Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 30

Kelibat Cikgu Samsul yang baru muncul membuatkan Mat berdebar-debar, kerana dia sedar tak lama lagi dia perlu segera keluar. Tanpa menunggu lama, dia mencapai buku latihan dan sebatang pen, sebagai langkah persediaan sebelum hukuman dilaksanakan.

“Assalammualaikum cikgu.” tutur Ijat, ketua kelas setelah berdiri, menyambut kedatangan guru lalu diikuti oleh anak-anak buah yang lainnya.

“Waalaikummussalam. Duduk.” balas Cikgu Samsul pula sebagai formaliti sebelum dia meyelak-nyelak helaian buku teks, mencari bahagian yang sepatutnya.

“Ok semua, hari ni kita sambung pelajaran yang lepas. Sila buka, muka surat 81.” arahnya sebelum memeriksa keadaan pelajar-pelajarnya dan keadaan yang sama berlaku lagi. Mat tak membawa buku lagi hari ini dan serentak dengan itu satu jelingan yang tajam dihadiahkan pada Mat yang sedang memandang. Mat terus sahaja bangun dan bergegas keluar dari bilik berkenaan setelah memahami bahasa tubuh yang cikgu berkenaan berikan. Ernie yang ada di sebelah menghantar pemergian Mat dengan rasa kecewa, bukan pada Mat, tapi pada gelagat Cikgu Samsul yang kelihatan tegas tak bertempat.

 

“Baik, hari ni kita teruskan dengan bab yang berikutnya.” tutur Cikgu Mastura, Cikgu Matematik pada semua yang ada di dalam kelas Tingkatan 4 Rajin berkenaan.

“Muhammad masih tak ada buku lagi?” soalnya pada Mat tadkala terpandangkan meja Mat yang kekosongan.

“Tak ada cikgu.” balas Mat sambil menggeleng-gelengkan kepala perlahan.

“Takpa, kalau macam tu, Muhammad pakai buku cikgu dulu.” tutur Cikgu Mastura sebelum bergerak menuju ke meja Mat yang terletak tak berapa jauh daripadanya. Mat rasa sangat gembira kerana walaupun tak semua, ada sedikit yang memahaminya. Begitulah keajaiban Allah dalam penciptaan dan sememangnya ada nilai-nilai baik dalam diri setiap insan.

“Ok, kita teruskan dengan 8.3, tentang…” tuturnya sambil merujuk pada buku pelajar yang ada di hadapan sebelum mula mencapai kapur tulis dan menulis, mengikut keperluan.

 

“Dah, padam tv tu!” arah abah pada Safi yang masih mahu melanjutkan tontonan, tapi bila dah menerima arahan dia takkan dapat untuk membiarkan kerana abah paling pantang dibantah. Cepat-cepat dia bangun dan mematikan suiz soket, tak nak mengundang musibah.

“Turunkan kain langsir abah ni!” tambah abah pula sebelum segera membetul-betulkan bantal kepala dan seperti sebelumnya Safi segera memenuhi permintaan.

“Pergi tidur. Esok Safi tolong abah bawakan colok ya.” tutur abah lagi, membuat perancangan sendiri.

“Ha.” balas Safi sepatah, tak berani nak membantah, biarpun dia tahu agak sukar untuk dia bangun seawal itu.

 

“Kring!!!…Kring!!!…” bunyi loceng jam yang dikunci membuatkan mak segera membangkitkan diri. Pantas sahaja tangannya mematikan butang penggera yang ada di atasnya, tak mampu menahan pekikan yang dikeluarkan sebelum membetul-betulkan mata yang masih minta dilena.

“Awak bangun! Dah dekat pukul 4.30 dah ni.” tutur mak sambil menggoyang-goyangkan bahu abah yang kekal keras, langsung tak terusik dengan jeritan berkenaan.

“Awak, bangun! Nanti lambat anak-anak tu nak ke sekolah!” tegas mak sambil mengoyang-goyangkan tubuh abah semula, mujurlah kali ini abah berjaya dikejutkan dari mimpinya.

“Ha? Dah lambat? Dah pukul berapa?” soal abah terkejut, lalu terduduk sambil menyapu mata dengan tangannya.

“Dah dekat pukul 5 dah. Dah dah, bangun!” arah mak, sengaja menambah kiraan pada minitnya kerana dia kenal sangat dengan perangai abah yang satu ni, suka berlengah-lengah! Mendengar apa yang mak kata, abah pun apa lagi, kalutlah jadinya sebab hari ini hari rabu, dan setiap kali rabu, banyak ayam yang perlu diproses, tapi itu satu, selebihnya dia perlu menyelesaikan perkara yang terpenting terlebih dahulu, iaitu memunggah ayam-ayam yang ditinggalkan di simpang jalan besar dan keadaan itu memakan banyak waktu.

“Mat, Usop, Bangun.” tutur abah, dalam usaha untuk mengejutkan anak-anak yang masih nyaman terlena, namun tak ada yang menyambut lauhannya.

“Mat! Usop! Bangun!” ulang abah semula, lebih kuat daripada yang sebelumnya, membuatkan Mat dan Usop terus terbangun dibuatnya.

“Cepat cepat! Kita dah lambat dah ni! Dah pukul 5!” tambah abah kalut sambil menggulung pinggang kain tinggi mencerminkan keseriusan hati.

“Safi…bangun. Semalam kata nak tolong abah.” tutur abah membangkitkan Safi pula, minta bantuan dan tanpa menunggu lama Safi yang dah terjaga awalnya segera duduk sambil menggentel-gentel mata yang kekal sukar untuk dibuka kelopaknya.

 

Laungan azan subuh kedengaran sangat syahdu di pendengaran. Mungkin disebabkan tempat tinggal mereka yang terletak jauh di pedalaman, kesunyian yang dipecahkan oleh suara berkenaan terasa sangat menenangkan.

“Hj. Karim pagi ni…” tutur mak perlahan setelah pengenalpastian. Sambil mendengar mak menjawap setiap satu laungan yang digemakan. Abah yang baru selesai memesin ayam, mengambil peluang untuk melepaskan gian dengan menghisap rokok Dunhill kegemaran, langsung tak memberi sebarang alasan. Berkepul-kepul asapnya memenuhi ruang yang terbuka itu.

“Huh! Hj.Karim tu! Bukannya betul sangat orangnya!” bentak abah selesai azan berkenaan dilaungkan.

“Ya-Allah…awak ni kenapa? Kenapa benci sangat awak dengan dia? Apa salah dia pada awak?” soal mak, tak percaya pada apa yang baru didengarnya. Mat, Usop dan Safi kekal sepi, hanya memilih untuk menjadi pemerhati.

“Dia tu mudah sangat percaya pada cakap orang! Mula-mula dulu, awak tak ingat? Dulu dia beli ayam dengan kita, tapi sekarang tak, sebab apa? Sebab dia termakan hasutan Kamal anak Mincun tu yang kata kita lepaskan anjing berkeliaran waktu kita memproses ayam, lepastu biarkan anjing kita gonggong-gonggong, bawak lari ayam tu. Mudah-mudah dia percaya semua apa yang orang lain cakap!” bidas abah sebelum menyedut puntung rokok yang ada di celah jari itu lagi, mahu menenengkan hati dan mak hanya mampu sunyi, sambil memikirkan kebenaran apa yang terjadi.

“Apa dia ingat kita ni tak tahu hukum agama? Tak pergi mengaji?”

“Tahu lagi saya mana yang boleh dan mana yang tak? Dia ingat dia sorang yang menuntut ilmu agama? Saya pun dulu baca kitab waktu belajar di sekolah agama. Dah lengkap dah semua yang diajar dalam kitab tu.” tambah abah lagi menyatakan kekesalan hati.

“Dia tak tahu apa yang jadi. Nak salahkan dia pun tak boleh jugak, dia cuma mendengar apa yang orang lain sampaikan pada dia.” balas mak mahu meredakan keadaan.

“Dah? Kalau tak tahu bertanya, yang dia dengar je tu kenapa? Cikgu-cikgu dekat sekolah, orang-orang kerja pertanian, orang klinik tu pun, semuanya sama. Semuanya mudah sangat percaya cakap orang. Masa tak ada duit, nak berhutang, kitalah tempat mereka datang, tapi bila dah dapat gaji, Hamid tu je yang dipandang.” jawap abah, masih lagi tak puas hati.

“Ha, si Razak, ada dia datang membayar hutang? Dah berbulan-bulan, sampai dah berlambak hutang dalam buku 5-5 tu. Apa mereka ingat kita ni buka rumah kebajikan? Suka-suka hati nak bagi orang lain makan? Dah tu, kita nak makan apa?”

“Yang paling buat saya sakit hati, bila dah masuk gaji, masuk ke pasar pun dah tak nak lagi. Rela tunggu dalam kereta dekat pintu belakang pasar tu, menunggu Hamid siapkan ayam untuk dia.”

“Apa namanya tu? Hutang dah berlambak, tapi usahkan membayar, bertanya pun tak!”

“Tapi takpalah, hutang tetap hutang, jangan mereka haraplah saya nak halalkan. Jawaplah sendiri kat akhirat nanti!” tutur abah memuntahkan segala rasa kekesalan.

“Awak ni, tak baik cakap macam tu. Dahlah dahlah, cepat angkat tong ayam ni, saya dah siap dah ni. Tak payahlah kita nak mengingat mereka pagi-pagi buta ni.”

“Biarlah kalau mereka nak buat kita, yang penting jangan kita buat orang sudahlah.” tambah mak yang sudah selesai membuang temolok dan tunggul-tunggul bulu yang masih ada pada ayam berkenaan. Tanpa banyak soal, abah segera menghampiri sambil menuntun basikal tuanya yang ada di sisi.

 

Jam di dinding baru nak masuk 0615 pagi, tapi Ateh dah mula menggesa adik-adiknya untuk pergi.

“Cepatlah! Ateh dah lambat dah ni! Hari ni ada ujian, ateh nak kena sampai awal!” gesanya pada Safi, Man dan Ina yang masih belum selesai berpakaian.

“La…relek la dulu…kan waktu awal lagi. Biasanya kan kita pergi pukul 6 setengah.” balas Man yang sedang sibuk meminyakkan rambut.

“Kan ateh cakap yang ateh kena cepat sebab ateh ada ujian hari ni, yang banyak cakap sangat tu kenapa?” bidas ateh semula, tak suka tindakannya dipersoalkan sesiapa.

“Karang nak beli ayam percik yang Kinah order lagi, tak sempat nanti!” gesanya semula sambil mengoyakkan kertas surat khabar lalu memintal-mintalkannya separa kemas.

“Eeee…ateh ni! Entah apa-apa entah!” balas Man semula, tak suka digesa-gesa.

“Orang dah cakap cepat, cepat jelah!” gesa ateh semula setelah selesai memakai kasutnya sebelum segera turun dari mata tangga yang sudah bergoyang-goyang keadaan fizikalnya, tak ubah macam gigi yang dah nak tercabut akarnya.

“Tunggulahhhh…” jerit Man dan Ina yang terkejut dengan tindakan kakaknya itu. Manataknya, hari awal sangat, tanah pun masih gelap gelita, dan pokokpun hitam lagi, langsung tak nampak apa-apa, tapi kenapa kakaknya begitu tergesa-gesa? Kalau terpijak ular macam mana? Bisik Man sambil menggaru-garu dahi sulahnya.

“Safi cepat! Ateh dah nak pergi tu!” tutur Man yang sedang menyarungkan kasut pada Safi yang dilihat masih berlengah-lengah lagi.

“Takpalah, Man pergilah dulu, Safi nak tolak basikal abah. Nanti Safi kejar daripada belakang.” balas Safi yang sedang mengikat belakang serkup kepala yang sudah lembut getahnya.

“Takpalah! Kalau macam tu, Man pun nak ikut dengan Safilah.”

“Ateh, ateh pergilah dengan Ina. Man nak tunggu abah.” tuturnya sebelum duduk semula di atas rumah.

“Man cepatlah!” tutur ateh yang dah mula marah selebihnya dia tak cukup berani untuk meredah kegelapan itu secara bersendiri. Ina memang ada, tapi gunanya tak sebanyak mana.

“Man pergilah ikut ateh. Tengok ateh dah marah dah tu. Dahlah, dah. Man pergi. Takpa, nanti Safi kejar daripada belakang. Lagipun sekejap lagi abah siaplah sembahyang.” tutur Safi tak mahu keadaan jadi makin tegang. Ateh, kalau dah bengang, silap-silap adalah yang kena terajang.

“Ok, tapi Safi jangan lambat-lambat.” balas Man pula sebelum segera menyandang begnya dan beredar bersama-sama ateh yang sudah mula menarik muka masam mencuka. Sempat juga dia melambaikan tangan kepada kakak kecilya itu, sebelum dibalas Safi yang ada sedikit terguris hati kerana perkara seperti itu bukan pertama kali terjadi. Sudah terlalu kerap, sampai tak dapat nak dihitung dengan jari.

Ateh memang selalu macam tu, bila hari rabu. Bila sampai hari rabu, mulalah dia meragam tak menentu. Arahkan mereka bersiap cepat-cepat, lepastu ada sahaja alasan dia untuk bertolak awal, lebih awal daripada abah. Kalau pergi sekali dengan abah pun, biasanya ateh duduk jauh-jauh daripada basikal abah. Ke sebenarnya ateh memang tak suka jalan sama-sama dengan abah? Soalnya pada diri sendiri sambil memikirkan kebenaran telahan hati.

 

 Perjalanan dari rumah sampai ke pasar jauh bila berjalan, tapi rasa lebih jauh bila ada beban. Tambahan pula, jalan yang dilalui taklah berbatu semuanya, sebaliknya terdapat juga kawasan tanah merah yang agak cerun bukitnya. Dari rumah nak ke pasar ada banyak bukit, yang kecik dan yang rendah, yang besar dan yang tinggi, semua ada, bukan satu, tapi banyak bilangannya. Bila hari hujan, licinlah jalan. Masa naik bukit, Safi tolong tolak, bila nak turun bukit, Safi tolong tarik, takut abah tak cukup tenaga nak kawal basikalnya.

Selesai satu bukit, mereka menempuh satu bukit sebelum mereka menghampiri kawasan deretan kedai yang menjadi tumpuan semua yang datang untuk berbelanja.

“Dah-dah, tak payah! Safi tak payah tolak dah basikal abah.”

“Abah dah boleh bawak dari sini. Safi pergilah sekolah.” tutur abah pada Safi yang hanya nampak kepala, kerana ketinggian Safi hanya lebih sedikit daripada bebanannya.

“Takpalah, Safi nak tolak sampai pasar. Lagipun hari kan awal lagi.” jawap Safi, mahu menyelesaikan tugasannya, tak suka membuat sesuatu sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.

“Takpa, abah boleh. Safi pergilah! Dah! Lepas tangan! Jangan pegang tong abah!” arah abah, tegas bunyinya, membuatkan Safi segera berhenti, tak suka bila tengok abah marah.

 

“La…Safi tak pergi lagi?” soal abah selesai menoleh setibanya mereka di tapak niaga.

“Tak.” jawap Safi sepatah, dengan tangan kekal memegang kedua-dua bucu tong ayam abah yang sarat dengan muatan. Paling dibimbangkan bukan sahaja muatan di dalam tong, tetapi bebanan tambahan yang tergantung di bahagian pemegang hadapan, bukan satu, tapi dua, di kiri dan di kanan. Dengan bebanan sebanyak itu dia tahu, memang taklah abah mampu menguruskannya secara bersendiri.

“Safi tolong abah pegang basikal. Abah nak turunkan tong ni dulu.” tutur abah minta dibantu.

“Ha.” balas Safi sebelum bergerak ke hadapan sambil menekan pemegang basikal dengan sepenuh kekuatan, dan dengan sekali angkatan tong yang mampu memuatkan hampir 30 ekor ayam itu berjaya diturunkan. Termengah-mengah abah setelah selesai melakukan percubaan. Walaupun begitu, abah masih mampu tersenyum padanya.

“Dahlah, Safi pergilah sekolah, nanti lambat. Takut cikgu tak bagi masuk pulak nanti.” arah abah sambil berusaha menanggalkan plastik ayam yang tergantung dia bahagian hadapan pula.

“Ha.” balas Safi sebelum bergerak pergi, meninggalkan abah sendiri kerana Mat dan Usop masih belum sampai lagi.

Ada satu persoalan yang selalu berlegar-legar di benaknya setiap pagi rabu. Kenapa abah selalu suruh dia berhenti setiap kali dah nak sampai ke kawasan kedai? Bila sampai tempat banyak orang, dah tak perlu nak tolakkan basikal dia lagi…tapi, kenapa?

Serentak itu, pandangannya tertumpu pada belakang susuk tubuh abah yang dilihat sedikit terbongkok demi menguatkan cengkaman pada pemegang hadapan, sampai ada masanya badan abah tersenget-senget dalam usaha mengawal basikalnya. Kaki seluar yang disingsing tinggi awalnya dah mula tergelonsor di sebahagiannya membuatkan abah kelihatan sedikit berbeza.

 Mula-mula dulu, masa dia budak-budak, masa tak pandai lagi mengenal huruf dan membaca dia memang tak mengerti. Bila dah lama sikit baru dia pasti…yang abah, tak nak dia malu, tapi dia tak kisah dengan semua tu. Perlukah dia rasa malu? Malu memiliki abah yang sebegitu?

Lepas lama berfikir dan berfikir, dia tak dapat nak cari sebarang alasan untuknya, kerana baginya…itu adalah keluarga dan kehidupan yang dia punya.

 

Tamat…

(bahagian yang pertama)

 

 

Previous: Bab 29
Next: Bab 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.