Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 16b

‘Gedegung-gedegang, gedegung-gedegang’ bunyi lantai dipijak rakus dapat didengari sampai ke rumah belakang. Angah yang sedang mencuci pinggan cuba dengan sedaya-upaya menahan diri daripada kalah lagi, tak rela tewas pada sikap pemarah yang semakin lama semakin datang mengetuk pintu hati. Safi, Man dan Ina terus-terusan bermain dengan bola getah sebesar penumbuk orang dewasa yang baru dijumpai oleh mereka, seronok sampai terleka, lupa di mana mereka bermain, kawasan alang yang menjadi tempat lampu panjang menumpang.

“Apa yang kalian buat tu ha? Kan angah dah cakap, jangan main bola atas rumah!” tutur angah, memberi peringatan dan serentak dengan itu bunyi yang kedengaran mula berkurangan, namun tak lama sebelum Safi, Man dan Ina memulakannya lagi.

“Ya-Allah, kan angah dah cakap! Jangan main kat atas rumah, nanti kena lampu!” tutur angah lagi, lebih keras kali ini, sambil mengetap gigi, menahan kemarahan daripada merajai diri.

“Man, dahlah. Tak nak main dah, nanti angah marah!” ucap Safi, bersedia untuk berhenti, tapi nampaknya Man masih tak puas hati lagi.

“Jomlah main lagi, Man tak puas lagi.” balas Man berbisik sambil memandang batang kayu alang yang tinggi.

“Takpa kita main kat sini, kat sini kan tak ada lampu.” tambah Man lagi, sebelum bertindak menjauhi lokasi lampu, memberikan cadangan yang dirasakan agak bernas di fikiran.

“Tapi…” jawap Safi, sambil terus berfikir lagi.

“Jomlahhh…jomlah main!” gesa Man lagi, membuatkan Safi dan Ina yang dah berniat nak berhenti, menyambung semula.

‘Gedegung-gedegang, gedegung-gedegang’ bunyi hentakan kaki yang berlari ke sana-sini membuatkan angah hilang fokus lagi.

“Tak nak berhenti-henti lagi ke budak-budak ni?” soalnya pada diri sendiri, sukar untuk mempercaya, apa yang baru didengarinya. Sejak dia belajar jauh dan jarang ada dirumah, adik-adiknya itu dah jadi makin tak mendengar kata. Degilnya? Hanya Allah yang tahu, bisik angah lagi menyatakan kekesalan hati, kerana ilmu yang dicurahkan selama ini nampak dah dilupakan pergi.

‘Khong!..Khing!’ bunyi atap zink dihentam kuat disusuli pula dengan bunyi kaca terhentak, membuatkan angah terus mati rentak.

“Bunyi apa tu? Apa bunyi tu?” soal angah ingin tahu, tapi tak ada sebarang balasan.

“Astargfirullah hal adzim…takkan..dah pecah?” soalnya sebelum membasuh tangan sambil menantikan sebarang reaksi tambahan daripada adik-adikya, namun suasana yang kekal sepi membuatkan dia makin sangsi, dan tanpa berlengah dia membuat keputusan untuk menjenguknya sendiri. Dalam perjalanan sempat dia terpandangkan ekor ikan pari yang dah kekeringan.

“Bunyi apa tadi?” soal angah keras sambil sebelah tangan menggenggam erat ekor ikan pari sepanjang dua kaki, sedang sebelah tangan lagi mencekak pinggang sendiri, lagak si pencemeti membuatkan Safi, Man dan Ina kecut hati, kerana sudah lama aksi seperti itu tidak disaksi.

“Angah tanya bunyi apa tadi?” soal angah memekik.

“Tu…” jawap Safi perlahan dengan jadi dituding pada lampu panjang berkenaan sebelum kepala ditundukkan, tak ketinggalan Man dan Ina, turut sama menyertai perbuatan, tapi mujurlah tak seperti apa yang dibayangkan, lampu kekal berada dalam keadaan baik, dari segi luaran, tapi dalaman??? Segera angah menuju ke arah suiz lampu untuk memastikan keadaan dengan harapan lampu tak mengalami sebarang kerosakan.

‘Tik!’ dan dengan satu kelik, lampu mengeluarkan cahaya putih seperti yang diharapkan.

“Lega!” bisik angah di dalam hati. Kalau tak, entah apalah yang akan jadi, namun tak lama sebelum dia berfikir semula.

“Bagi angah bola tu!” tegasnya sambil menghulur tangan. Man yang memandang kehairanan.

“Angah cakap bagi angah bola tu!” ulangnya lagi, tapi bezanya kali ini tindakannya turut datang bersekali. Bola yang berada di tangan Man diragut dan dibawa pergi.

“Ini yang kalian nak sangat kan?” tambahnya. Safi, Man dan Ina terlopong dibuatnya.

“Angahhh…angah! Angah, jangan! Angah!” balas ketiga-tiganya, bimbangkan apa yang bakal angah lakukan, kerana itu bola kesayangan.

“Tepi!” jerit angah tak kuasa nak mengerti dan hanya satu cara yang ada, menghapuskan puncanya.

“Angah! Jangan angah! Jangannn…” rayu Man dan Ina sambil menghentak-hentakkan kaki ke lantai, kekalutan.

“Angahhh…” rayu mereka lagi dengan linangan air mata, tapi nampaknya itu semua tak cukup untuk membuatkan angah berhenti.

“Senyap!” pekiknya tinggi sambil mengacah dengan ekor pari, sambil sebelah tangan mencapai parang yang ada tersimpan di bawah meja pula.

“Angah jangan! Jangan angah, jangan!” rayu Man tak keruan tadkala melihat aksi yang angah pamerkan. Ina terus meraung dengan mulut ternganga, tak ubah macam singa dan Safi hanya mampu menangis, sedih sebab tak mampu mempertahankan hak sendiri.

“Ini yang kalian nak sangat kan? Ha, ni!” gerutu angah dan tanpa berlengah bola sebesar tempurung kelapa itu dicincang semahunya. Melihat keadaan itu Safi, Man dan Ina meraung kesedihan, tak menyangka angah sanggup bertindak sebegitu.

“Huuuwahhh…” raungan berkumpulan dimulakan, membuatkan Ateh yang berada di sungai mula kehairanan.

“Dah kenapa pulak tu?” soalnya tak percaya, kerana sudah lama keadaan seperti itu tak berlaku.

“Aaabahhh…” tutur Ina mendayu, meminta bantuan pada yang tiada berhampiran.

“Aaamakkk…” tambahnya lagi, juga pada yang tiada, natijahnya? Tiada beza.

“Senyap!!!” jerit angah kuat, namun tak mampu untuk mengatasi kekuatan vokal adik-adiknya yang nampak tak memberikan sebarang tindakbalas untuk berhenti. Melihat keadaan itu, angah jadi makin panas hati. Tanpa berfikir panjang, bola getah yang sudah diratakan, dicucuh pada lidah api dapur kayu. Safi, Man dan Ina terkejut, mulut mereka ternganga, dah tak mampu mengeluarkan sebarang bunyi darinya. Merah muka semuanya menahan tangis, sampai dah pucat lesi bibir dan gusi.

Selesai membakar angah mencampakkan bola tersebut daripada tingkap terus ke belakang rumah. Safi, Man dan Ina segera berlari menuruni tangga rumah untuk menjengah.

“Aaabahhh…” tutur Ina merayu, sedih diperlakukan begitu.

“Huuuhuuuhuuu…” tangis Safi dan Man, meratap, dah tak tahu nak buat apa, sambil ditemani dengan asap hitam yang terhasil hebat.

“Safi! Safiii…bola kita…” tutur Man teresak-esak, sampai nafas dah mula jadi tersangkut-sangkut.

“Angah jahat!” terpacul perkataan itu dari mulut Safi kerana seingatnya, tak pernah angah melayan mereka seperti itu. Angah dah berubah! Bisiknya marah sambil mengesat air mata dengan lengan sendiri, ditemani mata yang kekal menjadi saksi pada segala apa yang telah terjadi.

Ateh yang baru tiba dengan menjinjing baldi berisi air di kedua-dua belah tangan, turut dihimpit rasa kehibaan. Tak sangka angah sanggup berkelakuan begitu, dan serentak dengan itu dia teringatkan sesuatu.

“Perangai kau sama dengan perangai abah!” bisiknya marah, mungkin telah melupakan…memang takkan ke mana tumpahnya kuah, kalau tak ke nasi yang dah ada sedia diisi.

 

Angin sepoi-sepoi yang menyapa muka menerbitkan rasa ketenangan yang didambarkan. Bunyi desiran air sungai yang mengalir segera menyejukkan hati yang kepanasan setelah pertengkaran yang dilihat langsung tak mendatangkan sebarang kebaikan, sebaliknya hanyalah persengketaan. Angah duduk berseorangan di atas akar pokok kayu bungar yang ada di situ ditemani kekesalan, sambil mengingati segala kekasaran yang telah dia lakukan.

Sedang melayan perasaan, ateh dan Safi sampai untuk memunggah air. Angah nampak Safi megalihkan muka, tak rela memandang ke arahnya, dan keadaan itu membuatkan dia berasa jauh hati. Selesai mencedok air ke dalam baldi, ateh dan Safipun pergi, langsung tak menoleh ke belakang lagi, membuatkan angah sedar kesan tindakan yang telah dilakukannya dan tanpa dipaksa, airmatanya jatuh dengan sendiri.

 

Semester pertama dilalui penuh dengan liku kerana semua yang dipelajarinya merupakan ilmu yang baru. Pengajian sains tulen yang merangkumi subkjek kimia, fizik dan biologi serta matematik tambahan yang pertama kali dipelajari membuatkan dia sedar hari-hari yang mendatang bakal memberikan cabaran yang tersendiri kerana dia berada di dalam kelas peralihan kini.

Pertukaran aliran daripada sastera kepada aliran Sains bukanlah perkara yang mudah untuk dilakukan kerana dia telah ketinggalan lebih tiga tahun pelajaran, tapi demi minatnya untuk mendalami ilmu sains, semuanya tetap diteruskan. Serantak itu, dia menghela nafas dalam, untuk menenangkan minda yang sedikit lari fokusnya sebelum buku teks fizik itu cuba untuk ditelaah semula, dan daripada baring dia terus mengiring.

“Kenapalah susah sangat fizik ni? Hai…memanglah, dah tak ada cara lain dah. Kalau tak dapat faham..hafal!” bisiknya didalam hati sambil cuba untuk membaca lagi.

“Has, result test fizik kau berapa?” soal Azfa, teman satu dorm, pelajar kelas 3B1, rakan barunya itu, membuatkan angah hampir tergolek jatuh dari katilnya.

“Ya-Allah kau ni! Terkejut aku! Kot iya pun, bagilah salam…” balasnya sambil mengurut dada.

“Opss sorry! Sorry buat kau terkejut. Aku ingat kau perasan aku masuk tadi, rupanya tak?”

“Oh, patutlah…kau study fizik lagi. Result kau tadi dapat berapa? Lulus tak?” soalnya semula sebelum duduk di katil bersebelah, serentak dengan itu angah tersenyum sambil mempamerkan giginya sendiri.

“Aku tak, kau?” soalnya pula yang sudah mula duduk.

“Aku??? Hehehe…tak jugak. Samalah kita, satu geng. Susah kan?” tuturnya menyatakan isi hati.

“Hmm, susah…tapi takpa kita masih ada masa, sebab SPM kan jauh lagi. Jadi maknanya, kita adalah peluang lagi. Kau dapat berapa?” soal angah pula, mula jadi ingin tahu.

“Aku dapat 20, kau?” soalnya kembali, turut sama ingin mengetahui.

“Aku lebih sikit, sikit je. Lebih 2, 22.” balas angah sebelum kedua-duanya sama-sama ketawa.

“Cakap punya cakap dah sampai terlupa pulak aku.”

“Mariah ajak datang bilik!” tegas Azfa setelah mengingati tujuan asalnya.

“Buat apa?” soal angah tak tahu.

“Dia sambut birthday dia malam ni, jomlah.”

“Seganlah, sebab aku tak rapat sangat dengan dia.” balas angah cuba untuk menolak.

“La, nak segan apanya, aku kan ada. Lagipun dia yang ajak datang, bukannya kita yang saja-saja datang. Jomlah.” pujuk Azfa tak kenal putus asa.

“Hmm…oklah.” balas angah tak mahu menghampakan permintaan kawan.

 

Angah duduk di atas kerusi batu yang ada di bahagian luar bangunan koperasi dengan perasaan yang sugul. Ujian percubaan yang baru selesai membuatkan dirinya jadi makin tertekan. Sekali-lagi slip keputusan yang ada ditangan diteliti sebelum dia melepaskan satu keluhan yang berat, mula meragui keputusan yang dah dibuat. Manataknya, daripada sembilan subjek yang diambil hampir separuh daripadanya mengalami kegagalan.

“Betul ke keputusan yang kau ambil ni?” soalnya pada diri sendiri.

“Macam mana nak jawap, kalau mak dengan abah tanya nanti?” tambahnya sedih sambil meragui diri sendiri…lagi.

Previous: Bab 16a
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.