Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 28

Man bergerak ke luar pasar setelah meninggalkan beg sekolahnya di atas kotak kayu bersebelahan dengan mak. Melihat keadaan itu, Safi dan Ina turut sama bergerak.

“Haaa…Kalian nak ke mana tu?” soal mak yang sedari tadi memerhati dengan ekor mata membuatkan ketiga-tiganya berhenti dan tersenyum senget sahaja.

“Nak pergi sana!” balas Man, ketua rombongan.

“Sana, mana…?” balas mak yang sudah mengangkat muka, menghentikan kerja-kerja anyamannya.

“Sana, nak pergi luar kejap.” jawap Man semula, sedang Safi dan Ina kekal menantikan kebenaran sahaja.

“Ha, pergilah, tapi jangan pergi lama-lama. Ingat ya, kalian jangan buat benda bukan-bukan…” pesan mak mengingatkan, juga beserta panduan.

“Ok!” teriak mereka sebelum memulakan larian.

“Jangan berlari!” tegah mak lagi, namun dah tak ada guna kerana mereka sudah tak kelihatan lagi.

 

Sambil terbongkok-bongkok mereka memerhati setiap jalan yang dilalui, kiri dan kanan. Puas mengelilingi pasar, mereka bergerak ke longkang besar sedalam lebih 3 kaki, tempat aliran air keluar. Kebiasaannya ada ‘habuan’ yang menanti, duit-duit syiling yang mungkin ada dicicirkan kerana itulah cara yang Usop ajar. Cara nak cari duit tambahan untuk beli komik senaskah.

“Man cari dari sana. Safi dengan Ina yang cari dari sini. Kalau jumpa nanti bagitahu.” arah Man sebelum berlari ke sebelah jalan dengan ranting kayu di tangan. Sambil mencari sesekali kepala diangkat tinggi, memeriksa keadaan, manalah tahu ada sesiapa yang ingin menggunakan laluan.

“Ada! Safi ada! Ni, ni!” tutur Man di seberang jalan membuatkan Safi dan Ina bergegas untuk ke sana.

“Mana? Mana? Berapa?” soal Safi yang dah mula teruja.

“50 sen!” jawap Man dengan senyuman gembira, tak menyangka mereka menjumpainya.

“Boleh ambik tak? Sampai tak kayu tu?” soal Safi pula yang sudah mula berlari.

“Kayu yang Man punya tak sampai. Pendek. Yang Safi punya panjang kan? Cuba Safi buat.” jawap Man masih terbongkok-bongkok dan cuba menolak keluar syiling dari celahan pasir-pasir dan sisa-sisa kotoran.

“Ni ni! Takpa, kita cuba pakai kayu ni.” balas Safi yang sudah mendekati.

“A’ah la, 50 sen. Gila! Siapa yang cicirkan duit dekat sini?” tambahnya yang sudah memulakan kerja-kerja penolakan. Sedikit-demi sedikit duit syiling tersebut ditolak menuju ke hujung longkang berkenaan, bahagian yang paling terbuka untuk memudahkan mereka mengambilnya. Bila Safi rasa lenguh, Man menggantikan, dan begitulah keadan sampai mereka berjaya mengeluarkan.

“Safi! Safi! Sini! Sini ada lagi 20 sen!” teriak Ina yang sedang memeriksa.

“Mana mana?” tutur Safi dan Man yang sudah siap melakukan kerja-kerja pengorekan pusingan permulaan. Berlari-lari mereka mahu segera mendapatkan.

 

“Safi duit yang ni hitam la. Kalau hitam macam ni, ada ke orang nak?” soal Ina yang mula sugul melihat duit syiling 20 sen yang ada di tangan selesai mereka membasuh dan membahagi hasilan.

“Takpa, kalau hitam, kita putihkan.” jawap Safi tenang sebelum mencapai syiling berkenaan dan menggesekkannya pada dinding konkrit pasar yang agak berpasir permukaannya. Selesai beberapa kali menggesek, dia memeriksa.

“Ha, tengok, kan dah putih sikit. Nampak!” ucapnya seraya menyua, membuatkan Ina bertukar ceria.

“A’ah la…dah putih!” balasnya sambil ketawa sebelum Safi meneruskan kerja-kerja pemutihan yang selebihnya.

“Dekat mana kalian? Apa yang kalian buat lagi tu ha?” soal mak yang sudah rasa kesunyian.

“Kami dekat sini!” balas ketiga-tiganya sebelum segera berlari dan memunculkan diri.  

 

Mat sedang duduk sambil menikmati aiskrim pop di kerusi kayu panjang yang terdapat di luar kedai runcit Mamak sebelum dia didatangi Hanim, pelajar sekelasnya itu.

“Mat, tolong tunggu beg aku sekejap. Aku nak pergi beli air.” tutur Hanim setelah mengeluarkan beg duitnya.

“Ha, pergilah. Biar aku jaga.” balas Mat, sebelum matanya tertumpu pula pada bekas pensil Hanim yang hampir jatuh menyembah bumi.

 

“Kak, saya ada benda nak cakap pada akak ni.” tutur Cikgu Roslin yang nampak tergesa-gesa memulakan bicara pada mak yang sedang setia menunggu rezekinya.

“Ya Lin, kenapa? Ada apa halnya?” balas mak semula bila hati jadi pasti macam ada tak kena dengan bunyinya.

“Akak…saya bukan nak tuduh, tapi apa yang saya cakap ni, datangnya daripada Hanim sendiri.” terangnya segera.

“Apa yang dah jadi Lin? Ceritalah, ada apa sebenarnya?” soal mak dah tak sanggup menunggu lama.

“Mat, kak. Mat ambil barang kemas Hanim…” jawapnya perlahan, membuatkan jantung mak rasa bagai mahu jatuh.

“Ya-Allah…betul ke Lin? Mat buat macam tu? Bila dia mengambilnya? Kenapa? Ya-Allah…” balas mak. Mukanya langsung rasa panas, bila darah mula naik deras.

“Hanim cakap, semalam dia ada mintak Mat tolong jagakan beg sekolah dia, masa dia nak beli barang. Sampai-sampai rumah baru dia perasan gelang tangan yang dia simpan dalam bekas pensil hilang. Saya bukan nak menuduh kak. Cuma itu jelah pertunjuknya. Cuba akak tanya dengan Mat, betul ke tak dia ada ambik.”

“Barang kemas tu je ke? Barang lain tak ada? Duit? Ada tak duit yang hilang?” soal mak mahu mengetahui segala-galanya.

“Duit tu adalah beberapa ringgit, tapi takplah tu. Duit tu saya tak kisah, yang saya terkilan gelang tu. Gelang tu Abang Wan yang beri, buat hadiah pada Hanim waktu sambutan hari jadi baru-baru ni. Kalau hilang, susahlah nak menjawapnya.” balas Cikgu Roslin mengutarakan kebimbangan.

“Takpa Lin, nanti akak tanya Mat. Maafkan akak ya. Akak tak pandai nak didik anak. Akak…” tutur mak dah mula rasa sebak.

“Takpa kak, takpa. Saya tak salahkan akak. Biasalah budak-budak. Kita yang dewasa ni pun ada kalanya buat salah, inikan pulak budak-budak.”

“Takpa, akak tanyalah dulu pada dia. Nanti jangan akak marah-marahkan dia pulak. Saya kenal Mat tu, mesti ada sebab dia buat semua tu. Saya amanahkan pada akak ya.” tuturnya mengharap.

“InsyaAllah! Apa-apa nanti akak datang ke rumah.” jawap mak dengan air mata yang bergenang.

“Iyalah kak. Lin minta diri, assalammualaikum.” tuturnya sebelum beredar.

“Waalaikummussalam…” jawap mak terketar-ketar.

 

Puas menunggu, namun, Mat masih belum kembali setelah meminta keizinan untuk keluar tadi. Sesudah menyimpan bekas duit dan menguncikan pintu kotak kayu, mak menuju ke rumah sewa mamak, tempat kemungkinan Mat berada. Daripada tingkap kaca yang terbuka, mak dapat melihat Mat sedang terbaring di atas sofa kayu yang ada tersedia di situ bersama dengan beberapa orang pekerja mamak yang lainnya.

 

“Mat!” panggilnya sambil menanti. Bunyi nyanyian yang kuat daripada radio yang terpasang membuatkan Mat tak berapa mendengar panggilan, tapi mujurlah ada juga yang perasan.

“Mat! Mak kau datang tu!” tuturnya sambil mengerakkan Mat yang hampir terlena.

“Ha?” balasnya yang masih mamai.

“Mak kau tu! Mak kau cari! Tu, dekat luar!” tudingnya pada mak yang sedang menanti di luar tingkap.

 

“Mat, mak ada benda yang nak dicakap dengan Mat ni. Mak nak Mat jujur dengan mak dan jangan tipu mak.” tuturnya memulakan bicara di tempat yang agak tersorok. Mat mula jadi resah dan tak tentu arah kerana dia tahu mak macam dah tahu. Pandangannya segera dialihkan, dah tak berani nak memandang lagi.

“Pandang mak! Mak nak Mat pandang mak dan jawap!”

“Mat curi gelang tangan Hanim semalam kan? Betul kan Mat? Mat dah curi rantai Hanim kan?” soal mak tak mahu berselindung lagi. Segera mahu merungkai permasalahan yang sedang mereka hadapi. Mat tertunduk lagi sambil memandang jari kaki sendiri dan keadaan itu membuatkan mak jadi betul-betul pasti, yang Mat memang dah mencuri.

“Mattt…kenapa Mat buat macam ni? Pernah ke mak ajar Mat mencuri? Pernah? Tak pernah kan?”

“Dah tu kenapa Mat buat jugak? Mat nak duit? Kalau Mat nak duit, kenapa Mat tak mintak dengan Mak? Mat nak berapa? Mat cakap, mak bagi Mat duit, tapi tolonglah…tolonglah bagitahu dengan mak, mana rantai tangan Hanim tu Mat letak? Mat simpan kat mana?” soal mak bertalu-talu sambil memegang dan menggoyang-goyangkan bahu anaknya itu. Air mata yang cuba ditahan sejak tadi akhirnya jatuh juga, tapi segera dia mengesatnya dengan lengan baju, tak mahu terlalu mengikut kata hati. Mat yang dah rasa takut segera berpaling dan angkat kaki.

“Mat!” panggil mak sebelum pantas mengejarnya.

“Mat…Mat! Tolonglah jangan buat mak macam ni Mat. Mat tak kasihankan mak ke? Mat suka tengok mak sedih?” rayu mak dalam sendu yang dah tak dapat ditahan, membuatkan Mat akhirnya menghentikan langkahan.

“Mak…Mat mintak maaf mak. Mat mengaku, memang Mat curi. Rantai tu, rantai tu ada dekat sini…” tuturnya yang sudah berlinangan air mata. Cepat-cepat dia mengeluarkan rantai yang ada diselitkan di dalam beg duit lalu menyerahkannya kepada mak.

“Ada apa lagi yang Mat ambik selain rantai ni? Mat ada ambik duit sekali?” soal mak semula mahu melangsaikan semuanya dan perlahan-lahan Mat menganggukkan kepala.

“Berapa? Berapa yang Mat dah ambik? Kita kena pulangkan semua, sebab itu bukan duit kita.” tutur mak setelah mencapai rantai tangan yang dihulurkan. Kejap tangannya menggenggam rantai berkenaan, tak mahu kehilangan.

“Dah, sekarang ni, mak nak Mat ikut mak. Jom kita pergi ke rumah Mak Ngah Lin. Mak nak Mat mintak maaf dengan dia, dengan Hanim sekali.” tambah mak sambil mencapai tangan dan menarik tangan Mat.

“Makkk…” tutur Mat tersekat-sekat.

“Kenapa? Mat takut?” soal mak semula setelah dapat membaca apa yang Mat rasa kerana perasaan itu juga ada padanya, tapi dia tahu yang dia dah tak boleh nak lari ke mana. Nak tak nak, dia perlu juga menebalkan mukanya.

“Mak, jangan bagitahu abah!” balas Mat seakan merayu, dan keadaan itu membuatkan mak jadi makin sayu.

“Kalau abah tahu, mahu patah-liuk Mat dikerjakannya nanti.” jawap mak, tapi itu sudah cukup diangkat sebagai janji. Sambil itu, mak melajukan langkahan kaki agar mereka segera dapat sampai ke destinasi.  

 

Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.