Home Novel Keluarga Dia Yang Mengerti
Bab 9

9


"AYAH, Dina kena buat karanganlah. Apa kata ayah bagi cadangan?” beritahu Wardina Amni sebaik saja melangkah masuk ke perut kereta.

Tengah hari itu, mereka bertiga dijemput Osman pulang dari sekolah. Lazimnya, mereka tiga beradik mengayuh basikal ke sekolah, tetapi disebabkan pagi tadi hujan lebat, Osman menghantar mereka menaiki kereta. Tambahan pula, seminggu dua ini tugasan kerjanya di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor saja.

“Karangan pasal apa, dik?” Mardiah Amna menyampuk.

“Tajuknya, saya sayang keluarga saya.” Wardina Amni menjawab soalan kakaknya.

“Alah, senang sangat tu! Masukkan watak ayah, emak, abang, kakak dan adik. Beritahu kenapa adik sayang keluarga. Sebab mak dan ayah sangat sayangkan adik. Jaga kita dari kecil dengan baik. Belanja kita makan sedap-sedap. Belikan kita kain baju yang cantik-cantik. Beri kita pendidikan. Masa lapang, kita adik-beradik main sama-sama. Belajar sama-sama. Dalam karangan tu, jangan lupa tulis yang kami semua sangat sayangkan adik.” Mardiah Amna memberi buah fikirannya.

“Hah, okey sangatlah tu!” jawab Faizul Ikhwan yang sejak tadi sekadar memasang telinga.

“Dina buatlah satu karangan dulu kat buku lain sebelum tulis dalam buku latihan karangan. Lepas tu, ayah baca dan komen. Kalau ayah rasa perlu diperbetulkan, Dina kena perbetulkan. Okey?” cadang Osman.

“Okey, ayah.” Wardina Amni menjawab senang.

“Diah dengan Zul cikgu bagi kerja sekolah tak?” tanya Osman kepada Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan.

“Hmm... memang banyak ayah. Matematik, Bahasa Inggeris Karangan dan Bahasa Malaysia Kefahaman. Aduh, banyaknya!” Mardiah Amna bersuara separuh mengeluh.

“Zul?” tanya Osman.

“Zul lagi banyak daripada kakak. Ada Matematik, Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia Dan Agama Islam. Aduh, penatnya! Zul nak main bola petang ni pun macam tak sempat pulak,” rungut Faizul Ikhwan meluahkan perasaan.

“Mak aii, banyaknya.” Osman menggeleng kepala mengenangkan rungutan Faizul Ikhwan tadi.

“Itulah, ayah. Pagi petang belajar. Penatlah macam ni.”

“Hmm... jangan merungut, Zul. Lagi banyak kita merungut, lagi tulah kita rasa penat. Yang penting, kena ikhlas dan buat yang terbaik. Kita kena bersungguh-sungguh untuk jadi orang yang hebat dan berjaya. Orang yang banyak bersungut sebenarnya dia telah membina satu ruang negatif dalam mindanya.

Ayah harap, baik Diah mahupun Dina, jangan cepat mengeluh. Orang yang banyak mengeluh dalam hidupnya ialah orang yang paling cepat berputus asa. Orang yang cepat berputus asa, dia sedang menuju ke arah kekecewaan dan gagal. Ayah harap, anak-anak ayah, jangan cepat rasa kecewa. Jangan takut gagal sebelum mencuba sesuatu.”

“Wah, semangat Diah dengar kata-kata ayah ni! Kan Zul, Dina?” balas Mardiah Amna dengan perasaan teruja.

Wardina Amni dan Faizul Ikhwan mengangguk macam burung tekukur. Bersetuju dengan kata-kata kakak mereka.

“Ayah, bila ayah keluar kerja lagi? Ayah asyik keluar tinggalkan kami,” tanya Wardina Amni tiba-tiba lari daripada topik perbualan mereka. Suaranya yang tadi teruja, kini bertukar serius dan sedih.

“Betullah, ayah. Lepas adik balik hospital, kita tak pernah lagi keluar jalan-jalan. Asyik duduk rumah, terperap. Belajar! Belajar! Belajar!” ulas Faizul Ikhwan akan kata-kata adiknya.

“Okey, kalau macam tu hujung minggu ni kita pergi jalan-jalan. Kita berkelah, nak?”

“Horeyyy!” Mereka tiga beradik menjerit kesukaan. Riuh gamat suara mereka dalam kereta Osman.

Osman tersenyum meleret mengenangkan kerenah anak-anak.

“Hari ni mak ke ayah yang masak?” tanya Faizul Ikhwan lagi.

“Mak Cik Kiah,” jawab Osman selamba.

“Mak Cik Kiah? Biasanya Mak Cik Kiah tak datang kalau ayah ada kat rumah,” kata Mardiah Amna.

Osman tergelak kecil mendengar jawapan Mardiah Amna.

“Mak Cik Kiah memang ada datang tadi. Tapi sekejap aje. Dia datang mengemas, menyapu, mencuci dan sidai pakaian. Lepas siram pokok bunga mak, ayah izinkan dia pulang.” Osman seronok berkongsi cerita dengan anak-anaknya.

“Jadi, siapa yang masak hari ni?” Faizul Ikhwan ingin tahu.

“Cuba teka?” tanya Osman semula ingin menceriakan suasana.

“Ayah,” jawab Wardina Amni.

“Ya, ayah,” sokong Mardiah Amna pula.

“Ha’ah, mestilah ayah. Kalau ayah ada kat rumah mesti hari-hari lauk sedap. Ayah pandai masak. Mak tu, asyik masak nasi goreng kicap aje,” luah Faizul Ikhwan.

“Hisy... tak sedap ke mak masak, Zul?!” Osman menduga perasaan anaknya.

“Mak Cik Kiah masak lagi sedap, ayah,” beritahu Mardiah Amna berterus terang.

“Lah, ya ke?” tanya Osman mendengar cerita Osman.

“Ha’ah...” Anak-anak menjawab serentak.

“Berterima kasih dan bersyukurlah. Mak dah cuba buat yang terbaik untuk kita semua.” Osman mengingatkan anak-anak.

“Yalah ayah. Mak pun sedap juga masak. Tapi ayah masak, lagi sedap.” Faizul Ikhwan jujur bercerita, meluahkan perasaannya.

“Yalah, ayah...” Mardiah Amna dan Wardina Amna pula mengiakan kata-kata Faizul Ikhwan. Mungkin mahu menjaga hati Osman.

Osman tersenyum melihat wajah anak-anak.

“Hari ni masak lauk apa, ayah?” tanya Mardiah Amna.

“Hari ni, ayah masak istimewa untuk anak-anak ayah yang rajin dan bijak. Sup daging campur cendawan, telur dadar dan kangkung goreng belacan. Okey, tak?” tanya Osman dengan penuh semangat. Sesekali matanya memanah ke atas jalan raya. Sesekali matanya menyorot pula ke setiap wajah anak-anak yang ceria.

“Wow, sedapnya! Terbau-bau sup daging ayah tu,” komen Wardina Amni.

“Aduh, lapar sangat dah rasanya perut Diah ni!” kata Mardiah Amna pula menyambung komen adiknya.

“Ha’ah, Zul pun rasa lapar sangat ni,” tokok Faizul Ikhwan pula.

Osman tertawa kecil. “Okey, ayah bawak kereta laju-laju supaya lagi cepat balik rumah.”

“Yeayy!” Mereka tiga beradik bersorak riang.

OSMAN menapak memasuki bilik anak gadisnya. Dia menghidupkan suis lampu dan melabuhkan punggung di birai katil Mardiah Amna. Lazimnya, kalau dia berada di rumah, sebelum tidur Osman akan bersalam-salaman dengan anak-anaknya. Dia akan mencium pipi anak-anak sebelum tidur. Dan malam ini, dia akan melakukan hal yang sama.

“Dah lena tidurnya.” Osman berbisik perlahan sambil merenungi wajah anak-anaknya yang sudah menginjak remaja.

Mardiah Amna berkongsi bilik dengan Wardina Amni. Katil masing-masing disusun secara bertentangan. Osman tersenyum sendiri sambil melabuhkan punggung di birai katil Mardiah Amna. Mardiah Amna nampak lena dalam pelukan patung beruang, sama saiz dengan dirinya. Rambut Mardiah Amna yang lurus melebihi paras bahu itu dielus lembut. Rasa kasih melimpah ruah merenungi wajah anak sulungnya itu. Osman menghadiahkan satu ciuman di pipi anaknya itu seraya mengucapkan selamat malam.

Dia kemudian berpindah pula ke katil Wardina Amni. Merenungi seraut wajah Wardina Amni, hati Osman berasa bahagia. Wajah polos Wardina Amni yang berkulit putih itu mewarisi kecantikan wajah Suriyana. Gadis itu nampak sempurna dan jauh lebih bersopan kalau hendak dibandingkan dengan Mardiah Amna yang periang dan lincah.

Syukurlah, hubungan adik-beradik ini nampak mesra. Mereka saling membantu dan menyokong antara satu sama lain. Jarang sekali Osman nampak anak-anak ini bercakaran mahupun berselisih pendapat. Mereka sentiasa bersepakat.

“Selamat malam, sayang.” Osman mencium pipi Wardina Amni seraya membetulkan selimut di hujung kaki anak bongsunya itu. Dia mengambil bantal peluk di tepi dinding lantas dialih lebih dekat dengan tubuh anaknya itu.

Tiba-tiba Osman terpandang sebuah buku nota kecil sebesar tapak tangan orang dewasa terperosok di tepi dinding. Buku itu mengingatkan dia akan janjinya kepada Wardina Amni siang tadi.

“Aduh, macam mana aku boleh lupa pulak ni?! Kesian, aku janji nak komen karangan yang dia buat. Sorry Dina, kalau ayah tak ada urusan penting tadi, mesti ayah tak lupa dan ada masa nak tengok anak-anak ayah buat homework,” bisik Osman kesal.

Osman tidak jadi mahu meninggalkan bilik anaknya itu. Buku nota itu ternyata menarik perhatiannya, lantas dicapainya buku itu. Sudah lama dia tidak membelek buku karangan Wardina Amni. Meskipun anak itu baru darjah enam, tapi gaya penulisannya matang dengan idea yang bernas. Wardina Amni pernah menghantar sebuah cerpen ke majalah Bintang Kecil. Cerpennya tersiar dan menurut cerita anak-anak, di perhimpunan sekolah Wardina Amni dipanggil ke atas pentas untuk membacakan cerpennya.

Pihak sekolah juga telah mengumumkan ucapan tahniah kepada Wardina Amni kerana telah mengharumkan nama sekolah. Dalam diam, Osman bangga dengan kelebihan yang dimiliki anaknya itu. Ternyata Wardina Amni berbakat dan punya potensi untuk menjadi seorang penulis berjaya suatu hari nanti. Kini, ada masa-masanya Osman perasan yang Wardina Amni mula sibuk menulis pada waktu lapang. Anaknya itu terus menggilap bakatnya dan begitu aktif menghantar cerpennya ke majalah Bintang Kecil.

Osman membelek halaman pertama buku nota yang berkulit keras itu. Rasanya Osman tak pernah melihat buku itu sebelum ini. Mungkin buku ini adalah coretan hati anak gadisnya kerana kulit depan buku tersebut tertulis perkataan diari. Osman berasa serba salah sama ada meneruskan niatnya membaca tulisan anaknya itu atau sebaliknya. Namun, akalnya pantas memberitahu. Tak salah seorang ayah mengetahui isi hati anak-anak. Selama ini pun, kesibukan bekerja membuatkan masa bersama anak-anak agak terbatas.

Osman tersenyum sendiri. Di halaman kedua buku itu, sekeping gambar mereka sekeluarga ditepek di situ. Gambar itu diambil mereka ketika hari raya dua tahun lepas. Masing-masing nampak ceria dan senada dalam pakaian berwarna biru perak. Di bawah gambar itu, tercoret tulisan tangan. Keluarga bahagiaku. Semoga kebahagiaan ini abadi selamanya.

Osman membaca setiap patah perkataan yang ditulis Wardina Amni. Anak ini memang mencoretkan luahan hati di setiap bilah hari yang dilaluinya. Kebanyakannya adalah kisah tentang sekolah. Cerita tentang dirinya yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Kisah kegembiraan dan pujian yang diterima daripada guru dan kawan-kawan. Ada juga cerita tentang rajuk dirinya dengan Faizul Ikhwan kerana abangnya sengaja mengusik dirinya.

Satu demi satu helaian buku itu dibaca Osman dengan penuh khusyuk. Kala matanya tertancap perkataan yang mencoretkan namanya, dia tersenyum kerising. Ayat-ayat yang ditulis Wardina Amni mencuit hatinya.

***

Dia lelaki kacak dan penyayang. Dina sayang sangat kat dia. Dan Dina tahu dia pun sayang sangat kat Dina. Ayah, I love you and miss you!

***

Sudah dua minggu ayah keluar bekerja. Rasa rindu pada ayah tak tertanggung lagi. Kalaulah Dina boleh terbang, Dina mahu terbang mencari ayah. Dina nak peluk ayah lama-lama. Nak ajak ayah jalan-jalan dan makan ais krim kat taman. Dina sayang sangat kat ayah. Ayah baik sangat layan Dina dan kami semua.

***

Tadi ayah telefon, tanya khabar kami. Wah, Dina suka sangat! Ayah bagitahu tadi, lusa ayah akan balik. Kami dah plan se­suatu untuk ayah, surprise on your birthday!

Osman cuba mengimbas kembali surprise yang dimaksudkan. Ya, suatu hari ketika dia pulang dari Utara Semenanjung Malaysia, malamnya mereka sekeluarga menyambut ulang tahun kelahirannya. Suriyana membeli kek hari jadi. Mereka sekeluarga menjamu selera malam itu bersama sate, nasi himpit dan kuih-muih. Sebagai kejutan untuknya, anak-anak menyediakan hadiah. Hadiah yang diterima Osman daripada Wardina Amni berupa mugseramik yang bertulis, I love papa. Mug itu masih disimpan baik di dalam almari hiasan di tengah rumah.

Osman meneruskan bacaan. Matanya yang pedih dan kantuk tadi segar-bugar. Terhibur dia seketika. Dia meneruskan bacaan demi bacaan. Catatan ini benar-benar menarik perhatiannya.

***

Hari ini dalam kelas cikgu mahu semua murid bercerita tentang cita-cita dan impian. Semua orang punya impian untuk menjadi orang yang berjaya. Ada yang mahu menjadi doktor, peguam, jururawat, juruterbang, guru, askar dan macam-macam lagi. Dina pun mula berkongsi cerita dengan cikgu dan kawan-kawan untuk menjadi seorang pembaca berita.

Siapa pembaca berita yang paling awak minat? Cikgu tanya. Dina jawab, mestilah Wan Zaleha Radzi. Tapi ada satu hal yang Dina tak bagi tahu cikgu. Dina nak jadi seorang pe­nulis buku kanak-kanak dan novel remaja. Hahaha... berangan aje Dina tu, kan? Sebab tulah Dina tak cerita kat cikgu dan kawan-kawan, Dina takut dia orang ejek Dina.

“Oh, nak jadi pembaca berita. Lepas tu ada angan-angan nak tulis buku kanak-kanak dan novel remaja,” komen Osman sambil sesekali menatap wajah Wardina Amni sebelum meneruskan bacaan. Buku nota yang berhalaman 365 muka surat itu hampir separuh sudah dibacanya.

***

Dina tidak tahu kenapa dengan tiba-tiba saja hari ni emak marah-marah. Emak nampak tension aje. Mulut mak tak habis membebel semasa kami makan bersama tadi. Dina takut sangat dan cepat-cepat habiskan nasi dalam pinggan. Kata emak, jangan sesiapa buat hal kalau tak nak emak marah. Dina tahu, kalau emak mengamuk pasti Dina teruk kena. Dina takut. Abang dan kakak pun takut sangat. Bila mak cakap macam tu, semua orang diam. Mak merenung tajam, macam marahkan Dina. Tapi, Dina tak tahu kenapa. Dina pun takut nak tanya emak. Hari ni, kami semua jadi bisu. Nak masuk dapur minum air masak pun takut. Kalau ayah ada kat rumah kan best!

***

Dina hairan kenapa emak terlalu kerap keluar lewat malam. Tiap-tiap malam mak keluar naik kereta warna putih tu. Dina takut nak tanya ke mana mak pergi. Dina takut kena tengking. Kena sumpah seranah. Cukuplah mak melayan Dina dengan baik sekarang ni. Dina takut kalau nakal-nakal, nanti tak pasal-pasal kena piat. Dina rasa mak dah mula sayang kat Dina sekarang ni, tak macam dulu-dulu. Dulu, Dina tahu yang mak hanya sayangkan abang dan kakak. Walaupun Dina tak tahu kenapa, tapi Dina harap sangat yang mak akan sayangkan Dina macam ayah sayangkan kami semua. Dina sangat sayangkan mak walaupun mak tak pernah pun nak peluk cium Dina macam mak peluk cium kakak dan abang. Mak Dina cantik sangat. Tapi malam ni, mak ke mana? Dina cukup risau keselamat­an emak. Di luar gelap-gelita. Macam-macam orang jahat ada. Ya ALLAH, Ya TUHANku, ENGKAU lindungilah emak. Semoga dia selamat walau di mana saja dia berada. Amin.

***

Tepat pukul 11.15 minit malam. Malam ni, emak keluar lagi. Kereta putih tu, kereta yang sama datang jemput emak. Emak bersolek dan pakai cantik-cantik. Mak makin cantik dengan baju merah tu. Dina tertanya-tanya ke mana mereka pergi. Dina runsing sangat fikirkan hal mak. Dina tak boleh tidur risaukan mak.

***

Sudah banyak hari ayah tak balik-balik. Malam ni, ayah telefon tanya khabar kami. Dina ingat nak beritahu ayah pasal emak, tapi tak berani. Dina rasa mak dengan lelaki tu macam ada hubungan sulit. Hisy, berdosa Dina fikir mak jahat macam ni! Tak mungkin! Tak mungkin! Anak yang baik takkan fikir mak ayahnya jahat. Tapi, Dina tak sanggup tengok mak dan lelaki tu berpegangan tangan! Dan sudah berapa kali mak balik rumah jam tiga, empat pagi.

Osman terpempan membaca coretan anaknya itu. Dia menelan liur, cuba menghadam segala apa yang dibacanya tadi dengan rasa payau dan pahit. Perasaannya berbahang tiba-tiba. Wardina Amni menulis sesuatu yang membuatkan perasaan ingin tahunya makin menggunung.

***

Kenapa ayah tak balik-balik lagi ni? Hari-hari Dina tunggu ayah balik. Ayah tahu tak, Dina takut sangat dengan mak. Sakit telinga Dina ni bila hari-hari kena piat dengan mak. Mak cakap Dina macam-macam. Macam besar sangat kesalahan Dina. Dina hanya tanya mak, bila ayah nak balik pun, mak maki hamun Dina. Mak memang tak sayangkan Dina. Memang, bukan hari ni sejak dulu lagi mak memang tak pernah sayangkan Dina. Sayang mak pada Dina hanya depan ayah. Depan abang, kakak dan Mak Cik Kiah. Mak tak tahu betapa Dina sayang sangat kat mak. Boleh tak mak sayang Dina macam mak sayangkan abang dan kakak?

***

Hari ni, Dina sedih sangat. Sebab hal semalam, mak langsung tak ajak Dina makan nasi. Laparnya Tuhan saja Yang Tahu. Dahlah pagi tadi cuma minum air masak aje. Mak pun tak bagi duit belanja. Mak seperti sengaja tak bagi Dina duit belanja. Tak macam kakak dan abang.

Mak lupa atau buat-buat lupa? Masa nak pergi sekolah tadi pun, mak langsung tak endahkan tangan Dina yang nak salam dengan mak. Macam ni, ke kalau mak dah tak sayangkan anaknya? Kat sekolah pun Dina makan roti aje. Nasiblah ada kawan baik macam Akif. Akif pinjamkan Dina duit untuk beli roti. Terima kasih, Akif.

Dina janji esok Dina akan bayar duit Akif. Dina ada tabung. Kejap lagi Dina akan keluarkan duit untuk bayar duit Akif dan untuk belanja hari esok. Tak apalah, mungkin ini adalah cara mak nak denda Dina supaya Dina jadi anak yang baik.

***

Dina rasa Dina ada buat salah yang Dina tak tahu. Dina nak saja tanya pada kakak dan abang kut-kut mak ada cakap sesuatu pasal Dina. Tapi, kakak dan abang nampaknya tak mahu kawan dengan Dina dah. Masing-masing seperti tak suka dengan Dina. Kakak pun Dina nampak masam aje. Tension memanjang. Abang pun macam tu. Tak tahulah sama ada kakak dan abang marahkan Dina atau dia orang pun turut sama kena marah dengan mak. Dina cuba nak bercakap dengan Mak Cik Kiah yang nampak sibuk menyapu di laman rumah, tapi isyarat Mak Cik Kiah yang suruh Dina masuk membuatkan Dina makin jadi tak tentu arah. Mungkin Mak Cik Kiah pun takutkan mak sebab Dina pernah nampak beberapa kali yang dia pernah ditengking mak. Ya Allah, Dina tak sukalah suasana macam ni!

***

Malam ni, Dina penat sangat. Tak sedar bila masa tertidur lepas solat maghrib tadi. Masa bangun tadi pun, kain sembahyang masih melilit kat badan. Kalau ayah ada, bolehlah kita sekeluarga jemaah bersama-sama. Dina rindu nak bersolat dengan ayah. Dina masih ingat pesan ayah supaya jangan tinggal solat. Ni pun Dina baru sudah sembahyang isyak. Dah pukul 12.00 malam. Kakak pun dah terbongkang. Rumah pun dah sunyi sepi.

Perut Dina ni lapar sangat, berkeriut-keriut bu­nyinya. Dari tengah hari balik sekolah, Dina makan sikit aje. Dina sedih sebab semua orang tak pelawa Dina makan. Dina buat muka selamba ambil pinggan dan bubuh nasi. Tapi Dina tahu, gaya mak pandang Dina, mak memang tak senang Dina ada kat situ. Abang dan kakak pun sama. Masing-masing berborak tetapi langsung tak pedulikan cakap-cakap Dina. Kenapa ya? Apa salah Dina? Puas Dina fikir kut-kut Dina ada buat mak marah atau kecik hati.

Aduh, perut Dina memang lapar sangat ni! Dina nak kena makan sikit. Ada kerja sekolah yang Dina kena siapkan. Jadual pun tak tukar lagi. Dina kena pergi dapur, ambil makanan, tapi Dina betul-betul takut. Buatnya mak jerkah Dina macam mana?

Fuh, selamat! Rupanya mak dah keluar. Dina dah intai bilik mak tadi, kosong. Ni, Dina tengah makan biskut buat alas perut. Kejap lagi Dina kena cepat-cepat siapkan kerja sekolah. Sebelum mak balik, semua kena siap. Kalau mak te­ngok lampu bilik ni terpasang, mati Dina. Mesti mak fikir Dina mengintai perlakuan ***** mak!

***

Dina marah sangat bila tengok lelaki tu berani-berani pegang tangan mak. Mak pulak bukan main lagi gembira. Dina tak tahu kenapa mak tergamak buat semua ni pada ayah. Dina takut ayah marah dan sedih tengok mak macam ni. Dina tak mahu keluarga Dina porak-peranda macam keluarga Akif. Dahlah Akif anak tunggal, mak ayahnya pula bercerai.

Kata Akif, ayah ceraikan maknya sebab kata ayahnya mak Akif perempuan jahat. Tinggallah Akif dengan datuk dan neneknya. Adakah mak Dina pun jahat macam mak Akif? Inikah jahat yang ayah Akif maksudkan? Kalau mak dan ayah bercerai, macam mana? Dina nak duduk dengan siapa? Abang dan kakak? Tidak, Dina tak sanggup tengok mak ayah bercerai!

“Hai bang, buat apa tu?” Satu suara kedengaran menerobos masuk ke cuping telinga Osman.

Osman tersentak. Suriyana tercegat di muka pintu dengan wajah yang masih mengantuk.

“Suri? Tak tidur lagi ke?” Osman menyapa mesra. Dia berlagak selamba meskipun tubuhnya menggeletar hebat membaca luahan perasaan anak gadisnya tadi.

Mengenangkan setiap baris perkataan yang terungkap di sebalik bauran emosi Wardina Amni, hatinya turut luluh. Betapa Wardina Amni sedang berperang hebat dengan emosi sendiri. Anak kecil itu berdepan dengan tekanan yang bukan sedikit. Wardina Amni terpaksa berdepan dengan layanan hambar ibunya. Perkataan perempuan jahat yang dimaksudkan Wardina Amni tadi cukup membuatkan darah Osman tersirap.

Antara percaya dengan tidak, Osman terpaksa meletakkan dirinya di persimpangan hakikat. Segala apa yang ditulis Wardina Amni tak mungkin satu rekaan. Tak mungkin anak kecil itu sedang mengarang cerita, semata-mata mahu memburukkan ibu sendiri meskipun dia punya impian untuk menjadi seorang penulis.

Tak mungkin anak yang bersopan dan lembut berbicara itu pandai menipu. Kalau dia nak menipu, kepada siapa? Sedangkan buku nota ini adalah luahan perasaannya. Malah, nampaknya buku nota ini sengaja disoroknya di bawah bantal, di tepi dinding.

Ya ALLAH... berikan aku kekuatan untuk berdepan dengan semua ini. Andai kata Wardina Amni di pihak yang benar, selama ini ternyata Suriyana memperbodohkannya. Isterinya itu sudah berani-berani berlaku curang kepadanya. Apakah selama ini memang ternyata dia lelaki dungu hanya kerana termakan pujuk rayu isteri? Hanya kerana buta dengan kasih sayang dan cinta isterinya yang penuh kepura-puraan. Apakah cakap-cakap orang tentang Suriyana benar belaka, bukannya fitnah? Apakah Mahmud dan Ainon juga tidak beromong kosong?

“Eh, abang ni... kita tanya dia boleh termenung pulak!” Suriyana bertanya lagi sambil menapak ke dalam bilik.

Menyedari keadaan itu, Osman segera menyorokkan buku nota Wardina Amni di bawah bantal peluk anaknya. Mujurlah kedudukan Osman ketika itu sedang membelakangi tubuh isterinya.

“Abang saja datang jenguk anak-anak. Say good night kat dia orang.” Osman bangun dari birai katil dan mendapatkan isterinya.

“Jomlah, kita tidur. Abang pun mengantuk sangat dah ni,” ajak Osman sambil mematikan suis lampu bilik tidur anak-anaknya. Mereka pun berlalu ke kamar tidur.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.