Home Novel Keluarga Dia Yang Mengerti
Bab 5

5


"SUBHANALLAH! Apa dah jadi ni, Suri?” Juriah menerpa masuk ke dalam rumah tanpa memberi salam. Dia pantas mendapatkan Suriyana yang sedang menampar-nampar pipi dan mencubit paha anak kecilnya dengan penuh emosi geram. Wajahnya bengis memandang Wardina Amni.

“Mak?!” Suriyana terperanjat bukan kepalang. Tangan Juriah yang menepis tangannya itu membuatkan dia bagai tersedar daripada kemarahannya.

“Mak tak faham dengan kau ni, Suri! Apa budak kecil ini tahu kalau kau cubit dia beratus kali pun. Kau sekadar sakitkan dia, Suri! Apa, kalau kau cubit dia, dia boleh senyap?” Juriah mengomel sambil memangku bayi kecil itu di ribanya. Marah dia dengan perangai menantunya itu.

“Sabar cucu nenek. Sabar!” Juriah mendakap tubuh bayi kecil itu ke dadanya. Dia menepuk-nepuk punggung bayi itu, cuba mententeramkan tangisannya.

Suriyana terdiam. Dia sekadar memandang kosong wajah Juriah. Sesekali dia meraup wajahnya, mencari ketenangan.

“Kenapa ni, Suri? Kenapa? Apa sebenarnya yang berlaku?” tanya Juriah ingin tahu kenapa wajah menantunya nampak berserabut.

“Budak ni! Menangis, memekak! Serabut kepala otak Suri. Kecik-kecik lagi dah menyusahkan orang. Huh!” bentak Suriyana.

“Dia tak sihat kut? Kembung perut gamaknya?” duga Juriah sambil meraba-raba belakang tubuh bayi itu. Betis bayi kecil itu diurutnya perlahan dengan harapan segala angin yang berada dalam perut anak itu segera pergi.

“Arghhh!” Suriyana menjerit kuat sambil berlari ke biliknya. Dia menghempas daun pintu sekuat hati.

Juriah tersentap lalu mengucap panjang. “Ya Allah, Osman. Sakit bini kau ni datang lagi!” bisik Juriah seakan sedang berbicara dengan anaknya, Osman.

Jiwa Juriah kacau. Benaknya kusut memikirkan keadaan Suriyana. Mujurlah dalam keadaan bingit sebegini, Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna yang sedang tidur di sofa, tidak terganggu tidurnya. Kalaulah mereka berdua terbangun, menangis dan berteriak, pasti kian haru-biru jadinya.

“Ya ALLAH... tolonglah, kami Ya ALLAH! ENGKAU sembuhkanlah penyakit Suri ni cepat-cepat.” Juriah berdoa sepenuh hati. Namun, teriakan nyaring suara Wardina Amni membuatkan Juriah jadi semakin tak keruan.

“Perut budak ni okey aje. Menangis lapar agaknya,” gumam Juriah.

“Mana pulak botol susunya?” Juriah bersoal jawab seorang diri. Dia kalut mencari sekitar ruang tamu itu. Tiada.

“Oh, kat dapur agaknya...” Dia menduga seraya buru-buru ke ruang itu.



JURIAH termenung lama di kerusi. Dia benar-benar kesal atas apa yang berlaku ke atas Suriyana. Juriah teringat lagi, saat Suriyana bertarung nyawa mahu melahirkan anaknya, dia tiada di rumah kerana masih di pejabat. Kebelakangan ini, rezeki perniagaan mereka anak-beranak melimpah ruah. Hari itu, dia benar-benar sibuk. Sejak pagi lagi, Juriah asyik menyemak tempahan perabot daripada sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur. Tempahan itu dibuat mereka sejak seminggu lalu.

Hari yang sama juga, pagi-pagi lagi dia menerima kunjungan tetamu. Tetamu dari Ampang itu datang untuk melihat produk mereka. Setelah begitu teliti perbincangan dibuat, akhirnya mereka telah menempah lebih 50 set kerusi dan meja untuk sebuah restoran mewah yang akan dibuka tiga bulan dari tempoh perbincangan dibuat. Rezeki yang tak disangka-sangka Juriah, bakal melonjakkan keuntungan perniagaan mereka melebihi dua puluh peratus. Keterujaan menerima limpahan rezeki daripada Allah Yang Maha Memberi itu membuatkan dia lupa seketika akan menantu dan cucu-cucu di rumahnya.

Sebenarnya, Juriah juga tidak menduga yang Suriyana akan bersalin tiga minggu lebih awal daripada tarikh yang dijangka doktor. Mujurlah ketika itu, Kasnah datang ke rumahnya. Dalam kesibukan meneliti tempahan, hatinya berasa tidak enak memikirkan Suriyana dan cucu-cucunya. Dia bergegas pulang. Kala memijak lantai rumah, mata Juriah terbeliak menyedari menantunya itu sedang bertarung nyawa, mahu melahirkan Wardina Amni.

Menurut cerita Kasnah, talian telefon di rumah Juriah terputus. Mungkin kerana malam tadi hujan lebat dan pokok telah menimpa kabel telefon tersebut. Kata Kasnah lagi, pihak hospital tidak dapat dihubungi. Mujurlah dalam keadaan panik, Kasnah ternampak Azizah, seorang jiran Juriah untuk meminta tolong. Azizah buru-buru memanggil bidan dengan menaiki motosikalnya.

Mujurlah ada Kasnah dan Azizah. Mujurlah Bidan Sauyah ada di rumah saat dia diperlukan. Bayangkan kalau Kasnah tidak datang ke rumahnya hari itu? Bayangkan kalau Azizah dan Bidan Sauyah tiada waktu itu? Tentu sekali Suriyana beranak seorang diri di rumah. Tentu sekali sesuatu yang buruk akan berlaku ke atas Suriyana mahupun cucunya. ‘Oh, betapa aku terlalai menjaga perasaan Suri sehinggakan sepanjang tempoh pantangnya, Suri nampak begitu tertekan. Dia nampak begitu membenci anak itu. Mungkinkah perasaan benci itu sebenarnya kerana Suri mahu melampiaskan perasaan marah dan kecewa terhadap aku mahupun Osman? Mungkinkah Suri berkecil hati dengan layanan dan kesukaran yang terpaksa dilaluinya demi melahirkan Wardina Amni?

Juriah mengheret nafas sukar. Rasa benci dan dendam Suriyana terhadap Wardina Amni begitu ketara. Daripada kaca mata Juriah, Suriyana boleh mendatangkan ancaman akan keselamatan bayi itu. Kata-kata dan caci maki Suriyana terhadap Wardina Amni cukup menggambarkan kebencian seorang ibu terhadap anaknya.

Semalam, selepas 60 hari tinggal di rumah Juriah, Suriyana begitu bertegas ingin pulang ke rumahnya. Katanya, dia sudah tidak selesa untuk terus tinggal di rumah Juriah lagi. Biarpun sudah puas dipujuk, namun Suriyana tetap bertegas dengan keputusannya. Selepas meneliti alasan Suriyana, Osman terpaksa bersetuju. Juriah hanya menurut mana yang baik untuk menantunya. Mungkin keputusan itu lebih baik untuk psikologi Suriyana.

Tetapi hari ini, Osman terpaksa ke luar negeri lagi. Dia terpaksa ke Ipoh untuk memantau projek usahasama di sana. Juriah tiada pilihan apabila terpaksa menyuruh Osman ke sana kerana pada masa yang sama Mahmud juga terpaksa ke Singapura kerana beberapa urusan penting perlu diselesaikan.

“Mak, nanti datang rumah Man ya? Mak tolong tengokkan Suri dan anak-anak. Baby kecik tu, risau pulak Man kalau ditinggalkan dengan Suri,” pesan Osman berkali-kali. Berharap benar dia.

“Ya Man, mak akan pergi rumah Man. Kejap saja lagi, mak akan bertolak,” jawab Juriah cuba menyenangkan perasaan anaknya.

“Itulah, mak suruh ambik pembantu, kau orang tak nak!” Juriah teringat akan perbualannya dengan Osman dan Suriyana suatu ketika dulu. Waktu itu, usia kandungan Suriyana baru beberapa bulan.

“Tak naklah, mak! Suri boleh uruskan rumah. Lagipun, Suri rimaslah ada orang lain kat rumah ni. Tak ada privasi,” bantah Suriyana tidak bersetuju dengan cadangan Juriah.

“Bukan masalah privasi tak privasi. Kurang-kurang ada orang tengokkan Suri kat rumah sepanjang ketiadaan Man. Sepanjang Man keluar bekerja. Kerja-kerja kat rumah pun ada orang uruskan. Suri boleh banyak berehat,” pujuk Juriah.

“Tak payahlah, mak. Rumah ni Suri boleh uruskan,” kata Suriyana masih tidak bersetuju dengan cadangan mertuanya.

“Suri, kita ambik pembantu rumah ya? Biar Suri boleh berehat bila ada orang tengokkan anak-anak,” pujuk Osman lagi.

“Arghhh... terpulanglah! Kalau Suri kata tak nak, mak dengan abang tetap dengan keputusan yang sama, kan?” Suriyana berlalu dengan wajah mencuka. Nampak sangat dia tak bersetuju.

Hairannya, kenapa saat Osman dan Juriah mahu menyenangkannya, Suriyana pula menentang? Juriah tak faham dengan keputusan Suriyana. Osman lagi tak faham!

“Mak, Suri nak keluar!” Suara Suriyana yang meninggi itu membuatkan Juriah terkejut. Baru tadi dia teringatkan kisah lama Suriyana, kini Suriyana tercegat di depannya. Suriyana sudah bersiap cantik. Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna juga kemas berpakaian, mahu diajak keluar.

“Nak ke mana?” tanya Juriah.

“Suri nak beli barang. Barang Suri banyak dah habis!”

“Yalah. Suri nak mak temankan?” tanya Juriah lagi.

“Tak apalah. Mak tolong jagakan budak tu ya? Suri pergi tak lama.” Juriah mengangguk membenarkan. Suriyana pun berlalu, meninggalkan Juriah yang hanya memerhati tayar kereta milik menantunya bergolek pergi.

‘Pergilah Suri. Pergilah ambil angin luar. Mungkin dapat membantu Suri berasa tenang.’ Hati Juriah berbisik, cuba memahami perasaan Suriyana.

“Ya Allah, lindungilah diriku, anak-anakku, menantu-menantuku dan cucu-cucuku. Lindungilah kami semua walau di mana saja kami berada. Satukan hati-hati kami agar kebahagiaan menjadi milik kami selamanya.” Juriah berdoa bersungguh-sungguh. Bayi kecil didakap erat.



SURIYANA memaut stereng kereta kejap-kejap. Hatinya nekad mahu ke rumah Mak Itam. Banyak perkara yang dia perlu bicarakan dengan wanita itu. Dia mahu meluahkan segala gundah-gulana di hatinya. Dia mahu berkongsi cerita akan hidupnya yang dirasakan tidak gembira lewat kebelakangan ini. Layanan Osman sangat berbeza terhadap dirinya. Osman nampak tidak berminat untuk bersamanya. Osman nampak jemu mahu bermesra-mesraan dengannya. Tumpuan Osman diberikan sepenuhnya kepada anak kecil itu. Tidur malam Osman bersama anak kecil itu di bilik lain, bukan di kamar tidur mereka.

“Abang tak mahu tangisan anak ni akan mengganggu tidur Suri! Suri kan penat. Suri juga kata, Suri tak boleh dengar budak menangis sebab tulah abang bawa Wardina tidur bilik ni.”

“Abang... tapi sampai bila kita akan tidur di bilik berasingan macam ni?”

“Sampai Suri boleh terima Dina. Sampai Suri benar-benar sihat dan tak rasa terganggu dengan kehadiran Dina.”

“Suri memang dah sihat, bang. Suri dah habis pantang pun. Suri... Suri rindukan abang,” luah Suriyana sambil melabuhkan punggung di hujung katil, dekat dengan tubuh Osman. Sesekali, matanya tajam menujah ke wajah bayi mereka yang masih dalam bedungan. Anak itu lena di atas katil bayi. Osman pula tidak lepas mengusap rambut bayi itu. Lebat dan hitam bak arang.

“Abang, Suri rasa abang terlalu memberi perhatian kepada budak ni,” luah Suriyana tak berpuas hati. Osman terlalu asyik menatap wajah Wardina Amni. Dia langsung tak memanggung kepala, membalas tatapannya.

“Abang, jom kita tidur. Suri dah habis pantang ni.” Suriyana mengajak lagi. Suaranya lunak lembut, cuba memesrai suaminya.

“Anak ni, macam mana?”

“Lah, bayi tu kan tengah tidur. Biarkanlah dia lena.” Hati Suriyana tergores. Osman sudah berbaring sambil menepuk-nepuk badan bayi itu di katilnya. Permintaan Suriyana seperti tidak penting di telinganya.

Abang kenapa ni? Abang macam dah tak berminat dengan Suri aje?” tanya Suriyana cuba mengawal nada suaranya. Dia mengetap gigi geram.

“Kenapa sayang cakap macam tu? Suri rasa abang macam tu ke?”

“Ya, Suri rasa abang dah terlalu jauh berubah. Abang abaikan perasaan Suri. Suri sedih dengan sikap abang.” Suriyana bersuara penuh emosi. Air mata bertitisan di pipi.

Osman terbangun dan spontan memeluk belakang Suriyana.

“Syhhh! Jangan menangis, sayang. Dah! Dah! Jangan menangis ya? Abang benar-benar mintak maaf kalau ada sikap abang yang buat Suri terasa hati. Kalau Suri rasa abang telahmengabaikan Suri. Abang tak sengaja dan semua tu berlaku tanpa abang sedar. Maaf ya, sayang!” Osman cuba memujuk.

“Sejak Dina dilahirkan, abang tak pernah nak pedulikan Suri lagi. Diah dan Zul pun abang abaikan!”

Luahan Suriyana itu membuatkan Osman tersentap. Berkerut dahinya cuba menghadam kata-kata Suriyana.

“Abang macam tu ke?”

“Ya! Tengok sekarang! Abang buat Suri macam tunggul kayu mati, kan? Apa, perut Suri dah buncit? Wajah Suri dah tak berseri sejak pantang ni sampai nak tengok wajah Suri pun tak bernafsu? Siang malam abang asyik kelek budak tu, tapi Suri dan anak-anak yang lain langsung abang tak ambil peduli!” Suriyana teresak lagi.

“Oh, maafkan abang, sayang. Abang tak bermaksud macam tu!”

“Suri tahu, kalau tak kerana budak tu pun, mungkin sebab abang dah punya perempuan lain. Abang dah ada pengganti Suri, kan?” Suriyana masih meluahkan perasaannya. Dia mahu Osman tahu yang hati perempuannya sudah terluka.

I love you, sayang,” ucap Osman. Dia memeluk tubuh Suriyana kejap-kejap ke tubuhnya.

“Abang, sesiapa pun boleh mengungkap kata-kata tu. Tapi, perlakuan abang tu cukup penting untuk menterjemahkan perasaan abang terhadap Suri.” Suriyana bersuara dengan nada keras menekan. Dia berusaha untuk bangun dan meleraikan pelukan kejap Osman di tubuhnya.

Osman bingkas bangun dan memaut lengan Suriyana yang nampaknya sudah mahu keluar dari bilik itu.

“Sayang, sebenarnya abang pun rindukan Suri sangat-sangat. Tapi, abang hormatkan keadaan Suri. Abang mahu tubuh Suri sihat sepenuhnya. Abang tahu Suri dah habis pantang, cuma abang tak mahu mementingkan perasaan abang semata-mata. Abang fikir Suri belum bersedia...” bisik Osman. Tangannya meramas lembut tangan Suriyana. Bau badan Suriyana yang harum semerbak membuatkan dia terkhayal seketika. Sememangnya sudah lama dia tidak mencium bau-bauan sewangi itu daripada tubuh Suriyana.

Suriyana tersenyum dengan kata-kata Osman itu. Dia berasa bahagia kala Osman mula memesrainya. Namun, rengekan suara bayi itu membuatkan khayalan di benak masing-masing terhenti. Perasaan masing-masing yang hanyut dibuai rindu berbulan-bulan, terhenti tiba-tiba. Tangisan Wardina Amni menganggu saat romantis pasangan suami isteri itu.

Osman meleraikan pelukan tubuh Suriyana di tubuhnya kala rengekan bayi itu bertukar tangisan nyaring.

“Dina menangis, sayang,” beritahu Osman meskipun tangisan itu jelas menerobos cuping telinga kedua-dua mereka.

“Eeii!” Suriyana menahan perasaan marah dan geram. Hatinya tiba-tiba membara mendengar tangisan bayi itu. Baru saja dia nak melayan perasaannya yang terawang-awang bersama Osman, kini hajat hatinya sudah terbantut.

“Dina lapar susu gamaknya. Suri tak nak susukan Dina?” tanya Osman sambil mengangkat tubuh bayi kecil itu ke ribanya.

Suriyana merengus kasar. Kata-kata Osman itu seperti memperlinya.

“Suri kan ibunya. Susu ibu baik untuk antibodi bayi. Kesihatan Suri pun akan semakin baik,” pujuk Osman cuba meredakan ketegangan di wajah isterinya. Wajah Suriyana memerah.

“Nak susukan budak tu? Huh, tak kuasa Suri! Abang layanlah anak kesayangan abang tu sampai ke pagi. Suri nak tidur!” Suriyana menghentak kaki sebelum keluar dari bilik itu. Daun pintu dihempas sekuat hati. Suriyana berteriak geram.

Dan hari ini, Osman keluar negeri lagi.

‘Tiada apa yang istimewa ditinggalkan abang melainkan ciuman dan pelukan. Abang seperti tidak pernah mengerti naluri hati Suri. Suri rindukan belaian abang. Mengertikah abang akan perasaan Suri?’ Hati Suriyana mendongkol. Dia menampar-nampar stereng kereta, berusaha membuang segala rasa kecewa di dada. Ingatannya tentang peristiwa malam tadi membuatkan dia tidak mahu bertangguh ke rumah Mak Itam.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.