Home Novel Keluarga Dia Yang Mengerti
Bab 3

3

"SURI! SURI! Abang balik ni,” laung Osman dari muka pintu bilik.


Suriyana bingkas bangun. Matanya yang terpisat-pisat ditenyeh beberapa kali.

“Eh, abang dah sampai?!” Suriyana bersuara penuh teruja.

“Suri apa khabar?” soal Osman seraya menghadiahkan ciuman bertalu-talu ke pipi isterinya.

Suriyana tersenyum manis dengan kemesraan suaminya. Mereka berdakapan erat, menzahirkan perasaan rindu yang menggunung meskipun hanya seminggu mereka berpisah.

Really miss you, sayang.” Wajah Osman nampak berseri-seri meluahkan kalimah keramat itu.

“Kalau rindu, kenapa langsung tak telefon?” ungkit Suriyana berwajah serius. Pelukan Osman di tubuhnya sengaja dileraikan.

“Alalala… abang sibuk sikitlah, sayang.” Osman cuba memeluk Suriyana lagi, memujuk rajuk isterinya.

“Takkanlah seminit pun tak sempat? Kalau borak-borak, minum kopi dengan klien, lelaki perempuan, berjam-jam boleh pulak!” Suara Suriyana kedengaran menyindir.

“Maaf, sayang. Abang betul-betul sibuk. Memang abang ada call rumah beberapa kali, tapi langsung tak berangkat. Suri ke mana?” soal Osman, membela dirinya.

“Bila abang call?” soal Suri mencebik.

“Beberapa malam selepas abang di sana. Pernah juga abang call waktu siang, pun tak berangkat,” balas Osman.

“Yalah tu…”

“Betullah, sayang.”

“Habis, kenapa balik ni tak call dulu?”

“Abang sajalah, nak bagi kejutan kat Suri!”

“Banyaklah abang...” Osman tergelak melihat wajah Suriyana mencemik begitu. Dia mencubit manja pipi isterinya. “Sayang sihat ke ni? Abang tengok sayang pucat semacam aje ni?”

“Sihat ke, tak sihat ke, tak ada orang pun nak ambik tahu.” Suara Suriyana kedengaran kecewa. Dia bangun ke bilik air dan membasuh mukanya di situ.

Osman memuncungkan mulut melihat rajuk isterinya. Gurauannya tak menjadi.

“Ayah!” jerit Mardiah Amna dari atas katil menyedari Osman di situ. Dia melompat dari atas katilnya ke atas katil Osman.

“Wah, dahsyat anak ayah melompat, macam kanggaru!” Osman memeluk tubuh Mardiah Amna. Mereka sama-sama berbaring sebelum Mardiah Amna duduk di perut ayahnya.

“Kanggaru! Kanggaru!” ulang Mardiah Amna sambil duduk bangun di atas perut Osman.

“Aduh! Aduh! Aduh!” Osman berpura-pura mengaduh, melayan gurauan manja anaknya.

“Hahahaha… ayah kanggaru! Ayah kanggaru!” Mardiah Amna tergelak lagi. Jari-jemarinya yang halus meraba-raba muka Osman.

Sesekali Osman menjerit kegelian apabila Mardiah Amna cuba mengorek mata dan lubang hidungnya.

Gurauan Osman dan Mardiah Amna telah mengejutkan lena Faizul Ikhwan. Faizul Ikhwan bingkas merangkak mendapatkan tubuh Osman dan Mardiah Amna. Dengan manja, Faizul Ikhwan melentokkan tubuhnya ke bahu Osman. Osman mengusap-ngusap kepala Faizul Ikhwan yang masih pasif, mungkin masih mengantuk.

“Zul, sini! Sini!” ajak Mardiah Amna menyertainya, duduk di perut Osman. Faizul Ikhwan masih buat endah tak endah.

“Kenapa anak ayah ni? Mengantuk lagi?” soal Osman sambil mengangkat tubuh Faizul Ikhwan tinggi, dekat dengan mukanya.

“Eh, Zul ni kenapa Suri?” soal Osman menyedari ada sesuatu yang tak kena dengan muka anaknya itu. Ada kesan parut di dahi dan hidungnya.

“Adik jatuh, kat situ.” Mardiah Amna yang mula petah bercakap, bercerita. Tangannya dituding ke muka pintu.

“Lah... sakit tak?” tanya Osman kepada Faizul Ikhwan.

“Akit... kat sini,” jawab Faizul Ikhwan pelat sambil meletakkan tangannya ke dahi.

“Suri tak cerita pun kat abang pasal Zul?” Osman bertanya Suriyana sebaik saja isterinya itu melabuhkan punggung di birai katil.

Suriyana masih memegang tuala kecil yang digunakan untuk mengesat mukanya. “Nak telefon macam mana? Bukannya Suri tahu pun abang menginap kat hotel mana. Nombor telefon hotel berapa? Kalau abang tahu pun, takkan abang nak balik dari Terengganu semata-mata nak bawa Si Zul ni ke klinik?”

“Sekurang-kurangnya abang diberitahu…”

“Telefon pun tak sempat nak tanya itu ini, terus letak. Lepas tu, hmm… langsung tak telefon lagi. Sekarang, abang nak pertikaikan pulak kenapa abang tak diberitahu?” Suriyana meluahkan perasaannya. Dia bangun dan keluar dari kamar tidur itu.

“Suri, abang minta maaf ya? Abang tak sengaja nak buat Suri rasa terabai. Abang mengaku sibuk dan balik hotel terus terlelap. Memang abang ada call beberapa kali, tapi tak berangkat.”

“Alasan!” Suriyana yang sibuk menjerang air di dapur itu sudah menunjukkan buah-buah merajuk.

“Sayang, kenapa serius sangat ni? Abang mintak maaf...”

“Yalah, Suri dan anak-anak ni bukanlah penting sangat pun kalau nak dibandingkan bisnes abang dan klien abang tu, kan?” bidas Suriyana, namun nada suaranya masih mendatar.

“Siapa cakap Suri dan anak-anak tak penting bagi abang? Suri dan anak-anak adalah kehidupan abang hari ni. Abang gesa-gesa balik ni sebab abang asyik teringatkan Suri. Kalau ikutkan, minggu depan baru abang balik.”

“Bukan sebab mak yang suruh abang balik?” tebak Suriyana.

Osman terdiam dengan kata-kata isterinya itu. Memang Juriah yang memintanya balik dengan segera. Kata Juriah, tangguhkan saja sebarang aktiviti di Terengganu sementara diganti dengan pekerja lain yang akan dihantar ke sana menggantikan Osman. Kata Juriah lagi, Suriyana dan anak-anak lebih memerlukannya. Itulah antara butir bicara sewaktu Osman menelefon emaknya semalam. Nada suara Juriah berbunyi arahan dan gesaan, namun Juriah tidak memperincikan sebab musibabnya.

“Kalau mak tak suruh abang balik pun, memang abang nak balik. Abang dah rindu sangat kat Suri. Kalau tak kerana kerja, tak adanya abang nak tinggalkan Suri dan anak-anak,” pujuk Osman sambil memeluk manja belakang Suriyana.

“Abang memang. Alasan abang, kerja! Kerja! Kerja!”

“Sayang, kalau abang tak kerja macam mana? Abang bekerja demi keluarga, demi Suri, demi…”

“Habis, abang ada buat apa-apa tak belakang Suri?” tanya Suriyana berwajah serius. Teringatkan dialog mesra antara Osman dan wanita itu, perasaannya tiba-tiba beremosi. Fikirannya mula berkecamuk.

“Buat apa-apa tu, apa?” Wajah Osman pula serius. Tak faham dengan soalan Suriyana.

“Allah Maha Tahu, abang!” Suara Suriyana kedengaran keras menekan.

Osman terdiam sejeda, cuba memahami maksud yang ingin disampaikan isterinya.

“Abang, jangan berani-berani kecewakan Suri. Nanti abang yang kecewa!” Suriyana beramaran keras, menahan marah.

“Apa maksud, Suri?!”

Suriyana mendengus kasar. Persoalan suaminya itu membuatkan wajahnya yang bertukar masam mencuka.

“Oh… abang tahu. Apa, Suri ingat abang lupa ya?” kata Osman lalu berlari ke tengah rumah. Osman mengheret dua buah beg dan kembali ke ruang dapur itu. Sebuah beg berisi pakaian diletaknya dekat mesin basuh. Sebuah beg lagi diangkat dan diletak di atas meja makan.

Mardiah Amna yang sedang mengayuh basikal di tengah rumah, mengayuh basikalnya ke ruang dapur melihat gaya Osman berlari dengan membawa beg. Faizul Ikhwan yang sedang menunggang kuda beroda, turut ke dapur.

“Suri, tengok apa yang abang bawa balik ni,” kata Osman dengan wajah teruja.

Suriyana yang masih bersandar di singki, berkerut dahi. Dia mengetap bibir geram apabila Osman seperti tidak pernah mengerti apa yang dia maksudkan. Apa yang sedang bermain-main di benaknya tika ini.

“Diah, Zul, sini!” panggil Osman.

Kedua-dua anaknya itu akur dengan panggilan si ayah. Osman mendudukkan Faizul Ikhwan di kerusi, dekat dengan kerusinya. Mardiah Amna menarik kerusi dan duduk di sebelah adiknya.

“Jeng! Jeng!” kata Osman sambil menarik zip beg pakaian.

Kala mulut beg itu ternganga, Osman mengeluarkan plastik yang mana di dalamnya mengandungi beberapa bungkusan berbalut surat khabar.

“Suri, nah! This is special for you. Abang ajak orang carikan tempat keropok lekor yang paling best di sana. Abang tak lupalah… pesanan Suri. Takkan abang nak kecewakan Suri pulak. Abang dah test rasanya, memang sedap!” Osman bercerita dengan nada teruja.

Mendengar perkataan keropok lekor, Suriyana menapak mendekati Osman dan anak-anak.

“Yeay, nak kepok, nak kepok!” kata Mardiah Amna sambil menepuk tangan.

“Nak kepok! Nak kepok!” Faizul Ikhwan mengikut gaya kakaknya. Dia juga bertepuk tangan keterujaan.

Melihat wajah kegembiraan anak-anak, hati Suriyana yang mahu berkeras dengan Osman, kini mencair. Rasa marahnya mendadak turun.

“Nanti mak gorengkan, ya?” Suriyana bersuara melihat keterujaan anak-anak.

Osman kemudian mengeluarkan beberapa bungkus beg plastik mengandungi keropok keping. Beberapa bungkus plastik mengandungi botol pencicah yang dibalut kemas dengan kertas surat khabar. Osman juga turut mengeluarkan beberapa beg plastik daripada material yang berbeza. Kali ini, beg plastik itu mengandungi hadiah.

“Yang pertama, hadiah untuk mak!” kata Osman kepada Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan sambil menghulurkan kotak hadiah kepada Suriyana.

“Nah, sayang... hadiah tak seberapa daripada abang. Untuk Suri, ratu hatiku…” Osman mengatur ayat sebelum mengucup dahi Suriyana.

Suriyana terharu. “Terima kasih, abang,” ucapnya sambil membelek-belek hadiah itu. “Boleh buka ke ni, bang?” tanya Suriyana meskipun jari-jemarinya sudah lincah menanggalkan pembalut hadiah itu.

“Bukalah...” kata Osman sesekali menjeling manja ke wajah Suriyana. Dia sudah tidak sabar melihat reaksi isterinya. Terujakah Suri dengan pilihannya? Atau apakah pemberian kali ini tidak kena dengan citarasa isterinya?

“Untuk Diah, ayah?” soal Mardiah Amna tak sabar.

“Untuk Zul, ayah?” tanya Faizul Ikhwan pelat. Masing-masing nampak tidak sabar.

“Alamak, untuk Diah dan Zul, ayah lupalah!” usik Osman dengan muka pura-pura bersalah.

“Tu! Tu!” kata Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan sambil menunjukkan dua bungkus hadiah di atas meja. Masing-masing sudah melompat-lompat kegembiraan.

“Yalah, yalah. Tapi, jangan melompat-lompat macam ni. Bahaya, tengok dahi Zul tu.” Osman memberi peringatan. Anak-anak akur dengan kata-kata Osman dan menjaga tertib.

“Ni untuk Diah. Ni pulak untuk Zul!” Osman menghulurkan hadiah kepada anak-anaknya.

“Terima kasih, ayah.” Serentak mereka bersuara dan turun dari kerusi. Di lantai dapur, Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna berlumba membuka hadiah masing-masing.

“Wow, cantiknya!” Suara Suriyana kedengaran teruja di cuping telinga Osman.

“Suri suka, bang. Thank you,” kata Suriyana sambil mencium pipi suaminya, tanda terima kasih. Suriyana terus berlalu ke dalam bilik dan mengenakan kain pasang sutera itu ke tubuhnya.

“Yeay!” Mardiah Amna menjerit kegembiraan. Sepasang baju berwarna pink merah, berlengan pendek dan berseluar panjang itu diacu ke badannya. Dia seronok melihat gambar dua ekor penyu berenang, di bahagian dada baju itu.

“Yeay! Yeay! Cantiknya!” Mardiah Amna menjerit lagi sambil terlompat-lompat.

“Nak! Nak!” kata Faizul Ikhwan cuba merampas baju daripada tangan kakaknya.

“Tu, adik punya! Kenapa nak yang kakak pulak?” kata Mardiah Amna sambil menuding jari ke kotak hadiah Faizul Ikhwan.

“Nak... Nak...” Faizul Ikhwan masih berdegil, berusaha mahu merampas baju itu daripada kakaknya. Sehabis daya baju itu tidak berjaya dirampas, Faizul Ikhwan akhirnya menjerit nyaring. Dia menangis berguling-guling.

“Alahai, kesiannya dia! Meh, duduk kat ayah. Ayah tolong buka hadiah Zul ya?” pujuk Osman sambil mengangkat dan mendakap tubuh Faizul Ikhwan. Pembalut kotak hadiah Faizul Ikhwan dibukanya. Sebaik saja kotak hadiah itu dibuka, Faizul Ikhwan menjerit riang.

Kala Osman mengunjukkan sepasang baju berlengan dan berseluar pendek berwarna biru, dengan gambar dua ekor penyu sedang berenang itu, Faizul Ikhwan melompat-lompat.

“Yeay! Yeay!” Faizul Ikhwan menjerit-jerit sambil menunjuk-nunjuk bajunya kepada MardiahAmna.

“Nak pakai ayah, boleh?” tanya Mardiah Amna kepada Osman.

“Isyyy mana boleh! Pergi mandi dulu. Nanti baju tu berbau busuk sebab Diah belum mandi!” Suriyana yang hadir di situ menjawab pertanyaan Mardiah Amna.

“Zul, mak?”

“Zul pun sama. Selagi tak mandi, selagi tu tak dibenarkan pakai baju baru,” tegas Suriyana lagi.

“Yalah..” Mardiah Amna mengangguk faham.

“Hah… tulah, siapa suruh tak mandi? Meh, ayah mandikan Zul dan Diah.”

“Abang dan anak-anak mandilah dulu. Suri nak goreng keropok lekor. Lepas ni, kita sarapan sama-sama.”

“Orait, sayang,” balas Osman mengejar langkah anak-anak yang sudah berlari keriangan.

Suriyana menarik nafas lega. Hatinya disapa bahagia.



“WAH, sedap sungguh keropok ni!” puji Suriyana berkali-kali. Keropok lekor itu dikunyah dengan penuh nikmat.

“Memang sedap pun, Suri. Abang beli kat Kampung Losong.” Osman bercerita.

“Tekak Suri ni dah banyak hari nak makan keropok lekor,” adu Suriyana sambil mencicah keropok lekor dengan pencicah.

“Keropok ikan tamban ni manis, Suri. Sedap,” puji Osman.

“Yalah bang. Sedap sangat! Eh, abang dah tahu ke yang Kak Nah dah bersalin? Dapat anak lelaki,” tanya Suriyana merancakkan perbualan mereka.

“Tahu sayang. Kebetulan abang telefon pejabat, mak beritahu.”

“Oh… mak beritahu yang Kak Nah dapat anak? Lain-lain hal ada mak beritahu?” tanya Suriyana.

“Lain-lain hal tak adalah pulak. Kenapa Suri?”

“Hmm… tak ada apalah. Saja Suri tanya.”

Tiba-tiba, Suriyana bangun dan berlari ke bilik air, di bahagian dapur itu. Uwek! Uwek! Uwek! Suriyana muntah lagi. Seperti semalam dan kelmarin.

Osman mendapatkan isterinya. Belakang leher Suriyana dipicit-picitnya. Belakang tubuh Suriyana diurut-urutnya tenang.

“Kenapa sayang? Suri kenapa?” tanya Osman panik melihat keadaan isterinya.

Suriyana tidak mampu menjawab. Dia keletihan menahan keadaan dirinya itu. Selepas berkumur dan mencuci muka, dia berjalan lemah ke bilik. Osman membantu memberi sokongan, memapah tubuh Suriyana yang lembik.

“Baring, sayang. Muka Suri pucat. Suri tak sihat ya?” tanya Osman dengan penuh makna. Diusap rambut Suriyana lembut.

“Semalam, mak pun uwek, uwek!” Mardiah Amna bercerita. Di tangannya masih ada sebatang keropok lekor.

“Hmm…hmm...” Faizul Ikhwan turut mengangguk akan kata-kata kakaknya.

“Dah banyak hari sayang tak sihat?” tanya Osman seraya mengucup dahi isterinya. Rasa kasihan menjalari ke segenap urat sarafnya.

Suriyana hanya mengangguk lesu.

“Maafkan abang, sayang. Abang tak tahu Suri tak sihat.” ‘Patutlah emak suruh aku balik cepat. Memang benar Suri tak sihat dan dia memerlukan aku saat ini. Tapi, Suri kenapa? Apa dah jadi dengan dia?’

“Abang, Suri sebenarnya…”

“Suri mengandung lagi ke? Diah dengan Zul nak dapat adik ke?” Osman menebak. Kornea matanya merenung tepat ke wajah Suriyana.

Suriyana menelan liur pahit di tekak. Melihat wajah Osman yang ceria itu, dia menarik nafas berat.

“Betul ke tekaan abang, Suri?” tanya Osman lagi.

Suriyana mengangguk perlahan.

“Yeay!” Osman mengangkat tubuh Faizul Ikhwan tinggi-tinggi. Dia kegembiraan mendengar khabar itu.

“Zul dah nak jadi abang. Diah nak dapat adik lagi. Suka tak? Kita nak dapat baby. Dalam perut mak ada baby,” kata Osman sambil meletakkan tubuh Faizul Ikhwan di birai katil, di sisi isterinya. Osman melentukkan kepalanya ke perut Suriyana.

“Abang tak dengar apa-apa pun kat perut Suri? Betul ke ni? Baby, baby... baby dengar tak suara ayah?” tanya Osman sambil menepuk-nepuk lembut perut Suriyana.

Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan tergelak melihat gaya ayah mereka.

“Tidur gamaknya baby kecik!” beritahu Osman kepada Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna.

“Abang, sebenarnya Suri tak bersedia nak mengandung lagi!” Nada suara Suriyana kedengaran tegas.

Osman terpempan dengan kata-kata Suriyana itu. Dia cuba mengamati kebenaran kata-kata isterinya yang cuba dizahirkan di sebalik raut wajahnya yang mencuka.

“Diah, ajak adik main basikal kat luar ya. Ayah nak picit kepala mak,” kata Osman meminta anak-anaknya keluar dari bilik itu. Mardiah Amna mengangguk Faham. Dia keluar dari bilik itu dan mendapatkan basikalnya. Faizul Ikhwan turut membuntuti kakaknya.

“Abang, Suri penatlah! Suri penat. Abang tahu tak? Dah berapa hari Suri terbaring, asyik muntah-muntah macam ni? Suri rasa penat sangat, penat! Suri tak sanggup dah nak mengandung lagi. Suri dah tak mahu nak lalui semua ini. Anak dalam perut Suri ni membuatkan Suri benar-benar rasa terbeban.”

“Astaghfirullahalazim… jangan macam ni, sayang. Sabar ya?” pujuk Osman.

“Sabar? Memanglah Suri dah sabar. Suri sabar layan Diah dengan Zul dalam keadaan Suri macam ni. Walaupun tak sihat, siapa lagi Suri nak harapkan? Abang? Yang mengandungkan anak ni, Suri. Bukannya abang. Abang takkan faham segala susah payah, sakit pening Suri. Abang sibuk ke hulu ke hilir dengan urusan kerja abang. Abang serahkan semua hal anak-anak kepada Suri. Sakit, demam, pening, muntah Suri langsung abang tak ambik kisah, kan? Langsung tak tanya khabar Suri dan anak-anak. Cukuplah abang, cukup! Suri dah terlalu penat nak lalui semua ni.”

“Habis? Apa yang Suri nak lakukan?” tanya Osman tak percaya dengan luahan isterinya.

“Suri tak mahu anak ni. Suri tak mahu! Suri akan gugurkan anak ni!”

“Bawa mengucap, Suri... takkan sampai nak gugurkan? Kita ikhtiar cara lain ya, pulihkan alahan Suri. Zuriat ni anak kita yang suci. Abang tak sampai hati, Suri. Abang tak tergamak. Berdosa Suri gugurkan anak tu!”

“Anak ni baru berusia dua bulan, bang. Tak ditiupkan roh lagi. Tak berdosa pun kalau kita gugurkan saja.”

“Astaghfirullahalazim... Suri, abang mohon... jangan difikirkan hal yang bukan-bukan! Allahmungkin bagi alahan sedikit ni sebab dia nak anugerahkan seorang anak yang terlalu tinggi nilainya buat kita.”

“Suri tak rasa alahan ni sikit, bang. Suri tak larat nak tanggung sakit demam lagi! Hari ni mungkin muntah-muntah, esok lusa kejang kaki, darah tinggi, macam-macam sampai badan Suri dah rasa letih sangat. Suri tak mahu, bang. Suri tak mahu anak ni! Anak ni benar-benar menyusahkan Suri!” Suara Suriyana semakin meninggi membuatkan Osman terduduk di katil. Seketika masing-masing terdiam.

“Kita ambik pembantu rumah. Sekurang-kurangnya ada orang yang tengokkan Suri dan anak-anak kalau abang keluar. Suri tak payah buat kerja rumah dah!”

“Suri kata tak nak, tak naklah. Pembantu rumah tak ada kena-mengena dengan anak yang Suri kandung ni. Suri tetap rasa dia membebankan! Dah, jangan pujuk Suri lagi!”

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.