Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 41

Melihat keadaan dompet yang terbiar di atas meja membuatkan mak rasa teringin saja mahu mencapainya, tambahan pula, tiada sesiapa di sekitar, abah terutamanya. Selesai menentukan situasi, mak segera mencapai dompet terbabit dan mula memeriksanya. Satu demi satu poket diperiksa sebelum dia didatangi dengan perasaan lega.

“Hmm…mujurlah awak dah berhenti.”

“Alhamdulillah…” tutur mak berbisik, sebelum segera dia meletakkan beg duit tersebut di tempat asalnya dalam keadaan yang serupa.

 

“Ada awak main nombor lagi?” soal mak pada abah, sekadar mahu menguji.

“Hish! Mana ada awak ni. Saya dah berhenti!” balas abah tegas sebelum menyelak helaian surat khabar, deras.

“Betul ni? Awak dah tak buat lagi hobi awak tu?” soal mak buat kali kedua, kali yang penghabisannya.

“Tak…Tak percaya awak pada saya?” soal abah pula bermati-matian menidakkannya.

“Ha, baguslah tu kalau awak dah sedar.” jawap mak sebelum tersenyum sendiri berteman rasa kesyukuran yang tak dapat nak digambarkan. Abah yang mendengar akhirnya sudah mampu menghirup udara dengan ruang dada yang lebih besar.

“Kalau tak boleh depan-depan…sorok-sorok boleh kan?” tuturnya di dalam hati sebelum tersenyum sendiri.   

 

Mat mengeluarkan beberapa ratus ringgit yang diperuntukkan khas untuk tabungan, urusan awal bulan yang tak pernah lupa untuk dilakukan dan menyerahkannya bersama borang kemasukan serta buku simpanan kepada pekerja di kaunter pejabat pos berkenaan. Selesai disitu, dia sempat memeriksa baki terkumpul simpanannya yang sudah melebihi angka 5000 itu. Senyumannya sampai ke telinga, tanda berpuas hati dengan hasilnya.

 

“Wahhh…banyaknya duit Mat! Ada satu, dua, tiga. Tiga kosong. Banyak gila. Mat betul-betul dah jadi orang kaya!” bisiknya sambil mengangguk-anggukkan kepala setelah menjumpai buku simpanan Mat yang ada terselit di bawah kertas alas laci tersebut. Man dan Ina yang berada di sebelah turut sama memberi perhatian padanya.

“Mana? Mana? Mana duit Mat?” tutur Man pula, segera mahu mengetahuinya.

“Ni, nampak tak? Ada tiga kosong, maksudnya ada 5 ribu.” jawap Safi menceritakan sebelum Man dan Ina mula berebut-rebut untuk memeriksanya sendiri.

“5 ribu! Gila banyak duit Mat!” balas Ina dengan tangan yang merawai mahu mencapai.

“Dah dah dah! Koyak kang buku ni. Nanti kalau koyak, siapa yang nak tanggung! Dahlah. Nanti kalau Mat tahu kita selongkar laci dia, mesti kita kena!” tegah Safi sebelum menyimpan semula buku berkenaan di tempat asalnya.  

 

Selesai memasukkan beberapa kampit beras ke dalam van kecil itu, Mat menyemak semula senarai pesanan yang telah diterima daripada Pak Tam, pelanggan setia kedai berkenaan yang menjalankan perniagaan kedai runcit secara kecik-kecilan di rumahnya. Satu demi satu barang-barang diperiksa dan dipastikan kuantitinya kerana dia tak mahu melakukan kerja yang sama untuk kali kedua.

“Ok, dah beres.” bisiknya perlahan sebelum menurunkan pintu belakang kenderaan terebut. Belumpun sempat melangkah daripada situ dia ternampak Ernie yang sedang berjalan kaki.

“Assalammualaikum. Dah balik dah? Cepatnya.” sapanya tak perlu menunggu lama dengan nada sedikit terkejut.

“Waalaikummussalam…Hmm, dah. Dah balik dah. Kan hari ni hari Jumaat. Bus cepat.” balas Ernie, tersenyum seperti kebiasaannya selesai pulang dari sekolah menengah yang terletak di kawasan bandar.

“Oh! Terlupa. Balik dengan siapa? Tunggu ayah?” soal Mat semula.

“A’ah, dengan ayah, tapi ayah tak sampai lagi. Belum habis kerja lagi agaknya.”

“Rasanya, sekejap-sekejap lagi sampailah tu.” balas Ernie, kekal menguntum senyum.

“Ernie tunggu ayah dekat kerusi sanalah. Jalan sorang-sorang macam ni bahaya.” balas Mat yang mula bimbang.

“Bahaya apanya? Bukannya jauhpun rumah Ernie daripada sini. Kalau jalan kaki, sampai.”

“Memanglah sampai, tapi, jalan sorang-sorang? Ish, janganlah.” tutur Mat mengulangi pendirian hati.

“Ok.” balas Ernie menuruti.

“Ernie pergi tunggu sana dulu.” arah Mat sebelum berjalan menuju ke dalam kedai.

“Lah? Ernie ada nak beli barang ke?” soalnya semula saat terlihatkan Ernie yang kekal mengiringi.

“Ha? A’ah!” jawap Ernie dua patah.

“Nak beli barang? Ernie nak cari apa? Bagitahu je, biar Mat yang ambilkan.” tutur Mat sebelum mereka tetap sama-sama bergerak menuju ke perut kedai.

“Ernie…Ernie nak beli pen!” segera dia membalas kerana hanya itu yang berjaya terlintas.

 

Atap rumah yang sudah tiris dan mereput itu diperhatikan lagi. Selesai di dapur, Mat ke bahagian depan pula sebelum mula menghitung jumlah yang rosak dan yang dah mengalami kecacatan.

“Mak, kalau nak betulkan atap rumah ni, agak-agak nak guna berapa keping?” tutur Mat tiba-tiba pada mak yang sedang menumbuk lada, membuatkan mak segera memberhentikan pekerjaannya.

“Kenapa Mat tanya? Mat nak betulkan?” soal mak sambil turut mendongak sama.

“Ingat-ingatnya memang macam tulah. Tapi nak memanjat ke atas tu…” balasnya sebelum terus memikirkan cara untuk merealisasikan.

“Mat nak gantikan sendiri? Hai, kalau Mat nak menggantinya sendiri, mak rasa baik tak payah. Jatuh nanti. Lagipun atap tu tinggi. Rabung atap tu moh sampai 20 kaki.” ucap mak sambil menggeleng-gelengkan kepala, tak mempersetujuinya.

“Boleh rasanya, Mat boleh buat. Buat sikit-sikit.”

“Tebang pokok buluh tu untuk buat pelantar kaki. Letak melintang dekat alang ni, ha, lepastu, senanglah nak buat kerja dekat atas tu.” jawap Mat memberitahu perancangannya.

“Ya ke boleh? Nanti kalau jadi apa-apa macam mana?” tutur mak kekal dengan kebimbangannya.

“Boleh, sebab Mat ada nampak orang buat macam tu.”

“Ha, kalau guna cara tu, tak payahlah nak memanjat sampai naik ke atas bumbung. Kalau boleh tukangkan sendiri, dapatlah jimat duit sikit nanti.” cadangnya lagi setelah benar-benar pasti.

“Tapi…” balas mak, kekal teragak-agak lagi.

 

“Ha, dah balik dah? Ayah tak sampai lagi?”

“Alamak terlupa, tapi sebelum tu, assalammualaikum.” tutur Mat seperti biasa saat terpandangkan Ernie yang berjalan sendiri dan seperti kebiasannya juga Ernie manghadiahkan senyuman tanda bahagia.

“Waalaikummussalam...Sekejap-sekejap lagi sampailah ayah tu. Ingat, nak singgah kedai sekejap.” jawap Ernie sambil mengepitkan buku log yang bersaiz besar itu rapat ke dada.

“Ada nak beli barang lagi? Kalau ada, bagitahu, biar Mat pergi ambilkan. Lagipun Mat tak boleh nak teman Ernie hari ni, sebab Mamak ajak pergi teman dia ke bandar, ambil barang. Sekejap lagi dah nak kena pergi dah.”

“Kalau ada apa-apa, cakaplah, biar Mat tolong ambilkan.” tutur Mat lagi mahu memudahkan kerja kawan.

“Ernie tak nak beli apa-apa hari ni, Ernie cuma nak…” kata-katanya mati di situ tadkala kedua-duanya saling bertentang mata, dan serentak dengan itu hatinya jadi makin tak keruan pula. Mat turut berkongsi rasa serupa, dan entah kenapa debaran di dada muncul secara tiba-tiba sebelum kedua-duanya sama-sama tersipu malu.

“Ernie nak bagi ni. Selamat hari lahir Mat.” tuturnya sambil menghulurkan hadiah yang sudah dibungkus rapi dan Mat tak perlukan masa yang lama untuk menyambutnya.

“Untuk Mat?”

“Terima kasih, tapi, Ernie bagi apa ni?” balasnya yang dah mula rasa teruja sebelum pantas sahaja tangannya mahu membuka.

“Jangan bukak lagi! Nanti Ernie pergi baru bukak.”

“Selamat hari lahir yang ke 19 tahun, Muhammad Haspidallah bin Husin.” ulangnya semula, sebagai tanda menghargai kehadhiran seorang teman.

“Terima kasih. Terima kasih Ernie Syazwanie binti Musa…” jawapnya, tak lama sebelum dia mendapat cara untuk membalas.

“Kalau macam tu, Ernie tunggu sekejap ya. Sekejap je.” tutur Mat sebelum bergegas ke dalam kedai mencari apa yang dihajati.

“Nah!” suanya pada Ernie selesai membuat pembayaran.

“Mat belanja aiskrim? Terima kasih.” jawap Ernie tak menolak aiskrim sandwich yang nampak sangat menyelerakan itu, membuatkan Mat rasa betul-betul bermakna. Sedang seronok berbual, Pak Musa, ayah Ernie akhirnya tiba.

“Dah siap dah beli bukunya?” soal Pak Musa tadkala terpandangkan anaknya yang ada di hadapan kedai berkenaan, sempat juga dia menganggukkan kepala pada Mat.

“Mat.” tuturnya menyapa dan Mat membalasnya dengan cara serupa.

“Pak cik.” tuturnya, menghargai ikatan kasih sayang yang dihulurkan.

“Buku? Ha ha, dah dah. Dah siap dah!” jawap Ernie kalut sebelum memasukkan buku yang berada di tangan ke dalam raga motosikal ayahnya.

“Mat, Ernie balik dulu. Terima kasih untuk aiskrim ni. Assalammualaikum…” tambahnya sebelum duduk di bahagian pembonceng sambil melambai-lambaikan tangan.

“Waalaikumussalam…” jawap Mat turut sama membalas lambaian.

 

Mak, Safi, Man dan Ina sepakat mengerumuni Mat yang sedang membuka dan memasang dapur gas yang baru dibelinya itu. Setelah selesai memasangkan kepala getah gas berkenaan pada tongnya, masa yang dinanti-nanti akhirnya tiba dan dengan satu pulasan, api dapur berjaya untuk dihidupkan.

“Wahhhh!!! Hebatnya…!” tutur adik-adiknya teruja dengan kecanggihan ciptaan manusia.

“Yang belah sini, apinya kecik sikit, tapi yang sebelah ni, ha, besar. Tengok ni.” tutur Mat menerangkan. Mak masih sunyi tak berbunyi, kerana masih dibayangi kebimbangan di hari.  

“Ha, sekarang, mak pulak cuba. Cuba mak pulas dekat situ. Tekan dulu, lepastu baru pulas.” tambah Mat memberi panduan.

“Eee, tak naklah mak. Mak takut. Betulke ni Mat, selamat? Tak meletop ke nanti?” tutur mak kekal was-was.

“Mana ada meletop. Kalau meletop, tak adanya laku dapur gas ni. Kat kedai mamak tu, setiap bulan berpuluh set yang dia jual. Punya la banyak orang yang nak membeli. Kalau tak elok, takkan ramai yang nak mengguna.” balas Mat sambil ketawa.

“Mak cubalah pasang. Tekan dulu, lepastu baru pulas. Macam ni, buat macam ni.” tambah Mat lagi sebelum terus memberi tunjuk ajar. Melihat kesungguhan Mat, mak memberanikan diri untuk mencuba kerana seboleh-bolehnya dia tak nak mengecewakan anaknya itu. Lagipun Mat yang beriya-iya mahu membelikan, katanya untuk lebih memudahkan. Nanti tak perlulah lagi menebang pokok dan mengait dahan-dahan kayu langsat serta rambutan untuk dijadikan umpan.

“Nak pulas ke mana?” soal mak mahu kepastian.

“Ke sini, pulas ke sini. Ikut lawan jam.” jawap Mat sambil kekal menanti.

“Ke sini?” soal mak semula masih berusaha untuk mengingati.

“Ha, betullah tu. Tapi tekan dulu, kalau tak tekan nanti gesnya tak keluar.” jawap Mat kekal menunjuk-ajar. Safi, Man dan Ina berhimpit-himpit untuk menyaksikan perasmian yang bakal mak lakukan dengan hati yang kembang-kuncup, gembira tak terkata. Rasa betul-betul macam dah jadi orang kaya.

 “Bismillah…bismillahir rahmanir rahim…” tutur mak sebelum memula, dan hasilnya, membanggakan semua. Percikan api yang terhasil membuatkan mereka rasa sangat berbahagia.

 

Previous: Bab 40
Next: Bab 42

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.