Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 18a

Ateh mengeluarkan set pinggan mangkuk kesayangan mak daripada almari kemudian mengelapnya dengan kain basah sebelum dibawa ke ruang depan untuk dijadikan bekas hidangan sarapan.

“Kita ada berapa? Ateh, Safi, Man dengan Ina, empat kan?” soalnya sebelum menjawap dan dengan berhati-hati pinggan yang sudah selesai dibersihkan itu disusun mengikut jumlah tetamu yang bakal dijamu.

“Safi pergi ambik teko dengan cawan tu sekali, bawak sini.” arahnya pula pada Safi yang masih tercegat sejak tadi.

“Ateh, mak tak marah ke kalau tahu kita guna pinggan mak ni nanti?” soal Man tak menyangka ateh berani menggunakan pinggan mangkuk kesayangan mak itu, sebab dia ingat lagi mak selalu cakap, jangan usik pinggan dia.

“Lepas kita guna kita basuhlah balik. Lepastu simpan semula kat situ, dah tu macam mana mak nak tahu?” balasnya memberikan penyelesaian.

“Melainkan…kalian yang beri tahu!” tambahnya sambil mengangkat jari telunjuk tinggi, menggertak bila perlu.

“Ingat, biar pecah di perut, jangan pecah di mulut!” tegasnya lagi dan serentak dengan itu Safi, Man dan Ina menurut sambil terangguk-angguk tak ubah macam ayam mematuk.

“Dah, pergi tunggu atas tangga! Lepas ateh panggil baru masuk. Ingat! Ketuk pintu, lepastu beri salam dulu.” menerangkan langkah-langkah yang harus diikuti oleh adik-adiknya itu.

“Ok.” jawap adik-adiknya itu serentak, dah tak nak berlengah kerana perut betul-betul dah rasa lapar.

“Tuk, tuk, tuk, assalammualai…”

“Man nanti belum lagi!” tegah Safi, tapi belumpun sempat salam Man habiskan mereka telah dileteri.

“Nanti! Kan ateh tak suruh lagi! Tunggulah dulu, tak siap lagi ni!” marah ateh, masih sibuk menyusun alatan kulinari seperti yang dipelajari dalam kelas ekonomi rumah tangga, subjek kegemarannya.

“Man punya pasal la ni! Kan Safi dah cakap tadi, belum lagi. Tengok, kan dah kena marah!” tutur Safi, dibalas Man dengan jelingan tak puas hati.

“Sampai bila nak tunggu ni? Orang dah lapar tau tak. Eeee…, susahlah dengan ateh ni!” rungut Ina pula, tak menyangka kata-katanya didengari rupa-rupanya.

“Jangan ingat ateh tak dengar apa yang kalian cakap tu! Nak makan ke tak?” soalnya kekal tekun merapikan pinggan.

“Nak!!!” balas adik-adiknya, kelaparan.

“Ha, kalau nak, tunggu!” balasnya kekal tegas sambil meneruskan usaha menyusun dan mengemas, biar nampak cantik dan berkelas.

“Ateh cepatlah…tak nak mainlah macam ni!” bentak Man pula sambil menghentak-hentakkan kaki pada tangga.

“Man, runtuh nanti tangga ni!” marah Safi pula dah mula nak pening kepala.

“Dah dah dah! Dah siap dah! Ingat, ketuk pintu dulu.” balas ateh daripada dalam sebelum bersedia untuk menyambut tetamu.

“Tok tok tok, assalammualaikum… kami datang nak raya.” tutur Safi, Man dan Ina serentak sambil ketawa suka, gembira kerana penantian mereka berakhir juga.

“Waalaikummussalam. Masuk masuk! Sila sila, masuk!” balas ateh berbahasa.

“Safi duduk sini, Man kat sana, Ina kat tengah-tengah.” arah ateh pada semua. Berlaga-laga tubuh adik-adiknya itu mengikut susunan demi untuk menjayakan apa yang ateh inginkan.

“Ok, dah betul dah tu. Sekarang jom kita makan.” tambahnya sebelum menyendukkan nasi goreng berkenaan ke dalam setiap pinggan dengan penuh tertib dan bersopan. Safi, Man dan Ina hanya mampu berpandangan sebelum ketawa, dah tak mampu menahan diri, bila ateh nampak pelik sahaja hari ni. Cepat-cepat tangan ditelangkup pada mulut, takut terbawa-bawa gelaknya.

“Ha ha! Jangan gelak! Kalau gelak kang, bersembur pulak air liur masuk dalam makanan ni!” tegah ateh memberi peringatan, membuatkan yang mendengar terus berusaha untuk menegapkan badan, dah tak mahu dileteri lagi.

“Sekarang dah boleh makan.” arahnya seketika kemudian, memberi kebenaran dan tanpa berlengah, Safi, Man dan Ina yang kelaparan segera menyudukan nasi dipinggan dengan lahapnya, sampai dah berbunyi-bunyi mulut mengunyah, manataknya hari dah pukul 10, biasanya mereka bersarapan sebelum pukul sembilan, haruslah mereka berasa lapar.

“Makan tu boleh tak kalau tak berbunyi! Betul-betul tak ubah macam abah!” tuturnya marah dan serentak dengan itu Safi, Man dan Ina, mengubah bentuk kunyahan menjadi perlahan.

“Ha, macam tulah, kunyah slow-slow, perlahan-perlahan. Makan elok-elok, kalau dah habis mintak tambah.” tambahnya lagi sebelum menyudukan nasi ke mulut sendiri.

“Ateh! Semalam kan, Man nampak Usop hanyutkan sabun mandi lagi. Usop mandi kat belakang batang tu! Air kat situ kan laju, lepastu…”

“Ish, tak payahlah cerita sekarang! Boleh tak kalau tengah makan jangan bercakap! Tersembur-sembur tau tak!” marah ateh lagi sambil membersihkan muka yang menjadi mangsa keadaan, membuatkan Man tertunduk dah tak ada minat nak makan.

“Makan dulu, lepas makan nanti baru cerita kat ateh.” tutur ateh memujuk, sedar yang dia bertindak secara berlebihan, tapi dia hanya mahu menurunkan ilmu yang telah dipelajari tentang adab-adab ketika di meja makan. Nampak macam tak berapa perlu, tapi sebenarnya memang banyak membantu, supaya di masa depan adik-adiknya itu tak rasa malu. Tanpa berlengah, Man terus menyambung suapannya.

 

“Safi, Man, jom teman ateh pergi rumah Kak Lina. Ina tak boleh ikut, sebab jalan tu semak. Ina tunggu rumah tau, nanti kami balik.” tutur ateh sambil merapi-rapikan baju di badan, manakala Safi dan Man terus bergegas mencari baju yang bersesuaian.

“Ina pun nak ikut! Ateh Ina nak ikut! Ina nak ikut!” pintanya berulang kali, tak mahu ditinggalkan bermain sendiri.

“Ateh kata tak boleh, tak bolehlah! Jalan batas parit tu semak, entah kang jumpa ular ke apa ke, susah nanti. Dahlah, jangan degil, Ina kena duduk rumah, tinggal dengan Usop!” arahnya tegas dah tak nak terus berbahas. Ina yang mendengar terus mencebik sedih sambil berusaha menahan tangis.

“Jom jom, cepat! Usop tengok Ina ni! Ateh nak pergi rumah Kak Lina sekejap.” pesannya pula sebelum menuruni tangga.

“Ina tutup pintu tu, nanti ayam masuk!” arahnya sebelum melangkah dan meninggalkan rumah menuju ke pagar kawat besi yang menjadi pagar pemisah diantara tanah mereka dengan tanah Pak Mincun yang ada di sebelah. Berhati-hati kawat duri tersebut diangkat tinggi sebelum dia membongkok dan menyusupkan diri di bawah pagar berkenaan. Safi dan Man cepat-cepat berlari mengikuti.

“Ina…by, by. Padan muka, Ina tak dapat ikut!” tutur Man sambil tersenyum suka hati pada Ina yang tak mendapat kebenaran untuk turut menyertai. Melihat keadaan itu, mulut Ina terus jadi terlopong, sebelum meraung.

“Huahhhhh…” tangisnya tanpa henti membuatkan ateh segera berhenti.

“Ya-Allah, kenapa Man sakat Ina! Tengok! Kan dah menangis!” marah ateh, tak suka dengan keadaan itu.

“Kalau macam tu, Man pun tak payah ikutlah! Tinggal rumah!” tambahnya.

“Taknak taknak! Man nak ikut!” tuturnya sambil mencebik dan menghentak-hentakkan kaki yang tak dialasi.

“Eeee… bising betullah! Kalau nak ikut ateh senyap!” tegasnya sebelum menyambung langkahan kaki meninggalkan Ina yang kekal menangis dengan nada tinggi.

 

Ateh duduk di kepala batas parit sambil berbual-bual dengan Lina, untuk mencurahkan isi hati kerana dia perlukan teman untuk menceritakan apa yang terjadi.

“Lina aku sedih.” tuturnya menyatakan perasaan. Safi dan Man yang ada berdekatan hanya tercegat memerhati.

“Kenapa? Mak dengan ayah kau marah kau ke?” soal Lina pula mahu mengetahui puncanya.

“Tak adalah, cuma kadang-kadang aku rasa tertekan. Aku tertekan setiap kali mak dengan abah aku asyik cerita tentang kakak aku. Banding-bandingkan aku dengan dia bila buat kerja, paling tak suka, mereka bandingkan kami dalam pelajaran. Suruh aku jadi macam dia, kenapa? Tak boleh ke aku jadi diri sendiri?” jawap ateh kecewa bila dirinya dibanding-bandingkan dengan sesiapa, angah terutamanya.

“Bila makan, asyik dia yang dapat lebih. Dapat bahagian best-best, aku pun teringin jugak nak makan peha ayam dengan kepak ayam, tapi setiap kali kalau dia ada, mesti abah aku suruh tinggalkan untuk dia.” tambahnya lagi.

“Tapi akak kau kan jarang ada kat rumah, sebab tulah kot mak dengan abah kau bagi pada dia. Nanti masa dia dah tak ada kau makanlah.” tutur Lina memberikan penyelesaian.

“Kau tak tahu Lina macam mana rasanya sentiasa jadi pilihan kedua. Masa dia tak ada kat rumah, mak aku cakap baik-baik dengan aku, tapi masa dia ada, mak dah tak nak cakap langsung dengan aku, kalau cakap pun sikit-sikit je. Asyik cakap dengan dia, tak hiraukan aku pun.”

“Dah lama aku rasa macam ni, sejak aku sekolah rendah lagi, sedih betul rasa.” tambahnya menceritakan apa yang dia percayai benar. Safi dan Man ternganga mendengarnya, tak sangka ateh bersikap prasangka.

“Tapi mak dengan ayah aku tak. Dia sayang semua, tak ada beza. Kalau buat jahat, semua mesti kena.” balasnya menceritakan pengalamannya pula.

“Kau bestlah ada mak bapak yang macam tu, tak macam aku. Mak dengan ayah aku pilih kasih, sebab tulah kami panggil angah anak emas, sebab dia memang anak kesayangan mak dengan abah aku.” umpatnya lagi tak mahu berhenti, tak sedar hari dah menjelang ke akhir petang. Sambil memasang telinga, Safi dan Man bermain-main dengan nyamuk liar yang mula mencari peluang.

“Man, jom kita main pancing-pancing nak?” tutur Safi mencadangkan.

“Nak nak! Tapi, kita kan tak ada pancing? Dah tu, kita nak pancing apa?” soalnya tak menyangka kerana mereka tak mempunyai jorannya.

“Kita pancing nyamuk! Nampak tak, banyak gila nyamuk ni, jom kita lawan siapa yang dapat paling banyak.” jelasnya sebelum menyinsing kaki seluar untuk mengumpan nyamuk-nyamuk berkenaan. Bila dah banyak yang melekat, tamparanpun dilepaskan.

‘Phang’ berdesing bunyi betis ditampar sebelum cepat-cepat dia menghitung hasilan yang terdapat di dalam tangan.

“Ha, tengok! Banyakkan!” tuturnya sambil menunjukkannya ke hadapan Man, membuatkan Man ketawa melihatnya.

“Hihihi, gila banyak! Man pun naklah! Man pun nak pancing jugak!” balasnya sebelum menyertai. Ateh segera mengalihkan pandangannya pada Safi dan Man yang bermati-matian menunjukkan kekuatan sebelum dia menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Hai…entah apa-apa!” bisiknya didalam hati sebelum dia meneruskan perbualannya semula.

“Masa tengok tv pun macam tu. Kalau dia ada, abah aku bagi je dia tengok rancangan apa yang dia nak. Kalau kami? Tak payah cakaplah. Tengah sedap-sedap tegok cerita waktu maghrib, abah aku suruh padam, tapi kalau masa kakak aku ada tengok, boleh pulak.” sambung ateh, terus menyatakan kekesalannya pada abah dan mak yang dirasakan berat sebelah dan tak adil dalam pembahagikan kasih sayang.

“Kesiannya kau.” tutur Lina menyatakan sokongan, tak menyangka itu yang terjadi rupanya.

“Itulah sebabnya aku janji dengan diri aku sendiri, aku janji untuk belajar rajin-rajin, lepastu masuk universiti dan dapatkan kerja yang baik.”

“Aku nak buktikan pada mak dengan abah aku yang aku boleh jadi lebih baik daripada dia. Itu janji aku.” tutur ateh untuk menguatkan hati, tak mahu hatinya jadi lemah lalu punah. Bunyi riuh rendah daripada Safi dan Man yang sedang membuktikan kehebatan masing-masing telah membuatkan tumpuannya lari lagi.

“Ya-Allah, kalian ni kenapa? Terjerit-jerit! Ada ke main dengan nyamuk. Tahu tak yang nyamuk tu kotor. Tu, tangan jangan masuk dalam mulut.” arahnya sebelum bangun bila fokusnya dah tiada.

“Lina, aku balik dululah, lagipun dah petang sangat dah ni. Esok kau datang sekolah tak?” soalnya sambil mengibas-ngibas punggung, membersih mana yang boleh.

“Mestilah datang, kau?”

“InsyaAllah aku datang. Kalau macam tu esok kita jumpa. Aku balik dulu. Assalammualaikum.” tuturnya sebelum berlalu sambil melambai-lambaikan tangan.

“Waalaikummussalam.” balas Lina seadanya.

 

Safi menghampiri mak yang sedang memasukkan benang ke dalam lubang jarum untuk membaiki kocek baju sekolah Mat yang sudah tetas jahitannya. Man dan Ina sudah lama terlena akibat kesibukan bermain di siang harinya.

“Mak, minggu depan ada sambutan hari raya kat sekolah. Cikgu suruh pakai baju raya dengan bawak kuih raya sekali.” cerita Safi pada mak yang masih cuba memasukkan benang berkenaan. Mendengarkannya, mak terus menghentikan perkerjaan.

“Sambutan hari raya? Takpalah, baju raya Safi kan ada, tapi kuih kita dah habis.” jawap mak pula sebelum mendapat penyelesaiannya.

“Takpa, kuih boleh beli. Beli seringgit dua biskut-biskut kat kedai mamak.” tambah mak sebelum mengulangi tugasnya lagi, memasukkan benang ke dalam jarum sebesar hujung lidi.

“Biar Safi buat.” pinta Safi mahu membantu. Sekali tak menjadi, masuk yang kedua kali, hanya kena sipi, ketiga, barulah berjaya. Berkeruh-keruh Safi berbunyi menandakan ketekunannya sedang bebola mata hitamnya dah jadi sebesar guli demi melengkapkan pasangan jarum berkenaan membuatkan mak tersenyum sendiri.

Previous: Bab 17
Next: Bab 18b

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.