Home Novel Keluarga Dia Yang Mengerti
Bab 28

28


"LEMBAPNYA kau ni! Buat benda ni pun tak reti-reti lagi. Sidai baju senget-benget. Mental fizikal sempurna, bukannya cacat, sampai berjam-jam nak sidai kain ni hah!” bebel Suriyana dengan suara menengking. Dia menerpa tubuh kurus Wardina Amni. Tangannya pantas meluku kepala anak bongsunya itu.

Wardina Amni tergamam. Baju yang sedang diperahnya terlucut daripada tangan.

“Hisy, kau ni memang bengap! Dasar anak tak boleh diharap. Kan dah kotor. Kau pergi basuh semula. Eeii!” Suriyana semakin kuat menengking. Wajahnya merah pedam menahan marah geram. Matanya mencerlung merah memandang wajah Wardina Amni yang ketakutan. Dipiatnya telinga Wardina Amni sekuat hati. Tak habis di situ, tangannya memukul pula susuk tubuh gadis belasan tahun itu.

“Maaf, mak... maaf! Dina tak sengaja.” Hanya itu yang meluncur keluar daripada bibir nipis Wardina Amni.

Tubuhnya menggeletar hebat menahan kesakitan akibat dipiat dan dipukul Suriyana bertalu. Perasaannya semakin calar-balar dengan kata-kata kesat emaknya. Entah bila Suriyana hadir di belakangnya, langsung tak disedari. Dia pun tak tahu entah kenapa tiba-tiba saja Suriyana memarahinya. Bukan berjam, baru sekejap benar dia di situ. Baru beberapa minit dia mengangkat sebesen pakaian yang selesai saja dicucinya tadi. Sudah sedaya upaya dia melakukan semuanya dengan pantas dan sempurna. Malah tak nampak pun pakaian yang disidainya senget-benget.

Biarpun sehari dua ni tubuhnya kurang bermaya, pinggangnya sakit berdenyut-denyut, namun dia masih bertahan. Meskipun perutnya terasa sakit sebab datang bulan, namun dia tidak memanjakan tubuhnya. Dia tidak bisa bersenang-lenang. Dia tak boleh berehat sesuka hati selagi semua kerja rumah belum selesai. Di teratak itu, status dirinya layak seorang pembantu rumah.

“Maaf! Maaf!Maaf! Kau pergi basuh sekali lagi baju tu. Dah bertanah, nanti berbau. Siapa nak pakai? Kau?!” arah Suriyana seraya tangannya masih tak berhenti membedal tubuh Wardina Amni dengan penyapu lidi. Penyapu lidi itu dicapainya dari tepi pagar di laman itu.

“Suri!” Satu suara keras dan menekan mengejutkan Suriyana.

Dia tersentak daripada terus memukul anaknya itu. Suriyana berpaling mencari dari mana datangnya suara itu. Di kesempatan itu, Wardina Amni berusaha meloloskan tubuhnya daripada terus-terusan menjadi mangsa amukan ibunya. Dia ingin menyelamatkan jiwa raganya. Dia mahu mententeramkan emosinya yang kian parah.

Wardina Amni cepat-cepat mendapatkan baju di atas tanah. Dia pantas berlari masuk ke dalam rumah menuju ke bilik air. Dia harus membasuh semula baju itu secepatnya jika tidak ingin dimaki hamun lagi. Dalam perasaan yang berbaur-baur, tanpa sedar air mata sudah berjejehan.



“TAK baik kau layan dia macam tu, Suri. Kalau dah tak suka sangat, janganlah sampai sumpah dia macam-macam. Kau tu, ibunya. Mulut ibu masin, mudah menjadi. Hari-hari kau sembur dia dengan kata yang bukan-bukan. Macam-macam caci-cerca kau kat dia. Ingat Suri... kata-kata tu doa. Aku tak mahu kau menyesal, Suri. Jangan turutkan rasa marah sangat. Marah tu hasutan iblis. Mengucap Suri, mengucap.” Ainon datang menenangkan Suriyana yang tak sudah-sudah membebel dari tadi. Butir katanya jelas memaki zuriat sendiri. Penyapu lidi buat pelepuk badan Wardina Amni masih kemas di genggamannya.

“Yang sibuk jaga hal keluarga saya sangat, apa hal? Dah dia anak saya. Suka hati sayalah nak bentuk dia jadi rupa apa pun,” marah benar Suriyana dengan teguran Ainon.

“Kalau ya pun, janganlah balun budak tu sampai lembik jadinya. Kasihan!” Ainon tak mahu kalah memujuk. Dia cuba menenangkan perasaan Suriyana yang sedia naik hantu.

“Arghhh! Sudahlah, kak. Pergi baliklah! Tak payah nak tunjuk baik. Tak payah nak jadi peguam bela kat sini!” tengking Suriyana. Wajahnya bengis menyinga menggambarkan perasaan marah yang membuak-buak.

“Astaghfirullahalazim... Suri! Kau halau aku?” Terperanjat besar Ainon dengan sikap Suriyana itu.

“Yalah! Ni tanah aku, rumah aku. Suka hati akulah nak halau sesiapa yang datang pun,” jawab Suriyana dengan bongkaknya.

“Kau tu memang dah kena sampuk jembalang tanah agaknya. Aku tengok rupa kau pun dah macam jembalang betina,” bidas Ainon seraya melangkah pergi dari halaman rumah Suriyana. Tercabarnya dia lantaran dihalau Suriyana hanya kerana niatnya menegur sikap jirannya itu.

“Hoii, kau tu jin betina, setan!” tempik Suriyana sambil melemparkan penyapu lidi ke arah Ainon.

Ainon yang menyedari Suriyana kian mengamuk pantas berlari memanjat tangga rumahnya. Gesa-gesa dia membuka daun pintu rumah dan menguncinya kemas-kemas dari dalam.

‘Aduh, mampus aku kalau si Suri tu mengamuk!’ bisik hati kecil Ainon yang kecungapan.

“EH,budak cengeng! Kau ni apahal? Gembeng siang malam. Rimas aku tengok.”

Suara lantang Faizul Ikhwan membuatkan Wardina Amni cepat-cepat menyapu air matanya yang berjejehan di pipi. Dia pantas membilas baju yang terkena tanah tadi dan memerahnya sekuat hati.

“Woi, cepat sikitlah lempap! Bilas baju sehelai pun terhegeh-hegeh. Aku nak mandi. Kejap lagi nak keluar!” bentak Faizul Ikhwan kepada Wardina Amni.

“Lah, kenapa nak mandi kat bilik air ni pulak? Bilik air abang?” tanya Wardina Amni menyedari Faizul Ikhwan tercegat di muka pintu.

“Kalau tak kerana bilik air aku tandasnya rosak, tak adanya aku nak guna bilik air ni. Dah, ke tepilah! Banyak soal pulak!” Faizul Ikhwan bersuara bengang.

Wardina Amni cepat-cepat keluar dari bilik air itu. Langsung tak dibalasnya kata-kata Faizul Ikhwan. Meskipun hatinya pedih menangis dengan kata-kata abangnya itu, namun dia sudah tak kuasa untuk melawan. Biarlah didiamkan saja daripada mengundang lebih banyak masalah. Kalau salah Ikhwan akan menjadi salahnya, kalau salahnya apatah lagi.

Bam! Faizul Ikhwan menghempas daun pintu bilik air sekuat hati. Wardina Amni terpempan.

“Eeii, budak bengap yang cengeng, tak pernah tak menyusahkan aku!” Suara lantang Faizul Ikhwan jelas menerobos masuk ke corong telinganya.

“Ho ho… memang dasar budak lempap!” Faizul Ikhwan terus melayan perasaan marahnya terhadap Wardina Amni dan mempersendakan adiknya dalam bentuk nyanyian pula. Dia berulang-ulang menyanyikannya dan ketawa terbahak-bahak di sebalik daun pintu bilik air.

Luka di hati Wardina Amni kian dalam. Emosinya makin parah. Belum pun lenyap kelukaan yang dicipta emaknya tadi, kini dia berhiba dengan sikap abangnya pula.

‘Sampai hati abang cakap Dina macam tu. Abang tak tahu apa yang Dina rasa,’ rintih Wardina Amni.

Dia kemudian berlalu ke ampaian melalui pintu dapur apabila suara nyanyian abangnya sudah bertukar ceburan air mandian. Suara Suriyana bercakap-cakap dengan Mardiah Amna di tengah rumah membuatkan perutnya kecut. Dia tak mahu bertembung dengan emaknya. Sekecil zarah pasti ada lagi kesalahan di mata Suriyana terhadap segala apa yang dilakukannya. Meskipun dia sedaya upaya melakukan yang terbaik, namun dia masih gagal menawan sekeping hati wanita bergelar emak.

“Dina! Dina!”

Dari bahagian dapur rumah, Suriyana melaung namanya. Wardina Amni yang baru saja selesai menyidai baju, terperanjat bukan kepalang. Suara emaknya yang keras dan menekan itu membuatkan badannya seram sejuk.

‘Apa lagi yang tak kena ni?’ tanya hatinya gundah.



“KALAU aku tak ajar pun, takkan benda ni pun tak reti nak agak? Dahlah masin lebih daripada ikan masin tumpah garam ni, kenapa?” Suriyana meluku kepala Wardina Amni bertalu. Bibirnya mengetap geram. Pandangannya menujah tajam ke wajah polos Wardina Amni.

“Eeii, itulah asyik berkhayal nak kahwin dengan putera raja! Berangan tak sudah.” Satu suara menyampuk. Menambah paras kemarahan Suriyana.

‘Ek, eleh... cakap orang! Kakak tu, satu benda pun tak boleh buat. Tau memerintah saja. Jangan sibuk nak mengata Dinalah. Jangan-jangan kakak saja nak kenakan Dina. Kakak tu tak habis-habis dengki kat Dina. Dina tahu, kakak sengaja tambah garam dalam nasi goreng mak. Kalau dah masin sangat, kenapa separuh nasi goreng dalam kuali tu dah habis?’ Wardina Amni bertempik dalam hati.

Marah Wardina Amni bukan kepalang kepada kakaknya itu. Dia tahu semua itu angkara Mardiah Amna. Kakaknya sengaja mengundang kemarahan Suriyana. Kakaknya sengaja mahu menganiaya dirinya. Dia sudah jelik dengan hati busuk Mardiah Amna. Entah kenapa lewat kebelakangan ini, sikap mua Mardiah Amna makin menjadi-jadi.

“Eh, kau makan semua ni, makan!” Suriyana memaksa Wardina Amni membuka mulut. Dia menyumbat kasar nasi goreng ke mulut anaknya itu. Butiran nasi goreng berteraburan ke lantai apabila Wardina Amni cuba menolak perlakuan Suriyana.

“Mak, tadi tak masin macam ni. Dina dah rasa, okey!” Akhirnya, Wardina Amni bersuara juga mempertahankan situasinya.

“Hoi, kalau dah cukup rasa, kau habiskan! Aku nak tengok, kau boleh telan ke tak?” tengking Suriyana. Diketuk meja makan dengan buku tangannya. Marah nampaknya dia dengan jawapan yang terlantun daripada bibir pucat Wardina Amni.

“Eh, mak... apahal garang macam singa ni?!” Faizul Ikhwan yang baru saja keluar bilik air terperanjat mendengar suara Suriyana. Dia yang masih bertuala, menapak langkah di antara Suriyana, Wardina Amni dan Mardiah Amna di meja makan.

“Adoiii, mana aku tak jadi singa, Zul! Adik kau ni masak nasi goreng nak suruh aku dapat darah tinggi. Kalau aku dapat darah tinggi, masuk hospital, sukalah dia,” cerita Suriyana kepada anak terunanya.

Nada suaranya sudah reda tatkala Faizul Ikhwan memegang bahunya. Mungkin perasaan marahnya sedikit beransur dengan kehadiran Faizul Ikhwan di sisinya.

“Eh, ya ke mak?! Zul dah habiskan dua pinggan tadi. Sedap apa? Ingatkan mak yang buat,” kompelin Faizul Ikhwan. Nada suaranya kedengaran ikhlas bagai menyelamatkan situasi Wardina Amni sejeda itu.

Ayat-ayat yang terlantun daripada bibir Faizul Ikhwan membuatkan Suriyana berkerut dahi. Matanya memanah tepat ke seraut wajah Faizul Ikhwan mencari kebenaran di sebalik kata-kata anak lelakinya itu.

“Sedap? Lidah kau tu bermasalah ke?” soal Mardiah Amna kepada Faizul Ikwan. Dia tak berpuas hati mendengar kata pujian Faizul Ikhwan terhadap Wardina Amni.

“Bukan ke kakak pun dah melantak tadi?” tanya Faizul Ikhwan dengan nada keliru. Matanya menikam tepat ke mata Mardiah Amna.

“Eh, bila masa?! Kau jangan, Zul. Tak ingin aku makan nasi goreng masin ni!” bentak Mardiah Amna menutup keadaan serba salahnya.

“Hmm… yalah tu, kak. Zul nampak. Masa Dina dan mak kat luar tadi. Bak sini nasi gorengnya. Zul nak rasa masinnya gaya mana?” Faizul Ikhwan menyudu sesuap nasi goreng dari pinggan di atas meja, di tepi Suriyana.

“Hah, kau rasa Zul!” saran Mardiah Amna dengan wajah mencebik memandang Wardina Amni.

Wardina Amni terkutik membisu. Tubuhnya menggeletar. Dia menghitung waktu, menyerah diri pada keadaan akan untung nasibnya selepas ini. Apakah bentuk hukuman yang bakal diterimanya setelah proses pendakwaan ini selesai? Sakit dipiat dan dibedal Suriyana tadi belum surut dari tubuhnya, apakah sekejap nanti dia akan dibalun lagi?

“Puihh! Puihhh! Masinnya!” teriak Faizul Ikhwan sambil berlari ke singki membuatkan Wardina Amni tersentak.

Dia menelan liur yang kering ditekak. Dadanya berdegup kencang. Dia cuba menahan tubuhnya yang semakin menggigil. Ketakutan bertambah kuat, menyelinap ke setiap urat saraf tubuhnya. Jelingan tajam mata Suriyana terhadapnya bagai pedang yang merobek jantung hatinya.

“Tulah… aku cakap kau tak caya. Sekarang, kau percaya?” Mardiah Amna tergelak besar melihat perlakuan Faizul Ikhwan yang kelam-kabut meneguk air putih, usai saja berkumur di singki tadi.

“Ni mesti ada yang tak kena, mak. Zul rasa hairan macam mana nasi goreng yang sedap boleh jadi masin macam ni,” komen Faizul Ikhwan sambil menjongket bahu memandang Suriyana, selesai saja meneguk dua gelas air masak.

“Itu budak tak reti masak. Tulah jawapannya,” sindir Mardiah Amna sambil ketawa memandang Wardina Amni.

“Alah, sudahlah kak! Gelakkan Dina pulak. Paling tidak, dia pegang juga senduk kuali, cuba juga masak. Kakak tu, lagilah tak reti masak apa pun.” Kata-kata Faizul Ikhwan bagai mengubat pilu di hati Wardina Amni. Faizul Ikhwan menyebelahinya.

“Arghhh, tak ada masa aku nak masuk dapur pegang senduk kuali! Rumah ni dah ada orang gaji. Biarlah dia buat,” marah Mardiah Amna dengan kata-kata Faizul Ikhwan itu.

“Kakak ni cakap sembarangan aje,” balas Faizul Ikhwan.

“Sudah! Sudah! Jangan bergaduh. Boleh dapat darah tinggi aku dengar korang bertengkar, tau!” Suriyana bersuara, cuba menyelamatkan situasi tegang itu.

“Zul yang mulakan, bukan kakak.” Mardiah Amna membela dirinya, memancing perhatian Suriyana.

“Alah, kakak tu!” bangkang Faizul Ikhwan.

“Sudah! Sudah! Serabut aku! Apa pun, kaulah puncanya Dina.” Suriyana melampiaskan punca pergaduhan Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna itu terhadap Wardina Amni.

“Sudahlah, mak. Kalau mak belum sarapan lagi, biar Zul belikan mak nasi lemak. Okey? Mak tak boleh marah-marah, tak cantik Zul tengok. Mak Zul kan cantik berseri.” Faizul Ikhwan pandai memujuk emaknya, menenangkan emosi Suriyana.

Mendengar kata-kata Faizul Ikhwan itu, Suriyana tersenyum lebar. Dia mengangguk tanda bersetuju dengan saranan anaknya.

“Mak pergi ambil duit dulu. Zul pergilah bersiap.” Lembut suara Suriyana melayani Faizul Ikhwan.

“Baik, mak. Upah jangan lupa,” jawab Faizul Ikhwan dengan nada ceria.

Suriyana tersenyum meleret kemudian berlalu ke dalam bilik. Melihat emak mereka berlalu pergi, Mardiah Amna membuntuti langkah maknya.

“Dina, nasi goreng tu masin sangat. Buanglah, memang tak sedap pun kalau nak makan,” beritahu Faizul Ikhwan kepada Wardina Amni yang masih tercegat di tepi meja makan.

Nada suara Faizul Ikhwan yang rendah itu membuatkan hati Wardina Amni berasa senang. Jarang sekali abangnya berlembut lidah begitu. Tatkala Faizul Ikhwan berlalu ke dalam bilik, Wardina Amni akur membuang nasi goreng itu ke dalam tong sampah.

Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.