Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab104b

Sudah berminggu mak dan Safi dirumah ateh. Ateh dan Hakim dilihat lebih banyak senyap. Bila mak ingin membuka cerita tentang abah, ateh cepat-cepat alihkan ke hal lain. Melihat keadaan itu, mak sedar yang dia sudah tak ada tempat mengadu.

“Mak nak balik. Mak kena selesaikan urusan dengan abah. Mak kena minta pengesahan dari mahkamah. Dia dah haramkan kami duduk sebumbung. Apa maksudnya tu? Mak tak nak hidup bergelumang dosa.” tutur mak menyatakan pendiriannya. Ateh mula resah, dia tak senang hati. Dia tak ingin melihat mak dan abah sampai bercerai-berai. Dia malu, malu pada Hakim dan keluarga Hakim.

“Ye ke mak? Betul ke abah ada cakap macam tu?”

“Entah-entah mak dengan Safi yang salah dengar tak?” balasnya tak percaya. Selepas kejadian tu, dia ada menelifon Ina. Ina menidakkan semuanya, dan dia percaya.

“Ateh ada telifon Ina. Ina tak ada kata pulak. Mesti ada salah faham je ni.” bela ateh lagi sebelum terus mengalihkan pandangannya ke arah lain. Mak hanya mampu memandang Safi bila menyedari Ina betul-betul dah berubah menjadi tali barut yang tak berhati perut. Perangai pembohongnya dah mengalahkan abah. Berani buat, tapi tak berani nak menanggung.

“Ya-Allah! Mak dengar sendiri! Safi dengan Man pun ada sekali. Dia dah haramkan kami duduk sebumbung. Apa maknanya tu? Apa maknanya sampai disuruh buat hidup masing-masing!” suara mak agak tegang.

“Ina tu lagi satu. Ada ke patut dia suruh mak minta cerai je dengan abah. Ada Ina bagitahu ateh semua tu?”

“Mak tak sangka, anak yang mak besarkan selama ini boleh jadi teruk sampai macam tu. Semuanya sebab harta…”

“Betul juga mak. Ateh dah tanya dengan Ustaz kat sekolah. Dia kata memang kena bahagi sama rata. Lagipun kalau ikut bilangan, kita kalah. Ramai yang sebelahkan abah. Ateh rasa baik mak ikut je apa yang abah cakap.” balas ateh tenang. Langsung tak memikirkan perasaan mak. Hati mak hancur luluh, bila hampir kesemua anak-anaknya dilihat turut mempunyai ‘hajat’ yang sama.

“Nak ikut macam mana? Rumah tu pun masih diuruskan dek peguam. Nama pun tak siap tukar lagi. Dahtu nak jual macam mana?”

“Wasiat angah! Wasiat angah yang nak rumah tu dijaga macam mana? Sanggup kalian langgar wasiat orang yang dah tak ada semata-mata sebab tamakkan habuannya?”

“Baru sangat angah meninggal, tak malu ke kita bergaduh disebabkan hartanya? Ateh pun sama dengan yang lain-lain nakkan harta tu? Sampai dah tak percayakan mak?” balas mak. Dah lama dia bertahan. Anak-anak yang pernah ditatang dan ditatih langsung tak tahu menghormati, malah sanggup mencurigainya kini.

“Bukan macam tu mak…”

“Ateh cuma tak nak keluarga kita berpecah-belah. Kalau itu yang abah nak, mak ikutkan je lah. Senang, tak payah nak bergaduh-gaduh lagi.” jawapnya yang dah termakan ‘umpan’. Mak melepaskan keluhan panjang. Tiba-tiba dia terbayangkan wajah angah. Kalau…kalaulah angah ada, semua itu pasti tak akan berlaku, bisiknya dalam hati sebelum setitis air matanya jatuh lagi.

Safi tak dapat mahu berkata apa. Dia tahu ateh pun sama, mahukan ganjaran yang ditawarkan abah. Modal abah, seorang dapat RM 30,000. Mana tak mata berubah kelabu. Berpusu-pusu semua menyebelahi abah sampai sanggup membelakangkan mak. Paling menyedihkan along! Sekali lagi dia membuktikan, dirinya…tak layak untuk dihormati. Tak habis-habis mak diuji. Hidup mak tak pernah sunyi daripada masalah, masalah yang sengaja dicari.

 

“Mak…” panggil Safi pada mak yang baru mengesat air mata.

“Dahlah…”

“Jangan nangis…” tambahnya yang sudah terjangkit dengan ‘penyakit’. Air mata yang baru bergenang pantas diseka sebelum dia menghela nafasnya.

“Safi, tolong ambik telifon mak.” pinta mak sebelum dia mencari nombor telifon yang dihajati.

“Asalammualaikum…”

“Ha ke tu? Akak…” tutur mak, mula menyatakan hasratnya.

 

Akhirnya, seperti apa yang abah inginkan, mak pindah keluar sekali lagi. Meninggalkan segala kenangan pahit yang pernah dirasa, bersama-sama, di rumah kesayangannya. Sudah beribu duitnya dihabiskan di situ. Namun, panas yang diharap sampai ke petang, rupanya berganti mendung di tengah hari, dan hujan lebat beserta angin ribut kencang dihujung petang. Kali ini dia bertekad. Dia berjanji pada dirinya sendiri, dia tak akan sekali-kali menjejakkan kaki ke situ lagi, biar apapun yang terjadi. Rumah tu dah tak ada makna lagi baginya. Demi ketenangan yang didambarkan, dia rela membawa diri, untuk mengubati hati yang parah disakiti.

 

“Pergilah mak, pergi! Pergilah dari rumah ni! Mak dah lain. Usop dah tak rasa mak macam mak Usop lagi.” ucapnya sebelum pintu bilik dihempas kuat. Kata-kata itu masih terngiang-ngiang di minda. Kini dia sedar yang kehadirannya sudah tidak diperlukan lagi dan dia pasrah pada ketentuan Allah.

 

“Mak salah! Mak lari dari rumah!” marah along saat ternampak mak yang sedang menjenguk di pintu tinggi rumah sewanya itu.

“Mak yang salah?! Along cakap mak yang salah?!”

“Tahu along?!”

“Mereka yang halau mak daripada rumah! Tak tahu lagi along?!” balas mak lebih tinggi, dah tak dapat nak menahan kekecewaan bila dia sentiasa ditimpakan dengan tuduhan.

“Abah kalian tu yang suruh mak keluar! Katanya, kami dah tak boleh duduk sebumbung lagi! Haram hukumnya!”

“Dah? Apa maknanya tu? Siap disuruhnya kami buat hidup masing-masing!”

“Usop, dia yang suruh mak pergi. Katanya mak ni dah tak macam mak dia lagi. Dah tu along ingat mak ni apa?!”

“Ina! Ada ke patut dia suruh mak mintak cerai je daripada abah! Anak apa namanya tu? Betul ke anak tu?!” marah mak. Safi yang berada di dapur kekal membatukan dirinya dan mendengar daripada kejauhan sahaja.

“Iya ke abah dengan Usop ada cakap macam tu?”

“Ina? Betul ke Ina suruh mak minta cerai?” soal along tak dapat nak mempercayai kerana dia langsung tak dimaklumkan tentangnya.

“Along tak pernah nak nak tanya mak dulu. Semua yang mereka cakap, semuanya along percaya.”

“Sampai hati along datang marah-marah mak macam ni. Langsung tak diselidik dulu.” tutur mak, sangat kecewa.

“Maafkan along mak! Along betul-betul tak tahu. Tak ada siapa pun yang beritahu along tentang semua tu. Mereka kata, mak yang beriya-iya nak lari daripada rumah. Along sumpah mak! Along tak tahu.” balas along, merayu sambil menghulurkan tangan minta pengampunan.

“Dahlah! Dah tak guna dah! Mak kecewa dengan along. Along pergilah balik. Jangan datang ke sini lagi.” arah mak terang sebelum menutup daun tingkap kayu yang ada di hadapannya itu.

“Mak! Mak!” balas along kekal merayu, namun itu belum cukup untuk membuat mak mengubah pendirian.

 

Kebun getah peninggalan arwah nenek yang mereka usahakan selama ini sudah mula mengeluarkan hasil. Pokok muda, susunya pun boleh tahan juga, dapatlah untuk menampung kehidupan mereka dua. Tanah kebun yang berkeluasan hampir 5 ekar itu menjadi tempat mereka mencari rezeki. Biarpun mempunyai segulung ijazah, Safi tak kisah untuk hidup di kampung. Semuanya dilakukan untuk mak kerana dia masih ingat akan janjinya dengan angah satu masa dulu, iaitu untuk menjaga mak. Walaupun angah dah tiada, dia akan menjadi penggantinya.

Safi tahu, salah satu lagi punca abah tak puas hati dengan mak adalah kerana kebun getah peninggalan nenek itu. Dulu masa nak mengusahakan tak ada seorang pun yang nak membantu. Bila dah ada hasil mulalah buat-buat rajin menjenguk, akhirnya minta untuk mengusahakan. Bila mak tidak memberi, abah tak puas hati. Mulalah dilaga-lagakan anak-anak dengan mak. Anak-anak yang buta hati, mempercayai segala tuduhan yang diemparkan, tanpa berusaha terlebih dahulu mencarikan kebenaran.

 

Hari ini kes mak akan dibicarakan. Surat pemberitahuan telah diterima minggu sebelumnya. Mak dan Safi berdebar-debar menantikan keputusan yang bakal diputuskan oleh pihak perhakiman. Setibanya di sana, mak nampak kelibat along, Usop dan Ina di perkarangan mahkamah bersama-sama abah. Mereka menjeling ke arah mak tanpa langsung ada rasa bersalah.

“Man rasa abah takkan mengaku.” tutur Man sambil melemparkan secebis senyuman yang tampak sukar untuk ditafsirkan. Man yang ada di tempat duduk hadapan terus keluar dan bergerak ke arah kumpulan tersebut. Kesedihan mak tak tergambar bila mengetahui along yang sangat disayangi turut berubah hati.

 

“Baiklah, kedua-dua pihak dah ada. Kita akan mulakannya sekarang.” tutur hakim tegas. Mak dan abah duduk sebelah-menyebelah sebelum mulut abah dilihat terkumat-kamit, tak berhenti. Selesai ‘membacakan’ dia segera menghembuskan nafasnya ke arah hakim. Mak menggelengkan kepala, betul-betul tak dapat nak mempercayainya.

“Tak habis-habis lagi ke awak ni?! Awak memang tak pernah tahu kesalahan diri sendiri?” bisik mak perlahan dan abah segera mengangkat tangan, tanda dia tidak mahukan gangguan.

“Baiklah En.Husin, betul ke pada tarikh 10 Oktober, tuan ada mengeluarkan kenyataan pada Pn.Fatimah menyuruhnya memulakan hidup masing-masing?” soalnya selesai membaca surat aduan.

“Tak adaaa…” balas abah sambil menggeleng-gelengkan kepala, juga berteman senyuman ‘beracunnya’.

“Pada tarikh yang sama juga, ada atau tidak En. Husin menyatakan bahawa haram hukumnya jika tinggal sebumbung kepada pengadu seperti yang dilaporkan.” soal hakim itu lagi.

“Tak ada tuan. Tak adaaa…”

“Mana ada saya cakap macam tu.” balas abah beserta dengan senyuman. Mak menjeling ke arah abah dengan perasaan marah dan kecewa. Cukup kecewa. Dia kecewa, suaminya itu masih tak mampu memikul amanah sampai ke sudah. Bukan pertama kali perkara itu berlaku. Lama dulu, semasa anak-anak masih kecil, perkara seperti itu pernah juga berlaku, tapi tiada siapa yang tahu. Rahsia tersebut disimpan antara mereka berdua. Mak takut kerana abah sangat mudah mengungkapkan taklid tanpa berfikir panjang.

“Dah jadi macam ni pun sanggup awak bohong lagi? Awak memang melampau!” tutur mak sudah tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya. Suaminya itu memang tak tahu akan makna tanggungjawap.

“Kalau tuan tak percaya, tuan boleh panggil saksi. Anak-anak saya ada bersama masa tu. Mereka semua ada di luar. Nak saya panggilkan?” soal abah. Rupanya semua dah dirancang lebih awal. Mereka berpakat untuk menyembunyikan kebenaran. Mereka rela mencipta situasi begitu untuk menyalahkan mak. Hati mak hiba. Tujuan anak-anaknya datang hanya untuk menyokong pembohongan yang sengaja direka abahnya? Mak terkilan, betul-betul terkilan.

“Tak payah, tak payah. Kalau macam tu, Pn. masih sah lagi sebagai suami isteri.” ucap hakim. Mak tergamam. Dia tak menjangka perkara seperti itu akan berlaku. Mata dan telinganya menjadi saksi segala apa yang terjadi, begitu juga malaikat yang ada di kanan dan kiri. Abah mungkin boleh menidakkan, tapi selagi hayatnya masih ada, dia tak akan dapat melupakan. Senyuman abah terus jadi bertambah. Gembira bila dia sudah berjaya mendapatkan apa yang dihajatinya kerana seandainya mereka sah bercerai, isterinya itu pasti akan menuntut semua harta termasuk rumah yang didudukinya kini dan itulah yang paling dibimbangi.

“Sebenarnya bukan apa tuan. Anak saya meninggal. Ada sebuah rumah dengan kereta sepatutnya…” belumpun sempat abah menghabiskan kata-kata, hakim tersebut pantas mencelah.

“Tak baik diungkit hal ni. Sakit anak tu nanti.” tutur hakim, abah kecewa kerana provokasinya tak dilayan sama seperti apa yang diharapkan.

“Taknak buat sumpah laknat? Kalau nak saya bersedia untuk buat.” cadang abah pula pada hakim.

“Tak payah sampai ke situ En.Husin. Lagipun sumpah laknat tu bukan perkara main-main.” jawap hakim tersebut.

“Baik. Kalau beginilah permainan awak, saya terima. Tapi saya takkan balik semula ke situ. Awak mungkin boleh berbohong sekarang, tapi ingat, malaikat di kiri dan kanan ada untuk mencatat.” balas mak dengan perasaan kecewa, sebelum dia melangkah keluar. Mak dah cukup serik, dan disebabkan itu, dia bertekad untuk tidak akan menoleh ke belakang lagi.

 “Takpa! Balik ni kita sama-sama buat solat hajat. Kita tengok siapa yang bakal dilaknat!” ucap abah bangga. Bangga kerana rancangannya berjaya.

Mak meninggalkan bilik hakim dengan perasaan hiba. Sempat dia memandang ke arah along, Usop, Ina dan juga Man yang masih menempatkan diri didalam kelompok. Mereka memandang marah ke arah mak, kerana tak sangka yang mak akan membawa kes itu ke mahkamah. Mereka sakit hati, sakit hati pada Safi, kerana dirasakan semuanya berpunca daripada Safi.

Previous: Bab104a
Next: Bab 105

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.