Home Novel Keluarga MRs Army (Awak Lamar Saya?)
MRs Army (Awak Lamar Saya?)
Azilah Wahab
20/11/2015 18:53:56
68,176
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
Bab 48

BAB 48


MALAM itu, guruh berdentam dentum. Kilat sabung menyabung. Hujan lebat selebatnya. Sungguh menyukarkan pemandangan Asyraff yang sedang memandu pulang ke rumah.

Ya, waktu maghrib hampir beralih ke isyak. Asyraff masih di dalam kereta. Suhu penghawa dingin direndahkannya apabila cermin kereta kian kabur. Pemandangan semakin terbatas. Yang dia nampak, cuma bintik-bintik cahaya berwarna jingga daripada kenderaan

yang berbaris di depannya.

“Apa ke hal jam pulak ni?” Asyraff mengeluh.

Perutnya berbunyi lapar. Kelopak matanya hampir melekat antara satu sama lain. Hujan-hujan begini, matanya cepat kuyu. Apatah lagi seharian berjemur di padang. Letih tulang bahu. Letih tulang belikat. Semakin letih kerana kalah dengan junior dalam tournament golf hari ini. Budak kapten yang baru ditukarkan ke KL. Mana dia tak tercabar?

Bunyi siren bersahut-sahutan. Siren polis dan ambulan. Asyraff tersentak. Fikirannya kembali ke dalam kereta.

Confirm, accident! Jika tak, tak jam macam ni.” Dia mengeluh panjang. Benaknya terfikir-fikir akan jenis kenderaan yang terlibat. Faktor cuaca, keadaan jalan raya dan cara pemanduan antara faktor penyebab kemalangan jalan raya.

Asyraff melirik ke meter kelajuan. Kereta ini bergerak di bawah 30 km sejam. Kenderaan-kenderaan di depannya beratur terlalu rapat. Di belakang juga. Kurang lima meter dari buntut kenderaannya.

You kiss , you pay ah!” Asyraff bermonolog selepas mengamati kenderaan belakang mula menghimpit.

Siapa yang memandu kenderaan itu, tidak dicam wajahnya. Kenderaan jenis apa juga sukar dilihat. Macam kereta buat malaysia. Jika tak Waja, mungkin Gen-2.

Bunyi siren semakin dekat. Lebih panjang dan bersahut-sahutan. Asyraff perasaan kereta di depan, memberi signal kiri. Dia pun ikut bagi signal. Sebagai isyarat memberi laluan kenderaan polis dan ambulan ke tempat kejadian. Kereta di depan berhenti, dia pun berhenti.

Empat puluh minit, kenderaannya langsung tidak bergerak. Huhhhh, bosan!

Dia meneruskan perjalanan mengikut kereta di depan apabila hujan mula renyai. Asyraff membelok kenderaan ke Petronas. Dia berkejar ke tandas. Kantung kencing sudah perit. Terlalu lama menahan di dalam kereta tadi.

‘Aduhhh! Saat urgent macam ni, ramai pulak orang.’ Asyraff menarik nafas, menahan senak di situ.

Dia ikut beratur. Asyraff pasti, mereka ini senasib dengannya. Terperangkap dalam kesesakan tadi.

Bunyi-bunyi orang bercerita mula menarik perhatiannya.

“Aku nampak mayat tu putus badan. Bercerai di pinggang. Astagrfirullah hal azim, seram!”

“Ya ALLAH, ya ke? Laju gamaknya bawak motor hujan-hujan ni. Jalan licin lagi. Tu yang mudah terbabas. Langgar divider dengarnya,” sampuk suara yang lain pula.

“Motor kuasa besar. Takkan bawak slow kut!”

Wife arwah pun tercampak tengah jalan. Lebih kasihan, kena gilis dengan kenderaan lain. Lepas tu, kenderaan yang gilis mangsa, brek mengejut. Kenderaan yang belakang pun brek. Apa lagi, berlanggarlah antara satu sama lain. Tak silap, empat buah terlibat semuanya.”

“Tu mesti yang belakang tu laju-laju. Bawak rapat-rapat.”

Perbualan semakin rancak sebelum masing-masing masuk ke tandas.

“Innalillahiwainnalillahi rojiunn! Hari ni, giliran dia orang. Esok lusa, entah kejap lagi, giliran kita pula.” Satu suara lain yang baru datang di situ mencelah. Mungkin terkejut mendengar kisah kemalangan tadi.

Asyraff tersentap sebelum mengangguk bersetuju. Apakah daya manusia, jika sudah tiba ajalnya. Tidak dilambat atau dipercepat walau sesaat oleh Malaikat Izrail menjalani tugasnya. Allah...Allah.

“In sha ALLAH... yang meninggal kerana eksiden itu, syahid dunia...”

“Berdoalah, moga-moga pengakiran hidup kita dalam husnul khotimah.”

Suara-suara orang berbual itu mula menganggu fikiran Asyraff. Terbayang-bayang keadaan mayat yang digilis kenderaan di tengah jalan. Terpandang-pandang susuk tubuh mayat yang bercerai badan. Huhhh, sungguh mengerikan!


JIWA Asyraff tidak tenteram. Teringat-ingat akan kata-kata lelaki tadi. Jika sebentar nanti maut memanggilnya pulang mengadap Tuhan Maha Pencipta. Bersediakah dia? Bagaimanakah pengakhiran nafasnya nanti?

Bolehkah dia menjawab soalan demi soalan yang bakal dikemukakan oleh Mungkar dan Nakir? Bagaimana keadaan kuburnya nanti? Terang benderangkah? Malap? Atau gelap gelita?

“Marabukka?” Soalan ditanya lelaki misteri yang berselubung hitam. Entah kenapa, Asyraff kelu mahu menjawabnya. Walhal dia tahu jawapannya.

“Marabukka!” Lelaki itu menyoal lagi. Bunyinya semakin lantang.

Tubuh Asyraff menggigil tiba-tiba. Ruang sempit ini bercahaya malap.

“Marabukka?” Bagai guruh berdentum di dada langit, soalan itu tiba-tiba menggerunkan. Bagai menyiat-nyiat hatinya. Dan tika itu Asyraff perasan segelung cemeti di depannya.

“Ahhh..ahhhh...” Asyraff ketakutan. Dia mahu melarikan diri dari situ. Tapi ke mana? Mampukah dia meloloskan diri daripada lelaki ini? Di sana juga, kelihatannya beberapa lelaki berselubung hitam. Badan mereka bertubuh tegap dan gagah. Sungguh, dalam keadaan tertekan sebegini, terasa mahu terkencing pun ada.

“Hai manusia, kenapa kau sengaja tinggalkan solatmu? Kenapa?” Suara itu terus menengking-nengking.

Segenap tubuh Asyraff semakin menggeletar. Jantung bagai mahu tercabut. Dia tahu, hanya menunggu masa saja tubuhnya akan dibedal-bedal dengan cemeti itu.

“Kenapa kau sengaja tinggalkan solatmu? Kenapa, hah!” Cemeti sudah dipegang penyoal itu.

Asyraff menangis meraung teringatkan semua itu. Ya, tengahari Jumaat semalam, dia gesa-gesa ke padang golf. Tidak sempat bersolat Jumaat. Tidak bersolat zohor dan asar juga. Balik pun terperangkap dalam jam. Dalam hujan ribut.

Dia memang tidak bersolat maghrib dan isyak. Sampai di rumah, mandi dan terus tidur kerana keletihan. Semalam, cukup lima waktu dia abaikan kewajipannya sebagai seorang muslim. Namun, entah kenapa waktu itu, dia langsung tidak ada rasa bersalah.

“Nah, rasakan!” tempik lelaki itu.

Satu hayunan kuat berdesap desup ke badan Asyraff. Asyraff berteriak kuat. Tubuhnya mula sakit. Berdenyut-denyut. Kulit badannya terasa pedih dan melecet.

“Tolong! Tolong! Sakit Ya ALLAH! Sakit!” Asyraff merayu lemah.

“Kau tahu sakit?!” Lelaki itu menengking lagi.

Serentak itu juga, sekali lagi, dia menghayun cemeti ke tubuh Asyraff. Berdesap desup libasan itu singgah ke tubuh Asyraff.

“Allah...Allah... sakit.”

“Kalau tahu sakit, kenapa sombong dengan ALLAH? Kenapa tak buat apa yang Dia suruh? Kenapa?” tengking lelaki itu.

“Ya ALLAH. Ampuni aku Ya ALLAH. Aku mahu bertaubat. Kembali ke jalan Mu Ya ALLAH.” Asyraff bersuara lemah.

“Itu pun jika kau ada peluang bertaubat. Bila dah mati, kau ingat boleh kembali ke dunia? Boleh?” Sinis lelaki itu menjelingnya.

“Hah? Mati? Aku dah mati ke ni?” Asyraff sudah tidak berdaya berfikir. Tubuhnya berasa ringan melayang-layang. Pandangannya juga bertukar gelap gelita.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.