Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 16a

Keadaan pekan pagi yang dijalankan setiap hari Rabu itu semakin usai, membuatkan mak pasti dah tak ada yang bakal mengunjungi lagi. Sambil memerhati, sengkalan kayu yang baru selesai dibasuh dimasukkan ke dalam baldi yang ada di hujung kaki disusuli pula dengan parang pemotong yang telah menyumbangkan bakti sepanjang hari. Sesudah membersih, mak menyusun dan melipat kaki meja mudah alih yang diperbuat daripada besi itu dan menyandarkannya ke bahagian dinding pasar, tempat biasa ianya ditinggalkan kerana kerja penyimpanan akan dilakukan oleh abah.

“Nah!” tutur abah yang tiba-tiba datang daripada arah belakang, membuatkan apa yang sedang mak fikirkan terus terbang melayang.

“Apa yang awak nak buat dengan ekor ikan pari ni?” soal mak terkejut saat melihat apa yang abah tunjukkan padanya.

“Buat jadi rotan.” jawap abah bersahaja sambil ketawa, membuatkan mak tak senang hati dibuatnya.

“Awak nak merotan siapa?” balas mak mahu mendengarkan jawapan, terus daripada abah.

“Awak bawak jelah balik! Tahulah saya apa yang saya nak buat nanti.” jawap abah dengan senyuman yang hampir mati, tak suka bila pekerjaannya dipersoalkan sesiapa.

 

“Apa ni mak?” soal Man yang baru datang untuk memeriksa tong yang penuh dengan isian, ingat nak menyelongkar barang makan, tapi nampaknya dia terlebih dahulu dikejutkan.

“Itu ekor ikan pari, abah kalianlah tadi. Dia yang mengambilnya dari Pak Brahim. Entah apalah yang nak dibuat, sampai ekor ikan paripun nak diangkut, dibawak balik.” jawap mak sambil mengeluarkan barang-barang keperluan lainnya yang turut berada di dalam tong berkenaan.

“Nak masak ke?” soal Man pula, masih cuba untuk memahami.

“Ish! Nak dimasak apanya, bukan ada isi! Dah tu apa yang nak dimakan?” balas mak sambil tersenyum tak percaya dengan soalan yang baru Man ajukan.

“Dah?” soal Man kembali tetap mahu mengetahui akan tujuan.

“Abah kata dia nak buat rotan, nak merotan kalian bila ada yang tak mendengar kata.” balas mak kembali, bersahaja.

“Ha!!!? Rotan? Tak sakit ke…aduh!” tutur Man selesai melibaskan ekor berkenaan pada tangan.

“Ha, sakit kan? Tulah sebabnya, kalau tak nak kena, jangan nakal-nakal. Bagi sini.” balas mak sebelum mencapai ekor ikan yang berada di tangan Man dan menyangkutkannya pada paku yang ada terbenam di alang pintu.

“Biar dia kering kat situ. Kita cakap-cakap dekat sini, tapi sejak tadi mak tak nampak Ina. Ina mana?” soal mak pada Man pula.

“Ina ada tu! Tu! Tengah tidur kat situ. Nak Man bangunkan?” jawap Man sambil menuding jari ke arah bilik tidur yang berada di bahagian dapur.

“Takpayah takpayah! Biarlah dia tidur. Nanti kalau dia bangun susah mak nak buat kerja.” balas mak sebelum mencapai bahan-bahan basah yang ada dan membawanya ke muka pintu dapur untuk dibersihkan.

“Safi jom pergi mandi nak?” cadang Man pada Safi yang baru selesai menukar pakaiannya.

“Sekarang?” balas Safi tak percaya.

“Ha, sekaranglah! Dah tu, takkan esok pulak?” jawap Man yang sudah mula rasa kepanasan, dan cara yang ada untuk mengurangkan kesan haba adalah berendam di dalam air sungai yang dingin lagi menyegarkan.

“Jomlah!” tutur Safi tak berfikir panjang kerana itu memanglah kebiasaan.

“Nak ke mana tu?” soal mak saat terlihatkan anak-anaknya sudah mula berlalu.

“Nak pergi sungai, mandi.” jawap Safi.

“Nak mandi apanya. Kan ke baru je balik, badan tu masih panas lagi. Sejukkan badan tu dulu. Kang, tak pasal-pasal deman, panas tu masuk ke dalam.”

“Dah, duduk sini! Nanti mak siap masak, kita pergi mandi sekali.” arah mak membuatkan Safi dan Man tak jadi pergi.

 

Satu demi satu tebaran Usop lepaskan, tapi mungkin sebab dah selalu sangat orang pergi mengebom dan mengaran ikan, jumlah tangkapan makin lama jadi semakin berkurangan, sebab tindakan sebegitu telah mengakibatkan bukan saja ibu-ibu dan bapa-bapa ikan yang menjadi sasaran tapi seisi keluarga ikan secara keseluruhan.

Anak, mak, bapak, abang dengan kakak, semuanya dipukul rata, sampai tak banyak yang berjaya melepaskan diri daripada serangan tak berperikemanusiaan mereka. Kena tunggu beberapa bulan barulah jumlah ikan mengalami pertambahan. Tambahan pula air baru lepas besar, dan kebiasaannya waktu macam ni ikan masih lagi bertebaran di merata-rata, masih tak pulang lagi ke sarangnya.

“Tak ada?” soal Safi pada Usop yang ada dihadapan.

“Tak ada.” balas Usop sambil menggelengkan kepala. Man dan Ina yang ada mengikut turut sama rasa kecewa kerana setakat ini mereka cuma dapat menangkap kurang daripada lima, itupun dengan saiz sebesar dua jari sahaja. Sempat juga mereka mengalihkan pandangan pada Bodok yang masih berkejaran ke sini dan ke sana memeriksa setiap satu pelosok belukar untuk memastikan keselamatan tuannya. Selesai memeriksa, Bodok akhirnya memantau keadaan mereka daripada atas tebing sungai yang tinggi. Bila mereka bergerak, Bodokpun turut sama bergerak, dan kekal memerhati.  

Perjalanan diteruskan dan tebaran tetap juga dilakukan dengan harapan akan ada ikan yang ditakdirkan untuk menjadi rezeki mereka hari ni, sehinggalah mereka sampai di kawasan rumpun buluh berhampiran dengan rumah.

“Safi tu! Tu! Tu bola!” jerit Man teruja bercampur tak percaya dengan apa yang baru sahaja dilihat mata.

“Mana? A’ah la bola!” tutur Safi gembira, turut tak menyangka ada bola getah tersangkut pada batang buluh yang tumbang dan melintang di bahagian sisi sungai.

“Usop! Tolong ambil bola tu!” pinta Ina pula dah tak sabar nak bermain dengannya. Usop segera menuju ke arah sasaran, namun belumpun sempat tangannya dihulurkan tubuh kurus itu telah dihanyutkan.

“Wei, gila! Dalam gila!” tutur Usop terkejut, tak sangka tubuhnya dihanyutkan, terlupakan lumrah alam dan pepatah lama yang tercatat tentangnya. Sekali air bah, sekali tu jugalah pasir berubah.

“Dah tu? Tak boleh nak ambil ke?” soal Man pula, nyata kecewa, sampai berubah wajahnya.

“Sekejap, kita cuma ambil guna kayu.” balas Usop setelah mendapat idea yang berguna. Tanpa berlengah dia mencari batang kayu yang ada di tebing sungai untuk dijadikan alat bantuan. Selesai mencari dia kembali semula ke kawasan sasaran dan dengan berhati-hati dia melangkah sejauh mana kakinya mampu pergi, kerana dia tak mahu dihanyutkan lagi. Berkat usaha akhirnya dia berjaya menolak bola berkenaan keluar daripada situ membuatkan adik-adiknya yang melihat bersorak kegembiraaan.

 

Previous: Bab 15
Next: Bab 16b

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.