aku cukup untuk makan pakai aku anak-beranak. Tak ada maknanya aku
nak ambik harta anak yatim. Aku pun tahu dosa pahala. Ingat mana halal haram.
Hidup mati. Kau ingat aku ni teruk macam kau ke sampai kau tergamak tuduh kami
yang bukan-bukan?” marah Mahmud dengan suara lantang. Dia sudah pun berdiri
mahu membalas kata fitnah yang dilemparkan Suriyana tadi.
“Mud...” kata Juriah sepatah
sambil memegang lengan anaknya. Matanya menyorot ke wajah Mahmud.
Mahmud faham. Dia tidak jadi
meneruskan kata-kata.
‘Nasiblah mak ada kat sini, Suri!
Ikutkan hati aku, eeii..tak kuasa aku nak layan kerenah kau. Kalau ikutkan
jahat perangai kau, aku pun boleh jadi jahat. Aku pun boleh malukan kau,
bongkarkan semua kegiatan maksiat kau biar mahkamah membuktikan yang kau tak
layak dapat satu sen pun harta Osman. Kau seorang perempuan yang curang pada
suami. Kau memang betina sundal. Padan muka kau. Aku setuju sangat dengan
keputusan Osman.’ Mahmud bersuara sinis dalam hati sambil menghenyakkan
punggungnya di sofa.
“Huh!” Suriyana medengus kasar.
Matanya tajam menujah wajah Mahmud. Hilang sudah rasa hormatnya terhadap abang
ipar sendiri lantaran berprasangka buruk terhadap surat wasiat itu. Dia
benar-benar marah.
‘Baguslah, Man. Biar padan muka
Suri. Kalau akulah, sebuah kedai pun takkan aku bagi.’ Mahmud bercakap dalam
dirinya.
“Suri, jangan cakap macam tu. Mak
dan Abang Mahmud kau tak ada kena-mengena dengan semua ini. Mak tak perlukan
harta Osman. Biarlah segala apa yang pernah menjadi milik Osman akan berpindah
buat Suri dan anak-anak. Mak tak mahu semua tu,” balas Juriah tenang. Nada
suaranya lembut meskipun dia dituduh bukan-bukan oleh menantu sendiri.
“Saham Man dalam syarikat mak
macam mana? Kenapa tak ada disebut dalam surat wasiat tu?”
Pertanyaan Suriyana yang keras dan
menekan itu cukup membuatkan Juriah dan Mahmud saling berpandangan.