Home Novel Keluarga Dia Yang Mengerti
Bab 8

8


"SUBHANALLAH! Apa dah jadi sebenarnya ni, Man? Dah berapa hari Dina jadi macam ni?” tanya Juriah dengan perasaan sedih yang bukan sedikit.

Wardina Amni yang bertubuh kurus itu nampak lena dalam selimut tebal berwarna putih. Di mulutnya terdapat satu alat yang membantunya bernafas dengan lebih berkesan. Di tangan kirinya pula ada jarum yang menyambungkan wayar putih jernih ke beg plastik yang mengandungi cecair, tersangkut di sebatang tiang.

“Dah tiga hari, mak,” jawab Osman lemah.

“Dah tiga hari, baru kau bagitahu mak?” Juriah terkejut mendengar penjelasan Osman. Tanpa sedar, dia meninggi suara. Wajah Juriah menggambarkan perasaan hampa, merenung wajah Osman yang dipalit rasa bersalah.

“Maafkan Man, mak. Man ingat tak serius mana keadaannya. Tapi bila doktor kata kemungkinan besar ada masalah kat paru-paru, Man takut mak. Man takut.” Osman menangis teresak-esak. Dipeluk tubuh Juriah, mencari ketenangan di sebalik tubuh insan bernama ibu.

“Itulah, elok-elok dah mak jaga budak ni masa kecik-kecik dulu, kau sibuk nak bawak dia balik. Kalau mak yang jaga, tak adalah jadi macam ni.” Juriah membebel.

“Mak, Man takut kehilangan Dina. Man takut Dina akan tinggalkan Man.” Osman meluahkan perasaan sedihnya.

“Hisy, jangan fikir macam tu, Man! Kita doa yang baik-baik saja. Doktor sedang berusaha, berikhtiar untuk menyembuhkan dia,” pujuk Juriah tenang meskipun dalam hatinya hanya ALLAH yang tahu betapa dia tersentap besar mendengar kata-kata Osman itu.

Osman ternyata sedih dan tertekan. Kata-katanya seperti orang berputus asa. Keadaan anaknya yang nampak tidak terurus itu membuatkan Juriah semakin sebak.

“Dina, nenek datang, sayang…” Juriah merapati tubuh cucunya itu. Dia berbisik di cuping telinga Wardina Amni. Namun, Wardina Amni langsung tak bereaksi. Matanya tertutup rapat di sebalik wajahnya yang pucat.

“Apa kata doktor lagi?”

“Keputusan ujian makmal akan diketahui petang ni.”

“Man…” Satu suara menyapa gegendang telinga.

Osman berpaling. Mahmud hadir di antara mereka dengan manik-manik peluh merenik di dahi.

“Dina kenapa, Man?” tanya Mahmud cemas. Dahinya berkerut. Pandangannya tumpah ke seraut wajah Wardina Amni yang terkedang lesu di perbaringan. Juriah di katil, di tepi Wardina Amni nampak berhiba. Kala mata mereka beradu, Mahmud perasan, ada sisa air mata bergenangan di kelopak mata ibunya.

“Doktor beritahu ada jangkitan kuman kat paru-paru dia. Tapi keputusan makmal belum tahu lagi,” jelas Osman lemah.

“Dia demam ke sebelum ni?” tanya Mahmud ingin tahu.

Pertanyaan Mahmud itu sedikit sebanyak membuatkan Osman terdiam seketika. Dia pun tidak tahu sama ada Wardina Amni demam atau sihat sepanjang dia berada di luar kawasan. Setiap kali dia menelefon di rumah bertanya khabar, tak ada pula Suriyana bercerita tentang sakit demam anaknya itu.

Sedikit sebanyak memikirkan perkara ini membuatkan Osman teringatkan Suriyana di rumah. Sudah tiga hari, dua malam dia bermalam di hospital ini. Namun, Suriyana langsung tak menjenguk mereka. Apa dah jadi dengan bini kesayangannya itu? Berkecil hati sangatkah Suriyana kerana jerkahannya tempoh hari? Berkasar sangatkah dia terhadap isterinya itu kalau nak dibandingkan apa yang telah dilakukan Suriyana terhadap Wardina Amni?

Sepanjang Osman berada di rumah, layanan Suriyana terhadap Mardiah Amna, Faizul Ikhwan dan Wardina Amni nampak sama saja. Tidak pernah pun Osman perasan yang Suriyana melayan kasar anak itu. Sementelaah pula Wardina Amni tidak pernah pun mengadu Suriyana melayannya dengan buruk. Begitu juga Rokiah, pembantu rumah mereka tidak pernah mengadu itu ini kepada Osman.

Status Rokiah hanya pembantu separuh masa di rumah mereka. Rokiah masuk kerja seawal lapan pagi dan meninggalkan rumah itu sekitar jam empat petang. Tugas Rokiah mengemas rumah dan memasak untuk mereka sekeluarga. Kerja-kerja membasuh, menyidai, melipat dan menyerika pakaian tergalas di bahu Rokiah. Begitu juga menjaga tanaman hiasan, kolam ikan dan halaman rumah. Namun sekiranya Osman ada di rumah, Rokiah tidak diizinkan datang oleh Suriyana. Kata Suriyana, dia mahukan masa yang privasi untuk bersama suami dan anak-anak.

“Man, kalau ada masalah paru-paru biasanya petanda awalnya masa kecik-kecik dulu ada lelah. Sebelum-sebelum ni, Dina ada lelah ke?” Mahmud bertanya lagi mengejutkan lamunan perasaan Osman yang ralit berfikir tentang Suriyana.

“Rasanya tak ada lelah pun sebelum ni,” jawab Osman.

“Mak rasa pun Dina sihat aje masa kecilnya. Tak ada sakit apa pun,” tokok Juriah yang sejak tadi langsung tak menyampuk perbualan anak-anaknya.

Mahmud yang mendengar jawapan kedua mereka cuma mengangguk serius.

“Tak apalah, Man. Insya-ALLAH, kes ni tak serius. Dina ni budak kuat. Dia mesti boleh lawan apa saja penyakit dalam tubuh dia,” balas Mahmud dengan nada penuh semangat. Dia merapatkan tubuhnya ke katil. Dahi anak saudaranya itu disentuh. Rambut Wardina Amni yang panjang separas bahu itu dielusnya lembut.

“Dina, ayah long datang ni.” Mahmud cuba bercakap dengan Wardina Amni. Namun seperti tadi juga Wardina Amni masih lagi membisu. Mahmud kemudiannya berbisik sesuatu ke telinga Wardina Amni. Butirnya tak jelas di telinga Juriah mahupun Osman.

“Eh, Man... Suri mana? Dari tadi tak nampak pun?” tanya Juriah menyedari menantunya tiada di situ.

Osman dan Mahmud saling berpandangan mendengar pertanyaan Juriah itu.

Dalam keadaan serba salah, Osman menjawab. “Dia kat rumah, mak. Biarlah dia berehat pulak. Bergilir-gilir jaga Dina. Karang tak pasal-pasal pulak dia kena darah tinggi. Suri kan tak boleh stres.” Laju saja mulut Osman mereka cerita.

Dia pun tak tahu kenapa dia tega berbohong dengan emak sendiri kerana isterinya. Yang penting, Osman tak mahu memburukkan Suriyana apatah lagi Mahmud ada di situ. Baru beberapa hari lepas mereka bertegang urat kerana Suriyana. Kerana Suriyana jugalah, dia seperti melancarkan perang dingin terhadap abang sendiri.

“Man, tadi abang ke rumah kau. Kata Diah dan Zul, kau dah banyak hari tak balik rumah. Kata mereka lagi, Suri baru aje keluar jumpa kawan. Dia orang pun tercengang-cengang bila aku tanya kenapa tak pergi jenguk Dina kat hospital. Zul kata, mak tak bagitahu yang Dina masuk hospital. Bila abang tanya, tahu tak ke mana Dina pergi, Diah cakap mak bagi tahu yang Dina ke rumah nenek.” Mahmud bercerita panjang lebar.

“Eh, abang buat apa pergi rumah Man?” tanya Osman terkejut. Cerita Mahmud itu cukup membuatkan air wajahnya berubah. Sesekali dia memandang wajah Mahmud, sesekali dia memandang wajah Juriah. Ternyata dia dihambat rasa bersalah. Dia sudah menipu tadi dan kali ini dia seperti terperangkap dengan muslihat sendiri.

“Oh, masa mak telefon abang bagitahu Dina masuk hospital tadi, abang memang dah nak keluar. Niat nak pergi rumah Alias. Bininya Alias mengandung, mengidam nak makan ikan pekasam. Tu yang dia kirim masa abang ke Perak tempoh hari. Dalam perjalanan ke rumah dia, abang lalu kat rumah kau. Masa tulah abang nampak si Zul naik basikal, baru balik dari kedai. Abang pun singgah kejap tanya khabar.”

“Lah… ya ke?” Osman bersuara separuh mengeluh.

“Sebenarnya, bang... kami sengaja tak nak bagi tahu Zul dan Diah. Bukan apa takut dia orang risau,” jawab Osman lagi.

“Kau kata malam tadi Suri yang jaga Dina. Tapi macam mana pulak Zul kata kau dah banyak hari tak balik rumah? Pulak tu, Zul bagitahu yang emaknya baru keluar jumpa kawan?” tanya Mahmud keliru.

Osman terdiam dalam meneliti butir percakapannya dengan Mahmud tadi. Ternyata, pembohongan kali pertama akan menciptakan lebih banyak pembohongan.

“Hmm... ada baiknya kalau kau bagitahu aje Diah dan Zul tu pasal Dina ni, Man. Kesian budak-budak tu tak tahu yang adiknya sakit, sampai masuk hospital.” Juriah yang sejak tadi tidak henti mengusap kepala Wardina Amni memberi cadangan.

“Mak tak rasa yang pelajaran budak-budak tu akan terganggu. Lagipun kesian Dina, dia pun rindu nak dengar suara kakak dan abangnya.” Juriah bersuara lagi sambil memandang tepat ke wajah Osman.

Osman mengangguk faham akan kata-kata Juriah itu. “Sementara mak dan abang ada kat sini, Man keluar makan sekejap ya.” Osman berlalu keluar sebelum sempat Juriah dan Mahmud memberi jawapannya.

“Mak, Mud rasa Man tu macam ada yang tak kena aje kan?” tanya Mahmud kepada Juriah separuh berbisik apabila diyakininya yang adiknya sudah berlalu ke kantin. Ingin saja dia mempersoalkan tentang Suriyana dan kisah pertemuannya dengan Faizul Ikhwan tadi.

“Alah Mud, apa lagi?! Dia nak kita ni fikir hal yang baik-baik saja tentang keluarga dia. Tentang Suri. Mak tahu, Osman tak mahu bininya nampak buruk di mata kita. Hah, itulah... kalau dah sayang bini sangat!

Lagipun, mak tak rasa pun Suri nak berjaga malam tidur kat hospital ni, Mud oiii! Mak tengok gaya Man tu, dah tak terurus langsung,” komen Juriah bagaikan mengerti segala apa yang bermain di benak Mahmud.

“Hah, yang kau pulak, kenapa ke mari tak diajak Kasnah sekali?!”

Kini, giliran Mahmud pula diajukan soalan oleh Juriah. Kornea matanya tepat memanah ke kornea mata anak sulung itu. Mahmud sedikit tersentap kala mata mereka beradu. Sebaik saja Juriah menjuihkan bibir, Mahmud sekadar menghela nafas sukar.

“Mud tak merancang nak ke mari mak,” jawab Mahmud lesu.

“Ermmm, ya la tu Mud! Mak pun tak tahu, kenapa la… baik Suri mahupun Kasnah, dua-dua anti sangat dengan budak Dina ni. Kau dengan Man pun, sama je Mud. Dua-dua duk bela perangai bini yang entah apa-apa,” komen Juriah dengan wajah tak puas hati. Mahmud langsung tidak menjawab meskipun kata-kata emaknya itu cukup membuatkan dia berkecil hati. Baginya adalah lebih baik dia berdiam diri saja dari membuat sebarang komen.

Mahmud tidak mahu bertegang urat dengan Juriah hanya kerana Kasnah. Lagipun, mereka kini di wad yang menempatkan tubuh Wardina Amni yang sedang sakit. Cakap-cakap mereka sebegini hanya akan mengganggu rehat anak saudaranya itu. Meskipun Wardina Amni nampak sedang lena, tetapi mungkin dia berada dalam keadaan separuh sedar dan mendengar setiap butir perbualan mereka. Kasihan anak malang itu.

‘Percayalah, Dina. Walaupun mak Dina mahupun mak long Dina tak sayangkan Dina, tapi ayah long tidak begitu. Ayah long sangat sayangkan Dina seperti anak ayah long sendiri,’ bisik Mahmud seraya melemparkan pandangan ke seraut wajah polos Wardina Amni yang masih tak bergerak sejak tadi.



“SAMPAI hati awak, Suri. Sehari pun Suri tak datang jenguk kami kat hospital,” luah Osman sebaik saja menapak masuk ke kamarnya. Kelihatan Suriyana sedang mengetip kuku di birai katil.

“Alah, bang... Suri datang ke tak datang ke, tak mengubah keadaan! Suri bukannya doktor yang boleh sembuhkan sakit budak tu.” Suriyana bersuara selamba.

“Astaghfirullahalazim, Suri. Sungguh abang tak sangka, Suri sanggup cakap macam ni. Suri kan emaknya?” Osman menjegilkan matanya memandang Suriyana.

“Bang... kalau abang tak ingatkan Suri pun, Suri tak lupa hal ni. Suri memang emaknya. Dina tu anak Suri, anak kita. Itu dah kenyataannya. Suri yang beranakkan dia, 12 tahun lalu. Macam mana abang boleh fikir Suri lupa? Kut abang tu nyanyuk tak tahulah.” Suriyana sinis menjawab. Langsung tak dipanggung kepalanya, memandang wajah Osman yang merah padam.

“Suri!” Kemarahan Osman kian memuncak. Kata-kata Suriyana jelas menunjukkan yang isterinya itu langsung tidak menghormatinya sebagai seorang suami. Malah pandai pula menjawab.

“Eh, abang tengking Suri ni, kenapa?! Abang tahu tak, kita ni selalu sangat bergaduh pasal budak Dina tu!” bentak Suriyana. Berang nampaknya dia kerana Osman makin meninggikan suara. Tindakan Osman yang menegur sikapnya membuatkan tubuhnya makin berangin taufan.

“Tapi sekurang-kurangnya ambillah berat pasal dia, Suri. Kasihan Dina!”

“Ayahnya kan ada? Apa, susah sangat ke nak jaga budak tu? Lagipun kat hospital tu ada doktor dan jururawat tolong jagakan. Selama ni, Suri jaga budak tiga orang tu, tak pernah pun mengungkit. Selama abang tinggalkan kami, Suri tak bising pun. Sakit demam kami, susah payah kami, ada abang ambil tahu? Suri ni, bang... alahan itu ini, kejang kaki masa mengandung dulu, abang ada kisah?

Suri nak tanya abang, abang ada tak masa Suri susah payah beranak tiga orang anak kita? Tahu pun susah jaga anak, kan? Macam tulah yang Suri rasa pada saat abang tak ada di sisi Suri. Macam mana tertekannya Suri, tau?” ungkit Suriyana, menyemburkan kata-kata. Langsung tak dipedulikan hati Osman yang kian tergores.



“SAKIT apa, dik? Abang tak tahu pun?” tanya Faizul Ikhwan dengan wajah ingin tahu.

“Doktor bagitahu, adik ada jangkitan kuman kat paru-paru.” Wardina Amni menjawab pertanyaan abangnya.

“Lah, kenapa mak bagitahu yang adik ke rumah nenek?” soal Mardiah Amna.

“Aik, ya ke?! Takkan mak tak tahu kut,” balas Wardina Amni akan kata-kata kakaknya itu.

“Entah, mak macam relaks aje. Kalau dia tahu adik masuk hospital takkan dia tak pergi tengok adik kut.” Giliran Mardiah Amna pula berhujah.

“Tak apalah, kak.” Wardina Amni membalas meskipun hatinya pedih mengenangkan sikap Suriyana terhadap dirinya.

Emaknya ternyata tak menyukainya. Malah, mungkin membencinya. Dia pun tidak tahu kenapa dan tidak pernah bertanya kenapa dia mendapat layanan sedemikian. Hanya Wardina Amni saja yang tahu betapa dia menyimpan perasaan sedih, kecewa dan tersinggung dengan kasih sayang Suriyana terhadapnya.

Kasih sayang yang penuh palsu itu ditampilkan di depan Osman dan adik-beradik yang lain menyebabkan Wardina Amni tidak tahu, harus kepada siapa dia berkongsi perasaan sedih itu. Di belakang mereka, dia tidak ubah seperti budak suruhan yang sering kali membuat kesilapan demi kesilapan. Bahananya hanya dia yang menanggung segala beban keperitan.

“Tu bekas jarum ke, dik?” soal Mardiah Amna.

“Eeii… lebam tangan kau, dik!” komen Faizul Ikhwan.

“Ha’ah, sakit kak, abang. Doktor ambik darah kat sinilah. Doktor masukkan air pun kat sini juga,” cerita Wardina Amni tentang kesakitan yang ditanggung.

“Aduh, kesian kau ya, dik!” luah Faizul Ikhwan simpati.

“Tulah, abang tak datang pun hospital tengok adik.”

“Ehem... ehem…” Satu suara mengejutkan perbualan mereka bertiga.

Ketiga-tiga mereka serentak berpaling ke muka pintu bilik. Wardina Amni terperanjat besar melihat Suriyana yang tiba-tiba hadir di bilik itu, di sisi abang dan kakaknya. Entah kenapa, melihat mata Suriyana yang mencerlung garang, perutnya menjadi kecut tiba-tiba.

“Kenapa mak tak cakap pun adik masuk hospital?” soal Mardiah Amna sebaik saja Suriyana melabuhkan punggung di sisinya.

“Mak tak mahu Diah dengan Zul susah hati kalau tahu Dina sakit,” jawab Suriyana seraya mengusap rambut Mardiah Amna.

“Dina dah okey?” soal Suriyana lembut. Nada suaranya kedengaran ikhlas dan cukup menyejukkan hati Wardina Amni. Entah kenapa, wajah Suriyana yang mencerlung tadi kini bertukar sebening wajah yang mendamaikan. Kata-kata Suriyana yang berbau cakna itu sedikit sebanyak membuatkan hatinya senang.



WARDINA AMNI berasa lega sangat. Suriyana tidak lagi menyuruhnya membuat itu ini. Sepanjang seminggu berada di rumah kerana Osman melarangnya ke sekolah, selama itulah dia dapat merehatkan badan. Ternyata kepulangan ayahnya di rumah itu membuatkan perasaannya terhibur.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.