Home Novel Keluarga Dia Yang Mengerti
Bab 23


JURIAH hairan. Sudah tiga hari berturut-turut Wardina Amni tidak kelihatan di pekarangan sekolah dan di tempat biasa mereka bertemu. Puas juga dia menanti kehadiran Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan, sayangnya mereka juga tidak kelihatan. Apakah mereka adik-beradik bercuti kerana tidak sihat?

Juriah resah memikirkan perihal cucu-cucunya. Hatinya juga berat mahu ke rumah Suriyana. Jiwanya agak tertekan mahu bertemu mata dengan menantunya itu. Suriyana membuatkan hatinya tawar untuk ke sana. Sikap kurang ajar Suriyana memang membungkal perasaan. Kalau dikenang sikap Suriyana tempoh hari, hancur luluh hatinya. Namun mengenangkan cucu-cucunya, tidak sampai hati untuk dia bersikap keras hati. Siraturahim yang tegang, bisa putus bila-bila masa saja.

Malam tadi Juriah cuba menelefon rumah Suriyana, namun sayang panggilan itu tidak berangkat. Akhirnya, dia memutuskan untuk pergi ke rumah Suriyana. Hatinya sayu dan berbelah bahagi mengenangkan nasib Wardina Amni. Kalau tiga hari anak itu tidak ke sekolah, dia tidak tahu bagaimana dengan makan minum cucunya itu. Nasib Wardina Amni langsung tidak diketahuinya. Demamkah? Sakitkah?

Juriah memarkir kereta agak jauh dari rumah Suriyana, berhampiran dengan rumah Ainon. Lama dia memerhati sekeliling rumah peninggalan arwah Osman. Suasana di sekitar rumah itu sunyi sekali. Hanya sesekali bunyi kenderaan memecah keheningan pagi. Pintu dan tingkap rumah itu kelihatan tertutup rapat. Kereta Honda Civic dan Volvo, peninggalan arwah Osman tersadai lesu di bawah garaj. Kereta Toyota milik Suriyana tiada di tempatnya. Sah, menantunya itu keluar. Tapi ke mana ya? Benak Juriah laju berfikir sambil matanya terus memerhatikan sekeliling rumah itu.

Juriah melangkah keluar dari perut kereta apabila diyakininya rumah besar itu tidak berpenghuni. Dia cuba membuka daun pintu pagar, namun telah dimangga kemas. Juriah terhendap-hendap dari celahan pintu pagar yang berkerawang tinggi, berceracak kukuh di tanah itu. Tiada suara Suriyana dan cucu-cucunya, mahupun bunyi dari televisyen.

Tiga buah basikal milik cucu-cucunya kelihatan bersandar di dinding rumah, dekat dengan bahagian dapur. Benar seperti mana diduga, ketiga-tiga mereka tidak hadir ke sekolah. Tapi, ke mana mereka pergi hari-hari sekolah begini?

Bunyi enjin kenderaan berhenti di tepi keretanya membuatkan Juriah tersentak. ‘Surikah?’ tebak hatinya seraya berpaling dengan rasa gundah. Berdepan dengan menantunya itu membuatkan perasaan menjadi tidak enak. Apa pun yang Suriyana akan hamburkan sekejap nanti, dia bersedia menadah telinga. Dia sudah maklum akan perangai Suriyana yang pernah diserang angin meroyan itu.

“Kak Juriah!” Lunak mesra suara Ainon menegurnya.

Juriah mengurut dadanya yang berdebar kencang tadi.

“Lah... Ainon. Akak ingatkan siapa tadi,” jawab Juriah membalas sapaan Ainon. Debar di dadanya mulai surut.

“Ingatkan siapa pulak, kak?” tanya Ainon, mendekati tubuh Juriah. Mereka bersalaman.

“Akak ingatkan Suri tadi,” bisik Juriah perlahan ke telinga Ainon.

“Suri dan budak-budak tu, tak ada kut kak. Dah empat hari rasanya rumah tu tertutup rapat. Berkunci aje. Saya pun tak tahu ke mana perginya mereka. Bangun pagi tu, tengok kereta Suri tak ada. Saya pun sibuk sungguh tiga empat hari ni. Berulang-alik ke rumah anak dan hospital. Cucu masuk hospital. Amalin pun berulang ke sekolah dari rumah kakaknya.”

“Masuk hospital?” tanya Juriah separuh terkejut.

“Ha’ah, kak... Demam panas dan doktor sahkan ada jangkitan kuman kat paru-paru. Saya tolong tengok-tengokkan cucu-cucu yang lain. Malam tadi pulak, saya bermalam di hospital pasal bayi kecil kat rumah masih menyusu badan. Kembung perut sebab menangis. Kesian mak budak-budak tu,” cerita Ainon membuatkan Juriah terlopong.

Tiba-tiba seraut wajah Wardina Amni terlayar-layar di benaknya. Kisah cucu Ainon yang demam dan diserang kuman di paru-parunya adalah sama dengan situasi yang pernah berlaku kepada Wardina Amni suatu ketika dulu. Entah mengapa, perasaannya menjadi kacau-bilau. Rasa bimbang dan takut melimpah ruah di tebing hati. Hatinya berbisik yang Wardina Amni amat memerlukannya saat ini. Mungkinkah Wardina Amni sedang sakit?

“Kak, kenapa jauh termenung ni?” tanya Ainon menyedari Juriah hanyut dalam lamunannya. Sentuhan tangan Ainon di lengan Juriah, membuatkan Juriah malu sendiri.

“Akak terkenangkan si Dina dengar cerita kau ni. Dia kan pernah demam dan pernah kena jangkitan kuman masa hayatnya arwah Osman ada lagi.” Juriah berterus terang akan pertanyaan Ainon itu. Sememangnya dia sangat rindu kepada Wardina Amni. Dia macam tak percaya Suriyana membawa Wardina Amni ke mana-mana bersama. Selama ini, menurut cerita Wardina Amni, tak pernah Suriyana mengajaknya ke mana-mana.

“Cucu Non tu, berapa tahun umurnya?”

“Baru empat tahun, kak. Eh, jom ke rumah saya! Boleh kita berborak panjang,” ajak Ainon.

“Tak apalah, Non. Akak datang nak tengok cucu-cucu akak. Tanya khabar mereka. Dah banyak hari akak tunggu Dina kat sekolah, tak muncul-muncul juga. Hati akak ni tak sedap saja, kenangkan dia. Tak apalah, mungkin dia mengikut sama, emaknya ke mana-mana. Akak pun nak ke kedai ni. Kau baliklah Non, berehat.” Juriah menasihati Ainon.

“Ya, kak. Memang ada hajat nak tidur sekejap. Badan ni dah berasa sejuk panas pulak. Mujurlah menantu dapat cuti hari ni. Biarlah giliran dia pula yang jaga budak-budak tu.” Ainon menyambung cerita.

“Yalah, Non. Alhamdulillah... boleh tukar-tukar berjaga. Kau tu kan ada darah tinggi. Tak boleh berjaga malam selalu, tak boleh tak cukup tidur. Bahaya,” komen Juriah lagi.

“Kalau macam tu saya pergi dulu, kak.” Ainon meminta izin dan mereka bersalaman.



WARDINA AMNI terbatuk-batuk, cuba menahan lelah yang kian memerit dada. Sakitnya sudah tak tertanggung lagi menyebabkan dia sukar menghela nafas. Liur di tekak kian kering dan pahit. Dia berasa haus dan langsung tidak bermaya. Perutnya berbunyi-bunyi minta diisi.

Wardina Amni memandang sekeliling biliknya yang kini dibolosi sejalur cahaya pagi. Dia mengecam situasi dalam keadaan kepalanya yang masih berdenyut-denyut kuat. Pandangan matanya berpisat-pisat. Dia cuba menggagahkan diri, mengangkat tubuhnya yang dirasakan sakit, kebas dan nyilu. Namun kepalanya yang pusing membuatkan dia gagal untuk berdiri.

Wardina Amni berusaha mengengsot badannya yang lesu. Dia mendekati daun pintu bilik dan menguaknya perlahan. Sedaya upaya, dia cuba menggerakkan tubuhnya yang lemah ke dapur, mahu meneguk segelas dua air masak.

Tiba-tiba Wardina Amni tersentak. Sayup-sayup kedengaran di cuping telinganya suara orang bercakap. Dia cuba mengecam, siapa empunya suara itu? Meskipun kecungapan, dia gesa-gesa mengengsot badan ke tepi daun pintu dapur. Telinganya melekap di daun pintu, mahu memastikan telahannya benar. Dia mahu tahu siapa orang yang bercakap-cakap di luar pagar rumahnya itu.

Wardina Amni cuba untuk bangun, memaut tangan di tombol pintu demi mencari sokongan tubuhnya yang lemah. Namun apakan daya, tubuhnya yang lemah membuatkan dia terlonglai kembali ke lantai. Dia kelelahan. Sambil mengurut dadanya yang perit, bibirnya tidak sudah-sudah mengucap dua kalimah syahadat dan puji-pujian kepada Yang Maha Esa dengan harapan diberi kekuatan oleh-Nya.

Dalam keadaan terbaring, dia mengharapkan Allah akan memberikannya keajaiban. Semoga DIA, membuang segala rasa sakit dan menghidupkan semangat juga tenaganya yang hilang entah ke mana. Seminit dua, Wardina Amni masih berjuang, berusaha menongkat tubuh, mahu bangun dan membuka daun pintu dapur.

‘Eh, itu suara nenek dengan Mak Cik Ainon! Nenek datang kat sini ke?’ bisik hatinya rawan setelah diyakini suara orang yang bercakap-cakap itu ialah suara Juriah dan Ainon.

“Nenek, tolong Dina. Mak Cik Ainon…” panggil Wardina Amni. Namun suaranya terlalu lemah meskipun dia berasa sudah terlalu kuat dia menjerit memanggil Juriah.

Dia sedaya upaya mahu bangun dan terus memanggil nama neneknya. Beberapa kali. Dia perlukan ubat, makanan dan perhatian seseorang dalam keadaan tubuhnya yang langsung tidak berdaya. Dia mahu minta pertolongan Juriah agar membawanya keluar dari rumah itu.

Hatinya sudah tawar dilayani sebegini oleh penghuni rumah ini. Hatinya hancur lebur mengenangkan betapa rasa benci Suriyana membuatkan dia mengusung derita.

Sebelum demamnya melarat, dia ada juga mengintai-ngintai rumah Ainon dan memanggil wanita itu, namun kelihatan rumah itu tidak berpenghuni. Puas sudah dia berikhtiar, mahu keluar dari rumah itu, namun fikirannya buntu. Gerigi besi dan pintu depan juga belakang rumahnya dimangga dari luar.

“Ya Allah... berikanlah aku kekuatan. Nenek... Mak Cik Ainon.... Dada Dina sakit sangat ni. Nenek, dengarlah suara Dina. Nenek, dengarkah suara hati Dina yang amat memerlukan nenek. Tolonglah Dina ,nek. Mak Cik Ainon, Dina ada dalam rumah ni. Dina tak sihat, tolonglah, Dina...” tangis Wardina Amni bersama rasa perit yang masih menghimpit dada.

Namun apabila disedarinya tiada lagi suara orang bercakap-cakap, sesak di dada kian menjadi-jadi. Deruman suara kereta yang berlalu pergi membuatkan harapan Wardina Amni punah begitu saja. Dia yakin benar, Juriah mahupun Ainon sudah pun berlalu pergi dari situ.

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.