Home Novel Keluarga Dia Yang Mengerti
Bab 2

2

MALAM itu, sudah sepinggan betik muda dilahap Suriyana. Betik yang dihiris nipis-nipis itu dicicah dengan kicap yang dicampur dengan sedikit cuka, garam, belacan, cili dan gula. Tanpa sedar juga, dia hampir menghabiskan sebiji betik itu. Beberapa biji buah cermai juga dicampur ke dalam pencicah. Digaul-gaul mesra buah cermai itu dengan menggunakan sudu sebelum sebelum disumbat ke dalam mulut.


“Hmm… sedapnya!” Suriyana bercakap seorang diri.

“Mak!” panggil Mardiah Amna sambil menepuk-nepuk paha Suriyana.

Terkejut Suriyana dengan kehadiran anaknya. “Ya sayang, kenapa? Nak ni?” acah Suriyana mahu menyumbat sehiris betik ke mulut Mardiah Amna.

Mardiah Amna menggeleng-geleng kepala.

“Asam,” kata Mardiah Amna lagi dengan mimik muka, kononnya menahan masam.

“Eh, eh... pandai pulak Diah sebut masam ya?” Suriyana tersenyum melihat gelagat Mardiah Amna yang mula berlari-lari bersama Faizul Ikhwan. Sesekali kedua-dua beradik itu mengelilingi meja makan di dapur itu, sesekali mereka berkejaran di ruang tamu rumah.

“Diah, jangan ajak adik berlari. Karang jatuh!” Suriyana bertempik dari ruang dapur.

Namun, anak-anak kecil itu langsung tidak mengendahkan kata-katanya. Masing-masing tergelak-gelak, seronok bermain kejar-kejar. Mardiah Amna gembira kerana Faizul Ikhwan tidak dapat mengejarnya. Setelah letih berlari, Mardiah Amna berhenti seketika dan berbaring di sofa rumah. Faizul Ikhwan turut berbaring, meniru gaya kakaknya. Tak sampai seminit berbaring, masing-masing bangun dan berlari lagi. Berkejar-kejaran sampai berpeluh-peluh tubuh badan mereka.

“Aduh, tak reti duduk diam langsung!” komen Suriyana dari ruang dapur sambil memerhatikan anak-anak yang semakin aktif berlari.

“Anak-anak yang aktif tu sebenarnya sihat, Suri.” Suara Osman tergiang-giang di cuping telinga. Osman selalu berpesan begitu setiap kali Suriyana melarang anak-anaknya berlari.

Mengenangkan Osman, entah kenapa perasaannya tiba-tiba menjadi tidak enak. Suara wanita dan suaminya berbual, kedengaran mesra di corong telefon siang tadi. Cemburukah aku? Aku isterinya, masakan tidak! Suara hatinya berteriak.

“Uwaaa… uwaaa!”

Suara teriakan Faizul Ikhwan mengejutkan mainan perasaan Suriyana. Roda fikirannya tiba-tiba terhenti kala melihat Ikhwan yang sedang meraung itu.

“Mak! Mak! Mak!” Mardiah Amna pula tak berhenti-henti memanggil Suriyana.

Suriyana berlari, meluru mendapatkan anak-anaknya. Dia terkejut melihat tangan Faizul Ikhwan memegang dahinya yang benjol. Hidungnya berdarah.

“Astaghfirullahalazim, Zul... Tulah, mak dah pesan jangan seronok sangat berlari. Kan dah jatuh.” Suriyana merungut sambil mendukung tubuh Faizul Ikhwan. Dia cuba menenangkan anaknya itu. Belakang tubuh Faizul Ikhwan diusap lembut. Dahinya yang benjol dan hidung yang berdarah membuatkan perasaan Suriyana menjadi bimbang.

“Adik jatuh kat mana?” tanya Suriyana kepada Mardiah Amna.

“Kat situ…” jawab Mardiah Amna dengan wajah takut seraya menuding jari ke muka pintu.

Suriyana menarik nafas berat. Mungkin Faizul Ikhwan tersemban di situ, tempat yang ditunjuk Mardiah Amna. Faizul Ikhwan masih tidak berhenti menangis, malah tangisannya bertambah kuat. Mungkin luka dan benjolan itu membuatkan kepala anaknya berdenyut-denyut sakit.

“Jangan menangis, sayang. Jangan menangis! Mak bawa Zul pergi klinik ya?” pujuk Suriyana sambil melihat jam di dinding rumah. Pukul 9.00 malam. Dia harus segera membawa Faizul Ikhwan ke klinik biarpun malam kian larut. Di benaknya runsing memikirkan kesan jangka panjang akibat kepala anaknya yang terhantuk itu. Faizul Ikhwan mungkin demam, mungkin muntah atau mungkin juga ada pendarahan dalaman yang tidak diketahui.

“Adui, Diah dengan Zul ni buat mak betul-betul takutlah!” bebel Suriyana lagi sambil menuntun tangan Mardiah Amna. Anak itu akur menurut langkah emaknya menuju ke bilik tidur. Faizul Ikhwan di dukungan Suriyana masih tak berhenti menangis.

Suriyana gesa-gesa mengambil dompet dan buru-buru keluar dari bilik itu. Kunci kereta yang tersangkut di paku, di tepi pintu utama dicapai. Dia mahu segera sampai ke klinik. Suriyana tidak mahu sebarang kemungkinan buruk akan berlaku kepada Faizul Ikhwan.

SURIYANA merebahkan badan di tilam seusai saja mandi dan berpakaian tidur. Kekalutan ke klinik membawa Faizul Ikhwan tadi membuatkan badannya berpeluh. Malam ini, dia benar-benar berasa letih. Mengenangkan apa yang berlaku kepada Faizul Ikhwan, dia serik untuk membiarkan anak-anaknya berkejar-kejaran lagi. Di rumah besar itu, dengan pelbagai jenis perabot dan barang hiasan kaca, dikhuatiri akan memberi ancaman terhadap anak kecil.

Suriyana mengiringkan badan, menghadap wajah anak-anaknya yang comel. Sesungguhnya, setiap kali bersama Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna, kehidupannya dirasakan cukup sempurna. Keletah anak-anak memang menghiburkan. Berada bersama mereka, kesunyian lantaran selalu ditinggalkan Osman kini bertukar menjadi riuh-rendah. Hari-hari Suriyana dirasakan semakin sibuk demi menguruskan rutin harian anak-anak.

Lima tahun melayari rumah tangga bersama Osman, hidup Suriyana dirasakan semakin bermakna. Osman, seorang suami yang terlalu baik. Lelaki itu banyak mengajarnya erti kehidupan. Osman juga bagaikan penyelamat kehidupan sulitnya lewat waktu dulu. Malah, Osman jugalah menyuluh dirinya agar tahu memilih jalan yang salah dan benar.

Namun entah mengapa saat ini, memikirkan perihal Osman, jantung Suriyana beritma laju. Butir perbualan Osman dan wanita misteri itu masih tergiang-ngiang di telinga. Ketenangan Suriyana malam ini bagai dikacau-kacau. Benaknya mula laju memikirkan perihal Osman yang bermalam di hotel. Berseorangankah suaminya atau berteman?

Suriyana menyandar tubuh di kepala katil. Bantal tidur suaminya dipeluk ke dada. Bayang wajah Osman bersilih ganti dengan bayang wajah seorang wanita jelita. Wajah wanita yang hanya wujud di khayalannya. Apakah Osman sedang bermesra-mesraan dengan wanita lain di Terengganu, saat dia bersendirian menguruskan anak-anak di rumah?

Memang Suriyana tahu Osman ke Terengganu kerana mahu mengembangkan bisnes peninggalan arwah ayah mertuanya. Tetapi nalurinya kuat mengatakan yang suaminya ada hubungan dengan wanita lain. Adalah sesuatu yang tidak mustahil kalau suaminya bekerja dan pada masa yang sama bercuti dengan perempuan lain. Sambil menyelam, suaminya itu minum air.

“Arghhh!” Suriyana memegang kepalanya yang berdenyut kuat. Kusut kepalanya memikirkan perihal Osman sehingga pandangannya berpusing-pusing. Dia pening.

“Aku ni kenapa? Berdosa memikirkan macam-macam perihal jahat suami sendiri!” marah Suriyana kepada dirinya.

“Tapi kalau betul macam mana? Suamiku pun tak pernah mempelawa kami anak- beranak mengikutnya ke luar daerah? Seperti dia tidak mahu rahsianya bocor!” Suara-suara jahat mula bergema di telinganya. Suara-suara yang mendorongnya berfikiran jahat terhadap suami sendiri.

“Cukup! Cukup! Cukup!” Suriyana memekup telinganya dengan bantal, tidak mahu terus melayani bisikan jahat itu. Menyimpan perasaan curiga hanya boleh mengundang fitnah. Bahananya, dia juga berdosa. Kepalanya juga sakit dan pening hanya kerana memikirkan perkara yang tak sepatutnya.

“Argghhh, semua yang berlaku itu bersebab. Tak mungkin Osman sanggup menduakanku,” pujuk Suriyana kepada dirinya sambil mulutnya terkumat-kamit membaca surah al-Fatihah, al-falaq, Annas, al-Ikhlas dan ayat Qursi. Harapannya segala kejahatan yang mula merasuk hati segera berambus pergi.

JURIAHmenapak masuk ke dalam rumah. Sudah puas dia memberi salam, namun tiada jawapan yang kedengaran di telinganya. Pintu depan rumah itu terbuka luas. Pintu pagar juga tidak berkunci, mengizinkan dia masuk dengan mudah ke rumah anak menantunya itu.

“Assalamualaikum, Suri. Suri!” Dia memanggil-manggil nama Suriyana.

“Zul, Diah...” Juriah berlari masuk ke dalam rumah apabila suara raungan cucu-cucunya kuat di telinga.

“Ya Allah, Suri!” panggil Juriah sebaik saja menapak ke dalam bilik Suriyana. Menantunya itu nampak terbaring lemah di katil. Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan meraung di sisi ibu mereka. Juriah segera mendukung tubuh Faizul Ikhwan yang sudah berpeluh. Air mata cucunya itu mengalir lebat.

“Lah… kenapa dengan dahi Zul ni?” tanya Juriah dengan nada terkejut. Dibelek-beleknya wajah Faizul Ikhwan.

“Zul, jangan menangis. Jangan menangis, Diah. Nenek datang ni,” pujuk Juriah menenangkan tangisan kedua-dua cucunya.

“Suri, Suri kenapa ni?” Juriah cuba menepuk bahu Suri di pembaringan itu. Namun, Suri langsung tidak membuka matanya.

“Ya Allah, kenapa Suri? Suri sakit kepala ke? Demam ke?” tanya Juriah sambil meraba-raba dahi dan tengkuk Suriyana.

“Suri, mak datang ni. Suri tak sihat ke?” tanya Juriah lagi sambil menepuk-nepuk bahu Suriyana mengharapkan menantunya itu sedar daripada tidurnya. Turun naik nafas Suriyana masih nampak teratur.

“Mak...” Suriyana membuka matanya perlahan. Dahinya berkerut-kerut menyedari ada Juriah di biliknya.

“Suri tak sihat ke?” tanya Juriah penuh cakna. Dia duduk di birai katil sama memicit-micit kepala menantunya. Tubuh Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna masih di ribanya.

“Suri sakit kepala mak,” balas Suriyana perlahan.

“Allah…demam gamaknya. Badan kau ni panas, Suri,”

Suriyana tidak berkata apa-apa. Batuk-batuk kecil terlantun keluar daripada tekaknya.

Suriyana pun tidak tahu apa yang telah berlaku kepada dirinya hari ini. Bangun saja dari tidur subuh tadi, tekaknya tiba-tiba mahu bersarapan roti canai. Selesai mandi dan bersolat subuh, dia mengejutkan anak-anak. Selesai memandikan mereka dan bersiap, Suriyana terus keluar membawa anak-anaknya bersarapan. Di sebuah restoran, di tepi jalan, dua butir roti canai telur dilahapnya dengan penuh nikmat bersama dua gelas besar teh tarik pekat manis. Rasa roti canai dan teh tarik itu amat menyelerakan.

Suriyana pun hairan kenapa seleranya berbeza hari ini walhal dia bukanlah penggemar roti canai. Teh tarik yang pekat manis jarang sekali diambilnya. Selepas makan, Suriyana sengaja membawa anak-anak bersiar-siar, mengambil angin pagi di bandar. Mereka juga pergi ke pam minyak, memandangkan jarum meter tangki minyak keretanya menghampiri ke huruf E.

Selesai saja mengisi minyak, tekak Suriyana berasa mual. Bau petrol yang tengit dan busuk mula menyerang rongga hidungnya. Dalam keadaan kurang selesa menahan mual dan pening, Suriyana memecut kereta laju dan pulang ke rumah. Keluar saja dari perut kereta, Suriyana berlari memanjat anak tangga. Dia kemudian bergegas ke bilik air kerana perasaan mualnya semakin menjadi-jadi. Di bilik air, dia memuntahkan segala benda yang dimakannya tadi.

Kepalanya berdenyut-denyut kuat. Terasa macam sebongkah bata diletak di atas kepalanya. Terasa macam seguni beras diletak di atas badannya. Letih lesu tubuhnya membuatkan dia tidak berdaya untuk bangun.

“Kita ke hospital ya?” kata Juriah sambil terus memicit-micit lengan Suriyana.

Suriyana diam. Kisah pagi tadi lenyap daripada benaknya. Dia hanya memerhati anak-anak di riba nenek mereka.

“Si Zul dan Diah lapar kut, mak... Dah tengah hari ni, tak makan apa-apa lagi,” sambung Suriyana lagi melihat anak-anak yang kian senyap dengan tangisan.

Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna, masih dengan botol susu kosong di mulut masing-masing. Usia Faizul Ikhwan baru mencecah setahun setengah manakala Mardiah Amna tiga tahun. Kedua-dua beradik itu hanya memandang wajah ibu mereka yang pucat lesi.

“Nek, mak... uwek! uwek!” cerita Mardiah Amna kepada Juriah. Mardiah Amna turun dari riba neneknya dan menunjukkan keadaan Suriyana yang muntah-muntah di bilik air. Anak kecil itu memegang perut dengan badan menunduk, mulutnya mengulangi lagi perkataan uwek, uwek yang pernah disebut emaknya pagi tadi. Faizul Ikhwan turut meniru gaya kakaknya.

“Suri muntah ke tadi?” tanya Juriah memahami apa yang ingin disampaikan Mardiah Amna kepadanya.

Suriyana mengangguk, mengiakan pertanyaan mertuanya.

“Oh... sejak bila muntah-muntah ni, Suri?” tanya Juriah lagi, terkejut dengan anggukan Suriyana.

“Pagi tadi, mak.” Suriyana menjawab lemah. Dia masih belum berdaya untuk bangun dan berdiri.

“Man tahu ke keadaan Suri ni?” tanya Juriah.

Suriyana hanya menggeleng. Melihat gelengan Suriyana, Juriah menggeleng kesal. Dia kesal kerana membiarkan Suriyana melalui keadaan ini tanpa perhatian dirinya.

Juriah jatuh kasihan mengenangkan nasib menantunya dengan anak kecil ini. Pasti segala apa yang berlaku kepada Faizul Ikhwan juga kerana menantunya itu tidak sihat. Tidak sihat untuk menjaga dirinya, harus bagaimana untuk Suriyana menjaga cucu-cucunya yang masih kecil dan agresif itu? Hati tua Juriah pantas meneka. Menantunya itu bermungkinan besar hamil lagi.

“Mak! Mak! Mak!” Faizul Ikhwan memukul-mukul badan Suriyana dengan botol susunya.

Suriyana faham, anaknya itu sudah lapar susu.

“Mak, tolong buatkan susu untuk Zul. Suri tak larat nak bangun,” pinta Suriyana tidak bermaya.

“Yalah, yalah. Alahai, kesiannya cucu-cucu nenek. Patutlah nenek tak sedap hati aje bila teringatkan kau orang semua. Mak mintak maaf, Suri. Mak kalut sikit sehari dua ni. Sejak Kakak Kasnah kau kena tahan wad, mak asyik berulang ke hospital. Kata doktor, kandungan Kasnah bermasalah.” Juriah bercerita.

“Oh, ya ke? Kesiannya, Kak Kasnah. Dahlah bertahun menunggu nak dapat anak. Saat nak bersalin, bermasalah pula.” Suriyana bersuara perlahan mendengar cerita ibu mentuanya. Di dahinya tergaris kerutan.

“Suri berehatlah dulu. Mak pergi buatkan susu untuk cucu-cucu mak ni. Kalau Suri nak makan, mak ada bawa bubur nasi ayam. Suri nak tak? Biar mak suapkan,” tanya Juriah.

“Tak apalah, mak. Tekak Suri ni pahit semacam aje. Mak tolong tengokkan Diah dan Zul ya?” pinta Suriyana.

“Yalah, lepas mak bagi Diah dengan Zul makan, mak bawa Suri ke hospital, ya?” kata Juriah.

Suriyana hanya mengangguk lesu dengan cadangan Juriah.

“Nek! Nek!” Mardiah Amna yang bersuara halus menarik-narik kain Juriah.

“Nek! Nek! Nek!” Giliran Faizul Ikhwan pula menarik kain Juriah, mengikut cara kakaknya. Masing-masing kemudian memukul-mukul tubuh Juriah dengan botol susu.

“Oh, ya ya! Cucu nenek nak susu. Jom, nenek buatkan!” Juriah beredar keluar dari bilik itu menuju ke dapur.

Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan berlari mengikut langkah neneknya.

WAJAH Suriyana nampak terkejut. Berita yang diterima daripada doktor sakit puan itu membuatkan dia terperanjat besar. Sungguh tak disangka yang dia mengandung lagi. Perasaannya bergalau-galau. Antara tak bersedia dan cuba menolak ketentuan takdir, dia termenung lama di hadapan doktor.

‘Aduh, takkan seawal ini aku mengandung lagi? Si Diah dan Zul masih terlalu kecil. Letih menjaga anak-anak ini, apakah aku kuat untuk menjaga anak dalam kandungan ini pula?’ Hati kecil Suriyana mengeluh.

“Tahniah, puan! Jangan terlalu stres. Jangan buat kerja yang berat-berat ya? Makan vitamin dan asid folik mengikut waktunya.” Doktor sakit puan itu berpesan sebelum menulis sesuatu di slip ubat.

Suriyana tersenyum tawar menerima ucapan itu. Sebenarnya, dia ingin berbincang dengan doktor sakit puan itu yang dia belum bersedia untuk mengandung lagi. Namun, kerana Juriah berada di sisinya ketika itu, niatnya dibatalkan.

“Puan berdua, sila tunggu di luar. Sekejap lagi nombor akan dipanggil untuk ambil ubat-ubat ni,” kata doktor itu. Wajahnya mengukir senyuman memandang Suriyana dan Juriah yang duduk bersebelahan.

“Diah dengan Zul nak dapat baby,” kata Juriah kepada Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna yang setia di ribanya.

“Yeay!” Mardiah Amna bertepuk tangan. Dia faham akan cerita neneknya. Faizul Ikhwan turut bertepuk tangan, teruja melihat wajah kakaknya yang berseri-seri.

Doktor wanita itu dan Juriah tersenyum meleret melihat keletah anak-anak. Hanya Suriyana masih berperang dengan perasaan sendiri.

“Jaga diri ya, puan...” pesan doktor itu lagi.

Suriyana tersenyum tawar dan beredar keluar dari bilik itu selepas mengucapkan terima kasih.

SURIYANA mengeluh panjang. Dia keresahan memikirkan hari-harinya. Berita yang diterima daripada doktor siang tadi membuatkan dia terkejut. Dia sungguh tak menyangka dan tak bersedia untuk mengandung secepat ini. Entah bagaimana dia boleh terlupa tentang kitaran haidnya yang sudah lama lewat. Doktor mengesahkan yang kandungan kini berusia dua bulan. Dan dia boleh tak perasan akan perubahan selera makannya sehari dua ini adalah kerana pembawakan budak. Mungkinkah kesibukan mengurus Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan membuatkan dia terlupa untuk mencatat tarikh kedatangan sahabat baiknya itu?

Suriyana mengusap perutnya perlahan. Hatinya bertukar sayu mengenangkan anak-anak. Kasihan Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan kalau keadaan kesihatannya berterusan begini. Mengandungkan bayi barunya sehingga sembilan bulan, menuntut pengorbanan yang cukup besar. Semuanya terpaksa dilalui dengan ikhlas dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Sedangkan untuk melalui semua itu, perasaannya kini seperti serba terpaksa.

Malam yang hening itu, Suriyana berasa begitu sunyi. Anak-anak sudah lama jendera. Juriah pula sudah lama pergi ke hospital setelah mendapat berita yang Kasnah, birasnya sudah selamat melahirkan seorang anak lelaki. Suriyana sangat gembira dengan berita itu. Abang ipar dan birasnya itu sangat berharap untuk punya zuriat sendiri. Setelah sepuluh tahun menunggu, baru hari ini mereka dianugerahkan cahaya mata.

Suriyana ingin sekali berada di sisi Kasnah dan Mahmud. Dia ingin menatap wajah anak saudaranya itu. Namun, dalam keadaan sekarang, dia hanya mahu berehat. Dia tidak mahu mengambil risiko memandu seorang diri ke Kuala Selangor. Manalah tahu, mualnya datang lagi atau kepalanya tiba-tiba pening semasa memandu. Mahu menumpang kereta mentuanya, dia tidak mahu menyusahkan Juriah yang akan menghantarnya pergi dan balik. Lagipun, biarlah Juriah menemani Kasnah saja saat ini. Kasnah pasti memerlukan sokongan mentuanya.

“Tak apalah, kalau bukan hari ini, mungkin esok lusa aku boleh tengok anak Kak Nah.” Suriyana bercakap seorang diri. “Arghhh… kalau mengandung segala aktiviti menjadi terbatas!” Mengenangkan itu semua, Suriyana berasa bosan.

Jam dinding berdenting sebelas kali. Spontan, kepala Suriyana terpaling ke arah jam di biliknya itu. Malam kian lewat, namun penantiannya seperti sia-sia saja. Dia mengharapkan Osman akan menghubunginya.

Harapannya juga, Osman sudi membisikkan kata-kata rindu buatnya. Dia rindukan mersik suara Osman yang bertanya khabar dirinya dan anak-anak. Tapi sayang, cukup malam ini, sudah tiga malam Osman ke Terengganu. Selama tempoh itu, hanya sekali Osman menelefonnya. Terlalu sibukkah suaminya itu sehingga tidak punya waktu untuk menelefon dan bertanya khabar dia anak-beranak?

Hati Suriyana tiba-tiba berdendang pilu. Hatinya tercalar dengan sikap Osman. Dia menangis dan menangis sepuasnya membayangkan suaminya itu dalam pelukan wanita lain. Dia menangis mengenangkan kesulitan masa depann sekiranya Osman menduakannya. Sedangkan dia? Dalam keadaan berbadan dua, Suriyana tahu dia tidak mampu melayani Osman. Badannya sering letih lesu ditambah pula dengan kesibukan melayani kerenah anak-anak yang masih kecil. Dirinya sudah tak terurus lagi. Kala itu, di manakah dirinya dicampak Osman? Bernilaikah dirinya di mata Osman?

‘Aduh! Kenapa jahat sekali pemikiranku waktu ini? Kenapa sejauh ini hatiku resah memikirkan abang? Abang, tolong pulihkan perasaan Suri agar tidak terus-menerus mencurigai abang. Tolong kembalikan kepercayaan Suri terhadap abang. Suri tak suka dihambat curiga. Suri sayangkan abang. Suri sayangkan keluarga kita. Abang, pulanglah.’

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.