Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 85

Along yang baru balik dari Kuala Lumpur duduk di sebelah mak dan menyampaikan khabar daripada abah. Abah mahu mereka kembali semula ke rumah. Kata along, abah dah berubah dan menyesali segala yang terjadi. Mak masih kekal tidak memberikan sebarang jawapan pada pertanyaan, namun, petang tu, along tetap membawa abah dan Usop ke rumah. Usop yang masih keras hatinya tak mahu naik dan hanya menunggu di tangga.

“Mak, abah ajak mak balik semula. Mak balik dengan abah ya.” pujuk along. Dia mahu menyatukan semula keluarga yang berpisah. Mak terdiam, tak menyangka, along mendahuluinya dalam membuat keputusan.

“Mah, Mat dah tak ada. Yang sudah tu sudahlah.”

“Saya minta maaf. Saya tahu saya yang bersalah.” ucap abah pula, tapi, mak masih tak memberi sebarang respon. Ina yang sedang berada di dapur hanya memasang telinga daripada jauh sahaja.

“Mak, along rasa tak payahlah kita panjang-panjangkan lagi hal ni. Lagipun abah kan dah minta maaf. Mak balik pada abah ya.” ucap along, menyatakan hasrat yang serupa. Wajah mak ditatap penuh mengharap, berharap segalanya berjalan seperti apa yang diharap. Dia mahu melihat mak dan abahnya bersatu semula, sama macam dulu. Mungkin ada khikmah atas segala yang berlaku.

“Huh! Kalau mak tak nak balik pun takapa!”

“Usop ada! Usop boleh jaga abah!” bentaknya geram daripada tanah. Sakit hatinya melihat abah merayu-rayu begitu. Baginya samaada mak ada, atau tidak, sama sahaja. Tak ada beza kerana dia sudah terbiasa menguruskan urusan rumahtangga.  

“Usop!”

“Kenapa cakap macam tu?” bangkang along, tak bersetuju dengan cara. Mak tetap tak berubah dan dia kekal terpaku di pintu tengah. Wajah abah langsung tak dipandang, walaupun sekilas. Sukar untuk dia mempercayai kata-kata abah kerana tak mungkin semudah itu suaminya berubah. Mak masak sangat dengan perangai abah, mustahil! Abah takkan berubah sebegitu mudah.

“Tadi Usop yang kata nak datang pujuk mak. Sekarang kenapa cakap macam tu pulak!” marah along.

“Mak, along tak sanggup nak tengok mak dan abah berpisah.”

“Kalau boleh, along nak mak dengan abah balik macam dulu-dulu. Tinggal sebumbung, hidup sama-sama.”

“Mak balik ya mak. Balik pada abah.”

“Along sayang mak, along pun sayang abah…” tuturnya, tetap cuba melenturkan hati mak yang kelihatan masih keras dan abah kekal tertunduk di situ, berteman ‘sedikit’ wajah keinsafan.

“Mak!” gesa along lagi, namun mak masih kekal dengan pendiriannya, tak mahu menerima dan mengulas apa-apa.

“Takpalah. Kalau macam tu, mak fikirlah dulu. Ambik masa. Nanti kalau mak dah sedia, mak beritahu along.” tambah along melihatkan keadaan mak yang masih belum bersedia untuk membuat keputusan dan disebabkan itu, akhirnya abah balik dengan kehampaan bila tawarannya tak diendahkan.

 

Sejak daripada hari dia menjejakkan kaki ke dalam rumah itu, boleh dikatakan pada setiap minggu, abah menghantarkan lauk basah untuk mak. Ayam, ikan, udang, sotong semua ada, malah bekalan barangan dapur juga dihantar lengkap pada mak. Mula-mula mak tak terima, takut abah kirimkan ‘mentera’ bersama, tapi abah kekal berkeras, katanya untuk anak-anak.

“Ha. Saya beli semua ni untuk awak dengan anak-anak. Anak-anak sihat?” soalnya dengan senyuman di mata tangga pintu hadapan dan mak jelas kehairanan.

“Tahu rupanya berlembut bila bercakap…”

“Selama ni tak sah kalau tak menekak.” bisik mak di dalam hati, berteman sedikit rasa geli.

“Sihat!” jawap mak sepatah.

“Awak?” soal abah semula, lembut gigi daripada lidahnya, juga senyuman yang meleret sampai ke telinga.

“Awak ni dah kenapa? Dah buang tabiat?” balas mak sebelum menyambut huluran abah.

Phang!!! Serentak daun pintu kayu ditutup. Senyuman abah jadi mati dengan sendiri, dan kini dia tahu, yang dia perlu berusaha lebih gigih lagi.

 

Mamak cuba untuk memenangkan hatinya yang rasa tidak selesa dengan berita yang disampaikan oleh seorang kenalan awalnya. Puas dia memikirkan kebenaran dakwaan berkenaan. Arwah Mat ‘balik’ dan menghantui keluarga juga jiran-jiran tetangga di kampungnya?

“Takkanlah! Takkanlah Mat boleh pulak menjelma? Tak mungkin rasanya. Apa besar sangat dosa dia? Ni mesti ada yang tak betul ni.” bisiknya hanya di dalam hati, masih belum mahu berkongsi walaupun dengan ahli keluarga sendiri.

“Abang, makanlah kita. Dah siap dah semuanya.” lauh isterinya daripada dapur.

“Iyalah.” balasnya, namun benak masih dibebani dengan persoalan yang sama...arwah Mat ‘pulang’ ke rumahnya???

 

“Sa, kejap. Abang ada benda nak tanya ni.” gamit Mamak pada Nasa, jiran sekampung mak.

“Ha, ada apanya bang?” soalnya terang.

“Abang nak tanya, betulke…”

“Betulke Mat menjadi?” soalnya, berbisik.

“Menjadi?! Menjadi apanya? Siapa yang sampaikannya pada abang? Mana abang dengar semua ni?” balasnya terkejut.

“Adalah yang menyampaikannya pada abang. Abang tak percaya, sebab tulah abang tanya. Katanya arwah Mat balik mengetuk pintu bilik adik-adik, lepastu ‘menjadi’ dekat kubur tu. Mengganggu orang yang lalu. Katanya ada yang nampak Mat jadi hantu.” terang Mamak semula.

“Ish! Mana ada! Bilanya arwah Mat tu balik! Siapa sebenarnya yang buat cerita ni?!”

“Saya ni bang, boleh kata setiap malam, pukul dua tiga pagi saya balik, lalu dekat kubur tu. Tak pernah pulak saya nampak, terjumpa pun tak. Ni memang tak ada lainlah, ni mesti kerja orang yang duduk sebelah kubur tu kan?”

“Apa lagi yang dia tak puas hati dengan keluarga Timah tu? Apa lagi salahnya?” marah Nasa setelah mengetahui hasil kerja jiran yang sangat dikenali dengan mulut ‘celuparnya’. Fitnah dan nista tak pernah lekang dari dalam sebutan.

“Alhamdulillah, syukur pada Allah. Memang abang dah agak, fitnah je semuanya. Itulah sebabnya abang tanya dengan Sa dulu, nak pastikan. Tak tergamak rasanya nak percaya buta-buta.”

“Arwah Mat tu, bukannya orang lain dengan abang. Anak saudara, darah daging abang juga. Nak ditanya pada Timah, abang takut dia terasa, kalau nak dipendamkan saja, rasa macam nak gila.”

“Orang tuduh dia macam-macam, takkanlah kita…” balas Mamak yang sudah mula rasa hiba.

“Takpalah abang, takpa. Biarkanlah mereka.”

“Bukannya baru kali ni perkara macam ni jadi. Sejak daripada dulu lagi, keluarga tu…”

“Entahlah, tak tahulah saya nak cakap macam mana. Tak habis-habis membuat fitnah. Bukan arwah Mat sorang yang kena, sebelum ni pun ada juga. Dituduh macam-macam, baliklah, menjelmalah.”

“Ish! Malaslah saya nak cakap banyak-banyak. Lagi cakap, lagi nak marah pulak rasanya, tapi sebelum tu, abang dengarnya daripada mana?” soal Nasa semula.

 

“Kak, akak tahu apa yang Abang Nasa cakap pada saya?” sampai Kak Esah isteri Nasa pada mak yang kebetulan ada datang menjenguk ke rumah.

“Apanya?” soal mak ingin tahu.

“Ada orang yang bawak mulut, memburukkan arwah. Katanya, Mat menjadi. Balik ke rumah mengetuk pintu bilik adik-adik, lepastu lagi...” balas Kak Esah menceritakan apa yang diketahui.

“Laillahaillallah, siapa?! Siapa yang cakap macam tu?” tutur mak tak menyangka yang arwah anaknya difitnah sedemikian rupa.

 

Abah duduk bersendirian di bangku duduk bus stop. Matanya meliar memandang ke sana-sini. Sesekali dia menggaru kepala yang terasa gatal. Gelagatnya dah macam orang gila talak tiga sehingga habis satu kampung dijaja kisah Husin yang merayu Timah. Sakit hatinya bila mengetahui, tapi lebih sakit lagi bila teringatkan kata-kata Sohor yang masih terngiang-ngiang di fikiran siang tadi.

“Husin tu dah macam orang tak betul aku tengok. Ke hulu, ke hilir mengejar Timah. Sampai tersampuk-sampuk!” ucapnya. Serentak disambut dengan hilaian oleh rakan-rakan semeja.

“Tu lah! Timah tu bukan main baik lagi.”

“Dia tu yang pandai nak jaga bini. Masa ada tak jaga elok-elok, dah lari baru terhegeh-hegeh memujuk!” tambahnya lagi. Abah yang mendengar jadi panas hati. Hajatnya untuk mengeteh terus terbantut. Langkahannya dibuka besar sebelum suiz motosikalnya dihidupkan semula, sebaliknya kata-kata itu akan diangkat sebagai satu cabaran untuk dikalahkan.

“Takpa, tengoklah! Tengok!”

“Aku akan dapatkan dia semula. Masa tu barulah kalian tahu siapa aku!” bisiknya dalam hati berteman muncung yang sepanjang lengan.

 

Bunyi enjin motosikal besar jelas kedengaran di telinga. Serentak dia kembali ke alam realiti. Dia kenal sangat dengan bunyi motor Man tu. Rupanya abah sengaja menunggu Man di situ dan rancangannya cuma ada satu, untuk mendapatkan isterinya semula…tak kiralah dengan apa cara. Tangan segera diangkat dan dilambaikan ke arah Man yang kebetulan memandang ke arahnya. Man perasan, lalu menuju ke situ.

“Ha, kenapa abah?” soal Man ringkas.

“Man boleh tolong abah?”

“Apa?” jawap Man acuh tak acuh.

“Siapa yang masak dekat rumah?”

“Kalau abah bagi beras, garam dengan gula, boleh Man tolong guna bila masak? Bagi mak makan.”

“Bukannya apa, cuma untuk lembutkan hati mak tu sikit. Abah dah puas pujuk dia balik, tapi dia yang tak nak. Nak ke Man tengok mak dengan abah selamanya macam ni? Duduk asing-asing macam ni?” pujuk abah dengan lidah berbelah.

“Tengoklah nanti macam mana. Nanti Man tanya dengan Safi, sebab dia yang masak kat rumah. Lagipun dia ada di rumah sekarang ni, cuti. Takpalah, apa-apa nanti Man bagitahu semula pada abah.” jawap Man. Dia tak mahu berlama-lama di situ dan serantak itu, dia berlalu, meninggalkan abah yang terus duduk termanggu.

 

“Safi! Safi!”

“Ha!” balas Safi seraya memberi perhatian pada adiknya.

“Abah…abah ada jumpa Man. Abah tanya, siapa yang masak kat rumah. Abah nak kasi beras, gula, lepastu garam. Katanya untuk buat pujuk mak balik pada abah. Safi rasa macam mana? Safi nak buat ke?” bisik Man ke telinga, menceritakan perkara yang berlaku pada Safi dengan perasaan geli hati. Suaranya cuba dikawal agar tak didengari mak yang sedang duduk di dapur. Senyuman terukir di wajahnya, dah tak tertahan bila memikirkan tentang rancangan.

“Dah tu Man cakap apa dengan abah? Man setuju?”

“Man janji Man nak tolong? Ingat ya! Jangan nak buat fasal.” balas Safi mengingatkan dengan ketawa yang cuba untuk ditahan. Hatinya dirasa bagai digeletek dan dikorek-korek.

“Man tak janji apa-apa! Man kata, tengoklah nanti. Dah tu macam mana? Setuju?” soalnya kembali, masih kekal berbisik.

“Gila nak setuju! Abah tu tak habis-habis kan?! Tak dapat cara terang, sanggup guna cara gelap.”

“Man tak kesian kat mak ke? Safi tak nak campur. Safi rasa, biarlah mak buat keputusan sendiri. Lagipun, semuanya mak yang dengar, mak yang rasa, mak yang tanggung, kita yang tengok ni, tak tahu apa-apa.”

“Kalau baik bagi mak, baik jugak bagi Safi sebab mak lebih kenal abah, lebih daripada kita.”

“Dah tu, kalau Man nak bagi tahu mak boleh?” soalnya pula. Safi membalas dengan senyuman segores.

“Pergilah bagitahu. Apalah…”

“Buat malu je!” jawap Safi mempersetujui dan Man segera bergegas ke dapur untuk menceritakan berita sensasi. Mak hanya menggeleng-gelengkan kepala tanda tak puas hati saat mendengarnya.

“Tengok tu! Tak habis-habis nak memaksa! Semua mesti kena ikut cakap dia. Perangai memang tak pernah nak berubah!” tutur mak geram.

 

Previous: Bab 84
Next: Bab 86a

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.