1
TAHUN 1988
“ABANG... Suri rasa abang terlalu sibuk sejak kebelakangan
ni.” Di hujung katil, Suriyana meluahkan perasaan tidak puas hatinya kepada
Osman. Tangannya ligat menanggalkan pakaian daripada penyangkut baju lantas
ditimbunkan di atas katil. Penyangkut baju diletak kembali ke tempat asalnya.
Pakaian yang menimbun itu segera dilipat dan dimasukkan ke dalam perut beg
milik Osman.
Osman yang sedang asyik meneliti beberapa kertas putih
dari fail yang terkuak di ribanya, berpaling mencari wajah Suriyana.
“Suri... maafkan abang ya, sayang. Abang memang sibuk
sikit sekarang ni. Abang kena kerja keras demi mengukuhkan lagi ekonomi
keluarga kita. Insya-Allah abang
akan segera balik, selesai aje kerja abang.” Osman memujuk lembut.
Suriyana langsung tidak mengendahkan pujukan suaminya itu.
Kerja-kerja melipat dan menyusun pakaian diteruskan sehingga perut beg itu
membuncit jadinya.
Osman meletakkan segala apa yang dibacanya ke atas meja.
Dia merangkak ke atas katil, mendekati tubuh Suriyana dan memeluk isterinya
dari belakang. Osman cuba memesrai Suriyana yang berwajah hambar. Reaksi
Suriyana kaku dan dingin. Isterinya itu tunduk memandang mulut beg yang
ternganga luas, belum berzip.
“Kenapa dengan zip beg abang? Rosak ke?” tanya Osman,
buat-buat hairan apabila menyedari Suriyana tidak lepas memandang beg pakaian
itu.
Suriyana masih membisu. Persoalan Osman sengaja dibiarkan
tergantung.
“Jangan macam ni, sayang. Abang pergi tak lama. Dua minggu
lagi abang akan balik dan bawa hadiah paling istimewa untuk Suri. Suka tak?”
pujuk Osman dengan nada ceria. Dalam benak fikiran Osman, dia sudah
terfikir-fikir mahu membelikan Suriyana sepasang kain sutera Terengganu pulang
saja dari negeri itu.
Suriyana masih tidak berkutik. Dia berlagak seperti patung
cendana. Kaku dan bisu. Hati Osman menjadi tak keruan. Jarang sekali Suriyana
melayaninya sebegini. Biasanya Suriyana tenang saja kalau dia terpaksa keluar
daerah atas urusan kerja.
“Janganlah macam ni, sayang. Abang terpaksa tinggalkan
Suri sebab abang orang bisnes. Abang sayangkan Suri dan anak-anak kita. Kata
orang, sayang isteri tinggal-tinggalkan...”
“Tapi, abang terlalu kerap tinggalkan Suri,” pintas
Suriyana bernada lirih.
“Alahai, sayang... janganlah bersedih hati. Maafkan abang
ya? Abang janji, lepas-lepas ni abang kurangkan outstation. Nanti abang
minta mak hantar Abang Mahmud aje outstation. Biar abang pula instation.
Abang pun bukan boleh berjauhan dengan Suri. Merana jiwa raga abang tinggalkan
isteri abang yang cantik jelita ni,” pujuk Osman seraya mengelus lembut rambut
Suriyana yang panjang mengurai. Osman mencium pipi Suriyana bertalu sambil
memeluk tubuh isterinya itu kejap-kejap.
Suriyana terpujuk dengan kata-kata dan perlakuan mesra
suaminya. “Abang... Kak Nah tengah sarat tu. Takkan Abang Mahmud nak kena pergi
outstation pulak. Kak Nah kan tunggu hari aje nak bersalin,” komen
Suriyana akan kata-kata suaminya tadi.
“Ha’ah kan... tengoklah nanti. Insya-Allah... abang akan kurangkan outstation.
Tapi untuk hari esok, abang tak ada pilihan. Nak tak nak, abang terpaksa pergi.
Projek usahasama ni penting demi mengembangkan lagi bisnes. Lepas tu, abang
janji cuba untuk kurangkan aktiviti di luar. Abang pun bukannya suka nak
tinggalkan Suri dan anak-anak.”
“Janji?” kata Suriyana mahukan kepastian.
“Janji, sayang. Abang janji akan sentiasa berada di sisi
Suri. Lepas ni, abang takkan tinggalkan Suri lagi!”
“Hmm… yalah tu!”
“Sayang, abang rasa sejuklah.” Osman cuba meraih perhatian
isterinya dengan kata-kata itu. Dia malas mahu berbincang tentang kerja lagi.
Osman meramas lembut tangan Suriyana. Pipinya sengaja dilagakan dengan pipi
Suriyana.
“I really miss you, darling...”
bisik Suriyana ke telinga suaminya.
Osman tersengih dengan kata-kata isterinya itu. Dia
mengerti perasaan Suriyana yang mula membalas perlakuan mesranya.
“Arghhh... mata abang tiba-tiba rasa mengantuklah pulak,”
kata Osman manja seraya berbaring di riba isterinya. Dagu dan leher Suriyana
yang jinjang, dikuis-kuisnya dengan hujung jari. Suriyana kegelian melayan
perlakuan suaminya.
“Jomlah, kita tidur...” ajak Osman.
Suriyana mengerling ke katil kelamin bersaiz queen
bersebelahan dengan katil mereka, yang bersaiz king. Anak kecil mereka,
Faizul Ikhwan dan kakaknya, Mardiah Amna sudah lama lena, berselimutkan comforter
yang tebal.
“Anak-anak dah tidur tu,” kata Osman nakal. Dia segera
bangun menuju ke bilik air menyedari mata Suriyana terarah ke situ sejak tadi.
Suriyana tersenyum memandang anak-anaknya. Seharian
melayan kerenah anak-anak yang masih kecil, memang memenatkan. Tetapi bagi
Suriyana, ianya satu pengalaman yang cukup indah dan menghiburkan. Segala kasih
sayang tertumpah sepenuhnya ke atas mereka.
Bagi Suriyana, cukuplah mereka dianugerahkan dua orang
anak setakat ini apatah lagi Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna masih kecil.
Kesibukan Osman yang selalu ke luar daerah membuatkan segala bebanan
menguruskan anak-anak tergalas di bahunya seorang. Ada waktu-waktunya dialah
ibu, dialah ayah.
“Hai, sayang... kenapa termenung lagi? Abang dah gosok
gigi. Dah wangi. Hahhh…” Osman bereaksi kebudak-budakan. Mukanya sengaja
didekatkan ke wajah Suriyana, menayangkan barisan giginya yang putih bersih.
“Abang!” Suriyana hampir terjerit dengan perlakuan
suaminya. Dia bangun mahu beredar ke bilik air. Namun, dengan pantas Osman
memaut mesra lengannya.
“Nak ke mana, sayang?”
“Ke bilik air bang, gosok gigi.”
“Aduh, kenapa abang rasa tak sanggup nak berpisah dengan
Suri walaupun Suri nak ke bilik air? Walaupun Suri cuma nak menggosok gigi?”
“Eleh, abang ni! Macam jauh benar bilik air ni. Lainlah
abang yang nak tinggalkan Suri. Jauh tu, Terengganu.”
Kata-kata Suriyana membuatkan Osman ketawa terbahak-bahak.
“Syhhh...” Suriyana mengetap gigi geram melihat perangai
suaminya. “Apa yang lucunya? Kalau anak-anak terbangun, macam mana?” tanya
Suriyana mengawal suara geram sambil telunjuknya ditunding ke katil anak-anak.
“Opsss!” Osman cepat-cepat menutup mulut menyedari
kebenaran kata-kata isterinya.
Dia menapak dan mendekati tubuh Suriyana.
“Kenapa?” tanya Suriyana tak faham.
“Apa yang kenapa?”
“Kenapa abang tenung Suri macam tu?”
“Esok, abang nak berjalan jauh. Abang nak tenung muka Suri
puas-puaslah! Abang nak simpan wajah Suri dan cinta kita kemas-kemas dalam hati
abang.”
Suriyana hanya tersenyum manis mendengar kata-kata
suaminya itu. Osman tercegat di muka pintu bilik air memerhatikan isterinya
mencuci muka.
“Simpan baik-baik cinta Suri tu ya, bang. Jangan kena curi
pulak. Cinta itu tak ternilai sekalipun dibandingkan dengan intan berlian.”
Suriyana menutur lembut sebelum mengelap wajahnya dengan tuala bersih. Dia kemudiannya
menggosok gigi dan berkumur.
“Pasti, sayang... abang akan simpan cinta kita dalam peti
besi, di sudut yang paling selamat di hati abang. Sesiapa pun tak akan mampu
merampas cinta kita itu.”
“Senangnya hati Suri mendengar kata-kata abang,” balas
Suriyana sebaik saja keluar dari pintu bilik air. Dia membalas renungan Osman.
Kala mata mereka bertaut lama, tiba-tiba Osman mengangkat tubuh Suriyana.
“Eh, abang... kenapa ni?!” Spontan Suriyana bertanya.
Meronta-ronta dia minta diturunkan.
“Syhhh... anak- anak tengah tidur! Jangan bising,” kata
Osman seraya menutup daun pintu perlahan.
“Yalah… tapi abang nak bawa Suri ke mana?” tanya Suriyana
lagi.
“Ke mana saja, asalkan Suri rela…”
Mendengar kata-kata Osman yang mersik di telinganya,
Suriyana tidak meronta lagi. Dibiarkan saja tubuhnya dicempung Osman. Memang
dia rela ke mana saja bersama lelaki yang dicintai itu. Malam ini, memang indah
untuk mereka meluangkan masa bersama. Hari esok, kala perpisahan menjelma,
pasti kesedihan bertamu di hati.
‘Arghhh, usah dilayan perasaan sedih mengenangkan hari
esok! Yang pasti, malam yang indah ini kan menjadi milik kami berdua,’ bisik
hati Suriyana senang.
“ABANG pergi dulu ya, Suri. I love you...”
“I love you too...” Suriyana melambaikan tangan
kala kereta milik Osman menderam pergi. Suriyana mengheret nafas berat cuba
melawan perasaan sayunya. Pemergian Osman membuatkan jiwanya tiba-tiba dilanda
sunyi.
‘Abang, cepatlah pulang. Suri rindukan abang…’ bisik hati
Suriyana seraya mengunci daun pintu pagar yang cantik berkerawang.
Suriyana memerhatikan sekeliling rumahnya yang bersih.
Pepohon mempisang, palma, pokok pinang kuning, rafis dan cycas mula meninggi,
menaungi laman rumah itu. Lantaran hari masih pagi, embun basah masih bersawang
di segenap celahan pepohon dan rerumput mutiara yang menghijau. Pokok-pokok
bunga di dalam pasu nampak berkembang mekar dan subur-subur belaka. Ada bunga
mawar, orkid, kekwa, dahlia, lily, daisy dan beberapa jenis tumbuhan tidak
berbunga seperti keladi gajah, keladi changjur, keladi minyak dan beberapa
jenis keladi lagi yang tak diketahui namanya. Tanaman dan bunga-bungaan yang
indah itu cukup menyegarkan mata yang memandang.
Suriyana berjalan perlahan menuju ke gazebo yang terletak
dekat dengan hujung dapur rumah mereka. Gazebo yang dibina dari jenis kayu jati
itu nampak kukuh dan unik dengan ukiran. Di sekeliling gazebo itu dihiasi
dengan pelbagai jenis tanaman hiasan yang ditanam di dalam pasu besar.
Kebanyakan pokok yang ditanam di dalam pasu itu spesies keladi minyak dan
keladi putih, berlatarbelakangkan pokok palma.
Suriyana terfikir-fikir, sebahagian besar laman rumahnya
masih luas. Keluasan itu sangat sesuai sekiranya dibina sebuah kolam ikan dan
air terjun buatan. Melihat ikan japanase cap yang berenang-berenang di
dalam kolam, pasti mengasyikkan. Begitu juga, air terjun buatan yang bisa
menenangkan fikiran.
‘Kalaulah abang ada bersama Suri waktu ini dan kita saling
bercerita tentang keindahan landskap rumah kita ni,’ bisik Suriyana sambil
menyandar tubuh ke badan gazebo.
Suriyana menebarkan pandangan ke hujung laman dapur
rumahnya. Matanya tertancap pada pohon betik tropika yang sedang lebat berbuah.
Namun, buahnya masih muda dan putik, cuma beberapa biji saja yang kelihatan
mula menguning. Sepohon pokok cermai yang rendang turut berdiri di sisi pepohon
betik itu. Pokok cermai itu sedang lebat berbuah. Sesekali, apabila cahaya pagi
menyinar di sebalik celahan pokok cermai itu, Suriyana nampak embun yang
tadinya bersawang di situ, kini tiada lagi. Mungkin titisan embun itu sudah
lenyap, dihisap dek cahaya mentari.
Sesekali Suriyana memerhatikan pepohon betik. Sesekali
Suriyana melihat buah cermai yang lebat bergayutan. Tiba-tiba, dia berasa
terliur melihat buah-buahan itu. Alangkah sedapnya kalau buah betik yang mula
menguning itu dipotong nipis-nipis dan dicicah dengan kicap yang dicampur
dengan sedikit cuka, belacan bakar, cili padi, garam dan gula. Buah cermai yang
masam itu, kalau dijeruk beberapa hari, pasti kesedapannya meresap ke jiwa.
Kecur liur Suriyana membayangkan rasa buah-buahan itu apabila masuk ke mulutnya
nanti.
Suriyana tidak berlengah. Dia masuk ke dalam rumah
mengambil sebuah baldi di dapur. Sekembalinya dia di situ, dia mendekati pohon
betik dan cermai tadi. Sebatang galah yang sedia bersandar di situ digunakannya
untuk menjolok buah betik. Dengan sekali jolokan, buah betik yang baru nak
menguning itu jatuh menyembah bumi.
“Oh, buah betik... bersedialah kau untuk menjadi
santapanku nanti.”’ Suriyana bercakap seorang diri. Dia tersenyum puas sambil membelek-belek
buah betik di tangannya. Buah betik itu kemudiannya diletak di dalam baldi.
Kini, dia mahu mengambil buah cermai pula. Buah cermai yang kecil itu
dikuis-kuis dengan hujung galah dan dengan mudah saja ia terlerai dari
tangkainya. Cukup segenggam buah cermai itu, dia menyandarkan kembali galah
tadi ke tempat asalnya.
“Beruntung juga beli rumah yang ada pokok betik dan cermai
ni.” Suriyana bercakap seorang diri.
Suriyana teringat lagi betapa dia berasa teruja semasa
Osman membawanya ke rumah itu. Menurut Osman, pemilik asal rumah itu menjual
rumah mereka kerana dia sudah punya rumah lain yang lebih besar dan selesa di
Rawang.
“Lagi beruntung Suri berkahwin dengan abang. Dapat tinggal
di rumah besar dan secantik ini,” kata Suriyana lagi. Menyebut perkataan abang,
dia teringatkan Osman.
“Oh, dah sampai mana agaknya abang? Rindu pula Suri kat
abang. Hisy… takkan baru sekejap kau dah rasa rindu semacam, Suri!” Suriyana
terus bermonolog.
“Hai, Suri! Pagi-pagi lagi dah ke laman?” Satu suara
melaung. Ainon, jiran sebelah rumah mereka menegur dari celah pagar rumah
Suriyana. Ainon sepertinya sedang bersiap mahu keluar bersama suaminya.
“Ya, kak. Sajalah tengok-tengok kawasan rumah. Akak nak ke
mana tu?”
“Ke pasar. Nak beli barang basah sikit. Jomlah... kalau
nak ikut.”
“Tak apalah, kak. Barang basah masih banyak. Lagipun
anak-anak tidur lagi.”
“Eh, Osman tak ada kat rumah ke Suri?!” tanya Mat, suami
Ainon.
“Tak ada, Abang Mat. Dia ke Terengganu. Baru sekejap tadi
perginya,” jawab Suriyana.
“Oh, macam tu ke? Okeylah, Suri... kami pergi dulu ya?
Kalau ada apa-apa hal beritahulah.” Ainon menamatkan perbualan mereka dan masuk
ke dalam perut kereta.
Kala kenderaan itu menderam pergi, Suriyana terdengar
teriakan kuat suara anaknya, Faizul Ikhwan.
“Mak! Mak!” Suara Mardiah Amna memanggil-manggil namanya.
“Mak! Mak! Mak!” panggil Mardiah Amna lagi dengan suara
yang lebih lantang.
“Ya, ya, sayang… mak kat bawah ni,” kata Suriyana.Dia
lekas-lekas membasuh kaki di pili, di laman rumah itu. Teriakan Faizul Ikhwan
yang semakin kuat menerobos cuping telinganya membuatkan dia gesa-gesa memanjat
anak tangga rumah.
“YA ke? Alhamdulillah... Suri dan anak-anak okey aje. Si
Zul dengan Diah baru lepas makan nasi goreng.”
“Suri masak ke?”
“Ha’ah... Suri masak nasi goreng kicap aje. Bukan main
selera lagi Si Zul dan Diah makan.”
“Baguslah kalau dia orang berselera makan. Suri tu, jangan
tak makan pulak. Jangan asyik nak jaga badan sampai abaikan kesihatan. Abang
tak kisahlah Suri gemuk sikit pun, jangan gemuk tahap obesiti sudah. Seram
abang!”
“Yalah. abang... Bila pulak Suri jaga badan sampai tak
makan. Suri makanlah. Hari-hari Suri makan epal hijau dan susu. Cukup untuk maintain
kesihatan Suri.”
“Kan abang dah cakap! Tak makan nasilah ni?”
“Makan juga, sikit aje.”
“Suri... Suri...” komen Osman mengenangkan sikap Suriyana.
“Abang jangan risaulah. Tahulah Suri jaga diri. Abang tu
jangan lupa belikan Suri keropok ya? Tetiba pula terasa nak makan keropok.”
“Suri nak makan keropok? Keropok keping ke keropok lekor?”
“Dua-dua abang beli. Suri terasa nak makan.”
“Baiklah tuan permaisuri, intan payungku…”
“Jangan lupa pulak abang. Nanti abang tahulah kalau tak
beli.”
“Ya, ya... insya-Allah
abang tak lupa. Nanti abang belikan.”
“Senyap aje budak dua beradik tu, buat apa?”
“Ada tu. Duduk menyandar sambil minum susu botol pulak.
Abang dah makan ke?” tanya Suriyana.
“Abang... abang dah makan ke?” Suriyana mengulangi
pertanyaan. Namun, Osman seperti tidak mendengar pertanyaannya itu. Osman
seperti sedang bercakap dengan seseorang.
“Sekejap lagi I turun. You tunggu kat bawah ya?” Suara
Osman bercakap dengan seseorang terdengar di corong telefon Suriyana. Butir
perbualan Osman dengan seorang wanita.
‘Aduhai, betapa lembutnya Osman berbicara dengan wanita
itu. Dan suara wanita itu kedengaran manja di telinga Suriyana. Siapakah wanita
itu? Kenapa Osman menyuruh wanita itu menunggunya di bawah? Bukankah tadi Osman
memberitahu yang dia kini di dalam bilik hotel? Adakah wanita itu juga bersama
suaminya di dalam bilik hotel itu?’ Hati Suriyana dikocak rasa curiga.
“Abang…” panggil Suriyana perlahan.
“Oh, maaf Suri. Nanti abang call lagi. Abang ada
hal ni. Okey, sayang... I miss you. Assalamualaikum!” Osman gesa-gesa
meletakkan telefon sebelum Suriyana sempat menjawab salam suaminya.
Terpinga-pinga Suriyana dengan sikap Osman. “Kenapa abang
terburu-buru? Sudah tak sabar-sabar sangat ke nak bertemu dengan perempuan tu?”
Kata-kata itu meluncur laju di bibir Suriyana. Sedikit sebanyak layanan Osman
membuatkan dia berkecil hati. Rasa cemburu tiba-tiba bertamu di jiwa
mengenangkan betapa lembutnya lidah Osman berbual dengan wanita itu. Siapakah
wanita itu? Sejauh manakah istimewanya sampai Osman boleh membenarkan wanita
itu masuk ke bilik hotel?
“Astaghfirullahalazim…”
Namun cepat-cepat Suriyana beristighfar. Dia cuba menolak prasangka buruk yang
membuatkan dadanya tiba-tiba berdegup dengan lebih pantas.