Home Novel Keluarga Dia Yang Mengerti
Bab 15

15


"ALHAMDULILLAH, syukur kepada-Mu, Ya Allah. Akhirnya, ENGKAU makbulkan doaku, Ya Allah...” doa Juriah tak putus-putus sebaik saja doktor mengesahkan yang Osman sudah mula bertindak balas. Jari Osman sudah bergerak.

Juriah menggenggam jari-jemari Osman erat-erat. Kala itu juga, dia dapat merasai yang tangan Osman bergetar kuat. Osman cuba membalas pegangannya.

“Man, mak kat sini, Man. Syukurlah...” Juriah bersuara sebaik saja Osman membuka kelopak matanya. Biarpun masih dalam keadaan tidak bermaya, Osman berusaha mahu berkata-kata. Mulutnya nampak terkumat-kamit ingin katakan sesuatu.

Juriah merapatkan tubuhnya dekat ke tubuh Osman yang masih terbaring itu. Sebutir dua manik-manik jernih jatuh dari celah kelopak mata Juriah, gugur berderai di pipinya. Perasaan sebak bercampur rasa syukur yang tak terhingga melihat perubahan positif Osman setelah seminggu dia berada dalam keadaan koma.

“Man nak bagitahu mak apa?” soal Juriah cuba untuk menangkap butir bicara Osman, namun segalanya tidak jelas. Dahi Osman nampak berkerut-kerut cuba melontarkan ayat-ayat, namun seperti dia gagal sama sekali.

“Puan, nampaknya ada sesuatu yang ingin Osman katakan.” Dr. Krishnan yang dari tadi tercegat di tepi Juriah bersuara.

Juriah hanya mengangguk bersetuju akan kata-kata doktor itu.

“Man tanya pasal Dina ke?” tebak Juriah.

Osman mengangguk perlahan.

“Dina baik-baik saja, Man. Dia tengah tidur. Nanti dah bangun tidurnya, mak bawak dia ke mari ya?” balas Juriah seraya mengusap lembut rambut Osman.

Osman hanya mampu mengangguk. Linangan air mata jernih menubir laju dari kelopak matanya.

“Kenapa Man menangis? Kenapa nak?” tanya Juriah sebak. Seperti ada sesuatu yang menyentuh hati sanubari anak lelakinya itu. Kalau tak, tak mungkin Osman menjadi sensitif begitu.

“Aaa… aaa…” Osman cuba mengeluarkan kata-kata, namun butir perkataan yang cuba dilontarnya seperti tersekat di kerongkong.

“Man, Man… mahu cakap apa ni? Mak tak faham.”

“Aaaa… aaaa…” ulang Osman lagi.

“Man, cakaplah!” Juriah bersuara mendesak. Dalam keadaan tidak percaya akan perubahan anaknya itu, dia menangis melihat kesukaran Osman ingin berkata-kata.

“Man, cakap Man. Man nak bagitahu mak apa?” soal Juriah bertalu-talu.

Mulut Osman ternganga-nganga cuba berkata-kata. namun akhirnya dia tercungap-cungap mencari oksigen.

“Puan…” Dr. Krishnan hanya menggeleng memandang wajah Juriah, isyarat agar tidak terus mendesak Osman.

“Encik Osman perlukan rehat. Saya khuatir emosinya akan terganggu.” Dr. Krishnan memberi pendapat sambil membetulkan kepala Osman di perbaringan.

Juriah hanya mengangguk faham meskipun pandangan matanya bertambah kabur.

“Aaaa…aaaa…” Suara Osman semakin kuat. Sedaya upaya dia berusaha untuk berkata-kata. Tangannya sudah terangkat-angkat mahu meraba tangan Juriah.

Juriah mendapatkan jari- jemari Osman. Digenggam kejap jari-jemari itu, cuba memberi kekuatan kepada anaknya.

“Am... pun, mak... am... pun!” Akhirnya terlontar juga kalimah yang ingin dilontarkan Osman biarpun dalam keadaan yang sangat payah.

“Ya, Man. Mak dah ampunkan dosa-dosa Man. Mak dah halalkan semuanya. Makan minum Man, air susu mak, semuanya dah mak halalkan!” kata Juriah berselang sedu dan air mata.

“Aaa… aaa…” Osman masih berusaha untuk meneruskan kata-kata.

“Mengucap, Man. Mengucap. Ikut cakap mak. Lailahaillallah…” Juriah mengajar anaknya mengucap.

Mulut Osman terkumat-kamit mahu mengikut kata-kata emaknya.

“Ulang lagi, Man. Sebut lagi… Lailahaillallah.” Juriah tak putus-putus mengucap kalimah itu di cuping telinga Osman. Dalam kepayahan, Osman masih berusaha untuk menuturnya. Namun seketika, Juriah dan Dr. Krishnan saling berpandangan.

Tubuh Osman kembali terkulai kaku.

“Mann!” tempik Juriah sekuat hati.

“Man… Man!” teriak Juriah lagi sambil menggoncang kuat tubuh Osman.

Namun, tubuh Osman masih seperti tadi. Terkejang kaku, bisu dan langsung tak bereaksi. Mulutnya terkunci bersama kelopak matanya yang tertutup rapat.

“Puan Juriah, Osman sudah meninggal dunia.” Dr. Krishnan mengesahkannya selesai saja memeriksa nadi di leher dan pergelengan tangan Osman.

“Man…” Juriah menerima khabar itu bersama tangisan panjang.

“Bersabar, Puan Juriah. Bersabar. Ini semua ketentuan Tuhan.” Dr. Krishan cuba menenangkan Juriah.

Seorang jururawat hadir di situ cuba mententeramkan Juriah yang masih memeluk kejap tubuh Osman.

“Innalillahiwainnailaihirajiun. Mak cik sabar ya? Yang hidup pasti akan mati. Bertenang dan banyak-banyak mengucap. Semoga perjalanan arwah ke sana dipermudahkan.” Jururawat itu bersungguh-sungguh mententeramkan Juriah.

Namun, Juriah masih meratap tangis. Wajah Osman diusap dengan penuh rasa kasih. Pipi anaknya itu dicium bertalu-talu.

Dr. Krishnan mengisyaratkan jururawat itu ke tepi. Dibiarkan saja seorang ibu melepaskan segala rasa sedihnya menerima hakikat akan kehilangan seorang anak. Selepas seminggu berada dalam keadaan koma, Osman hanya sedar lebih kurang 10 minit saja. Peluang sesingkat itulah digunakan mereka untuk berbicara. Allah memberi sedetik waktu untuk Osman memohon ampun daripada ibu yang melahirkannya. Ternyata kegembiraan Juriah melihat Osman membuka mata tadi hanya sekejap cuma.

“Mak…” Satu sentuhan singgah di bahu Juriah membuatkan dia tersentak. Mahmud berdiri di sebelah ibunya dengan mata merah, masih berair lebat. Mereka berpelukan erat.

“Mud, Man dah pergi. Man dah pergi tinggalkan kita buat selamanya.”

Mahmud tidak mampu berkata apa-apa. Dia hanya mengangguk. Sebak di dada mampu dikawal lagi, berjejehan jua air matanya.

“Abang, abang!” Suara teriakan Suriyana mengejutkan Juriah dan Mahmud.

“Abang…”

“Ayah…” Suara teriakan kedengaran semakin kuat.

Suriyana meluru mendapatkan tubuh Osman di atas katil. Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan juga turut berlari meratapi pemergian ayah mereka menghadap Ilahi.

“Suri...” Juriah menerpa, mendakap tubuh Suriyana dan cucu-cucunya.

Mahmud pun begitu. Dia pantas mendapatkan Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan yang sedang mengongoi panjang. Di wajah masing-masing terlukis rasa sedih yang amat sangat.

“Ayah… ayah!” Suara Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna semakin kuat. Kedua-duanya memeluk tubuh Osman.

Mahmud mengusap lembut rambut Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna dalam usaha mahu menenangkan mereka. Tadi Mahmud yang beria-ia menelefon rumah Suriyana memberitahu keadaan Osman yang sudah sedar daripada koma. Tapi tak disangka perkhabaran gembira itu bertukar menjadi hiba.

Mahmud melepas pandang ke wajah Suriyana yang longlai di sisi Osman. Entah kenapa melihatkan keadaan Suriyana sedemikian, rasa sedih dan hiba di hati Mahmud bertukar benci dan meluat. Mahmud dapat merasakan yang Suriyana tidak menangis sepenuh hati, tetapi hanya lakonan semata-mata. Suriyana tidak bersedih meratapi pemergian Osman, tetapi sebaliknya gembira dengan perkhabaran ini. Kematian Osman memang dipinta Suriyana.

Sehari dua ini, Mahmud benar-benar berasa tertekan. Segala rasa marah dan meluatnya terhadap Suriyana makin berangkai-rangkai menjadi benci yang amat sangat. Semua angkara foto yang ditunjukkan Sazali kepadanya. Mahmud sengaja mengupah Sazali untuk mengumpul bukti dan merancang mahu menunjukkannya kepada Osman. Tapi sayang, Osman pergi terlebih dahulu sebelum sempat Mahmud membuktikan kebenaran.

Sungguh hina perempuan bernama Suriyana ini. Menangis konon! Tangisan yang penuh pura-pura. Semuanya palsu belaka. Kala suaminya nazak, dia masih lagi boleh mengikut jantan ke hotel. Perempuan jenis apa ni? Isteri seperti inikah yang selalu dibela Osman? Betina inikah yang dicintai Osman sepenuh hati?

Arghhh! Kalau ikutkan rasa marah, benci dan meluat terhadap Suriyana, tak ingin aku melihat wajahnya. Harap muka saja cantik, tapi perangai mengalahkan jembalang tanah!

“Ayah!” Suara halus yang baru hadir ke situ membuatkan lamunan Mahmud melayang pergi entah ke mana.

Wajah pucat Wardina Amni meluru mendapatkan emak, abang dan kakaknya di tepi katil Osman.

“Ayah!” jerit Wardina Amni seperti baru menyedari situasi yang berlaku. Namun belum pun sempat dia mendakap tubuh Osman, tubuhnya kini longlai menyembah bumi.

“Ya Allah, Dina…” Hanya itu yang terbit daripada mulut Mahmud.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.