14
WARDINA
Amni membuka kelopak matanya yang
berat. Kepalanya masih berdenyut-denyut kuat. Tangannya terasa kebas. Lenguh
dan kejang seluruh tubuhnya. Pun begitu, dia sedaya upaya untuk menggerakkan
badannya.
Dia
cuba memandang ke sekeliling. Dia cuba mengecam situasi. Di kiri kanannya tiada
sesiapa. Di tepinya sebuah troli yang mengandungi beberapa fail keras.
Wardina
Amni cuba mengangkat tangannya. Sebatang jarum tersisip di urat tangannya,
dekat dengan jari hantu. Jarum itu bersambung dengan wayar yang mengandungi
cecair jernih dari beg plastik yang tergantung di sebatang tiang bergerak.
Pergerakannya
dirasakan terbatas. Selimut putih yang tebal di dadanya cuba dialihkan, namun
usahanya sia-sia. Kesan jarum itu cukup memeritkan urat saraf di tangannya.
“Ayah…”
Wardina Amni bersuara perlahan.
“Ayah…”
ulang Wardina Amni lagi dengan sekuat hati, namun suaranya bagai tersekat di
kerongkong. Perit dan pedih kerongkongnya. Tekaknya juga terasa amat pahit.
Ayah
mana, ayah? Wardina Amni melilau mencari kelibat Osman. Osman tiada di situ.
Tiada siapa di situ melainkan dirinya yang tidak bermaya mahu turun dari katil
hospital.
“Ya Allah… mana ayah?!” Wardina Amni
berteriak dengan suara serak. Dia memicit kuat dahinya, cuba membuang denyutan
yang menyakitkan itu.
“Tolong!
Tolong!” jeritnya sekuat hati.
“Tolong,
jangan pukul ayah Dina. Tolong jangan buat ayah macam ni,” tempik Wardina Amni
lagi.
Dia
merayu dan terus merayu agar dikasihani mereka. Tangannya cuba memegang tangan
lelaki sasa itu, namun sepantas itu juga tubuhnya ditolak kuat. Dia jatuh
tertiarap di sisi Osman. Hidungnya berdarah dan dia kecungapan mahu menarik
oksigen. Dadanya perit.
“Kau
nak apa?” Suara Osman yang lemah kedengaran di telinga Wardina Amni.
“Rantai
berlian. Mana rantai berlian tu?” soal lelaki pertama dengan suara garau.
“Rantai
berlian apa?” soal Osman semula.
“Kalau
kau buat-buat tak tahu…” Suara lelaki kedua bersuara lantang. Kakinya yang
berkasut but keras memijak tubuh Wardina Amni yang berkerut-kerut menahan
sakit.
“Ya
ALLAH... Dina.” Suara Osman kedengaran lirih, terketar-ketar bersama sisa-sisa
tenaga yang masih ada.
“Jangan!
Jangan! Kasihan anakku. Dia tak bersalah.” Osman cuba merangkak untuk
mendapatkan Dina.
“Cepat
cakap!” desak lelaki pertama tadi bersama sepakan demi sepakan di perutnya.
“Ayah!
Ayah!” Wardina Amni takut. Tidak sanggup dia menyaksikan tubuh ayahnya longlai
begitu. Tumbukan dan sepak terajang yang bertubi-tubi daripada beberapa orang
lelaki membuatkan Osman terkulai lesu.
“Ayah!”
Wardina Amni menjerit lagi meskipun perit di dadanya hanya ALLAH Yang Tahu.
Osman
cuba mengumpul kekuatan. Dia bangkit untuk melawan lelaki pertama. Namun,
lelaki kedua yang sudah tersedia dengan pisau di tangan tidak berlengah, terus
merodok perut Osman.
“Ayah!”
jerit Wardina Amni sekuat hati.
“Dina,
Dina…” Satu suara cuba mententeramkannya.
“Adik,
adik… buka mata, dik. Buka mata. Tengok sini...” Suara kedua pula berusaha
mententeramkannya.
“Dina,
Dina. Ini nenek sayang. Ni nenek…”
Wardina
Amni tersentak. Dalam kecungapan dan kelelahan yang melurut tubuh kurusnya, dia
mencari empunya suara yang bergelar nenek itu.
“Nenek…
ayah, nek! Ayah!” teriak Wardina Amni tercungap-cungap sebelum terkulai semula
di tubuh Juriah.
SURIYANA
merenung lama wajah bulan yang sedang mengambang penuh. Malam itu, dia
kebosanan. Dia kesepian. Dia bencikan kesepian dan kebosanan yang kian menjerut
lehernya. Dalam hidupnya antara perkara yang paling dibenci apabila jiwanya
dihambat semua perasaan itu. Sudah seminggu Osman terlantar di hospital. Sudah
seminggu juga Osman langsung tidak membuka pelupuk matanya. Suaminya langsung tidak
bergerak meskipun puas Suriyana menggoncang tubuh lelaki itu. Dia kegelisahan.
Bimbang sesuatu yang buruk akan berlaku kepada Osman.
Biarpun
bukan sepenuh hati rasa cintanya buat lelaki itu, namun kehilangan Osman bisa
merubah masa depan mereka sekeluarga. Selama ini, Osman yang diharap memberi
kemewahan kepadanya. Dia tidak kisah dan malas hendak memikirkan kelemahan
Osman sebagai seorang lelaki asalkan suaminya itu tidak pernah mengabaikan
keperluan material buatnya.
Suriyana
menarik nafas berat. Rantai berlian yang diharap menjadi miliknya, kini sudah
hilang. Menurut polis yang menyiasat kes ini, semua barang milik Osman
termasuklah beg pakaian dan kasut lesap dari dalam kereta itu.
Osman
memang bodoh. Suaminya bodoh kerana membiarkan harta yang bernilai itu bertukar
tangan. Sepatutnya sebelum berangkat ke bandar, Osman sudah menghulurkan rantai
berlian itu kepadanya seperti mana Osman meninggalkan hadiah buat Mardiah Amna
dan Faizul Ikhwan.
Mengenangkan
Osman, hatinya sebal. Teringatkan Wardina Amni, rasa marahnya kian berapi-api.
Kerana anak itu, dia hampir kehilangan seorang suami yang kini terlantar koma
di hospital. Osman dari dulu lagi terlalu memanjai Wardina Amni sedangkan
bahananya sudah jelas.
Arghhh,
mengenangkan Wardina Amni dirinya semakin tak keruan. Nafasnya sukar dihela.
Puas sudah dia cuba membuang rasa benci terhadap anak itu, namun kebencian itu
makin melaut. Dendam kesumat semakin menggigit-gigit tangkai hatinya. Geram dan
marahnya meluap-luap. Sepatutnya dari dulu lagi anak ini tak dibiarkan hidup.
Sepatutnya dari dulu lagi! tempiknya dalam hati.
“Aku
nak buat macam mana lagi, Suri? Dah habis ikhtiar. Semangat budak ni kuat, tu
yang melekat jugak kat rahim kau!” kata Mak Itam menyambut kehadiran Suriyana
di rumahnya petang itu.
“Saya
tak mahu beranak lagi. Mak Itam tolong ikhtiarkan!” Suriyana bersuara lagi
minta perhatian.
Mak
Itam hanya menggeleng kepala.
“Ubat
yang aku beri tu panas-panas belaka. Makjun tu mujarab untuk orang baru lepas
bersalin. Ni pulak kau yang baru mengandung tiga bulan.”
“Semua
saya dah makan nak kasi gugur, tapi…”
“Aku
pun tak tahulah, Suri. Kes kau ni buat aku bingung,” kata Mak Itam berputus asa.
Suriyana
merengus geram, menyesali takdir yang tertulis buatnya.
“Tapi,
kenapa kau beria sangat nak buang anak ni? Bukan ke kau masih muda? Anak pun
hanya dua. Anak ramai kan seronok? Esok-esok dah tua, anak-anak ramai ni yang
tolong tengok dan jaga kita.” Mak Itam memberikan buah fikirannya.
“Memanglah
saya ni masih muda. Tapi saya benar-benar tak larat nak lalui semua ni. Tak
guna saya mengandung lagi kalau saya tak ikhlas, kan?”
Mak
Itam mengangguk faham mendengar bait kata daripada bibir mungil Suriyana.
“Tak
boleh jadi ni, kena gugurkan juga cara moden.” Suriyana semakin berang.
Fikirannya bertambah runsing. Jiwanya kacau. Alahan semasa mengandung ni memang
memerlukan kesabaran yang tinggi. Semuanya kena ikhlas.
“Suri dah
tak tahan macam ni! Tak tahan. Anak ni memang menyusahkan Suri. Suri penat,
bang. Penat! Zul dengan Diah tu kecik lagi, mana nak uruskan dia orang, mana
nak bawa perut ni lagi. Abang bukannya selalu ada kat rumah pun, tengokkan
sakit pening Suri!”
“Sabar
ya, Suri. Insya-Allah tak lama
lagi alahan Suri akan beransur hilang. Abang cuba kurangkan aktiviti kat luar.
Insya-Allah, Suri akan baik-baik
saja. Anak ni insya-Allahakan
jaga kita esok-esok. Akan jadi pembela hidup Suri,” pujuk Osman
bersungguh-sungguh.
“Arghhh,
tak ada maknanya nak bela Suri! Dalam perut lagi menyusahkan Suri…”
“Astaghfirullahalazim.
Mengucap, Suri... mengucap! Ingat Allah.
Bukan ke anak-anak tu anugerah daripada Allah
yang tak ternilai harganya? Macam Mahmud dengan Kasnah, bertahun-tahun bernikah, tak punya anak. Suri
dah mengandung ni… sayang kalau merungut-rungut macam ni.” Juriah menyampuk
perbualan anak menantunya.
Angin
malam yang menderu-deru mengejutkan Suriyana daripada lamunan panjangnya. Kisah
13 tahun lalu terlayar-layar di minda fikirannya, kini terbang entah ke mana.
Dia pantas menutup daun pintu jendela yang sedia terkuak. Kedinginan kian
merajai tubuhnya yang hanya berpakaian gaun malam nipis membuatkan dia tidak
tertahan.
Suriyana
lantas merebahkan badan di katil. Suasana malam yang sunyi sepi itu
mendorongnya melepas pandang ke jam dinding yang sedia berdetik. Hampir satu
pagi. Anak-anak pun sudah lena diulit mimpi.
Suriyana
teringat kejadian di hospital siang tadi. Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna tidak
henti-henti menangis melihat keadaan ayah mereka. Setiap hari mereka ke
hospital, setiap hari juga mereka menangis. Suriyana sangat tertekan dengan
semua ini. Dia sudah tidak larat melihat air mata anak-anak.
Suriyana
tak mahu ALLAH berlengah-lengah lagi. Kebisuan dan kekakuan Osman dalam komanya
membuatkan dia menjadi tidak sabar. Sama ada suaminya akan mati atau terus
hidup, dia sudah bersedia menerima semua suratan daripada ALLAH dengan
berlapang dada.
Suriyana
mengiring tubuh ke kiri cuba melelapkan
mata, namun terlalu payah. Kelopak matanya degil, tidak mahu terkatup meskipun
puas dipaksa. Wajah Wardina Amni terpampang di ruang matanya.
Anak
itu kelihatan trauma dan masih dalam pantauan pihak hospital. Kata doktor, anak
itu mengalami kejutan yang maha hebat. Wardina Amni kelihatan menjerit-jerit
memanggil nama ayahnya. Suriyana tidak tahu apa yang disaksikan Wardina Amni
sehingga trauma anaknya menjadi sedemikian rupa.
Dia
tak mahu mempedulikan anak itu meskipun perasaan keibuannya merentap perasaan
sendiri. Saat melihat wajah Wardina Amni muram dalam tangisan, hatinya
tergugah. Rasa marah dan dendam seperti mencair kala itu. Sewaktu anak itu
terkulai di pelukan Juriah, ada rasa sebak singgah di hujung hati.
Dia
pun tidak tahu kenapa dan untuk apa rasa sebak itu wujud? Puas sudah dia
memberi isyarat kepada dirinya agar berkeras hati dengan Wardina Amni. Segala
musibah yang menimpa mereka sekeluarga memang berpunca daripada anak itu. Bukan
hari ini saja, tetapi sejak anak itu menjengah dunia lagi. Dan segala
kesengsaraan yang dialami mereka hari ini memberi isyarat akan tulah yang
dibawa anak itu.
Suriyana
mengheret nafas berat. Rantai berlian yang diidamkan kini tiada lagi.
Terkilannya dia bukan kepalang. Baru dia beria-ria nak menayang rantai berlian
itu kepada Ainon mahupun kejiranan yang lain. Biar juling mata mereka melihat
betapa indah dan mahalnya hadiah yang diterima daripada Osman. Lambang kasih
sayang Osman terhadapnya yang tidak berbelah bahagi. Kasih sayang Osman
terhadapnya selama ini tak pernah berkurangan, malah lewat kebelakangan ini Suriyana
yakin Osman semakin tunduk kepadanya.
Suriyana
tersenyum mengenangkan Osman. Sekalipun ada hak yang tidak mampu diberi Osman
kepadanya, namun Suriyana sayang kepada suaminya kerana Osman tidak pernah
berkira jika dia meminta itu ini. Osman tidak pernah menghampakan harapannya
daripada segi kewangan dan material. Berapa pun jumlah wang yang dibelanjakan
saban bulan, tiada rungutan yang keluar daripada bibir lelaki itu.
Suriyana
tahu adakalanya ubat daripada Mak Itam untuk kesejahteraan mereka suami isteri
sangat berkesan. Osman begitu patuh akan kata-katanya meskipun ada
waktu-waktunya Osman pernah juga melenting. Tapi, suami itu masih bisa
‘dikawalnya’. Suriyana juga tahu dia perlu bijak melayan suaminya meskipun
adakala terpaksa rela berlakon. Selagi harta benda milik Osman tidak berpindah
milik kepadanya, maka hubungan baik mereka mesti berjalan lancar.
Sepi
malam kian mengusik jiwanya yang sedang bergetar hebat. Hilangnya bayang wajah
Osman, kini dia diterpa bayang wajah Zack. Sudah banyak hari dia tak bertemu
dengan lelaki muda yang menjadi ikan belaannya. Segala apa yang menimpa Osman
membuatkan dia kesuntukan waktu mahu bertemu Zack. Lelaki muda yang berbadan
sasa itu, bijak dan tahu bagaimana mahu mengubat sepi jiwanya.
‘Oh,
Zack!’ Hatinya berbisik rindu pada lelaki itu. Tika ini, dia benar-benar
kepingin mahu bertemu lelaki muda itu. Dia memejam mata lama, membayangkan
saat-saat manis yang pernah dilewatinya bersama Zack. Dan kalaulah waktu ini
dia bisa bersama lelaki itu…
Kring!Kring!
Kring!
Telefon
rumah kedengaran bertempik nyaring. Suriyana terperanjat. Dia gesa-gesa ke
ruang tamu rumah.
“ZACK!”
tempik Suriyana dengan penuh rasa teruja. Gembira dan seronoknya dia bukan
kepalang.
“Hai,
sayang…”
“You
ni macam tahu-tahu aje I tengah fikir pasal you,” beritahu Suriyana hampir
menjerit.
“Rindu
ke?” tanya Zack sambil tergelak.
“Mestilah
rindu... I nak jumpa you, sayang,” luah Suriyana dengan suara manja dan
menggoda.
“Okey,
you bersiap sekarang. Lagi setengah jam, I sampai rumah you.”
“You
biar betul!” balas Suriyana dengan kata-kata Zack.
“Betullah.
I pun rindukan you juga. Jangan hampakan I, ya!” Klik. Talian sudah terputus.
Suriyana
tergamam seketika. Betulkah Zack menelefonnya atau aku bermimpi sebab
terfikirkan dirinya tadi? Suriyana mencubit pipinya yang sakit sebelum terletus
tawa kecil di bibirnya.