Home Novel Keluarga Dia Yang Mengerti
Bab 19

19


HATI Rokiah tersayat pilu. Mengenangkan turun naik nafas Wardina Amni yang semakin lemah, Rokiah fikir, dia harus bertindak segera. Dia perlu mendapatkan pertolongan mana-mana pihak. Usah pedulikan Suriyana yang menggila kerana yang penting nyawa Wardina Amni.

“Kak Ainon... Kak Ainon!” laung Rokiah beberapa kali. Hanya Ainon satu-satunya jiran terdekat Suriyana di kawasan tanah persendirian itu. Harapannya, Ainon akan membantu menyelamatkan nyawa Wardina Amni.

“Ya Allah, mana Kak Ainon ni?” Rokiah bercakap sendiri apabila menyedari pintu pagar rumah Ainon bermangga kemas. Kereta Ainon juga tiada di garaj.

Rokiah berlari dan berlari dengan harapan ada seseorang yang akan membantunya menyelamatkan Wardina Amni. Kasihan anak itu, menjadi mangsa dera ibunya yang zalim. Bukan sekali ini, Rokiah sedar Wardina Amni menjadi mangsa kemarahan Suriyana. Tapi hari ini, dia tak menyangka seteruk ini bahana yang terpaksa ditanggung Wardina Amni.

Saat itu, Rokiah teringkatkan arwah Osman. Majikannya itu sangat berbudi dan melayan baik dirinya. Sifat penyayang Osman terhadap anak-anak begitu jelas di mata Rokiah. Ketara sekali perbezaan sikap Osman yang penyayang kalau dibandingkan dengan Suriyana yang kejam itu. Osman selalu tersenyum dan peramah orangnya kalau nak dibandingkan dengan Suriyana yang lokek dengan senyuman dan hanya bercakap hal-hal yang penting saja dengannya. Kejelitaan raut wajah Suriyana tidak menggambarkan peribadinya yang sombong dan tidak berhati perut itu.

Setiap kali Osman keluar daerah dan negeri, majikannya begitu bermurah hati membelinya buah tangan. Malah dengan bantuan kewangan Osman juga, anak tunggal Rokiah sudah berjaya menjejak kaki ke universiti dan kini bekerja sebagai pensyarah di Skudai, Johor. Tidak kerana wang semata-mata Rokiah bekerja di rumah Suriyana itu, tetapi mengenangkan budi baik arwah Osman terhadap dia dan anaknya.

Meskipun ada angin yang bercerita tentang keburukan Suriyana, namun bagi Rokiah dia tidak pernah peduli itu semua. Matanya tidak nampak Suriyana berkelakuan jahat melainkan ada masa-masanya Rokiah tahu Suriyana begitu garang dengan anak-anak. Cerita-cerita orang tentang Suriyana yang berselingkuh semasa hayatnya Osman juga tidak pernah diambil kira. Dia tidak nampak itu semua, untuk apa dia menidakkan atau mengiakan. Sepanjang hari Rokiah bekerja di rumah itu, Rokiah tidak pernah nampak yang Suriyana dijemput dan dihantar pulang oleh mana-mana lelaki. Kebiasaannya, pada waktu pagi selepas anak-anak ke sekolah, Suriyana lebih suka memerap di bilik sama ada membaca majalah dan tidur.

Jarang-jarang Suriyana keluar pada siang hari melainkan keluar berbelanja di pasar pada setiap hari Rabu. Rokiah menguruskan kerja-kerja mengemas, membasuh, memasak di rumah itu, jadi sedikit sebanyak dia nampak rutin harian Suriyana. Rokiah mula belajar mengenali peribadi Suriyana yang adakalanya sangat cerewet. Baik dari segi menjaga barang-barang perhiasan yang kebanyakannya diimport dari luar negara, mahupun dari segi susunan majalah dan kerja-kerja mengemop lantai di rumah besar itu.

Pun begitu, Suriyana tidak cerewet tentang apa saja makanan yang disediakan untuk anak-anak majikannya. Suriyana jarang-jarang makan tengah hari kerana dari kaca mata Rokiah, wanita itu menjaga badannya dengan memakan buah-buahan dan susu segar. Anak-anak juga tidak banyak kerenah dengan masakannya. Cuma, jika arwah Osman ada di rumah, majikannya itu tidak mengizinkan Rokiah memasak. Osman lebih suka memasak untuk keluarganya. Sebab itulah Rokiah bangga dan tabik dengan Osman.

Sebagai usahawan terkenal dan berpengaruh, Osman masih boleh memegang pisau dan senduk. Kelincahan Osman memasak di dapur, serta hasil masakannya setanding chef profesional. Kehebatan Osman di dapur, terlalu jauh kalau nak dibandingkan dengan Suriyana yang hanya tahu memasak nasi goreng kicap. Sebab itulah, anak-anak terutama Faizul Ikhwan selalu mengadu kepada Rokiah tentang Suriyana dan nasi goreng kicap. Suriyana bukannya tak tahu memasak, tapi mungkin malas memasak!

Satu perkara yang Rokiah nampak tentang Suriyana, wanita itu punya banyak koleksi barang kemas. Meskipun hanya duduk di rumah, saban hari, Suriyana bertukar ganti barang kemas di badannya. Rantai leher dan rantai tangannya bermacam jenis rantai. Ada jenis lipan, ada jenis padu pintal, rantai gila-gila dan macam-macam lagilah. Ada panjang separas dada, ada labuh sampai ke perut. Ada juga yang singkat dan pendek, dua inci dari lehernya yang jinjang. Pernah juga Rokiah melihat Suriyana memakai kalung mutiara yang entah berapa ratus ribu harganya. Begitu juga koleksi subang, gelang tangan, gelang kaki dan cincin. Semuanya nampak mahal dan mewah-mewah belaka.

Di rumah besar itu, sebuah bilik dikhaskan untuk menyimpan pakaian Suriyana. Koleksi pakaian Suriyana kebanyakannya sutera yang bernilai beratus ringgit, di samping pakaian dari material mewah yang pada fikiran Rokiah mencecah ribuan ringgit. Perkataan butik sekian-sekian yang tertulis di leher bajunya, membuatkan Rokiah tahu koleksi pakaiannya datang dari butik terkenal di ibu negara. Suriyana penggemar kebaya Nyonya. Lebih lima puluh koleksi kebaya Nyonya tergantung di almari bilik itu. Rokiah hanya dibenarkan masuk ke bilik itu dengan arahan Suriyana. Itu pun untuk menggosok pakaian wanita itu.

Dalam sebuah bilik yang lain, Suriyana juga telah menyimpan koleksi beg dan kasut yang berjenama. Koleksi beg dan kasut itu daripada jenama Bonia, Satinni, Polo, Alfio Raldo, Gucci dan pelbagai jenis jenama yang sudah dilupai Rokiah. Jarang sekali Rokiah masuk ke bilik itu, melainkan dengan izin Suriyana untuk menyapu dan mengemop lantai. Sungguh, hidup Suriyana begitu mewah dengan material. Tetapi Suriyana begitu miskin dengan kasih sayang.

Rokiah masih ingat lagi sewaktu Osman bertanyakan perihal Wardina Amni. Ketika itu, Wardina Amni baru beberapa hari dibenarkan pulang dari hospital kerana menurut Osman anak itu demam dan mengalami jangkitan kuman di paru- parunya.

Petang itu, di gazebo, selepas menabur makanan ikan di kolam, Osman yang nampak termenung panjang menegurnya.

“Kak Kiah, saya nak tanyalah...” Osman memanggilnya dengan nada berbisik-bisik di halaman rumah itu. Matanya melilau-lilau ke sekeliling rumah. Sesekali juga, Osman melirik pandang ke tingkap biliknya, mungkin khuatir isterinya menelinga perbualan mereka.

“Ya tuan, berkaitan apa?”

“Hmm... selama Kak Kiah bekerja di rumah saya ni, pernah tak Kak Kiah nampak isteri saya pukul anak-anak?” Suara Osman kedengaran serius.

“Pukul anak-anak macam mana tu, tuan?” Rokiah cuba memahami maksud soalan Osman.

“Pukul dengan tangan ke, dengan penyapu ke, dengan apa-apalah...”

“Tak pernah pulak, tuan. Tapi kalau si Wardina tu pernahlah saya nampak kena piattelinga. Kata puan, Wardina tu degil, selalu menyusahkannya. Puan selalu marah-marah dan tengking anak bongsu tuan tu.”

“Betul ke ni?” tanya Osman dengan nada tegas.

Rokiah hanya terangguk-angguk mengiakan. Sebenarnya dia pun serba salah nak bercerita, tahu dek Puan Suriyana tak pasal-pasal dia pulak ditengking.

“Tak apalah, Kak Kiah. Kak Kiah teruskanlah kerja-kerja Kak Kiah,” kata Osman menamatkan perbualan mereka.

“Puan memang tak berhati perut. Selama ini, saya selalu menidakkan cakap-cakap orang tentang kejahatan puan. Saya bela puan bila orang kata puan ada ‘anak ikan’. Saya ingat mereka cemburukan kejelitaan, kemewahan dan kesenangan puan. Saya bermati-matian menidakkan cakap-cakap orang tentang puan, sebab saya benar-benar menghormati arwah Tuan Osman dan puan. Saya marahkan mereka kerana fitnah itu ini. Tetapi hari ini, rasa hormat saya terhadap puan hilang begitu saja. Saya benar-benar rasa marah melihat kekejaman puan terhadap anak sendiri. Puan memang kejam dengan Wardina Amni. Puan memang kejam!” Rokiah berjalan laju sambil melayan monolog dirinya.

Perasaan sedihnya mengenangkan nasib Wardina Amni bertukar sebal mengingati perangai Suriyana. Dia tidak tahu ke mana arah langkah kakinya. Dia hanya mahu meminta tolong sesiapa untuk menyelamatkan Wardina Amni. Dia berharap ada yang sudi tolong mengeluarkan Wardina Amni dari rumah besar itu. Jika Puan Juriah dan Tuan Mahmud ada, tentu nasib Dina terbela. Rokiah kenal baik wanita itu. Seperti mana Osman, Juriah dan Mahmud juga berjiwa budiman. Namun setahu Rokiah, emak mertua dan abang ipar Suriyana itu belum pulang dari mengerjakan haji dan umrah di Tanah Suci Mekah.

“Ya Allah... selamatkanlah anak itu.” Rokiah tak putus berdoa mengenangkan nasib Wardina Amni. Penyakit lelah yang pernah dialami Wardina Amni membuatkan Rokiah terfikir-fikir, mungkinkah nafas anak itu menjadi pendek?

“Astaghfirullahalazim!” Dia beristigfar panjang.

“Oh, mungkin orang-orang di kedai itu boleh menolongku selamatkan Dina.” Rokiah berasa lega kala terpandangkan bumbung kedai makan tidak jauh dari situ, di seberang jalan.

Dia berlari dan terus berlari. Apabila kedai makan itu sudah benar-benar dekat, Rokiah buru-buru mahu melintas jalan. Sekujur tubuh Wardina Amni di beranda rumah, terlayar kembali di benaknya.

Tetapi, sewaktu dia melintas dan berada di tengah-tengah jalan, tiba-tiba saja sebuah kereta memecut laju. Satu dentuman kuat kedengaran. Bunyi tayar kereta dibrek, berdecit-decit bersama hon yang panjang. Serentak dengan itu juga, suara jeritan orang ramai di kedai makan itu memanggil-manggil nama Rokiah. Mereka berlari mendapatkan sekujur tubuh Rokiah yang sudah longlai dan berlumuran darah.

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.