Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab121b

Sedang mereka bersiap-siap untuk kembali ke tanah air, setelah mereka selesai menunaikan rukun Islam kelima, mak mengadu sakit dada dan minta dibaringkan. Safi segera mendapatkan bantuan daripada Ustazah Jamilah di bilik sebelah sebelum bergegas melihat mak semula. Telefon bimbitnya sempat dicapai dan dengan tergesa-gesa dia menghubungi Wan pula.

“Abang…mak…” tuturnya menyampaikan berita.

“Kenapa? Kenapa dengan mak? Takpa, Safi tunggu! Abang datang!” balas Wan selesai mencapai kunci dan keluar daripada biliknya.

 

“Mak…” tutur Safi sepatah berteman air mata yang mula berlinangan. Tubuh mak nampak kaku di perbaringan dengan mata yang kelihatan sukar untuk dibuka.

“Makkk…” ulangnya lagi, serentak mak menguatkan dirinya. Mak tenung wajah Safi sebelum menghadiahkannya dengan senyuman yang cukup manis. Senyuman yang sudah lama terkubur, sejak kali terakhir mak hidup bahagia di rumah pusaka arwah atok dan nenek, lama dulu. Safi tahu, masa mak seperti hampir tiba, namun dia tetap menaruh segunung harapan, kerana dia belum bersedia untuk kehilangan ibu yang tercinta.

“Makkk…” rayunya, belum dapat menerima sambil menggeleng-gelengkan kepala. Air mata yang meluru laju pantas disapu. Genggaman tangan pada jari-jemari mak dieratkan untuk memberi kekuatan. Mak membalas genggaman tangan Safi sebelum perlahan-lahan mengesat sisa air mata yang masih membasahi pipi anaknya itu. Wajah sayu dan renungan mata mak penuh makna. Safi seperti dapat membacanya. Mak, minta dilepaskan.

“Mak, jangan tinggal Safi mak…” rayunya semula sambil turut berusaha untuk belajar menerima, namun mak kekal membalas dengan renungan yang sama. Safi mengumpul segala kekuatan yang ada dan beristigfar berkali-kali sebelum akhirnya dia merelakan. Selang beberapa ketika, nafas mak jadi makin pendek, melihat keadaan itu, Safi segera merapatkan mukanya ke arah mak.

“Mak, mengucap mak…mengucap…”

“Asyhadu an la…”

“Ilaha illallah…”

“Wa asyhadu…”

“...anna muhammadar rasulullah…” bisiknya ke telinga mak, perlahan-lahan, dalam sendu yang cuba untuk ditahan. Bibir mak kemudiannya dilihat bergerak-gerak mengikut kalimah pengabdian yang dibisikkan. Safi tahu dia perlu redha. Allah sudah mahu menuntut janjinya, janji yang dipatri sejak di alam roh lagi.

Gengaman tangan mak dirasakan semakin longgar. Safi tatap wajah mak penuh kasih sebelum mengucup pipi itu syahdu. Sungguh, dia sayangkan mak. Mak banyak mengajarnya erti pengorbanan dalam kehidupan dan semangat mak akan sentiasa Safi jadikan panduan.

“Mak…”

“...janji dengan Safi ya…”

“Tunggu Safi. Safi nak jumpa mak lagi…”

“Safi tak puas lagi hidup dengan mak. Safi sayang mak...” tuturnya sebelum tubuh ibu tersayang dipeluk erat.

“Angah, temankan mak ya…” bisiknya di dalam hati. Kesedihan yang perlu ditempuhi sekali lagi. Kesedihan akibat kehilangan orang yang disayangi. Perit. Namun itulah lumrah kehidupan.   

Ustazah Jamilah yang baru tiba bersama dengan seorang paramedik segera mendapatkan mereka. Nadi mak diperiksa berhati-hati, sebelum dia mengesahkan yang mak sudah pergi.

“Abang…mak…” tutur Safi menyampaikan pada Wan yang sudah turut sama tiba. Segera Wan membalasnya dengan membawa tubuh Safi ke dada.

“Sabar, sabar. Safi bawak bersabar.” bisiknya pada Safi sambil menepuk-nepuk lembut belakang Safi demi memujuk hati isteri, juga hatinya sendiri.

Perjuangan mak berakhir di situ, namun perjuangannya baru bermula. Dia perlu kuat untuk menghadapi cabaran-cabaran yang bakal mendatang. Perjalanan kehidupan yang ditempuh bersama mak akan dijadikan sebagai panduan dan pengajaran kerana segala yang berlaku, pasti ada khidmahnya. Kebaikan dan kemurahan hati mak akan sentiasa dikenang, selamanya, dan senyuman mak… takkan dilupakan sampai bila-bila.

 

Previous: Bab121a
Next: Epilog

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.