Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 49

Abah pulang dengan muka masam mencuka. Lebih masam daripada belimbing buluh yang ada banyak bergayutan di belakang rumah. Muka abah merah, menahan marah. Safi, Man dan Ina yang leka bermain sebelumnya terus mendiamkan diri sebelum memerhatikan abah takut-takut, sebaliknya mak menghampiri abah yang jelas kelihatan terganggu oleh sesuatu. Abah rakus membuka butang bajunya lalu disangkutkan ke paku.  

“Kenapa dengan awak ni?” soal mak pada abah, mencari jawapan.

“Awak tahu apa saya buat pada Zam Mara tu tadi?”

“Awak buat apa pulak pada dia?” balas mak bimbang.

“Habis satu bas saya perambat dia! Awak tahu apa dia kata pada saya?!”

“Dia kata dia tetap nakkan along tu jadi menantu! Tak kisahlah walau dengan apa cara sekalipun! Kita setuju ke tak ke, dia kata dia tak kisah. Berdesing telinga saya ni mendengarnya!” suara abah kedengaran terketar-ketar, antara kuat dan perlahan, cuba sedaya-upaya menahan amarahnya.

“Ya-Allah! Kenapalah awak buat macam tu…kalau along tahu, mesti dia ingat kita saja nak bergaduh pulak. Bertambah bencilah budak tu pada kita.”

“Itulah awak, daripada awal-awal lagi saya kata, ubatkan budak tu, tapi awak buat tak kisah. Sekarang nasi dah jadi bubur. Apa lagi yang boleh kita buat?” tutur mak kecewa. Mak takut yang along akan bertindak di luar kawalan kerana bencikan mereka.

“Awak tu, ini sajalah modalnya! Asyik-asyik nak menyalahkan saya! Bukannya saya tak usaha! Dia yang dah termakan apa yang tak sepatutnya! Dah tu, apa lagi yang saya boleh buat?”

“Itulah, bila saya marah, nak ajarkan anak-anak awak pula yang membelanya. Ha…sekarang rasalah! Buat memalukan orang tua.”

“Habis dicanang hal rumah tangga kita satu kampung. Tebal muka saya ni tahu tak? Tebal bila orang asyik bertanya, kenapa kita buang along! Sakit hati ni tahu! Sakit!” balas abah marah hampir berteriak membuatkan mak dah tak berani nak menambah apa-apa.

Safi memberi isyarat kepada Man dan Ina, mengajak keduanya beredar dan duduk berkumpul di dalam bilik Mat kerana sudah acap kali sangat. Setiap kali nama along dibangkitkan, pasti mak dan abah jadi berantakan.

“Along memang tak ada fikiran. Gila mengejar cinta yang membinasakan.” bisik Safi di dalam hati berteman debaran akibat dikejutkan dengan budaya perbualan abah yang sukar untuk diubah. Marah dan marah.

Mak dah tak berupaya membalas kata-kata abah kerana jika diikutkan, memang takkan sudah. Akhirnya mak beralah sebelum dia duduk bersandar pada tiang seri rumah sambil teresak-esak sayu. Melihat keadaan itu, kemarahan abah muka mengendur. Tuala dicapai sebelum dia melangkah ke sungai untuk menyejukkan hatinya yag mendidih angkara perbuatan anak yang tak berakal.

 

  Suis lampu baru dipadamkan dan semuanya sudah selesa di perbaringan. Deringan telifon yang minta diangkat mengejutkan mereka sekeluarga. Mak yang baru baring bangkit kembali dengan hati yang  berdebar-debar kerana kebiasaannya, waktu malam sebegini, kalau ada yang menghubungi, pasti ada yang mustahak.

“Hello. Assalammualaikum.” tutur mak, tak mahu berlengah.

“Waalaikummussalam. Timah ya. Ni abang ni!”

“Ha, ya bang, kenapa?” balas mak tadkala mendengar suara mamak, abang sepupu yang sangat dikenalinya itu.

“Along, dia baru je selesai menikah!”

“Abang minta maaf Timah. Abang betul-betul tak tahu.”

“Petang tadi ada yang datang menjemput abang, ajak datang ke rumah malam ni, ada kenduri. Bila abang sampai, abang tengok along dah ada dekat situ dengan tok kadinya sekali.”

“Bila abang tanya, mana mak dengan abahnya, semua senyap. Abang pun jadi tak sedap hati, tu yang abang telifon bagitahu Timah ni. Husin mana? Dia tak ada mengajak kalian ke?” soal mamak, tak gembira.

“Tak ada bang! Tak ada! Kami tak langsung ada diberitahu. Patutlah sehari dua ni hati Timah rasa tak tenteram je. Rupanya ada benda yang nak jadi. Mujurlah abang bagitahu, kalau tak…sampai bila-bila pun kami tak tahu tentang hal ni.” balas mak dalam tangisan yang cuba untuk dikawal.

“Timah sabar ya, sabar. Maafkan abang. Abang terlambat bagitahu. Kalaulah abang tanya dulu tadi…”

“Bukan salah abang. Terima kasih bang. Terima kasih banyak-banyak sebab beritahu. Assalamualaikum…” ucap mak menamatkan perbualan.

Abah yang sedang terbaring terpaku dan dia seperti sudah dapat mengagak apa yang sedang berlaku. Perkara terburuk yang mereka pernah fikirkan selama ini dan along memilih untuk mementingkan diri sendiri.

“Awak…along dah menikah. Baru je selesai dekat rumah Zam Mara tu tadi. Abang bagitahu. Dia pun terkejut bila tengok along ada dekat situ.” sampai mak sebelum tangisannya tak terbendung lagi. Abah bangkit daripada perbaringan, senyap tanpa sepatah kata. Sukar untuk dia menerima kenyataan yang amat pahit itu.

“Sudahlah! Dah tak ada gunanya awak menangis. Kalau itu yang dia nak, biarkanlah!”

“Tapi awak tandalah tempat saya duduk ni. Saya pasti, satu hari nanti dia akan minta untuk balik semula. Masa tu, tahulah saya apa nak buat. Dasar anak kurang ajar. Mana saya nak letak muka saya ni!” marah abah. Tangisan mak semakin kuat di pendengaran membuatkan abah makin rimas. Kalaulah ada along didepan mata, pasti dah lunyai dikerjakannya, bisiknya, mengulum sendiri, dengan nafas turun naik.

“Huuu…” esak mak berterusan, dah tak dapat nak menahan, mendengarnya, abah mula hilang kesabaran.

“Saya kata sudah tu, sudah lah! Ke awak nak suruh saya pergi parangkan Zam Mara tu? Awak nak?” kuat suara abah membelah kesunyian malam bila sabarnya sudah tinggal sedikit. Mahu saja rasanya ditakik dalang di sebalik musibah yang menimpa. Terbayang wajah Zam Mara yang tak tahu malu itu di hadapan mata sebelum perbualan terakhir mereka dulu jelas di pendengaran.

“Kalau dah tak suka anak tu, takpa, biar aku yang jaga. Lagipun aku dah sayang sangat dengan along tu. Baik perangainya, belajar pun pandai. Memang sesuai dibuat menantu.”

“Takpun, ikut sajalah apa yang dia nak. Dia yang dah sukakan anak aku. Bukan aku yang paksa. Terima je lah, apa yang susah.” katanya dengan senyuman yang bertujuan mencarik-carik tangkai hati.

“Memang dasar setan!” tutur abah selesai mengingatinya sebelum dia pantas bangkit. Kotak rokok dicapai lalu pintu rumah dibuka kasar. Abah menuju ke bawah pokok langsat, tempat istirehat dalam usaha mengembalikan semula damai di hatinya, dan dia mahu bersendirian.

“Kenapa mak?” soal Safi yang sudah tak sabar setelah mendiamkan diri agak lama sambil diikuti Man yang hanya mampu tercegat sambil menggaru-garu kepala. Tak tahu mahu berkata apa bila tangisan mak semakin jelas kedengaran di telinga. Memujuk mak? Tapi mereka tak tahu bagaimana sebelum Ina datang lalu berbaring di atas ribaan mak dan serentak itu, Man turut sama menghampiri.

Mat dan Usop juga sama, mendekatkan diri untuk mengetahui apa yang terjadi dengan lebih jelas lagi. Semuanya berkumpul menghadap mak yang masih tersenggut-senggut menahan tangis.

“Along kalian…dia dah menikah.” ucap mak sebelum tangisnya jadi makin besar. Pernyataan yang mengesahkan segala-gala dan kini along sudah benar-benar pergi.

Satu malam yang mana, tiada siapa dapat melelapkan mata. Semuanya gara-gara perbuatan along yang secara terang-terangan dan dengan rela hati mencalarkan maruah keluarga sendiri.

 

Angah dengan adik-adik tekun berusaha mencari nombor telifon Zam Mara didalam yelow pages, buku daftar panggilan pengguna semasa sebelum mereka menjumpainya.

“Ha! Ni ni! Dah jumpa dah! Ha, alamatnya pun sama!” terak angah teruja setelah agak lama menelaahnya.

“Betul ke angah? Nanti kalau bukan macam mana?” soal Safi yang sudah tersenyum mendengarnya. Ina dan Man pun tersengih, gembira dengan pencapaian angah.

“Betullah! Inilah dia! Ha, Zamri bin Ali. Ha, alamatnya pun sama, alamat taman tu. Mana ada dua Zamri tinggal dekat situ. Itujelah satu.” balas angah yang sudah mula mendekatkan dirinya ke arah telefon.

“Angah nak buat apa?” soal Safi tak percaya, namun angah hanya membalasnya dengan ketawa.

“Nantilah. Tengoklah dulu apa yang angah buat.” jawapnya sambil mendail, berpandu pada maklumat yang baru didapati.

“Hello. Assalammualaikum. Abang Zamri ada?” tutur angah lancar, tanpa langsung ada rasa kekesalan membuatkan Safi, Ina dan Man segera menekup mulut menahan ketawa, tak mempercayai tindakan.

“Abang Zamri? Dia tak ada, tapi ni siapa? Ada hal apa nak cari dia?” soal satu suara yang diyakini sebagai isterinya.

“Ini…takpalah, takpa. Nanti saya telifon semula.” balas angah sebelum segera meletakkan gagangnya.

“Hikhikhik…”

“Ooo…ini rupanya yang angah nak buat. Nak nak, nak buat pulak!” tutur Man dan Ina dah mula berebut ingin menyambungnya dan sekali lagi nombor yang sama didailkan.

“Nombor yang anda dail, tak ada dalam perhikmatan kami. Terima kasih.” tutur angah saat panggilan di sambungkan sebelum talian diputuskan. Terkekeh-kekeh mereka menyambut kemenangan setelah selesai ‘operasi sulit’ yang bermotifkan gangguan ketenteraman, namun itu belum mempu untuk membuatkan hati mereka puas. Selang berapa lejang, mereka memulakannya semula.

“Cepat-cepat! Jap lagi, kalau ada yang angkat, kalian nyanyi lagu anak kala lagu melayu. Cepat-cepat!” arah angah yang sudah selesai menekan butang angka pada badan telefon.

“Anak kala lagu melayu…anak kala lagu melayu…Si baju hijau, sedang bertugas, di perbatasan, peluru, tak bermata, harus waspada…” sambut Safi Man dan Ina serentak saat gegang diberikan, menyambung serangan dan Milah yang mendengar sudah mula naik marah bila telahannya nyata.

 

Hari berganti hari dan minggu beralih ke minggu, namun keadaannya kekal begitu. Bertalu-talu sesama mereka berbalas-belas serangan, dan semua yang dilakukan, kekal dirahsiakan. Bila gagang diangkat, mereka diam, puas diam mereka menyanyi.

Perbuatan itu diulang sepanjang hari, berkali-kali. Penat sorang, yang lain pula menyambung. Perbuatan jahat itu berlarutan sampai bermingu-minggu. Bila dah penat mendengar, sambungan pada telefon dicabutkan, tak lama sebelum ianya disambungkan semula, tapi semuanya dilakukan disebalik pengetahuan mak dan abah. Sehinggalah pada satu hari suara kasar along menerjah.

“Hello hello! Kalian ni dah kenapa ha?!! Kalau nak telifon, cakap! Perangai macam orang tak ada otak!”

“Kalian nak jadi apa! Mak tahu yang kalian buat macam ni? Ha, kenapa senyap! Jawaplah!” tutur along kasar. Safi dan Man yang menekapkan telinga di gagang terkejut kerana tak pernah along melayan mereka begitu. Entah apalah yang diadukan oleh keluarga mertuanya tu pada along. Kalau along nak salahkan mereka, yang disebelah sana pun sama. Mereka pun melakukan perbuatan yang serupa. Jadi, adilkah begitu? Soal Safi yang dah sakit hati.

Selama ni, mak kata along tak salah, dan mereka mempercayainya, tapi itu dulu, kerana sekarang mereka rasa sebaliknya. Along betul-betul dah berubah. Dia dah ada keluarga baru. Along dah tak sayangkan mereka lagi, gerutunya, juga di dalam hati.

“Kenapa senyap! Jawaplah!”

“Kalian ingat ya, kalian jangan berani telefon rumah ni lagi. Perangai tu bodoh macam keldai.” Tut. Talian dimatikan. Safi dan Man yang masih mendengar terdiam, serentak itu mereka saling berpandangan. Rasa betul-betul macam tak percaya. Along benar-benar dah berubah.

“Safi kenapa?”

“Man apa?” soal Ina yang masih tak tahu apa-apa.

“Along marah kita. Dia pesan jangan telifon lagi.”

“Along memang dah tak suka kita dah. Ina tahu dia cakap apa?” tutur Safi perlahan dan Man hanya mampu menundukkan kepalanya.

“Apa?” soal Ina sepatah ingin tahu.

“Along kata…kita bodoh macam keldai!” serentak mereka terdiam, sama-sama kecewa tak lama sebelum Ina mula ‘berteriak’ menzahirkan perasaannya. Safi dan Man yang memerhati ikut serta. Mereka sedar kini, sesungguhnya along sudah tiada.

 

Previous: Bab 48b
Next: Bab 50

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.