Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 38

‘Pedepak pedepak pedepup pedepak! Kokkk!!!’ Bunyi ayam berlaga disusuli jeritan kuat boleh didengari sampai ke atas rumah. Safi yang sedang menyapu segera berlari ke muka pintu untuk mencari di mana semua, ayam dan Bodok terutamanya.

“Bodok! Bodok!” pekiknya memberi isyarat, namun Bodok si penyibuk takkan dapat menahan dirinya daripada menjadi pengadil yang adil di dalam pertandingan.

“Auk auk aukkk! Arghh….auk auk!!!” sergahnya pada ayam jantan yang masih mahu beradu kekuatan, tak lama sebelum mereka akhirnya diterpa.

“Bodok!!!” teriak Safi yang tak puas hati. Benci! Memarahi ayam yang tak mahu berhenti, juga marahkan Bodok yang tak sedar diri.

 

“Aauuuu…aauuuu…aauuuu…” desir Belang, kucing jantan muda, bergema dan mampu mengejutkan sesiapa yang mendengarnya.

“Rau rau rau rau rau!!!” teriak kedua-dua pencabar cinta si betina, mahu mempamerkan kuasa. Safi yang kebetulan baru balik memunggah air di sungai segera berlari untuk meleraikan. Basah kaki kainnya kerana terkejut saat menyaksikan kedua-dua kucingnya itu sedang bergelut. Sambil berlari dia mencari di mana kedudukan Bodok sebelum matanya bulat tadkala terpandangkan susuk Bodok yang sudah datang menerpa sepantas kilat ke arah keduanya.

“Bodok!!!” jerit Safi memarahi, namun itu tak mampu untuk membuatkan Bodok si degil daripada berhenti.

“Tak guna punya Bodok! Kau tu anjing! Bukan kucing!” jerkahnya setelah sedar dia perlu menambah kerja, tapi Bodok kekal menunjukkan giginya.

“Arghhhh…” kulumnya, kekal tak mahu berhenti, sambil menanti tindakan Belang dan Hitam. Kalau bergaduh lagi…dia akan terkam.

“Aaauuu…aaauuuu…” desir kedua-dua pencinta, belum puas selagi belum ada yang mengundurkan diri.

“Arghhh…auk! Auk! Auk! Auk,auk,auk!!!” sampuk Bodok pula, kekal ‘menasihati’ kedua-duanya.

“Dah Bodok! Dah!”

“Kan orang dah kata dah! Dahlah!” jerit Safi masih mahu meleraikan semua.

“Ok, takpa!”

“Ina! Ina!” jerit Safi minta bantuan daripada yang lain.

“Ha? Kenapa?” balas Man yang lebih dahulu menjulurkan kepala di jenang tingkap.

“Man! Cepat tutup pintu! Tutup pintu depan dengan pintu belakang sekali!” gesanya sebelum berlari dah tak sanggup menunggu lama lagi, bimbang ada yang bakal digigit Bodok nanti. Mendengar arahan Safi, Man segera berlari.

“Kalian nak sangat kan! Ha! Mandilah kalian pagi-pagi buta ni!” gerutu Safi sambil bergegas mendapatkan air sebaldi.

“Nah! Rasakan!” tuturnya sebelum membuat jirusan. Natijahnya, semua lari bertempiaran.

“Ha, itu yang kalian nak sangat kan?!” tuturnya lagi sambil tercungap-cungap sendiri.

“Hikhikhik...padan muka Bodok…” ucap Man yang sudah datang semula menjengok.

“Man, tolong Safi!”

“Tolong Safi tangkap Belang dengan Hitam tu!”

“Eeee…malaslahhhh…” balas Man sambil menggaru-garu kepala.

“Dah? Man ingat yang Safi ni rajin sangat ke? Cepat turun tolong Safi!”

“Man tangkap Belang yang lari dekat atas bukit belakang tu, lepastu kurung dalam bakul ni. Kita kena samak dua-dua tu dulu. Nanti kalau dah naik atas rumah, lagi banyak kerja kita.” arah Safi sambil mula menghendap kedudukan Hitam pula.

“Hish! Ini semua Bodok punya pasal!!!” gerutunya semula berteman rasa sakit hati. Bodok yang masih tercegat segera tertunduk sebelum menyembunyikan diri ke dalam tong tempat dia berehat. Sambil-sambil itu sempat juga dia mengalihkan pandangan, memerhati.

“Apa pandang-pandang?!! Ada hutang?!!” soal Safi yang masih geram dan serentak itu Bodok terus duduk mengeram.

 

Sambil meniarap, mak menikmati kesejukan air sungai yang bersih lagi menyegarkan. Sesekali, abah yang sedang menjala di hujung pelosok jeram dipandang sebelum dia mula menyelamkan kepalanya pula.

“Eeee…sejukkk…” tutur mak, menggeletik menahan. Bodok sedari tadi kekal setia memerhati mak dan abah di tebing pasir yang datar. Melihat ketekunan Bodok, akal nakal mak segera datang. Dalam keadaan terbaring melentang, mak apungkan badan dan biarkan tubuhnya dihanyutkan. Bodok yang masih memerhati segera berlari mengikuti.

“Hihhh! Hihhh! Hihhh!…” tuturnya yang sudah mula cemas, tak percaya pada apa yang sedang dilihat. Mak sudah mula tersenyum, tak menyangka tindakbalas Bodok kekal serupa.

“Hihhh! Hihhh! Hihh!”

“Aukkk! Aukkk! Aukkk!!!” jeritnya sambil berlari melepasi mak dan menanti, kekal berusaha, namun mak dah melepasinya pula. Melihat keadaan itu, Bodok tergesa-gesa berlari mengejar semula. Beberapa kali keadaan sama diulanginya sebelum dia bertindak berani meranduh air sungai, tempat yang paling tak disukainya itu semata-mata untuk mendapatkan mak, tapi langkahannya terhenti ketika air dirasakan sudah mencecah ke paras dada.

“Hihhh…hihhh…hihhh…! Aaauuuu…aaauuuu…” rayunya berulang kali sebelum naik semula ke kawasan yang berpasir dan mengejar-ngejar lagi. Melihat keadaan itu, mak dah mula jatuh kasihan.

“Hah!!!” sergah mak yang sudah mula ketawa. Gembira setelah sedar yang Bodok masih mengambil berat tentangnya.

“Aukkk! Aukkk! Aukkk! Aukkk! Aukkk!!!” balas Bodok yang sudah nampak geram membuatkan mak ketawa lebih besar.

“Aaapaalah Bodok ni…” tutur mak sambil menggeleng-gelengkan kepalanya berteman rasa bangga.

 

Melihat lidah api yang mula berkurang membuatkan Safi segera  menambahkan kayu lagi. Selesai mengisi, dia mula mengipas beberapa kali, supaya api cepat memakan kayu yang baru diletakkan tadi. Selesai di situ dia memerikasa keadaan telur dadar yang terjerang di atas dapur minyak tanah yang ada di sisi sebelum dia mencapai pula tin sardin yang ada di hadapannya. Begitulah aksinya demi menyiapkan tugas sebagai ‘pembantu rumah sementara’ jawatan yang diwarisi daripada kakak-kakaknya.

Kalau boleh, dia mahu selesaikan semuanya serentak, supaya dapatlah dia segera pergi menunaikan solat maghrib seperti yang lain. Sambil menanti sempat juga dia menjenguk jam diding yang tergantung di bilik belakang.

“Hish! Lambat lagilah nampak gayanya sembahyang hari ni…” tuturnya sebelum segera menusukkan hujung pisau runcing pada tin untuk membebaskan ikan yang dah terlalu lama duduk ‘terkepit’.

“Hai la ikan…jadi lauk akulah gamaknya kau malam ni.” tuturnya sambil tersenyum sendiri.

“Ada berapa ekor?” bisiknya lagi sebelum menuntung lalu mengira isinya.

“Nasib baik ada lima. Bolehlah kongsi sorang berdua.” ujarnya setelah meneliti.

“Dah dah! Safi pergi sembahyang. Biar angah yang sambung.” ujar angah yang sudah selesai bersolat.

“Takpalah, sekejap lagi siap la. Dah siap nanti baru Safi pergi sembahyang. Tinggal sikit je lagi ni.” balas Safi sambil menunjukkan gigi. Sekali lagi permukaan telur dadar diangkat untuk diperiksa.

“Pergiii…!” arah angah dah nak naik darah kerana dia paling tak suka bila ada yang membangkangnya.

“Ok ok ok! Safi pergi.”

“Telur tu dah nak siap. Lada untuk sambal sardin tu ada kat dalam lesung lagi. Lepastu kan, tin tu, Safi tak goncang dengan air lagi, nanti…” tutur Safi mahu memberitahu keadaan.

“Dah dah dah! Safi pergi sembahyang! Tahulah angah nanti apa nak dibuat!” tutur angah tegas tak suka ada yang berlambat-lambat dalam urusan untuk mendapatkan rahmat.

“Ok…” balas Safi sambil tersenyum, gembira bila terlihat telinga angah yang dah mula merah.

“Angah, letak air banyak sikit ya. Safi nak makan kuah dia.” pesan Safi semula.

“Hmm, iyalah. Dah dah. Pergi sembahyang.” arah angah sebelum mengambilalih tugas.

 

 “Hari ni biar ateh tolong Safi masak. Kita nak masak apa malam ni? Ikan tu nak buat apa?” soal ateh pada Safi yang sedang menyiang ikan sia. Ikan darat yang abah baru dapat.

“Abah suruh buat gulai masam dengan belimbing buluh tu. Tapi abah kata jangan isi tempoyak.” balas Safi sebelum beralih tempat untuk mencuci. Selesai mencuci dia memasukkan ikan tersebut ke dalam periuk yang telah diperiksa lubangnya, tak mahu tersalah pilih.

“Lada gulainya dah siap ke belum?” soal ateh semula sambil memeriksa.

“Belum.” jawap Safi lalu menggeleng.

“Tak payah isi tempoyak? Tapi, biasanya mak kan isi tempoyak. Dah tu macam mana? Nak isi ke tak?” soal ateh pula ragu-ragu pada resipinya.

“Tak payahlak kot, sebab abah kata tak payah. Kang, kalau abah marah, ha, habislah kita. Kalau mak yang marah, ok lagi.” balas Safi menyatakan buah fikiran.

“Sekejap. Safi tak sembahyang lagi kan? Sekarang dah pukul berapa dah ni? Dah dah! Safi pergilah sembahyang. Biar ateh yang buat semua ni. Biar ateh tolong Safi.” tutur ateh sebelum bertindak mendapatkan cili api dan beberapa butir bawang. Safi rasa bersyukur dan gembira kerana memiliki kakak-kakak yang sangat mengambil berat akan hal-hal akhirat, terutamanya bab solat.

“Masa angah ada…ada tak angah tolong Safi macam ni?” soal ateh, membunuh segala rasa kesyukuran yang dah dipanjatkan.

“Ha?” soal Safi tak percaya.

“Ada angah tolong macam mana ateh tolong Safi?” soal ateh lagi kekal minta dipuji.

“Ada.” balas Safi sepatah berteman hati yang sepi. Ateh yang mendengar mula terkulat-kulat sendiri.

 

“Mak, esok ateh dah nak kena balik. Sebab projek anak angkat tu dah mula lusa.”

“Ateh pergi rumak Kak Rina dulu. Lepastu senanglah sikit nanti, boleh pergi sekali. Kak Rina kata ayah dia akan hantar kami ke universiti.” tutur ateh menceritakan perjalanan yang bakal dilakukan.

“Hmm…iyalah. Tapi abah dah tahu ke belum ateh nak pergi program tu? Ada ateh bagitahu dengan abah?” soal mak dengan rasa kurang selesa. Iyalah, baru beberapa hari di rumah, tak sampai seminggu pun bercuti ateh dah nak bergerak lagi. Lagipun sepengetahuannya, program tersebut bukanlah aktiviti wajib, cuma kerja-kerja amal yang dianjurkan. Boleh memilih untuk turut serta atau mengabaikan.

“Ateh…ateh tak bagitahu dengan abah lagi. Nanti mak tolonglah ateh bagitahu pada abah ya. Ateh takut abah tak kasi.”

“Mak tolong ateh ya…” rayunya minta bantuan daripada mak yang tak pernah berkata tidak.

“Hmm…” balas mak perlahan, masih berusaha untuk merelakan.   

 

“Ateh ateh! Ateh boleh tolong Safi? Tolong tuliskan ayat ni. Dari sini sampai sini, dalam rumi. Safi tak pandai nak baca.” tutur Safi meminta sambil menatang Al-Quran merah abah.

“Mana? Nak tulis yang mana?” ulangnya sebelum memberikan tumpuan padanya.

“Ni, ayat ni, sampai sini. Surah al-baqarah, ayat satu sampai lima. Ustazah suruh hafal. Esok dah kena baca.” jawap Safi, mula tak senang duduk dibuatnya. Dia boleh membaca bahasa, mampu mengira dengan mudahnya, tapi jawi…jawilah yang paling susah sekali. Alif, ba, ta, sa, mudah dinyanyi, namun terlalu sukar untuk difahami terutama bila dah disambungkan, di belakang dan di hadapan.

“Al-quran ni Safi, kalau tak pandai, baik jangan baca, sebab nanti dapat dosa.”

“Kalau nak baca kena ada gurunya. Kalau baca sorang-sorang takut salah, lepastu, ha, habislah. Niat baca nak dapat pahala, alih-alih kumpul dosa. Ustaz ateh yang cakap macam tu. Dia kata kalau nak baca, baca dengan guru. Kalau tak ada guru, baik jangan.” terang ateh memberitahu ilmu. Safi segera mengangguk-anggukkan kepala dan percaya pada apa yang dicerita kerana itu bukan kali pertama ateh mengulanginya. Sejak pertama kali mendengar, dia dah mula rasa takut bila pegang dan buka al-Quran…  

 

“Bangunnn!!!” jerkah satu suara membuatkan Safi segera terjaga daripada lena sambil mengesat-ngesat mata sebelum memandang ke sekelilingnya. Pelik! Tiada sesiapa yang ada di sekitar, dan yang lagi pelik, itu bukanlah kali yang pertama. Berteman rasa berat kepala, dia menuju ke dapur untuk mengambil wuduk dan menjalankan tanggungjawabnya, bila fajar dilihat dah mula mendaki hampir setinggi kepala.

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati