Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 69

Safi sedang memasukkan ikan kembung selesai digaul garam ke dalam kuali yang sudah berasap. Apa lagi, terbang melayang segala wap saat ikan yang basah bertemu minyak di dalam kuali dan untuk menyelamatkan diri, segera dia memadamkan api, tak mahu perkara tak baik terjadi, setelah seketika, bila bunyinya jadi reda, dia menghidupkannya semula. Ateh yang baru pulang daripada sekolah, turut segera menyertainya.

“Masak apa hari ni?” soalnya pada Safi yang masih berdiri.

“Mak pesan, masak goreng belada ikan. Lepastu, tauhu lembut tu buat sup dengan pucuk. Bubuh ikan bilis sikit dengan pecah telur sebiji.” terang Safi memberitahu resepi makanan tengahhari.

“Hmm.” balas ateh langsung menuangkan air putih ke dalam cawan dan pergi berjuntai dipintu tangga dapur untuk mengambil angin. Sejuk rasa badan bila disapa angin yang datang secara tiba-tiba.

“Nanti kan, bila ateh dah dapat jadi cikgu, ateh ingat nak hantar mak dengan abah pergi buat haji. Lepastu nak tolong betulkan rumah ni, nak tambah lagi. Buat bilik yang lain. Buat besar-besar, hias cantik-cantik.”

“Ha, ateh ingat, ateh nak suruh mak dengan abah bukak akaun dekat tabung haji. Nanti bila dapat gaji boleh ateh terus masukkan kat dalam tu. Safi rasa macam mana?” soalnya pada Safi pula.

“Ok la tu. Mesti mak dengan abah suka nanti.” jawap Safi menyokong.

“Nanti dah habis belajar, lepastu bila dah confirm, gaji ateh dah boleh dapat lebih 2500 sebulan. Banyak tu, bolehlah bagi pada abah dengan mak buat belanja bulan-bulan.” ucapnya kekal berjanji dan Safi hanya mampu mengangguk-angguk lagi.

“Kalau posting dekat Sabah dengan Serawak lagilah boleh dapat elaun banyak.”

“Dah tu? Ateh nak mengajar kat Sabah dengan Serawak ke?” soal Safi terkejut mendengarnya.

“Tak adalah. Kalau ateh pergi Sabah dengan Serawak macam mana dengan Abang Hakim nanti?” segera ateh menyanggah sebelum tersipu-sipu malu.

“Haaa…inilah sebab yang sebenarnya kan? Ateh tak sanggup nak duduk jauh dari abang…”

“Eee, kena panggil abang ke? Tak boleh ke panggil Hakim je. Tak seronoklah!”

“Dekat rumah ni pun, kita tak panggil siapa-siapa abang. Along, Mat, Usop dengan Man, semuanya panggil ikut nama je. ” bidas Safi tak selesa dengan gelaran yang perlu digunakan.

“Takkanlah panggil ikut nama. Tak sopanlah. Nanti apa pulak yang Abang Hakim cakap.” tutur ateh, dah mula nak memuncung.

“Takpun macam ni, panggil ateh jugak lagi senang. Cuma bezanya, yang ni ateh perempuan, lepastu yang tu, ateh lelaki. Ha, kan senang!” balas Safi memberikan cadangan membuatkan ateh ternganga sendiri.

 

“Tilam, tilam…tilam lama tukar baru…”

“Tilam, tilam…tilam lama tukar baru…” kegengaran suara rakaman daripada lori yang menjual tilam sayup-sayup di simpang jalan, berulangan.

“Mak, mak! Tilam mak! Tilam lama tukar dengan yang baru! Ha, bolehlah kita tukar tilam kita ni!” tutur ateh teruja sampai tegak badannya.

“Hei, bukan tilam lama tukar dengan tilam baru!”

“Maksud dia, suruh beli tilam yang baru.”

“Ya-Allah ateh ni, ade ke orang yang nak tilam busuk orang lain?” tutur mak mempersoalkan.

“Tapi dia yang kata, tilam lama, tukar baru.” jawap ateh masih tak dapat nak menerima.

“Iyalah, tukarlah! Beli yang baru. Kan ke tukar tu!”

“Hai…ateh ni, bongak!” sanggah mak semula sebelum ketawa dengan sendirinya membuatkan ateh tertunduk sambil menarik muka.

“Hai, apalah…” tambah mak, kekal ketawa masih tak perasan pada perubahan riak wajah anaknya.

 

Kepulangan Mat sejak terakhir kalinya, dua tahu dulu, disambut penuh syukur. Mereka gembira, akhirnya mereka bersama semula. Biarlah apa orang nak kata, yang penting apa yang mereka rasa. Belum kena batang hidung sendiri senanglah bercakap, kalau dah kena nanti, baru menghidap.

Dadah, merosakkan bangsa dan nusa. Menjadi ikutan bagi yang lupa. Sesaat terleka, pasti akan hanyut dibawa bersama. Tapi, gagal sekali tak bererti gagal untuk selamanya. Bangkit dan mulakan langkah yang lebih bermakna dan ingatlah, doa keluarga sentiasa ada bersama.

Dah lama mereka menanti saat itu. Saat kepulangan Mat yang dinanti saban waktu. Biarlah along tiada, mereka tak kisah. Hidup mereka tetap bahagia. Sejak Mat ditahan, along hilang tanpa khabar berita. Mungkin kerana malu bila tahu yang keluarga dah tahu perbuatannya pada Mat selama ini. Ataupun kerana rasa bersalah setelah sedar yang dia mungkir janji untuk menjaga, berulang-ulang kali.

Mat ternyata masih takut-takut. Lagaknya macam rusa masuk kampung. Wajah abah di hadapan ditatap sejenak sebelum dia menundukkan kepala. Malu kerana sedar diri telah menjatuhkan air muka kedua orang tua.

“Dah. Naik! Yang sudah tu sudahlah. Jangan diulang lagi. Pergi naik berehat.” tutur abah. Suara abah yang sekian lama tak didengari menimbulkan rasa hiba di hati. Mat menitiskan air mata dan serentak itu, abah memeluknya.

“Jomlah naik.” ucap mak sebelum mereka sama-sama naik ke rumah.

 

“Mat…”

“Bila awak nak balik…” tutur Ernie perlahan sambil menatap potret wajah jejaka pilihan. Puas melihat, akhirnya ia dibawa ke dada.

“Mat…walau lama manapun, Ernie tetap akan tunggu Mat…” bisiknya pasti dengan apa yang tersimpan di hati.  

 

Selesai memuatkan beberapa kampit beras ke dalam van, Mat bergegas ke belakang dan mengangkat beberapa kotak minyak masak demi memenuhi tempahan yang telah diterima sebelum dia memeriksa kertas senarai barang-barang di tangannya. Sedang sibuk bekerja, Pak Musa datang. Menyedarinya, Mat segera menyapa.

“Pak Cik…” tuturnya, namun hanya dibalas dengan selayang pandang.

 

“Anak Husin dengan Timah yang masuk pusat tu dah balik dah. Ada kerja di kedai pak saudaranya tu semula. Terkejut juga saya dibuatnya, tak percaya.” tutur Pak Musa pada isterinya selesai mereka menjamu selera.

“Saing Ernie tu kan? Hmm, budak-budak zaman ni, susah nak dikawal. Silap berkawan, habis, terikut-ikut. Mat tu baik budaknya, tapi tak sangka pulak saya macam tu jadinya.”

“Dadah ni…” sembang Pak Musa lagi, terus juga melanjutkan perbualan dan Ernie yang sedari tadi memasang telinga gembira tak terkata kerana penantiannya bakal ditamatkan sedikit masa lagi.

“Allah, terima kasih! Terima kasih!” ulangnya, berbahagia.

 

Mat butakan mata dan pekakkan telinganya pada semua, semua yang nampak hairan akan keberadaan.

“Mamak, lepas ni, nak kena buat apa? Apa lagi kerja yang ada?” soalnya perlahan pada bapa saudaranya itu.

“Ha, kalau Mat dah siap, Mat tolong angkat botol-botol air minuman yang baru turun lori tadi. Bawak masuk, susun dalam stor. Lepas Mat dah siap, rehat.” arahnya.

“Ok.” balas Mat ringkas sebelum bergerak untuk melaksanakan tugas.

 

“Mat!” panggil Ernie pada Mat yang sedang mengangkat sekotak botol minuman bergas.

“Er, Ernie…” jawap Mat perlahan, bagai tak dapat nak mempercayainya.

“Mat dah balik? Bila Mat balik? Kenapa Mat tak beritahu Ernie yang Mat dah balik?” soalnya, sedikit kecil hati kerana sudah sekian lama dia menanti.

“Kenapa? Kenapa perlu Mat beritahu semua?” soal Mat pula, sambil berpura-pura menyibukkan dirinya.

“Kenapa Mat cakap macam tu pada Ernie. Ernie…”

“Ernie!”

“Boleh tak Ernie berhenti…”

“Berhenti tunggu Mat. Sebab Mat dah tak sesuai untuk Ernie. Mat dah tak ada masa depan! Masa depan Mat dah hancur!” jawapan yang membuatkan Ernie tambah kehairanan.

“Tak pernah sekalipun sejak bertahun-tahun Mat pergi Ernie lupakan janji kita. Bukan Mat dah janji…” belumpun sempat Ernie selesai Mat dah mematikan.

“Ernie, sudahlah! Mat dah tak ada apa-apa nak beri pada Ernie, jadi tolonglah berhenti.”

“Mulai sat ni…kita, putus.”

“Mat! Sampai hati Mat. Ernie…”

“Ernie!” tutur satu suara yang mereka berdua ketahui akan gerangannya.

“Dah! Pergi Ernie, pergi! Ayah dah panggil Ernie tu! Pergi!”

“Lepas ni, tolong jangan ingatkan Mat lagi, sebab Mat…”

“Mat dah tak ada hati pada Ernie!” tegasnya sebelum segera menghilang di sebalik pintu stor yang berat lagi tinggi.

“Mat…” rayu Ernie, namun kekal tak memberi kesan pada apa yang baru diputuskan.

 

Ernie menghidangkan air minuman pada tetamu yang datang berteman rasa kesangsian kerana seingatnya, itu adalah kali yang pertama.

“Kenapa Mak Cik Ani dengan suaminya datang ni? Ada apa halnya?” bisiknya di dalam hati, sambil cuba memberikan senyuman, tak mahu dilihat kurang sopan. Selesai menghidang dia terus masuk ke biliknya.

“Dah besar panjang Ernie tu. Makin cantik, dah boleh dah dicarikan teman.” tutur Mak Ani memulakan. Pak Musa dan isterinya hanya mampu ketawa mendengarnya.

“Manalah ada yang nak kak. Orang susah macam kami ni, tak ada yang berani nak mengangkat jadi besan. Kalau ada tu, dah kira alhamdulillah sangat dah.” jawap Pak Musa berteman senyuman.

“Ha, kiranya, masih tak berpunyalah Ernie tu ya? Masih kosong lagi?”

“Elok sangatlah kalau macam tu.”

“Sebenarnya hajat kami datang ni nak merisik dia untuk anak kami, Lutfi. Saya daripada dulu lagi dah berkenan dengan Ernie tu. Sejuk mata memandang. Cantik, lemah-lembut, tahu jaga diri, ha, memang dah sesuai sangat untuk anak kami tu.” terangnya lagi.

“Maksud akak, untuk Kojek?” balas Pak Musa tak percaya.

“Hmm, iyalah untuk Kojek. Macam nilah, kalau semua…” perbincangan rancak diteruskan, namun Ernie sudah tak mampu lagi untuk mendengarnya.

“Mat…” bisiknya, kerana hanya nama itu yang bertakhta di hati sejak sekian lama.

 

“Mat!” luah Ernie pada Mat yang berjaya dicarinya. Tanpa memikirkan kesan, tangan Mat dicapai dan ditarik untuk mengikutnya ke belakang kedai.

“Ernie, kenapa ni?” soal Mat tak gembira dengan lagaknya.

“Mat! Kali ni, Mat kena tolong Ernie!”

“Tolonglah Mat! Tolong Ernie…” rayunya tanpa henti membuatkan Mat rasa sesak di hati.

“Ernie kenapa? Apa masalahnya? Kenapa Ernie jadi sampai macam ni? Apa yang dah jadi?” soal Mat yang sudah dapat menghidu bau bencana.

“Kojek Mat, Kojek! Mak dengan ayah dia datang masuk meminang Ernie untuk dia. Mat kena tolong Ernie!”

“Ernie taknak kahwin dengan dia. Ernie tak nak jadi isteri dia! Ernie tak sanggup Mat, tak sanggup!” melopong Mat mendengarnya dah tak tahu nak berbuat apa.

“Mat tolonglah Ernie ya. Tolonglah Ernie…” rayunya berulang kali membuatkan Mat tambah sesak hati.

“Ernie nak Mat tolong macam mana? Macam mana Ernie? Macam mana?”

“Macam mana caranya baru Mat dapat tolong Ernie?” soal Mat berulang kali sambil memegang kepala sendiri.

“Janji kita Mat! Janji kita!”

“Bukan dulu Mat dah janji nak kahwin dengan Ernie? Bukan ke Mat pernah cakap macam tu?” balasnya menuntut janji berteman air mata yang sudah mula jatuh dengan sendiri.

“Ernie tolonglah, tolonglah jangan buat Mat rasa lebih bersalah. Sedangkan nak menjaga diri sendiri pun Mat masih terkial-kial lagi, inikan nak menjaga Ernie?”

“Mat tak mampu Ernie, Mat tak mampu!”

“Tak mungkin Mat mampu jaga Ernie. Mat dah tak ada masa depan. Hidup Mat dah gelap, dah tak sama macam dulu lagi…”

“Kalaupun!”

“Kalaupun, semua tu terjadi, Ernie akan jadi bahan ketawa orang lain nanti. Tolonglah ingat, yang Mat…”

“Mat bekas penagih dadah!” tutur Mat menerangkan letak duduk semuanya.

“Ernie tak kisah Mat, Ernie tak kisah! Biarlah apa yang orang nak cakap, yang penting Ernie tahu siapa Mat yang sebenar. Ernie kenal Mat! Mat baik, Mat…” balasnya dah tak mampu nak melanjutkan kerana telah dikalahkan tangisan. Mat turut sama berhujan air mata bukti kekecewaan yang melanda. Wajah mak terlintas di mindanya sebelum dia jadi pasti yang dia perlu menamatkan segala-galanya.

“Ernie, tolong ingat ni…”

“Jodoh kita memang tak ada, dan takkan pernah ada…” tuturnya sambil mengesat air mata dengan kedua-dua belah telapak tangannya.

“Ernie sahabat terbaik yang pernah Mat ada…dan Mat nak Ernie ingat itu sampai bila-bila.”

“Tolonglah lupakan janji kita, kerana itu cuma kata-kata yang tak beri makna apa-apa.”

 “Sebagai sahabat, Mat akan sentiasa doakan Ernie dan dia bahagia…bahagia sampai ke syurga, dan…”

“Ernie tak perlukan doa Mat, Ernie perlukannya Mat!”

“Mat! Kita lari Mat! Kita lari dari sini. Kita…”

“Kita nak pergi mana Ernie? Nak pergi mana?”

“Cuba Ernie beritahu dengan Mat, ke mana mungkin dapat kita sembunyikan diri? Apa pulak yang akan jadi pada keluarga kita nanti? Mereka semua akan dapat malu Ernie, malu! Malu sampai bawa ke mati!”

“Dah? Itu ke namanya cinta?”

“Perlukah kita korbankan sebanyak itu demi cinta kita? Sanggup Ernie conteng arang di muka mereka? Sanggup Ernie? Sanggup?” soal Mat tak berhenti, membuatkan Ernie sedar akan kenyataan yang harus dihadapi dan dia sudah tak dapat nak lari.

“Mat…Ernie tak sanggup…” rayunya dalam linangan air mata tanda kekecewaan pada hati yang telah dipatahkan sebelum kedua-duanya lemas dalam tangisan...cinta yang tak berkesampaian.  

 

Previous: Bab 68
Next: Bab 70

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.