20
MALAM yang sunyi, Wardina Amni
terbangun daripada lenanya. Kelopak matanya yang berat dibuka perlahan, cuba
mengecam keadaan.
“Ya Allah, aku di mana?” Dia bercakap sendirian dan cuba bangun
daripada perbaringan. Keadaan bilik itu agak gelap. Sejalur cahaya yang terbias
masuk ke bilik membuatkan dia dapat mengagak, tubuhnya kini berada di dalam
bilik stor di rumah mereka. Bilik itu adalah paling hujung di antara deretan
bilik di rumah mereka, berdekatan dengan ruang dapur.
Wardina Amni meraba kepalanya yang
masih berat. Dadanya terasa sakit dan sesak, sukar sekali untuk dia bernafas. Perlahan-lahan
dia mengengsot, cuba bangun dan mencari suis lampu bilik itu. Meskipun sukar
dan dadanya masih perit, digagahkan jua demi mengumpul sisa-sisa tenaga yang
masih ada.
Sebaik saja bilik stor itu sudah
terang-benderang, Wardina Amni terkejut bukan kepalang. Semua barang miliknya
dari bilik yang pernah dikongsi Mardiah Amna sebelum ini, berselerak di situ.
Kain bajunya, buku-buku dan semuanya.
“Kenapa ni?” Dia bersoal jawab
sendiri. Tak faham apa sebenarnya yang telah terjadi.
Wardina Amni menguak daun pintu
biliknya. Dia mengintai keluar. Hening malam menceritakan penghuni rumah itu
mungkin sedang lena. Dia menjengketkan kaki, melilau-lilau mengecam keadaan
dalam rumah itu. Takut bercampur bimbang bertembung dengan Suriyana.
Dia ingin ke dapur, mahu meneguk
sedikit air putih. Selesai meminum dua
gelas besar air masak, Wardina Amni menatap jam tangannya. Jam sudah
berdetik ke angka dua pagi. Rupa-rupanya
sudah lama dia ketiduran. Mungkin kerana tubuhnya kelelahan akibat dibalun
Suriyana siang tadi. Wardina Amni melangkah dengan berhati-hati. Dia memegang
tombol pintu, mahu masuk ke bilik Mardiah Amna. Namun, pintu itu dikunci dari
dalam.
‘Kak, kenapa dikunci pintunya?’
bisik Wardina Amni seraya gesa-gesa kembali ke bilik stor tadi. Dia tak berani hendak
mengetuk pintu bilik itu, khuatir akan mengejutkan Suriyana. Kalau Suriyana
terbangkit daripada tidur, maka dia akan menempah bala lagi.
HARI sudah siang-siang tanah.
Sayup-sayup kedengaran ayam berkokok nyaring. Wardina Amni membuka kelopak
matanya yang masih berat. Lesu di tubuhnya membuatkan dia tak berdaya untuk
bangun. Seluruh urat sarafnya dirasakan sakit. Tubuhnya berasa hangat. Demamkah
aku? soalnya sambil meraba dahi sendiri.
“Dina, bangun!” Satu suara nyaring
kedengaran menerjah ke cuping telinganya.
“Kak…” Terkejut Wardina Amni
apabila suara Mardiah Amna begitu lantang memaksanya bangun. Mardiah Amna
menepuk punggungnya kuat, beberapa kali.
“Kau jangan buat-buat tak sihat.
Aku kata bangun, bangunlah!”
“Kak, kenapa tiba-tiba marah Dina
ni? Sakitlah…” Wardina Amni kehairanan dengan sikap Mardiah Amna.
“Bangun, aku kata bangun! Jangan
nak jadi puteri raja pulak kat rumah ni,” arah Mardiah Amna seraya menarik kuat
tangan Wardina Amni, memaksanya bangun.
“Dina rasa macam nak demam aje,
kak...” adu Wardina Amni.
“Aku tak peduli. Kau nak demam ke,
batuk ke, tapi mak yang suruh aku kejutkan kau,” beritahu Mardiah Amna.
Wardina Amni tersentak. Bahasa
yang digunakan Mardiah Aman kedengaran keras di telinganya. Kakaknya itu tak
pernah beraku engkau sebelum ini.
“Kakak kenapa berkasar dengan
Dina?” tanya Wardina Amni tak faham dengan nada suara Mardiah Amna yang
meninggi itu.
“Sebab aku marahkan kau. Kata mak,
kau memang menyusahkan dia. Kau banyak porak-perandakan keluarga kita,” tuduh
Mardiah Amna.
“Astaghfirullahalazim. Kakak pun
dah termakan kata-kata mak ke?” Wardina Amni bersuara lirih, tak sangka Mardiah
Amna turut berprasangka buruk terhadapnya.
“Bangun Dina, bangun. Selama ini,
aku tak pernah terfikir yang kau punca kematian ayah. Betul kata mak, kalau tak
sebab kau yang beria ajak ayah ke bandar hari tu, ayah takkan mati ditikam
perompak. Rantai berlian emak pun tak akan hilang begitu saja,” herdik Mardiah
Amna.
“Kak, semua itu ketentuan ALLAH.
Dina pun tak harap semua ni berlaku. Takkanlah akak tak tahu yang Dina pun
sayang ayah kita.” Wardina Amni bersuara mohon dikasihani.
“Kau memang banyak menyusahkan
mak. Kau banyak bagi mudarat kepada keluarga kita. Selama ni, aku tak tahu
kenapa mak selalu kata kau anak sial, anak tak guna, tapi mulai hari ni, aku
percaya.” Mardiah Amna menghamburkan kata-kata yang mencincang lumat hati
adiknya.
“Sampai hati akak kata Dina macam
ni. Sampai hati kak boleh percaya dengan kata-kata mak…”
“Kalau kami tak percaya dengan
kata-kata mak, kami nak percaya dengan siapa lagi? Kau?” Suara Faizul Ikhwan
kedengaran sinis, cukup menampar perasaannya.
“Abang…”
“Mulai hari ni, kau duduk dalam
stor ni. Dan mulai hari ni juga, kalau nak tinggal kat rumah ni, mak cakap kau
tak payah pergi sekolah. Duduk rumah, buat kerja rumah. Jadi orang gaji kami,”
sambung Faizul Ikhwan.
Perasaan Wardina Amni semakin
calar-balar. “Abang kenapa cakap Dina macam ni?” soal Wardina Amni tak
faham. Racun apa yang diguna Suriyana
sehingga sebegini rasa benci Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna kepadanya?
“Sebab mak kata kau... arghhh!
Malas aku nak menyebutnya!” bentak Faizul Ikhwan dan berlalu meninggalkan
Wardina Amni yang terkulat-kulat sendirian.
“Ya Allah, apa dah jadi dengan semua penghuni rumah ni? Ya Allah... tolonglah Dina. Hamba-Mu ini benar-benar tak berdaya melalui
semua ni, Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim.” Tanpa rela, air mata bercucuran lebat.
“MAK datang nak jumpa
cucu-cucu mak, Suri. Bukalah pintu ni,” rayu Juriah bertalu.
“Dia orang yang tak nak jumpa mak,
bukan Suri paksa pun,” jawab Suriyana selamba dari atas tangga rumah. Pintu
pagar yang bermangga langsung tak dibukanya apatah lagi menjemput mertuanya
masuk ke rumah.
“Kau tak jemput mak masuk ke rumah
Suri? Biar mak bincang dengan cucu-cucu mak tu. Mungkin mereka salah faham,”
pujuk Juriah lembut. Mudah-mudahan hati Suriyana yang keras bisa mencair.
“Mak, anak-anak Suri, cucu-cucu
mak tu dah besar. Dah belasan tahun. Boleh fikir mana buruk baik. Boleh beza
mereka yang berniat buruk, siapa yang berniat baik. Siapa yang bolot harta ayah
anak yatim ni…”
“Suri! Lagi-lagi itu yang kau
ungkit. Mak betul-betul tak faham dengan kau ni. Harta mana yang kau maksudkan?
Harta mana yang Osman ada lagi? Mak pun tak tahu. Cukup-cukuplah prasangka
buruk Suri terhadap mak. Izinkanlah mak jumpa dengan cucu-cucu mak.” Juriah
bersuara dengan nada tersekat-sekat.
Hancur berkecai harapannya mahu
bertemu anak-anak peninggalan arwah Osman. Sikap kepala angin Suriyana ternyata
menjurangkan hubungan seorang nenek dengan cucu-cucunya.
“Mak fikir Suri ni berprasangka,
kan? Ya, Suri memang jahat mak, tapi Suri tak pernah makan harta yang bukan hak
Suri. Suri tak pernah makan harta anak-anak yatim. Mak ingat dengan pergi Mekah
tu, semua dosa mak terampun? Mak ingat dengan gelaran hajah yang mak terima tu,
anak-anak Suri akan maafkan nenek mereka?” Suriyana bersuara lantang seperti
Juriah itu bukan sesiapa dengannya.
“Ya Allah... tergamak kau Suri, cakap mak macam ni?” Juriah
mengurut dadanya yang dirasakan perit.
“Astaghfirullahalazim… Kak Juriah,
Suri. Kenapa ni, bertekak anak-beranak?” Satu suara menegur kedua mereka.
Terkocoh-kocoh Ainon datang mendapatkan Juriah yang nampaknya pucat menahan
sakit.
“Ni lagi sorang. Tak habis-habis
jadi penyibuk rumah tangga orang,” marah Suriyana dengan mata mencerlung.
“Suri, kau ni kenapa?” tanya Ainon
sambil memegang belakang badan Juriah yang nampak sebak.
“Apa yang kenapa?” tanya Suriyana
sambil bercekak pinggang. Nada suaranya menengking kuat membuatkan Ainon dan
Juriah tersentak.
“Kenapa tergamak kau layan mak mentua
macam ni?” balas Ainon dengan nada keras dan menekan.
“Dia berhak pun dapat layanan
macam ni. Akak apa tahu? Arghhh, sibuklah! Ni urusan kami anak-beranak. Tak
payah nak masuk campur!” bentak Suriyana. Bengang dia dengan kehadiran Ainon di
situ.
“Takkan perkara ni tak boleh
dibawa berbincang, Suri?” Ainon cuba berprovokasi. Melimpah rasa kasihan di
hatinya melihat wajah Juriah yang berladungan air mata. Wanita tua itu
teresak-esak menahan sedu di dadanya.
“Eeii, harap muka aje cantik, tapi
bongkak, sombong! Jom, kak... berehat kat rumah saya dulu,” ajak Ainon.
Juriah menggeleng kepala, menolak
pelawaan Ainon. “Aku rindu nak bertemu cucu-cucu aku, Non. Aku ada belikan
hadiah yang mereka pesan dari Mekah ni, hah.” Juriah menunjukkan beg plastik
yang dibimbitnya kepada Ainon.
“Suri, akak merayu. Bagilah mak
mentua kau ni jumpa cucu-cucunya. Kesian dia, datang dengan hajat besar. Kau
layan dia macam ni, berdosa Suri.”
“Arghhh, banyak membebellah, Kak
Ainon ni!” bentak Suriyana rimas.
“Diah, Zul… mari sini. Tu, nenek kau
orang nak jumpa,” laung Suriyana memanggil Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan.
“Diah tak nak jumpa nenek. Nenek
jahat!” Mardiah Amna yang menjenguk mukanya sekejap di beranda itu, berlari
masuk ke dalam rumah.
“Zul pun tak nak jumpa nenek
lagi!” tempik Faizul Ikhwan sekuat hati.
Suara Mardiah Amna dan Faizul
Ikhwan yang menjerit lantang itu cukup mengejutkan Juriah dan Ainon.
Terpinga-pinga Juriah dengan
kata-kata mereka.
“Diah, Zul…” teriak Juriah sekuat
hati, namun semuanya sia-sia saja. Kelibat cucu-cucunya tidak kelihatan lagi.
“Mak tengok, cucu sendiri pun dah
tak suka neneknya,” sindir Suriyana sinis dan berlalu masuk ke dalam rumah.
Tidak lama kemudian, pintu rumah itu terkatup rapat.
“Suri, aku nak jumpa cucu-cucu
aku. Diah, Zul, Dina…jangan buat nenek macam ni.” Juriah menangis hiba.
“Sabar, kak. Sabar, Insya-Allahakan ada penyelesaiannya,” pujuk
Ainon seraya memapah tubuh Juriah yang kini lembik ke rumahnya.
“Sampai hati kau Suri, tuduh mak
macam ni. Sampai hati kau hasut anak-anak supaya benci aku.” Juriah menangis
dan menangis lagi.