Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 55b

(sambungan)

“Mana? Mana buku lognya?” soal ateh pada Mat yang baru sahaja sampai.

“Allah! Terlupa la.”

“Takpa, takpa. Biar Mat pergi semula.” tutur Mat sebelum bertindak mengayuh basikalnya lagi. Mak yang sedang menyapu sawang di bahagian bawah lantai rumah sempat melauh padanya.

“La, nak kemana lagi tu?” segera mak menyoal.

“Nak beli buku ateh! Tadi terlupa!”

“Mat pergi kedai sekejap!” jawapnya yang sudah berada agak jauh membuatkan mak hanya mampu menggeleng sahaja.

 

Daripada jauh, Mat sudah dapat terlihat kelibat Kojek dan rakan-rakannya yang berada di hujung simpang jalan. Andai bukan kerana keperluan ateh, pasti haluannya telah dilencongkan, namun, berteman debaran, perjalanannya tetap diteruskan.

“Nanti nanti nanti!”

“Sini!” gamit Nuar pada Mat yang semakin menghampiri membuatkan Mat berhenti dengan sendiri.

“Sini!” arahnya lagi, tapi Mat kekal membatukan diri diatas basikalnya, tak mahu mendekati dan keadaan itu telah membuatkan Nuar datang dengan sendiri.

“Kan aku dah cakap, sini! Yang kau buat keras kepala tu kenapa?!” tengkingnya sambil mencengkam kolar baju Mat tinggi dan menariknya ke arah ahli-ahli kumpulan yang lain.

“Bagi!” arahnya pula sambil menadah, meminta habuan selesai memeriksa keadaan.

“Aku tak ada duit.” balas Mat, mendatar sahaja, dah terbiasa.

“Tak ada?!”

“Takkanlah tak ada!”

“Takpa, kalau macam tu biar aku periksa! Kalau aku jumpa…” tuturnya mula bertindak.

“Nuar…aku tak ada…” belumpun sempat Mat menghabiskan, duit tersebut sudah dijumpai pula.

“Ha, ni apa? Berani kau tipu aku ya!” tuturnya selesai menyelukkan tangan ke dalam poket seluar Mat. Serentak itu juga satu hentakan dilepaskan ke arah belakang kepala Mat untuk melepaskan rasa geramnya.

“Wei, janganlah wei…itu duit adik aku. Dia suruh aku beli buku…” rayu Mat cuba membantah, namun yang diperolehinya hanyalah kekehan dan tolakan.

“Huh! Beli buku?”

“Tapi…memang tak boleh nak buat apalah. Sebab, aku nak beli rokok!” jawap Nuar bersahaja sambil disambut oleh hilaian daripada yang lain-lainnya.

“Tolonglah wei…tolonglah pulangkan semula.”

“Tolonglah…sebab itu bukan duit aku…” balas Mat masih merayu. Tangannya kekal berusaha untuk mengambilnya semula. Bergelut mereka sesama, namun usahanya itu masih belum mampu untuk membuatkan dia mendapatkan haknya semula. Mana mungkin bila satu dilawankan dengan tiga. Kojek tersenyum gembira menyaksikan hiburan yang dihidangkan.

“Kau ni memang nak sangat ke?”

“Ha, kalau macam tu, ambik!” ucap Nuar tinggi sebelum menghentakkan kepala Mat ke arah bahagian tengah pemegang basikal.

“Argh!” bisik Mat bila kepalanya sudah rasa berdenyut-denyut di bahagian yang terkena hentakan. Tak cukup dengan itu, dia ‘dihadiahi’ pula dengan tendangan yang telah membuatkan diri dan basikalnya tumbang ke jalan.

“Itulah sebabnya, bila aku dah mintak, bagi jelah. Yang nak menipu tu kenapa? Ha, sekarang, kan dah kena!” tutur Nuar yang sedang mula mengira hasil pemerasannya. Mat hanya mampu melihat sahaja, dah tak mampu mahu melakukan apa sambil segera menyeka air mata yang sudah datang dengan sendirinya.

“Apa yang kau tengok tengok lagi! Pergilah berambus!” tengkingnya sebelum disambut oleh gelakkan tanda kemenangan. Dalam kepayahan, Mat berusaha untuk bangun, tapi, entah apa yang telah merasuknya hari ini dan entah kenapa dia jadi makin berani.

“Bagi balik duit adik aku tu!” gesanya meminta haknya semula.

“Kau ni kenapa?”

“Oh, sekarang nak tunjuk berani ya?”

“Kalau berani sangat, ambik ni!” tutur Nuar yang sudah rasa betul-betul tercabar. Tanpa menunggu lama, satu tendangan dilepaskan ke arah Mat sebelum turut diikuti oleh yang lain-lainnya.

 

“Ya-Allah Mat! Kenapa boleh jadi sampai macam ni?” mak berlari mendapatkan Mat yang sedang berdiri di laman berteman tangisan. Penyapu lidi yang setia di tangan serta-merta terlepas daripada genggaman. Hidung Mat berdarah berteman baju yang turut sama terdapat tompokan-tompokan merah.

Luluh hati mak melihatkan keadaan anaknya itu. Mat hanya diam dan sesekali dia menyapu air mata dengan pangkal lengan. Dia takut untuk menceritakan keadaan yang sebenar. Kojek dan Nuar sudah berpesan supaya tidak sesekali memberitahu tentang apa yang terjadi, kalau tak, sesuatu yang lebih buruk bakal berlaku.

“Siapa yang buat Mat macam ni?! Cakap Mat, cakap!” mak menitiskan air mata. Tidak pernah dia sangka ada makhluk ciptaan Allah yang tak berhati perut seperti itu. Menganiyai orang lain tanpa rasa simpati.

“Awak! Cuba tengok anak ni!” kuat suara mak memanggil abah yang sedang berbaring di muka pintu. Abah menjenguk daripada tingkap panjang sebelum dia beristigfar saat melihat keadaan Mat yang sedemikian rupa. Laju langkahnya dibuka menuju ke arah keduanya.

“Siapa yang buat semua ni?”

“Cakap pada abah. Siapa yang buat Mat macam ni?” tutur abah tegas, namun Mat tetap mendiamkan diri. Ugutan Kojek sebentar tadi belum lekang di ingatan. Muka abah makin merah menahan marah dan mak sudah mula teresak-esak kesedihan.

“Abah tanya sekali lagi! Baik Mat cakap betul-betul dengan abah! Siapa yang buat semua ni?!” soalnya sekali lagi dengan intonasi yang lebih tinggi. Mahu saja rasanya dicarik-carik si pelaku itu dengan kedua-dua belah tangannya. Biar sama-sama merasa. Mat tahu kemarahan abah dah tak dapat dibendung lagi dan disebabkan itu, dia sedar yang dia sudah tiada pilihan. Ugutan Kojek awal tadi terpaksa dibuang ke tepi.

“Mat cakap Mat, cakap! Cakap pada mak, siapa orangnya. Biar mak dan abah yang uruskan.” pujuk mak berdeplomasi. Mak takut kalau lambat lagi, abah pasti dikuasai perasaan sendiri.

“Ko…Kojek. Kojek dengan kawan-kawan dia.” balasnya perlahan.

Mak menyeka air mata yang berlinangan sebelum tubuh tungkai Mat dibawa ke dalam pelukan.

“Takpa, nanti Mat ikut mak.”

“Awak lekas bersiap! Sekarang kita pergi ke rumah mak bapak budak tu.”

“Dah melampau sangat budak-budak ni. Nak mendidik anak orang, tapi anak sendiri tak terdidik. Perangai mengalahkan setan!” marah mak yang sudah bersedia untuk membuat perhitungan.

“Awak bawa Mat naik basikal nanti. Biar saya jalan kaki.” tambah mak lagi sebelum bergegas naik menyiapkan diri.

Langkah kaki diatur laju menyusuri jalan tar yang sunyi. Air mata tak pernah lekang menemani. Mak sendiri tak pasti. Sangat besar ujian yang Allah beri. Nak mengadu, dia tak tahu pada siapa lagi. Wajah mak dan ayah terlintas di fikirannya kini. Serentak itu, tangisanya makin menjadi-jadi.

“Assalammualaikum!” tutur mak agak kuat, tiada sahutan. Amarahnya cuba di kawal sebaik-baiknya.

“Assalamualaikum!” tuturnya lagi.

“Waalaikumussalam…” terdengar suara lelaki menyahut sayup-sayup daripada bahagian tengah rumah sebelum wajah guru yang amat dikenalinya itu muncul di muka pintu sambil diikuti oleh isterinya.

“Ingatkan siapa tadi. Kak Timah rupanya. Kenapa kak?” soalnya ingin mengetahui punca, kerana seingatnya tak pernah Kak Timah datang bertandang. Sambil-sambil itu, matanya tak lekang dari memandang wajah Mat yang berada di sebelah dan Husin yang ada di bahagian paling belakang. Dia nyata tekejut. Debaran di hati cuba dikawal. Pastinya Kojek buat hal lagi. Sudah berkali-kali dia menasihati, tapi anaknya itu buat-buat tuli. Tak pernah nak mengerti.

“Ni! Cuba tengok apa yang anak cikgu dah buat pada anak saya ni!” ucap mak terketar-ketar. Dia dan isterinya berpandangan sesama sendiri. Abah yang duduk di belakang Mat, sepi tanpa bicara, namun jelingan tajam abah sudah cukup untuk menceritakan segalanya.

“Betul ke anak saya yang buat semua ni? Akak jangan main tuduh-tuduh je kak. Saya rasa akak dah salah faham ni.” tutur cikgu tersebut, membela si anak. Bukan dia tak tahu perbuatan anaknya, cuma, dia malu untuk mengaku. Apa kata orang lain nanti kerana disebabkan hal-hal sebegitu, statusnya sebagai guru besar pasti akan dicemari.

“Kojek mana? Kojek? Panggil dia ke sini.” tutur mak. Sakit hatinya melihatkan tindakan orang tua yang masih mahu membela perbuatan terkutuk anak sendiri.

“Kojek. Sini sekejap.” panggil Cik Ani kekal berlembut. Berdesing telinga mak mendengarnya. Dah sampai tahap ni pun masih boleh berlembut dengan anak sebegitu? Patutlah anak tak makan ajar, rupanya mak bapa yang tak tahu mengajar! Bisik mak di dalam hati, masih sukar untuk mempercayai.

Seketika kemudian Kojek muncul dan mengambil tempat di belakang maknya, berlindung, tak ubah macam tikus. Jadi pengecut bila hati mula terbit rasa takut.

“Betul Kojek yang buat anak Mak Cik Timah tu?” soal cikgu berkenaan sambil muka anaknya itu dipandang sedikit geram.

“La, bukannya kami sengaja ayah. Kami bermain-main je. Lepastu dia jatuh. Itu yang jadi macam tu.” jawapnya takut-takut.

“Ha kak. Main-main je katanya. Biasalah budak lelaki bermain. Adalah yang cedera.” balasnya, ingin menutup aib yang tercipta selebihnya ingin menutupi pekong didada sendiri.

“Main-main kalian cakap!”

“Main sampai macam ni? Berdarah sana sini?” balas mak hampir terjerit, tak menyangka jawapan yang bakal diterimanya sebelum dia sedar, perbincangan berkenaan takkan pergi jauh seperti yang diharapkanya.

“Cikgu…” tutur abah ingin membantah, bila hati dah mula dibakari amarah, namun tak dapat nak ditambah kerana mak dah menegah.

“Sudahlah awak. Takpa, Allah ada.”

“Susah kita bila bercakap dengan orang yang berpendidikan ni. Tak pernah nak kalah. Tapi ingatlah, salah tetap salah. Jangan sampai menyesal nanti sudah.”

“Dah, jom kita balik.” pintas mak mengarah, bukan lemah, tapi hanya ingin berserah.

Tangan Mat mak pimpin kemas. Dia tak mahu berlama-lama lagi di situ. Takut tak dapat mengawal diri nanti. Lagi banyak yang dicakap, lagi sakit rasa hati. Mak sedar, dia orang susah. Orang susah selalu ditindas, tapi mereka lupa yang Allah ada untuk membalas.

Abah tak dapat untuk berkata apa, setelah mak bertindak terlebih dahulu untuk menyudah dan dengan perasaan bercampur-baur, abah turut sama membuka langkah.

Mat menunjukkan lokasi basikalnya kepada mak. Melihat baki kesan darah pada handle basikal membuatkan mak jadi lebih sebak. Air mata yang kering tadi muncul lagi, laju, sederas air di kali.

“Ya-Allah kuatkanlah hati kami menempuhi ujianMu ini. Sesungguhnya hanya padamu tempat kami beserah diri…” bisiknya mengubati hati.

 

Previous: Bab 55
Next: Bab 57

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.